Isnin, 18 Mei 2009

Isu Politik Di Perak - Penjelasan IR Nizar Jamaludin

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.
Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar
Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :
Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.
Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.
Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat.
Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya.
Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.
IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN
Menteri Besar Perak

Ahad, 17 Mei 2009

Konsep "Satu Malaysia" Untuk Kemakmuran - PM

Petikan Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Malam Wartawan 2009 di Kuala Lumpur.
SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di atas kehadiran anda bersama saya serta khidmat cemerlang yang anda tawarkan kepada rakyat Malaysia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di atas peralihan kuasa yang berjalan lancar dan tradisi itu perlu dikekalkan kini dan masa depan. Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, peralihan kuasa kepemimpinan yang berjalan lancar memberikan satu peluang kepada negara untuk menempuh cabaran baru akan datang.
Kita perlu memberi keutamaan untuk membangunkan semula kestabilan ekonomi negara terutama ketika berdepan krisis ekonomi dunia supaya ia menjadi lebih kukuh selain merangka satu strategi jangka panjang untuk ekonomi Malaysia bagi memberi manfaat kepada semua rakyat. Bagi tujuan itu, baru-baru ini kita mengumumkan Bajet Mini bernilai RM60 bilion sebagai persediaan menghadapi kelembapan ekonomi dunia. Sebagai satu daripada negara yang mengamalkan pasaran terbuka, kita mudah terdedah tetapi sebagai ekonomi yang pelbagai, kita mengambil tindakan tertentu untuk mengelak daripada menerima kesan akibat krisis ekonomi dunia itu.
Tetapi saya tahu dan rakyat di pelosok negara tahu, bagi mencapai cita-cita jangka panjang negara, kita bukan saja memerlukan pembaharuan polisi tetapi pembaharuan politik dan institusi juga penting. Ini akan menjadi prinsip teras kerajaan saya, pemerintahan yang mencerminkan segala nilai terbaik, keupayaan dan kekuatan bagi pemimpin kita dan rakyat kita.


Seperti saya katakan beberapa jam selepas menjadi Perdana Menteri, kita perlu memperbaharui demokrasi kita bagi memastikan institusi kita dan penjawat awam bersedia bekerja untuk memenuhi permintaan rakyat selain bekerja bagi kepentingan umum dan bukan kerana kepentingan politik. Ini yang saya mahu bercakap dengan anda malam ini. Kita secara bersama-sama perlu mendirikan satu hala tuju baru yang penuh telus dan bertanggungjawab. Berkhidmat kepada semua, dan bukan segelintir saja serta menghormati dan bersikap adil kepada pendapat umum.

Perbincangan yang konstruktif membabitkan seluruh masyarakat berbilang kaum, agama, parti dan pengamal media, turut mempengaruhi proses politik negara. Komitmen kepada ketelusan dan dedikasi untuk mendapatkan hasil adalah langkah awal sesebuah kerajaan untuk lebih responsif kepada keperluan rakyat. Pelancaran laman web bagi memantau dan menyediakan data peruntukan dua pakej rangsangan adalah bukti ketelusan dalam penggunaan sumber kerajaan. Saya mengharapkan ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam bidang dan profesion lain, rakyat bertanggungjawab ke atas tugas yang dilakukan setiap hari.

* Pemandu teksi yang membawa kita ke destinasi
* Pekerja restoran bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan yang baik dan makanan yang sedap

Tenaga kerja yang menghasilkan produk untuk dieksport ke serata dunia.Beberapa hari lalu, saya melawat Kampung Kerinchi, Jalan Petaling dan Brickfields untuk menemui rakyat bagi menyelami kehidupan seharian mereka. Mesej mereka kepada saya berhubung proses politik bukan berkisar kepada kemarahan atau kekecewaan, sebaliknya mereka ingin mengetahui yang kita bekerja kuat untuk mereka.
Mereka juga mahukan perubahan dalam wacana awam. Untuk tempoh yang begitu lama, politik tuduh menuduh dan khabar angin membantutkan pembangunan dialog politik yang berasaskan kehormatan dan keadilan. Setiap kita mempunyai falsafah politik tersendiri terhadap polisi di mana kita berasa ia adalah terbaik untuk negara. Perbincangan mesti diteruskan, malah ia perlu lebih bersemangat dan bermaklumat.
Dalam tempoh masa percubaan untuk ekonomi dunia, pendapat perlu dipertimbangkan, dibincangkan dan dibahaskan kerana ia membabitkan banyak kepentingan. Dialog yang menggambarkan penghormatan antara satu sama lain walaupun ketika berlaku perselisihan faham. Di rumah atau di restoran, di kampung atau di bandar, di tempat kerja atau majlis pertemuan dan media tradisional dan media baru.
Ini adalah peranan pemimpin sebagai orang dewasa, mentor, ibu bapa dan guru. Kita perlu memimpin dan menjadi teladan supaya generasi akan datang dapat menilai kepelbagaian pandangan dalam masyarakat sebagai asas kukuh negara. Bagi pihak saya, saya mengambil mesej daripada Satu Malaysia secara terus kepada rakyat (melalui laman web 1 Malaysia). Kebanyakan daripada anda menyertai dialog online dan menyatakan keprihatinan berhubung isu ini dan negara.
Sebabnya adalah jelas. Apabila berlaku terlalu banyak desas-desus dan kata-mengata dalam wacana politik, rakyat mula mengubah daripada media tradisi dan mengharapkan untuk berinteraksi secara terus antara satu sama lain dan dengan pemimpin. Ia bukan sesuatu yang rahsia dan saya percaya media baru memainkan peranan penting dalam sektor politik dan sivik negara.
Tetapi saya mahu dan saya akan menggalakkan supaya perbahasan mengambil tempat di kalangan semua media, merentasi semua bahagian di negara kita. Saya mahu satu dialog yang dapat membina tema yang kita bincangkan hari ini, seterusnya menjadi asas kepada kejayaan media baru, yang telus dan pertanggungjawaban di pihak kakitangan awam, dan ia terbuka kepada semua rakyat yang dibina atas dasar hormat dan keadilan, bukan atas serangan peribadi. Saya begitu percaya bahawa ada ruang penting dalam dialog ke arah membentuk media yang lebih bersemangat, bebas dan berpengetahuan.
Jika kita benar-benar mahu membentuk demokrasi yang bertanggungjawab terhadap keperluan rakyat, kita memerlukan media sama ada media baru atau lama yang akan memperkasakan laporan penuh bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lihat tanpa ada rasa takut akan akibatnya dan untuk memastikan kerajaan dan penjawat awam bertanggungjawab terhadap apa yang mereka capai atau sebaliknya.
Sebab itu, tindakan rasmi pertama saya adalah menarik balik penggantungan permit dua akhbar milik pembangkang. Kita perlu laporan berdasarkan fakta bertaraf dunia di Malaysia. Media perlu adil dan bertanggungjawab ke atas laporan. Ia penting jika kita ingin berdebat secara membina mengenai masa depan negara. Saya percaya kita mampu bergerak melangkaui pihak yang menawarkan kewartawanan berasaskan konspirasi, teori dan khabar angin.
Apabila saya bercakap mengenai laporan bertanggungjawab, saya secara jelasnya tidak bermaksud hanya memihak kepada kerajaan, sebaliknya laporan bertanggungjawab membawa maksud laporan yang lebih kritis atas dakwaan daripada semua aspek dan khabar angin. Ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi laporan pemesongan fakta juga berlaku di negara maju di dunia. Misalnya di Amerika Syarikat (AS), lebih 40 peratus rakyatnya pada 2007 menganggap Saddam Hussein bersubahat dalam serangan 11 September walaupun tiada bukti yang boleh mengaitkannya.
Tahun lalu, ketika pemilihan Presiden AS diadakan, radio dan media cetak menyebarkan dakwaan bahawa Barack Obama adalah seorang Muslim. Media dengan agenda tertentu cuba mewujudkan ketakutan di kalangan orang awam dengan menyebarkan imej Obama memakai pakaian tradisional suku kaum di Kenya, secara sengaja menggunakan nama Hussein dan merujuk dirinya sebagai Osama.
Kesannya dalam satu undian, 12 peratus rakyat AS menganggap Obama adalah Muslim dan di beberapa negeri seperti di Texas, seorang daripada empat rakyatnya menganggap presiden mereka sekarang adalah Muslim. Kuasa media bukan semata-mata untuk membuat laporan berita, tetapi memastikan kredibiliti berita dan khabar angin yang bermula pada peringkat akar umbi dan internet. Media hanya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika ia melampaui laporan cetek, mempersoalkan penyebar khabar angin, tidak menyokong berita palsu dan melaporkan yang benar dengan fakta, tidak kira sama ada yang membantu kerajaan atau tidak.
Serangan peribadi melemahkan keyakinan masyarakat terhadap proses politik dan tidak membantu kita mencapai matlamat yang ditetapkan untuk negara ini. Saya sendiri sudah melaluinya, tetapi saya juga akan berpegang teguh dan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat sebagai Perdana Menteri. Serangan peribadi dan kenyataan palsu terhadap kepemimpinan negara meruntuhkan pembangunan politik dan imej negara di peringkat dunia.
Menangani serangan peribadi seumpama ini bukan tanggungjawab seorang daripada satu pihak atau individu tertentu. Ia adalah tanggungjawab semua individu. Dengan itu, hari ini saya meminta semua pihak termasuk pemimpin politik dan rakyat yang ingin terbabit dalam perbincangan mengenai masa depan negara, termasuk media, melakukannya dengan menghormati pandangan dan pendapat serta tidak melabel pihak yang tidak setuju sebagai musuh, bahawa perbezaan pendapat bukan berniat jahat tetapi atas dasar prihatin terhadap masa depan negara.
Ketika kita memberi perhatian kepada keperluan negara yang mendesak, saya berharap laporan seumpama itu menjadi sebahagian daripada sejarah. Ini adalah tempoh percubaan untuk negara kita dan saya percaya kita mempunyai peluang dengan kepemimpinan baru untuk bagi membina Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan. Malaysia memerlukan sebuah model ekonomi komprehensif yang akan mengukuhkan kita untuk tempoh jangka panjang. Tetapi yang penting kita juga memerlukan persetujuan bersama dan dasar yang perlu disertai.

Ketelusan dan keterbukaan

Dihormati dan adil

Untuk kepentingan setiap rakyat Malaysia, Politik yang berdaya maju dan dialog awam adalah jalan terbaik kepada negara kita, masa menuntut dan rakyat mengharapkannya. Jangan hampakan mereka.
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
Perdana Menteri Malaysia

Manchester United Juara EPL 2008/09!! - K-Cheng

Ronaldo (memegang piala) meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Perdana England setelah seri 0-0 dengan Arsenal, Sabtu lalu.

LONDON: Manchester United memenangi kejuaraan bola sepak Liga Perdana Inggeris 2008-09 berbekalkan keputusan seri 0-0 menentang Arsenal di Old Trafford, semalam. United kini mempunyai 87 mata dengan baki satu perlawanan manakala kelab tangga kedua, Liverpool, yang turun menentang West Bromwich Albion hari ini mempunyai 80 mata.

Ia adalah kejuaraan liga ketiga berturut-turut buat United dan satu mata dalam perlawanan kedua terakhir kempen itu sudah mencukupi untuk meletakkan Red Devils di luar jangkauan Liverpool serta memastikan mereka menyamai rekod musuh ketat itu dengan sejumlah 18 mahkota liga. “Ia tempoh 90 minit paling panjang dalam sejarah tetapi kami sudah berjaya mencapainya,” kata pengurus berusia 67 tahun itu selepas persembahan agak gemuruh pasukannya, “Tiada sebarang percubaan berbahaya yang menunjukkan betapa berhati-hatinya perlawanan itu.”. Ditanya apakah maknanya untuk menyamai rekod Liverpool, Ferguson berkata; “Ia akan menjadi lebih bermakna jika kami mendapatkannya di hadapan mereka. Kami mahu berkembang dengan pasukan ini, yang berkemampuan melakukannya.”

Namun, ia adalah persembahan hambar oleh United tetapi keraian bermula sebaik wisel penamat yang memastikan kejuaraan dan meletakkan mereka bersama Liverpool sebagai kelab England paling banyak memenangi trofi. Arsenal, yang akan menduduki tempat keempat, banyak menguasai bola tanpa mencipta terlalu banyak peluang terbuka tatkala jentera serangan United hanya sesekali mengancam gawang pelawat. Ferguson kini sudah mempunyai 25 trofi utama sejak tiba di kelab itu pada 1986 dan berharap untuk menjadikannya 26 apabila United berdepan Barcelona dalam final Liga Juara-Juara pada di Rome, pada 27 Mei ini.

Berbekal gol daripada Cristiano Ronaldo dan persembahan berkualiti dari penyerang Wayne Rooney dan Carlos Tevez, United juga mempunyai pertahanan kental yang menyumbang kepada penjaga gol Edwin van der Sar mencatatkan rekod British dengan melalui 1,311 minit tanpa melepaskan gol.

Ia seketika tampak goyah April lalu, apabila mereka kalah 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool dan kemudian 2-0 di tangan Fulham sebelum kembali memulakan rentetan kemenangan tanpa kalah yang menjarakkan mereka mengatasi Liverpool.

Disediakan oleh - K-Cheng (Editor Sukan ADAM)

Perutusan Hari Guru - Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

PERUTUSAN HARI GURU
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dihormati sekalian,


1. Alhamdullilah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, sekali lagi kita dapat menyambut perayaan Hari Guru pada 16 Mei 2009. Pada hari ini, kita akan bersama-sama merayakan hari yang amat istimewa bagi setiap warga pendidik. Semenjak tahun 1972, sambutan Hari Guru merupakan hari yang sangat bermakna buat kita bagi menghargai sumbangan, komitmen dan pengorbanan warga guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat untuk membentuk anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
2. Sehubungan itu suka saya nyatakan di sini, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” amat sesuai dan bertepatan dengan tuntutan persekitaran yang menuntut pembangunan warganegara sejak awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya juga kesenian bangsa. Dalam masa yang sama, anak-anak didik juga perlu dipersiapkan agar bersedia menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi serta liberalisasi. Justeru, para guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik pada setiap masa bagi memenuhi keperluan dan harapan negara ke arah membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika serta memupuk dan menanamkan sifat toleransi dalam kalangan pelajar bagi melahirkan masyarakat bersatu padu yang harmoni dan bertolak ansur.
3. Saya percaya peranan guru sebagai jurutera sosial dan agen perubahan adalah sangat dituntut demi mencapai matlamat yang diingini oleh negara. Sebagaimana yang kita maklum, peranan guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang ditugaskan tetapi juga mendidik minda dan
membina sahsiah pelajar. Masa hadapan pelajar, malah masa hadapan bangsa dan negara adalah ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru-guru hari ini. Menyedari hakikat tersebut, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah menetapkan ‘Membina Negara Bangsa’ sebagai satu daripada enam teras utama bagi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah terletaknya tanggungjawab dan harapan untuk membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju.

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,
4. Saya ingin menegaskan bahawa guru sebagai pendidik telah terbukti memainkan peranan utama dalam membina negara bangsa. Para guru perlulah berfikiran global dan bertindak secara terarah dengan menjadikan bidang keguruan sebagai wadah untuk membentuk warganegara dengan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia. Adalah menjadi harapan masyarakat, para guru memainkan peranan membentuk jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat, seterusnya menjadikan anak didik sebagai warganegara glokal yang mampu bersaing seiring dengan kepesatan dunia. Justeru, negara akan hilang daya saing dan ketinggalan dari kemajuan global sekiranya para guru tidak menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.

5. Dalam usaha meningkatkan perpaduan berbilang kaum, di peringkat awal persekolahan lagi kita telah memupuk jati diri murid melalui kurikulum, program ko-kurikulum dan sukan. Sehubungan itu, guru sebagai pendidik perlu memastikan diri mereka bersedia untuk berusaha lebih inovatif, proaktif, mampu mencipta kelainan dan menjadi contoh teladan yang baik untuk memupuk nilai-nilai jati diri kepada murid-murid menerusi proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini tentunya menuntut perancangan dan pelaksanaan yang cekap daripada para guru agar pendidikan mampu menjadi wahana perpaduan yang berkesan.
6. Di samping itu, kecekapan dan keberkesanan guru juga dituntut menerusi aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik, menanamkan sifat hormat-menghormati dan peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Pelaksanaan program-program ini menuntut kerjasama dan komitmen guru untuk menerapkan elemen perpaduan dan ini membuktikan bahawa sekolah adalah tapak semaian yang terbaik untuk menyuburkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan selama ini. Saya percaya para guru akan sentiasa berusaha dan beriltizam untuk melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan agar ianya mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan kita.

7. Seterusnya dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar ini, negara amat memerlukan modal insan berkualiti yang boleh menggalas aspirasi serta misi nasional ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam konteks ini, sebagai pendidik yang berdedikasi dan sentiasa bersedia menerima perubahan, guru adalah pemangkin kepada transformasi yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dalam memenuhi agenda pendidikan ke arah melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,

8. Akhir kata sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berharap agar warga guru hendaklah sentiasa mempunyai sifat dedikasi dan komited semasa menjalankan tugas masing-masing. Segala yang tuan-tuan dan puan-puan lakukan adalah demi kepentingan pendidikan anak-anak kita, demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan. Ketepikan kepentingan diri, berkhidmatlah dengan penuh jujur dan ikhlas serta sentiasa menjaga integriti dan nama baik. Sekiranya warga guru tidak mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi, bagaimana kita mengharapkan generasi yang baik dan berkualiti hasil
daripada acuan didikan kita akan dapat dikeluarkan.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Selamat Hari Guru.

Perutusan Oleh :

DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Pantun Hari Guru ! - Unik Dari Pelajar SKSS

A-B-C dan Alif Ba-Ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat


Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan


Lima enam tujuh lapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!


Betik masak lebat di pangkal
Penuh kapal bawa belayar
Baik budi panjang akal
Hormat guru tekun belajar


Manis rasanya buah delima
Masak sebiji di celah daun
Budi guru saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun


Pohon palma tegak berdiri
Ditanam mari tepi bangunan
Ilmu di dunia terus dicari
Jasa guru dilupa jangan


Waktu malam mencincang halia
Masak cencaru berserai wangi
Muris silam patuh setia
Hormat guru serta disayangi


Pergi memburu ke hutan lama
Dapat rusa di waktu pagi
Kalau ilmu ku dapat sama
Usaha guru ku sanjung tinggi


Pakai baju warna biru
Ke sekolah hingga pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu


Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak


Dipetik dari segmen pantun kreatif - Pelajar SKSS

Perdagangan Matawang - Tun Dr M


1. Perdagangan matawang merupakan satu lagi penyumbang palsu kepada kemewahan negara-negara kaya. Perniagaan ini sekali lagi melibatkan wang yang tidak ujud. Bank akan pinjamkan sehingga 30 kali jumlah wang pelabur yang dipegang pedagang. Sekali lagi pinjaman diujudkan oleh wang rekaan bank. Begitu juga dengan wang pelabur jika ianya dipinjam dari bank.
2. Pinjaman yang besar oleh pedagang matawang membolehkan mereka memanipulasikan pasaran; menolak naik atau turun nilai matawang. Apabila nilai matawang bertukar peniaga mengaut untung. Kerana peniaga matawang mengawal beribu billion dollar, keuntungan mereka amatlah besar, dan begitu juga dengan dividen yang dibayar kepada pelabur.
3. Perniagaan matawang dianggarkan 20 kali lebih besar daripada jumlah keseluruhan perdagangan dunia. Pulangan ke atas setiap dolar yang dilaburkan akan lebih tinggi berbanding dividen daripada pengeluaran dan perdagangan barangan dan pemberian perkhidmatan. Dengan itu pelabur dan peniaga akan mendapat perolehan yang lebih tinggi daripada jangkaan sekiranya mereka melabur hanya modal yang ada pada mereka.
4. Individu tidak boleh pinjam 30 kali ganda wang yang mereka miliki untuk dilabur. Tetapi peniaga matawang boleh. Demikian kecenderungan pelabur untuk melabur melalui pedagang matawang.
5. Perniagaan matawang bukanlah untuk melabur dalam perniagaan atau perdagangan. Ianya diperjudikan ke atas kenaikan atau kemerosotan sesuatu matawang. Walau apa sekalipu jadi pada matawang (naik atau turun), penjudi (peniaga) akan untung. Kerana untung adalah daripada pelaburan lebih 30 kali ganda duit pelabur, kedua-dua peniaga dan pelabur akan mengaut untung yang jauh lebih tinggi daripada pelaburan dengan jumlah modal asal.
6. Keuntungan yang diperoleh peniaga dan pelabur ini akan dengan satu cara atau lain dimasukkan di dalam perkiraan KDNK dan pendapatan per kapita negara. Dengan itu angka-angka petunjuk ini menjadi begitu tinggi.
Dipetik daripada - chedet.co.cc

Kisah Untuk Renungan - Salina Zamani

Assalamualaikum.........

Sekadar Renungan.....Semoga dijadikan IKTIBAR untuk kita semua.......

INSYAALLAH......Amin.......

Seorang Executive muda yang berjaya sedang memandu disebuah perkampungan di pinggir Bandar. Ia memandu agak laju dengan sebuah kereta WAJA yang berprestasi tinggi yang baru sahaja dibelinya. Sambil ia memandu perlahan-lahan ia sedang memerhatikan seorang anak kecil dicelah-celah kereta yang diletakkan ditepi jalan, ia memperlahankan keretanya untuk melihat sesuatu yang difikirkannya.

Seelok-elok sahaja kereta Waja tersebut melintasi kawasan tersebut; anak kecil tidak kelihatan tetapi seketul batu dilontarkan tepat mengena pintu disebelah kanan kereta Waja tersebut.

Apalagi Executive muda tersebut menekan brek sekuat hatinya dan berundur ke tempat dimana Anak kecil tadi berdiri. Dengan marahnya dia keluar dari kereta terus meluru ke arah Anak kecil, menarik tangan anak kecil dan menghempasnya ke kereta yang terletak ditepi jalan dan terus memarahi Anak kecil tadi :

" Apa ni ? Siapa awak ? dan apa ke jadahnya awak berada disini ? Itu kereta baru, mahal dan susah nak baiki ? Awak tau tak ? Kenapa awak buat ini semua ? jerit Executive tersebut.
Anak kecil itu tunduk sedih, sayu dan memohon maaf ;
" Saya meminta maaf Pakcik, Saya tak tahu apa patut saya buat, ia merayu. Saya melontar batu kerana tak ada orang yang berhenti disini apabila saya panggil".

Dengan linangan air mata ia menunjukkan ke satu sudut yang tidak jauh dari situ. "Itu abang saya , ia jatuh dari kerusi roda dari tebing disebelah dan tak ada orang yang dapat mengangkatnya kembali. Boleh tak Pakcik menolong saya, ia cedera dan ia terlalu berat untuk saya.

Dengan rasa terharu,Executive muda tersebut melepaskan anak kecil tersebut dan terus mengangkat abangnya dan meletakkannya kembali ke kerusi roda.

Terima kasih, pakcik. Saya doakan pakcik selamat dunia dan akhirat.

Tak dapat digambarkan dengan perkataan, Executive muda hanya melihat dengan sayu, Anak kecil tersebut menyorong abangnya yang cacat dan cedera pulang menuju ke rumahnya. Anak sekecil itu boleh mendoakannya akan kesejahteraan hidupnya.

Executive muda tersebut berjalan perlahan ke arah kereta, WAJA kemek teruk tetapi ia membiarkan saja tanpa dibaiki. Ia mengingatkannya bahawa kita tidak perlu berkejar-kejar dalam kehidupan ini sehinggakan seseorang melontar batu hanya kerana hendakkan perhatian...

Pengajaran

Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah, bersuka-ria tanpa kesedihan, Panas tanpa hujan tetapi ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya. Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.

ASSALAMU'ALAIKUM WARAMATU//AHI WABARAKAHTUH. .,

LUANGKAN MASA ANDA SELAMA 15 - 20 MINIT UNTUK MENGETAHUI APAKAH MESEJ YANG DISAMPAIKAN SEBELUM ANDA KATAKAN TIDAK BERMINAT ATAU TIDAK PERCAYA. TETAPI ANDA JANGAN BUANG RISALAH INI SEBALIKNYA BERIKAN KEPADA SAUDARA ISLAM KITA YANG LAIN KERANA MEREKA MUNGKIN SANGAT MEMERLUKANNYA.

TERIMA KASIH. WASSALAM.

KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

'Au zubillah himinashsyaitan nirrajim...bismilla hirrahmannirrahi m'

Tafsirannya:
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan. Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas,
kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan
ahad.) Sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad s.a.w:
'Barang siapa membaca Qul huwa'llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka'. Inilah yang dinamakan membaca Qulhua'llah ahad satu khatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita
sehari.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara Kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran... Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas.

Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi:
Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikutnya.

Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.

Nota:
Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah/amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain
Disediakan oleh - Saudari Salina Zamani

Kisah Adik & Kakak - Kak ET

Pada ayah - didiklah anak dgn baik jgn kedekut dgn anak-anak jika ada keinginan dan keperluan mereka cuba tunaikan jika x berdaya cakap dgn baik-baik.....dan selalulah berkomunikasi dgn anak-anak...masa kecil mereka tiada siapa kecuali ayah dan ibu sebagai tempat bergantung....patutlah Allah memuliakan anak yatim...mereka sebatang kara.....bacalah kisahnya...dan sekiranya ada titisan air mata bercucuran maka anda memahami dan menghayati cerita ini.....berbuat baiklah pada anak yatim......mereka tiada sesiapa didunia ini......

sayunya cerita ini apatah lagi kepada yang mengalaminya.....

Hanya satu kisah...

Aku cuma ada seorang adik. Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,

"Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.

Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya
tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. -.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,

"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.

Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,

"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.

"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi
adik.

Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.... ."Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang Aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:

" Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.

"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen
pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,

"Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,

"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak... Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,

"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.

"Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat... dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.."
Disediakan oleh - Kak ET (Bekas Pendebat KUSTEM)



Usul Pertandingan Debat Integriti 2009 !!

Assalamualaikum,
Kepada pejuang-pejuang Debat Universiti, selamat maju jaya di dalam Pertandingan Debat Integriti yang berlangsung di UTM Skudai, Johor. Kepada semua, berjuanglah dengan sesungguhnya agar kalian beroleh kejayaan. Kepada yang gagal, jangan bersedih, kerana peluang masih ada di lain masa.
Berikut disenaraikan tajuk-tajuk yang bakal diperdebatkan.....
1. Harga barang tanggungjawab peniaga
2. Wawasan 2020 mudah dicapai
3. penyeludupan barang menjejaskan ekonomi negara
4. kebanjiran pendatang tanpa izin menjejaskan peluang rakyat malaysia
5. globalisasi punca peningkatan masalah integriti
6. isu rasuah : NGO lepas tangan
7. mengatasi jenayah kolar putih : kita perlu bersatu
8. PIN : kita semakin jelas
9. rasuah di malaysia tidak membimbangkan
10. pelan integriti nasional teras kemajuan negara
11. ahli politik telus dalam menangani isu rasuah
12. sektor swasta : integriti mengatasi keuntungan
13. integriti adalah penyelesaian kepada krisis ekonomi
14. perkhidmatan awam di malaysia cekap
15. politik wang : ditelan mati emak, diluah mati bapa
16. sistem pendidikan punca pengangguran
17. kurikulum pengajian tinggi berjaya melahirkan modal insan berintegriti
18. integriti media teras keharmonian kaum
19. youtube menjejaskan integriti
20. undang-undang mekanisme terbaik memerangi rasuah
21. pendidikan integriti lebih berkesan di sekolah
22. malaysia memerlukan model indeks rasuah sendiri
23. blogging membentuk budaya tidak berintegriti
24. siaran langsung penuh sidang parlimen perlu
25. TEKAD 2008 hanya tinggal kenangan
26. warga tua di malaysia terabai
27. pengurusan tatatertib yang lemah mengakibatkan kemerosotan integriti
28. piagam pelanggan adalah realiti
29. ISO menjamin kualiti perkhidmatan
30. etika perniagaan bermula dengan pengguna yang bijak
31. pengamalan etika perniagaan di malaysia masih pada takuk lama
32. remaja berintegriti, negara maju
33. usaha memerangi rasuah di malaysia : cakap serupa bikin
34. sistem pendidikan negara menyemai perpaduan kaum
35. program penerapan modal insan telah berjaya
36. peguam di malaysia amalkan integriti
37. sistem penghakiman kita telus
38. pencegahan rasuah terletak di tangan masyarakat
- Editor -

Jumaat, 15 Mei 2009

Kini Sivakumar Tahu Langit Itu Tinggi Atau Rendah - Oleh Husein

Sekarang baru Sivakumar dapat rasakan tinggi rendahnya langit kerana sebelum ini beliau menganggap diri beliau paling berkuasa dan kuasa beliau melebihi Menteri Besar Perak Dr Zambri. Segalanya akan selesai tidak lama lagi apabila usul tidak percaya kepada Nizar akan di bawa ke sidang Dun dan usul ini akan disokong , maka selesai lah kemelut siapakah Menteri Besar yang sebenar.
Pembangkang menyangkakan bahawa mereka licik kini terperangkap dengan keputusan yang memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah oleh Mahkamah tinggi baru-baru ini. Keputusan ini di terima oleh BN .
Mahkamah juga telah memutuskan cara-cara bagaimana penyingkiran MB boleh dibuat mengikut undang-undang tubuh Perak , ia itu usul tidak percaya dilakukan untuk memecat Nizar.

Sementara itu , 27 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Barisan Nasional (BN) bersama tiga ADUN Bebas membuat laporan polis semalam terhadap bekas Speaker, V.Sivakumar yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa berhubung kekecohan yang berlaku semasa persidangan Dewan 7 Mei lepas.Kesemua mereka yang menaiki sebuah bas kerajaan negeri tiba di Balai Polis Sungai Senam di sini pada pukul 2.15 petang untuk membuat laporan mereka.
Exco Kanan Kerajaan Perak, Datuk Hamidah Osman berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka membuat laporan serupa hari ini. Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Oleh - Husein

Kegembiraan Nizar Bersifat Sementara - Man Puyau


Kegembiraan dua hari lalu hanya lah bersifat sementara sahaja kerana sehari selepas itu, Nizar dan exco terpaksa mengosongkan pejabat kembali. Bagaikan harimau lapar , pagi -pagi lagi Nizar menunjukkan taring beliau dengan menggantung dua pegawai Kanan negeri Perak walaupun beliau sebenarnya tidak layak untuk melakukan. Apakah Nizar ingat sebagai menteri besar , beliau boleh lakukan apa saja yang beliau suka mengikut undang-undang rimba.

Speaker Dewan Undangan Negeri akan memanggil persidangan dan usul tidak percaya akan dilakukan dan insya alah usul itu akan diterima dan maka berlakulah usul tidak percaya dan pastinya BN akan menang dalam usul berkenaan. Dengan itu sah lah pemecatan Menteri Besar Perak yang tidak boleh dipertikaikan lagi kerana itu telah mengikut lunas undang-undang tubuh negeri Perak. Nizar terpaksa akur dengan keputusan itu kerana sebelum ini BN boleh menerima keputusan Mahkamah , Nizar juga perlu terima undang-undang yang telah diperuntukkan oleh Mahkamah yang mana beliau guna pakai keputusan undang-undang dua hari lepas.

Nizar hanya sempat menjadi MB Perak hanya beberapa jam untuk menghilangkan rindu beliau kepada jawatan yang membuat beliau bermimpi siang dan malam. Insya-Allah dengan berlakunya proses ini maka tidak timbul lagi siapakah MB Perak.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.
Oleh - Man Puyau

Selasa, 5 Mei 2009

Selamat Hari Pekerja 2009 ! Bersyukurlah ! - Presiden ADAM


Assalamualaikum,

PENDAHULUAN
Rasanya masih belum terlewat buat saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja buat semua bersempena sambutan Hari Pekerja yang telah berlangsung pada 1 Mei 2009 baru-baru ini. Di dalam suasana ekonomi yang membimbangkan hari ini (meskipun pelbagai rangsangan ekonomi diperkenalkan), kepada yang masih bekerja seolah tidak mampu lagi tersenyum seperti dahulu disebabkan oleh masalah ekonomi yang kian mendesak kehidupan masyarakat di Malaysia.
Kita dapat melihat betapa syarikat-syarikat yang dahulunya gagah perkasa di dalam mengendali aspek kewangan masing-masing kali ini benar-benar tewas dengan keadaan. Tidak ada apa yang mampu membendung asakan ini melainkan mereka yang opportunis dan sentiasa melihat peluang yang datang serta menggunapakai setiap situasi demi kelangsungan hidup (survival) dalam jangkamasa pendek dan panjang. Syarikat berasaskan Industri seperti syarikat-syarikat pengeluaran, kilang-kilang serta sektor pembuatan juga sudah mulai merasai penangan hebat kegawatan ekonomi yang melanda bukan hanya Malaysia tetapi seluruh dunia.

Inilah keadaannya pada hari ini. Tidaklah saya berhasrat untuk mengulas panjang berkenaan isu ekonomi ini, cuma satu yang ingin saya kongsi buat semua.... betapa sebenarnya manusia pada hari ini sebenarnya lupa untuk bersyukur. Mengapa saya katakan sedemikian, kerana sedarilah bahawa segala apa yang diturunkan ini datang daripada Allah. Dan segala apa yang diturunkan oleh Allah ini adalah untuk menguji sejauh mana ketahanan kita di dalam mempertahankan kepercayaan serta keyakinan terhadap rahmat Allah. Manusia pada hari ini asyik berbangga dengan kejayaan tanpa mensyukurinya, berbahagia dengan kesenangan tanpa mensyukurinya, bermegah dengan kemenangan dan kejayaan tanpa pernah terlintas olehnya juga untuk mensykuri atau dalam kata lainnya untuk berterima kasih di atas setiap kurniaan Allah kepada kita.
Oleh yang demikian, buat ruangan penulisan kali ini saya akan menulis tentang konsep "BERSYUKUR".

KONSEP BERSYUKUR
Saya ada menyatakan betapa ramainya manusia berbangga dengan kebolehan atau kedudukan yang dimiliki, tanpa menyedari bahawa kesemuanya itu tidaklah bersifat kekal. Saya memetik bagimana peristiwa yang berlaku sebelum ini yang pernah dilaporkan di dalam sebuah akhbar tempatan tentang seorang Pakar Cegah Penculikan AS yang diculik di Mexico. Felix Batista, 55 yang merupakan seorang pakar konsultan bagi mencegah penculikan akhirnya jatuh ke tangan penculik yang ternyata lebih hebat darinya.

Bagaimanakah beliau akan membebaskan dirinya? hanya Allah yang tahu.

Pengajaran yang perlu kita ambil dari kisah ini adalah

Pertamanya; Jangan sombong dengan gelaran Profesional dan Pakar (termasuklah spt IR., Dr., AR. pakar silap mata, pakar urut dan yang seerti dengannya) kerana ada orang lain yang lebih bijak dan hebat dari kita.

Keduanya; Walaupun anda seorang yang pakar, namun tetap ada kelemahan yang mana Allah jualah Tuhan yang tiada kelemahan. sehebat mana sekalipun ilmu kita, pasti ada orang lain yang boleh mencabarnya kerana ilmu yang kita ada ini terlalu sedikit berbanding ilmu Allah.

Ketiganya; Bersyukurlah kita kerana Allah telah beri ilmu kepada anda, kerana tidak semua orang berpeluang mendapatnya. Gunakanlah ilmu itu untuk berbakti kepada manusia kerana Allah dan bukannya kerana wang, pangkat atau kemahsyuran.

Kepada insan lain yang tiada gelaran Profesional, jangan bimbang. Sesungguhnya anda juga seorang yang pakar. Pastinya anda juga mempunyai kelebihan yang unik atau kemampuan yang boleh dibanggakan.

Mungkin anda bukan seorang pakar perubatan, tetapi dengan senyuman yang ikhlas insyaAllah, anda adalah orang yang pakar dalam membahagiakan hidup anda dan menyembuhkan penyakit dengki orang lain melalui senyuman itu.

Mungkin Anda juga bukan seorang jurutera yang mampu bina bangunan tertinggi dunia, tapi yang pasti, anda adalah jurutera yang mampu membina diri dan roh anda untuk kebaikan dunia akhirat. Anda juga mungkin jurutera rumahtangga yang mampu bahagiakan isteri dan anak untuk lebih mencintai Allah.

Anda mungkin tidak berpeluang menjadi peguam dalam hidup ini, tapi janganlah risau. Berkat amal baik anda didunia, InsyaAllah anda akan menjadi peguam yang hebat bila berhadapan dengan Allah kelak. Pastinya segala amalan baik itu akan menjadi bukti penguat hujah anda.

Sesungguhnya menjadi pakar itu banyak cara, terpulang pada kita untuk menjadi pakar yang bagaimana.
MENGAPA KITA PERLU BERSYUKUR?

Saya menggariskan "6S" tentang sebab-musabab dan caranya untuk memastikan kita tidak lupa untuk bersyukur ke hadrat Allah di atas setiap apa yang kita perolehi dan kita capai.
S1 : SEMUANYA ADALAH PINJAMAN

Kesemua yang kita miliki di dalam dunia ini adalah pinjaman. Sebagai contoh, katakanlah kita dilantik sebagai pegawai kerajaan atau seorang eksekutif di mana-mana syarikat, yakin dan percayalah ini juga merupakan pinjaman. Tetapi kita dapat melihat, betapa ramainya manusia yang menganggap jawatan ini sebagai satu tiket untuk berlagak dan menyombong diri. Walhal kita perlu sedar bahawa jawatan itu akan hilang samada seseorang penjawat itu pencen, menerima tawaran bekerja di tempat lain, berhenti atau diberhentikan atau mati sebelum sempat berpencen atau sebelum tamat kontrak. Keempat-empat ini mungkin akan berlaku. Dan jika ia berlaku tidak bermakna jawatan itu akan dilupuskan malahan pengganti akan segera dicari bagi mengisi kekosongan jawatan itu, maka sahlah ia bukan hak kita untuk membangga diri.

Maka bersyukurlah kita dengan jawatan itu dan bukanlah dikendong perasaan riak, takabbur, sombong dan bongkak!

S2 : SEDAR DARI MANA KITA DATANG

Sebagai seorang manusia ramai yang menjadi lupa diri dan lupa untuk bersyukur kerana melupakan asal usulnya yang mungkin susah dahulunya, paling tidak pun keturunan keluarganya pernah melalui zaman kesusahan sebelumnya. Meskipun dinasihatkan ia tidak pernah diambil berat kerana dia tidak pernah melaluinya.
Perlunya, sebagai seorang manusia kita meneliti tiga perkara; Dari mana kita datang? Mengapa kita datang? Dan ke mana kita selepas ini? Dengan menjawab persoalan ini kita pasti akan menjadi seorang manusia yang sedar kita datang daripada keluarga mana, latarbelakang bagaimana , malahan yang paling penting kita wujud di atas muka bumi ini dengan izin Allah. Bukan dengan sendirinya. Mengapa kita datang? Tidak lain tidak bukan untuk beramal dan beribadat demi kebahagiaan abadi di hari akhirat kelak. Ayat uini sudah tidak asing sebenarnya tetapi kelihatan seolah tidak diperdulikan lagi dek kerana tuntutan material melampau manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada sehinggakan adakalanya mereka berkerja mencari wang tidak tentu masa akhirnya tanggungjawab ibadat kepada Allah dipinggirkan begitu sahaja samada secara tidak sedar atau sangat sedar!

S3 : SAYANGI DIRI & ORGANISASI

Kepada yang masih memiliki pekerjaan, sayangilah diri anda dan organisasi. Apabbila dikatakan sayangi diri kita, maka perlunya kita memelihara diri dan jangan dirosakkan. Bagaimana ia boleh rosak. Ia boleh rosak dengan perlakuan dan tindakan kita yang tidak bermoral, beretika dan bertanggungjawab. Misalnya, amalan rasuah, salahguna kuasa, pecah manah, amalan in boleh mengakibatkan kita dibuang kerja. Apabila kita hilang pekerjaan maka kita akan hilang mata pencarian. Bila hilang mata pencarian, yang akan menerima kesan dan bencananya ialah diri kita dan insan tersayang yang bergantung harap kepada kita sejak sekian lama. Maka janganlah dirosakkan diri.

Sayangi organisasi, hanya akan terlaksana setelah kita sayangkan diri kerana ini akan mengakibatkan produktiviti organisasi akan terjamin. Organisasi akan cemerlang jika ahli di dalamnya sentiasa bersikap memelihara serta mendahulukan kepentingan organisasi melebihi kepentingan dirinya. Apabila organisasi kita pelihara sebaiknya maka ia akan terus menjadi tempat kita mengusahakan rezeki yang halal dalam tempoh yang panjang dan seterusnya akan terus berfungsi untuk generasi-generasi yang bakal menyertai organisasi yang kita pelihara ini.

S4 : SESAT DAN BUNTU BANYAKKAN BERTANYA

Manusia, dalam hal ini perlu memelihara hatinya. Hati secara semulajadinya dikurniakan satu sifat "curiosity", bermaksud rasa ingin tahu. Rasa ingin tahu ini jika dipendam secara saintifiknya bisa menyebabkan pelbagai penyakit hati dan minda kerana ada persoalan yang tidak berjaya dilepaskan. Di antara penyakit yang biasa menimpa orang yang gemar meyimpan rahsia, tekanan atau persoalan di dalam hatinya adalah migrain, pitam, semput, dan sebagainya. Maka, perlu kita sentiasa mengemukakan setiap apa yang terbuku di minda, fikiran dan hati kita. Cumanya, caragaya bertanya juga perlu diperhalusi agar tidak menjadikan persoalan itu sebagai menyebab meretakkan hubungan dan sebagainya.

Masalah ini kerapkali berlaku kepada pegawai atau pemimpin atasan yang mempunyai 'ego' yang tinggi dan tidak mahu merendahkan martabatnya dengan bertanya kerana bimbang dilihat sebagai orang yang 'tidak tahu'. Perlu kita sedari bahawa semua orang tidak terus tahu, malahan semua orang perlu mencari supaya daripada 'tidak tahu' menjadi 'tahu'. Di dalam Surah An-Nahl : Ayat 43 meyatakan "Bertanyalah kamu kepada orang yang tahu sekiranya kamu tidak tahu". Janganlah disebabkan seseorang itu kerani atau pekerja bawahan maka kita tidak mahu bertanya kepada mereka. Malahan kita perlu meletakkan diri kita sebagai manusia yang sentiasa ingin belajar supaya mengetahui perkara yang adakalanya orang bawahan sangat tahu berbanding kita.

S5 : SOMBONG JANGAN DIJADIKAN KEBIASAAN

Baik kita menjadi Menteri, Ahli Politik, Imam, Bilal, Ulama' dan sebagainya, janganlah kita sombong. Terdapat beberapa sifat atau ciri orang sombong yang dapat kita kongsikan termasuklah sebagaimana yang sahabat bijaksana saya pernah kongsikan sebelum ini di dalam Blog nya (saudara Miswary) yang mana saya tambahbaik bagi kesesuaian iaitu:

1. Ketawanya yang berdekah-dekah dan nampak dibuat-buat.

2. Mata liar memandang ke arah orang lain ketika anda sedang bercakap dengannya.

3. Asyik menceritakan kelebihan diri dan mudah memperlihatkan kekurangan orang lain.

4. Mula merendah-rendahkan kejayaan orang lain, walaupun kejayaan orang lain tu sangat sedikit berbanding dirinya.

5. Lagaknya, hanya dia saja yang mencipta kejayaan hari tu.

6. Memandang rendah keupayaan dan kelebihan orang lain.

7. Memperlekehkan apa yang orang lain ada berbanding dirinya.

8. Hanya bergaul dengan sekelompok tertentu sahaja.

9. Kelihatan seperti seorang yang sukar didekati.

10. Tidak mahu merendah diri.

11. Tidak bersungguh-sungguh mendengar pendapat orang lain.

12. Tidak menunjukkan wajah yang manis dan mesra dengan orang lain-hanya pada kawan-kawan sendiri sahaja.

13. Sudah mula tidak sedar diri yang dirinya belum pun berjaya lagi, tapi lagaknya macam dia dah berjaya sangat dah.

14. Mula memilih dengan siapa yang dia mahu tegur dan dengan siapa yang dia tak mahu tegur.

15. Mula menyebut-nyebut pangkat yang telah diperolehi dan dibandingkannya dengan orang lain

16. Kalau sebagai Ketua, tidak mahu mendengar pandangan orang bawahan

17. Adakalanya orang bawahan dimarahi dengan cara agak kasar dari kebiasaannya. Tengking, makian dan hamunan secara percuma tanpa mengira masalah pekerja, waktu bila dan di mana. Yang dia tahu, dia betul semua.

18. Orang di kelilingnya, tak betul semua. Dia sahaja yang sebetul-betulnya.

Dan jika ini benar-benar telah menimpa serta meresap ke dalam jiwa seseorang itu, maka bahayalah hidupnya yang sombong itu. Dan ubat mujarab bagi menyelesaikan masalah sombong ini adalah, banyakkan mengingati mati, banyakkan menziarah orang mati, serta banyakkan menziarah kubur, insya Allah akan banyak perubahan.

Dan S6 : SABAR & SENTIASA MENEKAN BUTANG 'PAUSE'

Bersyukurlah kerana kita dikurniakan oleh Allah akal fikiran, oleh yang demikian sangatlah kita tidak bersyukur jika sekiranya kita tidak benar-benar memanfaatkan penggunaan akal dan fikiran tatkala membuat sesuatu keputusan. Dibimbangi dengan membuat keputusan tanpa berlandaskan akal dan fikiran ini akan menyebabkan peribadi serta keupayaan diri akan dipertikai. Konsep 'tekan butang "pause"/"berhenti" ini bermaksud; apabila berlaku sesuatu insiden, maka kita perlu tekan butang pause/berhenti untuk memberi ruang kepada akal dan minda kita berfikir sejenak sebelum membuat keputusan. Dengan ini, keputusan dibuat tanpa kita membuat kesimpulan mudah dan semberono dan mengakibatkan kita menyesal kemudian hari.

Sebagai contoh bagaimana kisah benar, seorang kanak-kanak yang pada suatu hari sedang makan mi di dapur sambil ditemani oleh ibunya. Tiba-tiba si anak tadi membalikkan mangkuk minya yang akhirnya menyebabkan mi tumpah bertaburan di atas lantai. Soalan: apakah yang bakal anda lakukan jika berada di tempat ibunya? Mungkin samada anda mungkin ada yang terfikir untuk menampar anak tadi atau setidak-tidaknya memarahi anak tadi yang kelihatan melakukannya secara sengaja. Mungkin begitu...

Tetapi si ibu dalam cerita tadi menekan butang pause, lalu mengambil tindakan bertanya kepada anaknya apa tujuan anaknya membalikkan mi tersebut. Lalu si anak menjawab yang dia sedang menolong ibunya. Si ibu kehairanan lalu bertanya "bagaimana pulak?". Lalu si anak mengambil mangkuk tersebut, mengutip sisa-sia mi tadi dimasukkan ke dalam mangkuk kemudian di bawa ke sinki. Lalu si ibu mula faham bahawa si anak ingin membantu cuma mungkin caranya tidak betul. Lalu si ibu berkata kepada anaknya, "Baguslah kalau nak tolong ibu, cuma kena janji dengan ibu lain kali kalau nak tolong ibu, bagi tau ibu dulu sebelum buat", "baik ibu!" jawab si anak.

Bayangkan kalau anak tadi dipukul atau dimarahi, yakinlah bahawa si anak akan beranggapan yang, "tak boleh tolong ibu ni, nanti kenal pukul!". Inilah kesannya jika kita mengambil tindakan tanpa menekan butang pause dan sabar sebelum membuat sesuatu.
BERSYUKURLAH

Walau apa pun pernyataan serta penerangan saya tentang konsep 6S tadi, apa yang paling penting sebenarnya, kita perlu bersyukur degan setiap apa yang kita miliki. Janganlah kita membangga diri, bermegah sedangkan apa yang kita miliki itu sebenarnya tidak ada apa jika nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah Ta'ala.

Saya suka sekali berkongsi beberapa bait rangkap syukur untuk renungan semua:

Kita selalu merungut kerana ada orang yang selalu menyakiti hati kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengurniakan orang yang menyakiti hati kita ini, kerana dialah orang yang menabahkan hati kita.

Kita selalu merungut tentang orang yang pernah menipu kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengadakan orang yang menipu kita ini, kerana dialah orang yang meningkatkan pengetahuan kita.

Kita merungut kerana ada orang di pejabat kita yang seolah-olah tidak mempedulikan kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengadakan orang yang tak mengendahkan kita ini, kerana dialah orang yang memupuk sifat berdikari kita.

Kita merungut kerana ada orang yang pernah menjatuhkan kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana menciptakan orang yang menjatuhkan kita, kerana dialah orang yang memperhebat keupayaan kita.

Kita merungut kerana orang yang selalu menganiaya atau menyiksa hidup kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana menjadikan orang yang menyiksakan kita,kerana dialah orang yang menguji ketertinggian tahap kesabaran kita.

Kita seringkali merungut melihatkan banyak pakaian kita yang telah sempit, Bersyukurlah jika banyak pakaian anda yang sempit, kerana selama ini anda cukup makan, tidak hidup dalam kedaifan.

Kita seringkali merungut kerana perlu mencuci tingkap, lantai, habuk didinding, Bersyukurlah kerana anda perlu mencuci tingkap, membersihkan lantai, dan membuang habuk yang melekap di dinding kerana itu menunjukkan anda mempunyai sebuah rumah.

Kita seringkali merungut kerana bayaran cukai pendapatan setiap tahun, Panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana anda terpaksa membayar cukai pendapatan setiap tahun, kerana anda masih mempunyai pekerjaan.

Kita seringkali merungut kerana tempat letak kereta yang jauh, Rasa bersyukurlah kepada Tuhan tatkala anda terpaksa meletakkan kereta di tempat yang jauh, itu bererti anda mempunyai kereta dan mempunyai kudrat untuk berjalan.

Kita seringkali merungut dengan bunyi kenderaan di hadapan rumah kita ketika sedang berehat, Berterima kasihlah kepada Tuhan ketika anda diganggu oleh bunyi-bunyi kenderaan lalu lalang, kerana anda masih mempunyai pendengaran.

Kti seringkali merungut kerana terpaksa mengemas rumah selepas Majlis keramaian, Bersyukurlah juga kepada Tuhan kerana anda terpaksa mengemaskan rumah selepas majlis keramaian, kerana itu menunjukkan anda masih ada sahabat handai.

Kita merungut melihatkan banyaknya pakaian yang perlu digosok, Bersyukur kepada Illahi kerana terpaksa mencuci dan menggosok pakaian setiap hari, kerana anda masih ada lagi pakaian untuk dipakai.

Kita seringkali merungut kerana penat, Panjatkanlah kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla kerana setiap kali berasa penat dan letih pada penghujung hari kerana ini bermakna anda masih berupaya untuk bekerja kuat demi keluarga tersayang.

Kita seringkali merungut apabila mimpi indah terbantut dengan deringan jam loceng, Bersyukurlah kepada Tuhan apabila mimpi indah anda terbantut kerana diganggu oleh bunyi jam loceng, kerana ia bererti anda masih bernyawa dan sempat lagi mengucapkan kesyukuran atas segala nikmat dan kurnia daripada Maha Pencipta.

Kita seringkali merungut dengan bebelan seorang anak perempuan yang membuat kerja-kerja dapur, Panjatkanlah kesyukuran kepada Illahi apabila anak gadis anda bersungut semasa membuat kerja - kerja dapur, kerana itu bermaksud kini dia berada di rumah, bukan berpeleseran tidak tentu hal di luar sana dengan kawan - kawan.

Kita seringkali merungut dengan bunyi dengkuran tidur Suami atau Isteri, Bersyukurlah kepada Allah jika tiap malam anda diganggu bunyi dengkuran suami, kerana itu bererti dia tidur di rumah, di sebelah anda, bukannya dengan orang lain.

Sekian sahaja untuk renungan semua, dan semoga hari-hari mendatang kita akan menjadi lebih baik lagi dari semalam dan hari ini disebabkan kita mula menjadi manusia yang bersyukur.... mudah-mudahan....

SELAMAT HARI PEKERJA 2009 BUAT SEMUA YANG BERKERJAYA!!!

Sekian dan Wassalam. ALHAMDULILLAH!!

Disediakan oleh:













Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)