Khamis, 26 Februari 2009

Ceramah Kepimpinan Belia di Port Dickson

25 Februari 2009 (Rabu), Port Dickson - Satu Kursus Kepimpinan Belia (Peringkat Pertengahan) telah diadakan pada 24 hingga 26 Februari 2009 bertempat di Institut Latihan Belia di Pasir Panjang, Port Dickson. Kursus ini disertai oleh kira-kira 50 orang belia yang berumur di antara 18 hingga 25 tahun yang datang dari semua daerah di dalam Negeri Sembilan.

Di antara slot yang menarik perhatian adalah slot "Pengucapan Awam" yang disampaikan oleh Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail. Saudara Syamsul menyampaikan teknik pengucapan yang baik dan betul dan kemudiannya juga beliau turut membuat latihan praktikal supaya semua peserta dapat diperbetulkan teknik pengucapan awam agar dapat menggunakan kemahiran ini sebaiknya di hari muka.

Saudara Syamsul yang merupakan bekas pemidato dan pendebat Universiti nyata tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman yang ditimba serta diperolehi di dalam dunia pengucapan awam ini. Malahan beliau percaya bahawa seni pengucapan awam ini bukanlah satu bakat semulajadi, tetapi satu bakat yang boleh dibentuk bermula dari minat seseorang untuk berucap.

Di antara 50 orang peserta yang tekun mengikuti ceramah yang disampaikan
50 peserta ini datang dari seluruh Negeri Sembilan
Di antara peserta yang diuji untuk berucap di khalayak ramai
Sesi bergambar beramai-ramai

Saudara Syamsul tidak keberatan mencoret kata-kata kenangan pada buku catatan para peserta

- Editor -

Isnin, 23 Februari 2009

Pertandingan Akhir Debat Naib Canselor UMT 2009

Pasukan Sains Biologi dan Pasukan Sains Biodiversiti Ungguli Gelaran Juara!!!
21 Februari 2009, (Kuala Terengganu) - Pasukan Fakulti Sains Biologi bergelar juara Debat Piala Naib Canselor Kategori Bahasa Melayu manakala pasukan Fakulti Sains Biodiversiti pula merangkul Juara bagi Kategori Bahasa Inggeris.

Di dalam pertandingan akhir yang berlangsung pada jam 8.00 malam bertempat di Auditorium Mohydin, FPE, UMT, menyaksikan pertandingan yang menarik dengan usul "Budaya Internet Menggugat Kestabilan Negara". Pertandingan dihakimi oleh 9 hakim dengan Saudara Syamsul (Pengerusi ADAM) telah dilantik sebagai Ketua Hakim.

Keputusan akhir menyaksikan Pasukan Fakulti Biologi ini juara menewaskan pasukan Fakulti Lepas Tuai dengan Juri 9-0 (Sebulat Suara) namun dengan beza markah (margin) tipin iaitu 3.4 markah. Namun demikian Pasukan Fakulti Lepas Tuai tidak kalah dengan begitu sahaja apabila Wan Mahfuzah merangkul anugerah Pendebat Keseluruhan Pertandingan serta Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir.
Suasana sebelum Pertandingan Akhir bermula

Buat pertama kalinya Speaker Dewan dilantik di kalangan Kaum India
Senarai nama pendebat yang dipaparkan pada skrin layar
Antara hakim yang mengadili pertandingan tenang di barisan belakan Auditorium
Fakulti Sains Biodiversiti yang bergelar Juara Kategori Bahasa Inggeris
Pasukan Sains Biologi bergelar juara Kategori Bahasa Melayu
Sang Juara bergambar bersama tetamu kehormat
Barisan hakim bergambar selepas Pertandingan berakhir

Komentar Hakim

1. Dari sudut isi, didapati terdapat pelbagai isi, fakta dan contoh dilemparkan namun tidak diutarakan dengan bijak. Maksudnya mereka tidak menyokong penghujahan mereka (kedua-dua pasukan) dengan fakta dan hujah yang tepat. Malahan setelah sesuatu isi diutarakan, tidak pula dinyatakan perkaitannya dengan harapan, para hakim yang akan memilih dan menyaringnya.

2. Dari sudut Gaya, didapati terdapat pendebat yang tidak memberikan izin laluan, tidak memberikan izin laluan, malahan ada yang langsung tidak bangun untuk melakukan satu di antara keduanya. Dalam ertikata lain pendebat ini tidak memiliki keyakinan untuk itu (membuat celahan izin laluan). Ada pendebat yang kelihatan yakin dengan persembahan bersahaja, namun ada juga yang karektor nya agak melampau ketika berhujah sehingga membawa ke tahap yang agak 'memualkan'. Namun, hakim berpandangan mungkin ini ekoran keterujaan berada di pentas final.

3. Dari sudut teknikal, kelihatannya masih ada pasukan yang gagal memahami aspek pendefinisian (secara teknikalnya) apabila pendefinisian seolah-olah ingin dipinda (walhal) walaupun mereka telah menyatakan persetujuannya untuk menerima pendefinisian secara tliteral mahupun secara kontekstual/konseptual. Namun demikian, ia tidak lah berapa ketara jika dibandingkan dengan pusingan awal. Ada di kalangan hakim tidak bersetuju dengan pendekatan kesemua pendebat yang terlalu kerap menyebut "Yang DiPertua" kerana boleh dikatakan sebutan ini disebut pada setiap baris ayat yang lafazkan, menjadikan ia merupakan sebutan berulang yang membosankan.

Dan yang terakhirnya kesemua hakim bersetuju bahawa kedua-dua pasukan gagal memberikan pendefinisian jelas terhadap perkataan "Budaya Internet" malahan gagal dibezakan dengan "Internet" itu sendiri. Begitu juga kedua-dua pasukan gagal memberikan takrifan jelas tehadap perkataan "menggugat" apabila perkataan ini tidak pernah diletakkan parameternya. Dan terakhirnya pada perkataan "Kestabilan Negara" juga tidak pernah diukur dan kesemua perkataan yang telah gagal dinterpretasikan dengan baik ini juga telah mengakibatkan kedua-dua pasukan tercari-cari halatuju hinggalah ke akhirnya.

Sekian dan terima kasih.

- Editor -

Ahad, 22 Februari 2009

Pertandingan Debat Naib Canselor UMT 2009

21 Februari 2009 - Pertandingan Debat Naib Canselor UMT telah berlangsung dengan meriah di Universiti Malaysia Terengganu. Pertandingan kali ini buat pertama kalinya di sertai oleh 24 pasukan bagi kategori Bahasa Melayu dan 14 Pasukan bagi kategori Bahasa Inggeris. Pertandingan ini tiba ke kemuncaknya pada 20 dan 21 Februari 2009.

Saudara Syamsul telah tiba di Kuala Terengganu tepat jam 4.30 pagi pada 20 Februari 2009. Dan terus sahaja menjadi hakim pertandingan mulai jam 9.00 pagi. Ketika ditemubual, beliau memberikan ulasan berikut, "Saya benar-benar berpuashati dengan potensi bakat-bakat baru yang ditonjolkan, namun agak sayang jika bakat ini tidak digarap dengan lebih lanjut agar mereka boleh memberikan saingan di peringkat Universiti nanti. Jika ini tidak diambil perhatian maka, mereka yang berbakat akan berakhir pencapaian nya di dalam Universiti sahaja".

Semoga UMT berjaya di dalam usahanya melahirkan bakat-bakat baru.

Sekian dan terima kasih

- Editor -
Antara aksi yang ditonjolkan oleh pendebat-pendebat baru UMT
Antara Pendebat-Pendebat bukan Melayu yang turut mengambil bahagian
Pendebat yang berusaha bersungguh-sungguh meskipun baru di dalam dunia debat ini
Pendebat wanita merupakan pendebat yang paling ramai di dalam pertandingan kali ini.
Antara hakim yang mengadili pertandingan, sedang menikmati makan tengahari
Saudara Rais yang baru pulang dari US turut sama mengadili pertandingan
Shahira dan Maizah (bekas pendebat UMT) yang turut memberikan kerjasama sebagai Pengadil
Azrul, Syahirah dan Amni antara yang menikmati Sotong Celup Tepung pada petang sebelum Pertandingan Akhir bersama-sama Uzir, Maizah, Rais, Syamsul dan Hanif
Hanif dan Syamsul melepaskan lelah di tepi pantai bagi menikmati Sotong Goreng Tepung, Keropok Lekor, Laksa dan sebagainya. Terima kasih kepada Rais yang belanja!

Rabu, 18 Februari 2009

Pertandingan Akhir Debat Naib Canselor USIM

FAKULTI SYARIAH & UNDANG-UNDANG JOHAN DEBAT NAIB CANSELOR USIM

Tahniah diucapkan kepada Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU) telah berjaya menewaskan pasukan TAMHIDI di dalam pertandingan akhir Debat Piala Naib Canselor USIM yang berlangsung pada14 Februari 2009 jam 8.30 malam di USIM. Pertandingan yang diadili oleh 7 hakim ini telah mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar-pelajar USIM yang turut sama hadir memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding.
Dengan Usul "Budaya Internet Menghakis Pemikiran Kritis", pertandingan ini telah dimenangi dengan cukup bergaya apabila pasukan FSU memenangi pertandingan dengan juri 7-0. Ikhwan pula dinobatkan sebagai pendebat terbaik dengan juri 6-1.

Komentar Hakim

Usul ini telah gagal sebenarnya dibawakan dengan baik oleh kedua-dua pasukan.. Ini adalah ekoran daripada kegagalan pihak Kerajaan mendefinisikan dengan baik "pemikiran kritis". Apakala ini tidak didefinisikan dengan baik maka berlakulah pemahaman Kerajaan seolah-olah apa yang dibuktikan oleh Kerajaan hanyalah "kemalasan berfikir" atau "tidak mahu berfikir". Sedangkan ianya berbeza sama sekali dengan "pemikiran kritis". Akhirnya sama sekali pihak kerajaan terus terusan gagal membuktikan sejauh mana perkaitan budaya internet boleh mendorong kepada penghakisan pemikiran kritis.

Pun demikian, pihak Pembangkang gagal mengambil kesempatan di atas hal ini. malah di dalam perjuangan mereka lebih tertumpu kepada serangan ke atas isu 'jangkamasa. Kononnya mereka ingin menuntut Kerajaan membuktikan bahawa hakisan pemikiran kritis ini berlaku sebelum pembudayaan internet lagi, yang mana akhirnya mereka terperangkap di dalam permainan 'jangkamasa' yang akhirnya gagal membawa pemahaman menyeluruh konteks perjuangan pembangkang. Saya melihat 'jangkamasa' ini mungkin membawa maksud sebenar 'sempadan masa' di antara sebelum pembudayaan internet dengan selepas pembudayaan internet.

Saya kira isu, contoh, fakta yang hanya diulang-ulang perlu diperbaiki agar mereka mampu bersaing di pentas intervarsiti supaya kekalahan mudah akan dapat dielakkan. Untuk berjaya saya kira banyak yang perlu dilakukan. Homework, perlu banyak, latihan perlu dipertingkatkan. Dan begitu juga mereka perlu lebih memperuntukkan lebih banyak penumpuan kepada pemahaman isu, supaya tidak sesuatu fakta, perkataan atau terma disalah ertikan. Misalan, ada di kalangan pendebat yang gagal memahami konteks sebenar 'plagiat' hingga ia boleh dijurus kepada sesuatu yang positif.

Apa pun, potensi besar di dalam di pendebat baru, khususnya pada pasukan TAMHIDI, saya hormati malah percaya mereka mampu bersaing dengan lebih baik lagi di masa-masa yang akan datang.

Sekian dan terima kasih....








Syamsul Amri Ismail
Pengerusi ADAM

Ahad, 15 Februari 2009

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! - Oleh Pat

Kita orang Melayu berugama Islam terikat dengan hukum Allah dimana kita perlu taat pada pemerintah. Walaubagaimanapun, orang Melayu telah banyak belajar dari sejarah sejak ia dicatat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antaranya, Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim Raja Disanggah yang merujuk kepada Sultan Mahmud. Terbukti orang Melayu itu lurus hatinya, pekerti budinya, sopan tingkahnya, santun tuturnya, manis senyumnya, Islam ugamanya, suci jiwanya. Taatnya bertempat, marahnya teratur, tegurnya membina dan kritikannya berlapik. Bencinya dendam, pantangnya derhaka, taatnya pada Quran, kasihnya pada Raja dan Negara.

Dimana taat kita pada pemerintah jika kita mohon menderhaka? Dimana letak maruah bangsa jika raja kita dihina?

Perihal membantah arahan Sultan ni barangkali jarang didengar dan disaksikan. Sultan ini ibarat ayah dan bonda lah. Tidah boleh dimarah hatta kan pula dihina dengan membaling kasut, membuat rusuhan dan mengikut perasaan yang suka memprotes itu tak bertempat, Berguling di jalan raya menghalang lalulintas Raja Muda Nazrin mahu beribadat, apa itu semua? Di mana akal fikiran rakyat yang kononya sudah di alaf baru ini? Kenapalah begini perangainya rakyat negeri Perak sedang yang dijunjung Sultan Azlan Shah, kasih dan sayang sangat rakyatnya. Demi menjaga tuntutan rakyat tnetang hak org melayu, perihal status Menteri Besar Perak ditentukan oleh Sultan dengan harapan rakyat gembira dengan pilihannya. Namun lain pula yang balasan yang diterima Tuanku Sultan.

Sebelum kita yang sekadar rakyat jelata ini mahu mempersoalkan apa hak Sultan mahu menentukan siapa menteri besar Perak dan kenapa tuanku tidak terdahulu membuat sidang adun untuk mendapatkan undi tidak percaya kepada bekas menteri besar Perak YB Ahmad Nizar. Itu hak tuanku, itu negeri tuanku, negeri dari dari tinggalan nenek moyang tuanku, dan menjadi hak dan tanggungjawab tuanku untuk mengekalkan kesejahteraan rakyat jelata dan negeri. Sesungguhnya, kuasa budi bicara Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang termaktub di bawah Perlembagaan negeri itu adalah kuasa mutlak dan sebenar (real absolute power) yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Ini bukan kali pertama Karpal menghina Tuanku Sultan. Beliau pernah mendakwa Sultan Perak tidak mempunyai hak dalam undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan Kerajaan Negeri Perak yang menukar Jamry sebagai Pengarah Jaip pertengahan tahun 2008 yang lalu. Terbaru (9 Feb 09), Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Karpal Singh mengikut Akta Hasutan berhubung lebih 30 laporan ke atas Pengerusi DAP itu yang didakwa menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah rentetan isu perlantikan MB Perak.

Sejarah membuktikan sejak zaman berzaman rakyat Perak tidak pernah derhaka kepada Sultan. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sangat dikasihi oleh rakyat kerana sikap baginda yang berjiwa rakyat amat mengambil berat terutama dalam soal-soal yang melibatkan kebajikan rakyat jelata. Mereka yang mengunakan alasan untuk bersembahyang Jumaat di Masjid Ubudiah tetapi selepas itu telah berhimpun dan bertindak biadap dengan merusuh dan berbaring di atas jalan bagi menghalang kenderaan termasuk kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada memasuki kawasan Istana. Sudah tentu ada dalang di sebalik rusuhan yang berlaku. Rusuhan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak ini mengingatkan kita kepada demontrasi jalanan pada tahun 1997 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) menjadi wakil rakyat Bebas adalah satu keputusan berasaskan demokrasi. Jika mereka memilih parti lain pun ia merupakan satu tindakan atas hak mereka sebagai pengamal demokrasi, sama seperti hak Anwar untuk menarik wakil rakyat UMNO menyertai PKR.

Akhir sekali, bersykurlah kita kerana Tuanku Sultan bukan seorang yang zalim, jika tidak sudah pasti direjam rakyat-rakyat yang mengingkarinya. Ampun Tuanku!!

Oleh : Pat (Fatmah Faisol)

Jumaat, 13 Februari 2009

Amanat Presiden Pertama Gerakan Rakyat Muda (GERAM)

Assalamualaikum semuanya...

Baru-baru ini (pada 7hb Februari 2009) satu pertemuan bersama-sama rakan-rakan belia di seluruh negara telah diaturkan di Hotel Seri Pacific. Pertemuan ini antara lain bagi tujuan menubuhkan satu NGO yang memperjuangkan suara orang muda yang diberi nama Gerakan Rakyat Muda (GERAM). Pertemuan ini benar-benar mengujakan saya. Masakan tidak apabila melihatkan semangat yang ditonjolkan di dalam pertemuan tersebut memaparkan sedemikian banyak ideologi dan matlamat yang terlintas di benak fikiran masing-masing menggambarkan betapa seriusnya semua orang di dalam usaha membentuk kumpulan penyuara hasrat belia dan remaja dengan penuh ikhlas tanpa sebarang agenda tersembunyi. Di awal pertemuan masing-masing berpeluang menyuarakan apa yang dicitakan dengan penyertaan di dalam pertubuhan ini. Malahan ada juga yang tidak mampu menyuarakan apa-apa dek kerana masih belum tahu apa sebenarnya matlamat yang ingin digapai dalam tempoh yang pun belum ditentukan....

Ada yang berhasrat menyatukan golongan muda, ada yang berhasrat untuk bersama menjayakan agenda orang muda negara, ada juga yang mahu meninggikan martabat orang muda yang kian tenggelam dan pelbagai lagi. Alhamdulillah segalanya diluahkan tidak dengan cara se'GERAM' namanya, tetapi dengan nada yang agak serius lantas menggambarkan hasrat yang dicitakan ini bukan hanya satu slogan yang retorik, atau fatamorgana malah kelihatannya realistik hanya SEANDAINYA kesemua pihak yang hadir itu bersedia mencurah komitmen tanpa sebarang agenda yang tidak nyata.

Dengan penuh yakin kesemua ahli GERAM yang hadir sekian lama melihat mereka selaku golongan muda negara ini sebagai entiti dan aset penting maka semua pihak perlu percaya bahawa menerusi GERAM ini mampu memandu golongan muda agar terus-terusan mampu menunaikan tanggungjawab yang dituntut negara baik di dalam negara mahupun di persada antarabangsa. Dan lebih penting lagi ialah kita mampu menyuarakan pandangan ke arah membantu pembentukan persatuan, mahupun ke arah mempunyai kerajaan yang berkesan dalam ertikata mampu mengendalikan negara, melindungi dan memimpin rakyat serta penduduk ke arah kesejahteraan yang dihasratkan sebagai bangsa yang merdeka tanpa meminggirkan orang muda di negara ini.

Kita (golongan muda) seringkali dipertikai sebagai golongan yang seolah kelihatannya tidak mampu meneruskan kesinambungan pengisian kemerdekaan negara yang dicapai sejak sekian lama, maka diharapkan bahawa menerusi pertubuhan ini golongan muda negara dapat disedarkan betapa mereka mampu berusaha berdasarkan keupayaan mereka yang sedemikian itu, insya-Allah dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya; kita akan dapat pula mengembangkan aspek-aspek kenegaraan dari semasa ke semasa. Dalam mengembangkannya itu, kita akan sentiasa mengenalpasti kepentingan-kepentingan kita yang sebenar dalam jangka panjang. Bukan sekadar kehendak atau keinginan dalam jangka pendek. Kerana jikalau sedemikian maka rugilah sahaja Pertubuhan ini digerakkan untuk matlamat jangka pendek yang akan mematikan terus sebagaimana pertubuhan-pertubuhan belia lain yang pernah kita dengar (kalau hidup pun ia seolah mati...tapi bukanlah kesemuanya!!!).

Dalam hubungannya dalam hal ini, saya benar-benar menghargai sokongan rakan-rakan yang tanpa menghalusi siapa diri saya ini secara dekat terus meletakkan saya sebagai Presiden pertama. Kedudukan yang paling ingin saya elakkan. Dan telah pun saya ajukan bahawa jika mahu dicadang nama lain pun kita perlu sokong kerana saya tidak meletakkan diri ataupun membayangkan diri saya sebagai Presiden sebenarnya, cukup bagi saya sekadar menjadi pendokong tegas agenda yang ingin diperjuangkan oleh Pertubuhan ini. Namun menjunjung nasihat Allahyarham datuk saya yang mengingatkan "Janganlah sekali-kali meminta menjadi pemimpin, tetapi jikalau dipilih maka anggaplah ia sebagai suatu amanah".

Amanah ini bukan mudah diertikan. Tanggungjawab sebesar ini, bukan mengendong agenda peribasdi malahan memikul beban dan tanggungjawab terhadap generasi muda negara, dan tanggung jawab ini perlu disambut baik sepenuhnya bukan hanya oleh GERAM, Pertubuhan-Pertubuhan lain, Golongan Belia, Kerajaan , malahan juga perlu sentiasa diberi tempat dan sokongan penuh oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini bagi membantu kejayaannya. Sokongan yang dilahirkan menurut cara dan dalam bentuk yang pastinya bersifat unik pastinya juga akan mendatangkan faedah kepada negara.

Sebenarnya dengan cara ini, cara sokongan yang bakal diterima oleh kerajaan dan negara akan menjadi satu bentuk sokongan dalam bentuk kerjasama di antara rakyat dengan kerajaan seperti yang dapat dilihat dan dirasakan faedahnya itu adalah merupakan budaya bangsa kita turun-temurun. Tradisi berpemerintahan yang berakar umbi dalam sejarah negara ini telah dipertahankan kesempurnaannya semasa bangsa kita mengalami pengaruh kuasa asing. Maka dizaman merdeka di mana bangsa kita kembali berdaulat sepenuhnya tentulah lebih wajar dipertahankan bukan semata-mata sebagai budaya yang dibanggakan, bahkan ianya sudah terbukti sebagai faktor bagi kemantapan serta kesejahteraan negara dan rakyat. Dan apabila kita nerbicara soal mempertahankan kemerdekaan ini maka, golongan muda perlu memainkan peranan yang cukup penting ini. GERAM pasti akan menjadikan ini sebagai wadah perjuangan utamanya.

Pemerintahan negara yang unik dan bertahan aman makmur sejak sekian lama penuh dengan unsur-unsur tradisi, dan perlu kita ingat tradisi berpemerintahan menurut budaya kita itu bukan semestinya beku dan kaku. Ia suatu yang dinamis. Perlembagaan negara yang mengaturkan susunan pemerintahan kita adalah memperlihatkan dinamisnya tradisi yang diwarisi itu, iaitu apabila pada masa-masa yang lain ia disesuaikan menurut keadaan dan keperluan. Belia juga perlu terbabit di dalamnya di dalam terus mencorakkan corak pemerintahan yang stabil ini, tanpa tersilap di dalam memacu negara kita menjadi sebuah negara maju melalui orang muda di dalam negaranya pada masa kini. Demikian jua halnya di masa-masa hadapan.

Di dalam suasana politik yang kian mencabar ini, persaingan ideologi politik banyak mewarnai suasana dan persekitaran landskap politik negara, soal perpaduan seringkali menjadi agenda, soal pemerintahan lebih baik turut diperjuangkan malah begitu juga nafas baru dan reformasi dituntut agar ditonjolkan bagi memastikan pentadbiran negara terus dipercaya sebagai medium penyelaras keamanan dan kemakmuran negara. Di samping itu permasalahan ekonomi global juga banyak menyumbang kepada keinginan dan kebangkitan selera rakyat di dalam menyuarakan rasa yang terbuku di dalam hati baik secara lahiriah mahupun zahirnya. Hubungan diplomatik yang pastinya menjurus kepada peluang hubungan kerjasama ekonomi begitu banyak mewarnakan hubungan antarabangsa dalam dekad­-dekad sebelumnya dijangka akan bertukar menjadi persaingan ekonomi. Di rantau sebelah sini pula, suasana keselamatan juga akan lebih mantap, dan memungkinkan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Kesemuanya itu memberikan harapan kepada rakyat dan penduduk di negara-negara rantau ini untuk menikmati peningkatan taraf kesejahteraan.

Jika kita menelusuri kepentingan nelia ini, kita sebenarnya perlu melihat dengan perspektif yang lebih luas lagi demi membantu negara membentuk modal insan yang benar-benar mampu menjadi lapisan pewaris kepimpinan sedia ada di dalam negara kita. Agenda memperkasakan negara perlu dijana segera bagai meastikan keberkesanan aktiviti golongan muda negara kita tidak hanya terhad di dalam negara tetapi kita juga turut perlu mengambil perhatian kedudukan kita di dalam bernegara iaitu dalam ertikata lain perlu bagi kita meletakkan kepentingan belia ini agar diiktiraf sehingga ke seluruh dunia. Kita mungkin perlu menyusun strategi agar segala tindakan kita akan turut dibantu oleh rakan-rakan belia di dalam rantau ASEAN dan dunia dan akhirnya gerakan belia ini akan terus menjadi tunjang kepada keberterusan belia di dalam seni kepimpinan dan pengaturan pentadbiran yang efektif dan global.

Khusus mengenai negara kita, bahawa dekad ini akan penuh dengan cabaran bagi memenuhi jangkaan-jangkaan rakyat dan penduduk kepada kehidupan yang lebih selesa. Keupayaan kerajaan untuk merancang dan melaksanaan projek-projek kemajuan yang baharu di samping mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang lazim di bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan, serta bidang-bidang sosial lainnya, adalah bergantung kepada kedudukan pentadbiran negara dan juga kepada kelicinan pentadbiran kerajaan dengan cara pengurusan yang penuh bertanggungjawab.

Kerana itulah, langkah-langkah yang difikirkan tepat perlu dirancangkan oleh belia atau golongan muda agar kita tidak tercari-cari di dalam usaha menggerakkan jentera kepimpinan negara suatu hari nanti. Kita mahu golongan belia menjadi golongan yang benar-benar terlibat di dalam aspek kepimpinan dan bernegara ini. Golongan muda tidak seharusnya berpecah belah, kerana ini hanya akan memburukkan lagi keadaan. Sebagiaman yang kita maklumi bahawa kedudukan ekonomi kita sekarang ini tidaklah sekuat mana, maka seandainya perpecahan yang kita hasilkan pastinya akan memburukkan lagi keadaan negara kita.

Kita perlu bersama-sama memikirkan, menyusun rangka dan pelan tindakan bagi memastikan jaringan sosial negara akan berjaya tanpa sebarang masalah yang besar, sebagaimana yang digembar-gemburkan penglibatan belia di dalam kebejatan sosial, sedangkan kehebatan modal insan di dalam diri golongan muda ynag telah ada tidak pernah sekali-kali ditonjolkan, maka terdengarlan ayat-ayat yang biasa seperti ... "orang muda sekarang bukannya boleh pakai sangat!!". Menyakitkan, menjengkelkan, tetapi itulah yang ditanam di dalam minda masyarakat hari ini tanpa mereka melihat sebenarnya potensi yang ada di dalam diri orang muda. Maka, kepada ahli-ahli GERAM, inilah masanya kita perlu merangka strategi bagi menggerakkan usaha-usaha yang dicitakan supaya ia tidak berkubur begitu sahaja.

Di bidang sosial ini , cabaran di era ini ialah bagi memastikan supaya belia-belia kita mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara. Langkah-langkah yang sudah diambil dari aspek pendidikan formal patut diikuti dengan rancangan-rancangan lain secara berterusan. Kita nampak peranan yang dapat dimainkan oleh belia-belia negara ini di masa hadapan. Pada masa ini sebahagian mereka berkhidmat di sektor-sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian lagi masih meneruskan pelajaran-pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri. Ini cocok sekali dengan keahlian yang ada di dalam GERAM. Macam-macam ada, Begitulah juga latarbelakang yang ada.Sebagai golongan muda yang dinamis, seajarnya kita mempunyai jangkaan-jangkaan dan harapan-harapan tertentu mengenai masa hadapan negara. Maka adalah penting difikirkan langkah-langkah yang teratur menyelaraskan jangkaan dan harapan kita ini bagi kepentingan negara keseluruhannya.

Dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya, memanglah rakyat dan penduduk, pada umumnya, akan menaruh jangkaan-jangkaan yang berupa harapan untuk menikmati taraf kesejahteraan yang meningkat dan masa depan yang lebih terjamin. Kerajaan pula akan sentiasa dan tidak kendur-kendur berusaha melaksanakan tanggungjawabnya memimpin dan mengendalikan negara dengan lebih berhati-hati.

Namun demikian, dalam apa keadaan pun, belia selaku sebahagian rakyat dan penduduk hendaknya menyedari dan peka akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan. Dengan ertikata yang lain masalah tersebut adalah sama-sama kita hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan sepenuhnya menurut yang dihasratkan. Dan bukannya menuding jari dan terus menyalahkan kerajaan, berdemonstrasi, mengecam pemimpin, kerana ini bukan budatya dan tradisi kita. Apa yang penting ialah kita harus melihat masalah-masalah yang berbangkit dengan sikap yang insaf dan mencari huraiannya dengan penuh tanggungjawab. Dengan cara ini kita boleh respon di dalam setiap isu dan membantu kerajaan di dalam setiap perkara yang timbul di dalam negara kita.

Dalam hubungan ini, kita perlu mempunyai azam yang kuat, meningkatkan daya usaha serta mempertajamkan tumpuan dan perhatian ke arah menjayakan rancangan­-rancangan yang sudah diatur dan sedang diperingkat perlaksanaan, termasuk juga rancangan-rancangan kemajuan yang baharu. Dengan azam yang kuat disertai kesediaan memikul tanggungjawab-tanggungjawab yang lebih mencabar, insya-Allah, secara berperingkat-peringkat dan dalam jangka waktu yang munasabah, kita akan dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang merintangi pencapaian sebarang matlamat pembangunan golongan muda ini.

Satu aspek yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan ialah perpaduan. Sebagaimana yang saya ceritakan tadi, kita sememangnya tidak dapat menolak hakikat bahawa perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk selama inilah yang telah membantu kerajaan, terutama sekali dalam usahanya mengekalkan keamanan. Kita semua mempunyai kepentingan yang sama untuk terus-menerus menikmati keamanan. Perpaduan di semua peringkat, bermula di peringkat anak-anak kecil, seterusnya belia, kemudiannya masyarakat keseluruhannya di dalam dan di luar kerajaan akan lebih kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan dan perkembangan aspek­-aspek kenegaraan di masa hadapan.

Kita memerlukan perpaduan yang lebih kukuh dan erat dari masa-masa yang lain. Dan untuk mengukuhkan serta mengeratkannya itu, kita hendaklah memberi perhatian kepada perhubungan secara berkesan. Yakni perhubungan yang di mungkinkan oleh kelancaran alat-alat perantaraan dan juga oleh cara pendekatan terhadap satu sama lain di kalangan kita semua.Sebenarnya, kelancaran alat-alat perantaraan dan cara pendekatan yang mengesankan perhubungan itu, adalah merupakan sebahagian keperluan yang utama dalam pembangunan dan perkembangan aspek-aspek kenegaraan, baik pada masa ini mahupun pada masa-masa yang akan datang. Ditambah lagi dengan perpaduan yang erat maka kesemuannya itu akan lebih meyakinkan kita untuk menempuh cabaran-­cabaran masa depan sebagai bangsa yang merdeka.

Saya menaruh kepercayaan bahawa seluruh ahli GERAM yang bakal bermesyuarat semula pada 14 Februari 2009 ini merupakan hasrat kita di dalam memasyikan agar rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan perpaduan yang erat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha ke arah masa depan yang lebih cemerlang serta terjamin. Serentak dengan itu tingkatkanlah kesedaran sebagai bangsa merdeka secara bertanggungjawab demi keselamatan negara kita yang tercinta, maju dengan sentiasa mendapat rahmat perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

Di akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dato Radzi di atas kepercayaan melantik saya sebagai Presiden pertama GERAM dan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa yang bakal dilantik dalam mesyuarat kali kedua (14 Februari 2009) akan terus mengorak langkah tanpa berfikir sekalipun untuk mengundur, demi kejayaan Gerakan Rakyat Muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang ... dulu, kini dan selamanya.

Kepada seluruh Alumni Debat Malaysia, Golongan Muda, Pemimpin-Pemimpin yang berkesempatan membaca tulisan saya kali ini saya harapkan sokongan anda, bersama-samalah kita menjayakan hasrat murni ini. Kejayaan Golongan Muda bererti kejayaan buat negara.

Sekian dan Wassalam.


Penulisan oleh :

Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail

Presiden Gerakan Rakyat Muda (GERAM)

Pengerusi Blog Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Khamis, 12 Februari 2009

Di Manakah Sebenarnya Kedudukan Raja? - Hanif Osman

Melihatkan kepada isu raja-raja baru-baru ini ramai yang sudah mulai hilang arah. Ada yang marah, ada yang keliru, malah ada yang masih tertanya-tanya tentang siapa sebenarnya raja? Apakah kuasa raja? Di mana kedudukan raja? Malahan ada yang baru mula melihat kembali asal usul institusi beraja negara.

Setelah sekian lama saya menyepi, kini saya terpanggil untuk mengarang kembali bagi berkongsi idea tentang siapakah raja yang sebenarnya.

Raja

Malaysia mempunyai Raja berperlembagaan bergelar Yang DiPertuan Agong. Baginda adalah Ketua Negara dan Pemerintah dilaksanakan di atas nama Baginda. Jawatan Yang DiPertuan Agong telah pertama kalinya diwujudkan dalam tahun 1957 apabila merdeka dan ia mengikut keturunan dan pemilihan. Ia mengikut keturunan dalam ertikata bahawa hanya sembilan Sultan Negeri-Negeri yang berkenaan layak menyandangnya. Yang DiPertua Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka tidak berkelayakan.

Ia dipilih dalam ertikata bahawa salah seorang daripada kesembilan Sultan itu dipilih melainkan Baginda menarik diri. Pemilihan ini dilaksanakan pada suatu Persidangan Majlis Raja-Raja yang mengandungi kesemua Sultan apabila jawatan ini menjadi kosong sama ada oleh kerana kemangkatan atau tamatnya tempoh jawatan. Di Perlis Baginda digelar sebagai Raja dan di Negeri Sembilan digelar Yang DiPertuan Besar.

Ada juga terdapat peruntukan di dalam Perlembagaan bagi seorang Timbalan yang digelar Timbalan Yang DiPertuan Agong.

Raja menjalankan tugas mengikut nasihat Jemaah Menteri dan tertakluk kepada Perlembagaan. Tetapi Baginda juga mempunyai kuasa budi bicara yang terhad di dalam perkara-perkara tertentu seperti, lantikan Perdana Menteri, memperkenan atau menolak kebenaran permohonan membubarkan Parlimen dan memperkenan atau menolak kebenaran permohonan supaya mesyuarat Persidangan Majlis Raja-Raja diadakan tentang perkara-perkara keistimewaan, kedudukan, penghormatan dan martabat Sultan.

Di dalam pemilihan Perdana Menteri, budi bicara Baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan yang memerlukannya melantik seorang ahli dari Dewan Rakyat yang pada pendapat Baginda mempunyai kemungkinan dapat mempengaruhi sokongan bilangan ahli terbanyak di dalam Dewan itu. Setakat ini, ia telah dilakukan terhadap ahli dari parti yang mempunyai majoriti. Keputusan mungkin akan menjadi lebih sukar jika tidak ada parti yang mempunyai majoriti di dalam Dewan itu, tetapi perkara ini belum lagi timbul di Malaysia, walaupun baru-baru ini majoriti 2/3 Barisan Nasional telah dinafikan, namun BN masih lagi memiliki majoriti sebagai pemerintah.

Yang DiPertuan Agong adalah juga Pemerintah Tertinggi angkatan tentera dan Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak dan bagi Negeri tempat Baginda menjadi Sultan. Sebelum tahun 1976, peranan Baginda sebagai Ketua Agama Islam terhad kepada Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Baginda sendiri, tetapi hal ini telah diperluaskan kepada Sabah dan Sarawak berikutan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976.

Yang DiPertuan Agong bertanggungjawab juga untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan juga kepentingan-kepentingan yang sah bagi kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perlembagaan. Majlis Raja-Raja juga memainkan peranan penting kerana ia merupakan satu-satunya institusi yang wujud di dunia pada masa kini. Keistimewaan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja kini tidak terdapat lagi selepas krisis kekebalan raja-raja yang berlaku beberapa tahun dahulu.

Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn. Tun Abang Hj Openg dan Tawi Sli (No. 2) 1967 (1 MLJ 46), PIKE H.B (Borneo) telah memutuskan bahawa perkara 32 Perlembagaan Persekutuan hanya melindungi Yang DiPertuan Agong secara peribadinya daripada tindakan mahkamah, tetapi tidak dapat ditafsirkan melindungi Kerajaan Persekutuan daripada tindakan mahkamah tentang tindakan yang diambilnya atas nama Yang DiPertuan Agong. Apabila Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri Persekutuan, tindakan Baginda mestilah dianggap sebagai tindakan Kerajaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja ditubuhkan mengikut Perlembagaan dan mengandung Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri (dahulunya digelar Gabenor). Tugas utamanya ialah pemilihan Yang DiPertuan Agong dan Timbalan Yang DiPertuan Agong. Keempat orang Yang DiPertua Negeri tidak mengambil bahagian di dalam pemilihan ini. Majlis Raja-Raja perlu dirujukkan tentang perkara seperti lantikan hakim, Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Sama juga, Majlis ini perlu dibawa berunding dan persetujuannya hendaklah diperolehi tentang perubahan sempadan Negeri, memperluaskan Persekutuan secara menyeluruh, hukum syarak dan amalannya dan bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan. Rujukan wajib dibuat kepada Majlis ini tentang perkara-perkara yang melibatkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak. Kesemua mesyuarat Majlis Raja-Raja selain persidangan untuk melantik Yang DiPertuan Agong atau Timbalan Yang DiPertuan Agong dihadiri oleh Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Semoga dengan penerangan ini kita akan lebih faham dengan kedudukan institusi beraja di Malaysia.

Terima kasih.

Oleh - Hanif Osman

Pengerusi DAP Kena Mohon Maaf - Prof Dr Abdul Aziz Bari

PROF DR ABDUL AZIZ BARI
Kenyataan Karpal Singh mencetuskan perasaan tidak puas hati rakyat kerana menyentuh kedudukan Raja Melayu. Pandangan Prof.

Masalah Karpal ialah sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan yang menyentuh kedudukan Raja - walaupun secara tidak langsung. Contohnya apabila beliau mendakwa bahawa Malaysia adalah negara sekular, ini sebenarnya membabitkan kedudukan Raja.

Jika Malaysia benar-benar negara sekular, bagaimana dengan kedudukan Raja sebagai ketua agama? Jadi, apabila beliau membuat komen mengenai kedudukan Sultan Perak dan menyinggung negeri lain, ia sebenarnya membangkitkan semula ingatan dalam benak rakyat mengenai apa yang perlu beliau katakan sebelum ini.

Karpal juga pernah menyaman Almarhum Sultan Selangor pada 1987 ekoran kenyataan baginda yang dilaporkan tidak akan berkenan untuk mengampunkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah. Jadi walaupun kenyataan Karpal, khususnya mengenai titah Agong masih boleh diterima kerana ia pandangan seorang peguam, rekod beliau memberi gambaran negatif. Sebagai seorang ahli politik, Karpal perlu lebih berhati-hati.

Wajarkah titah Yang di-Pertuan Agong dipersoalkan.

Soal wajar atau tidak perlu dilihat dalam konteks demokrasi berparlimen iaitu ucapan pembukaan, baik oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja atau Yang di- Pertua Negeri adalah ucapan kerajaan. Ia bukan ucapan peribadi Raja. Titah itu sekadar lambang; ia adalah dasar kerajaan.

Apakah kesan perbuatan ini kepada institusi beraja dan rakyat.

Sukar untuk menentukan kesan tindakan itu kerana ia tidak semestinya menunjukkan bahawa institusi raja lemah. Kritikan kadang-kadang menunjukkan bahawa institusi berkenaan berkesan dan ada pihak yang tidak senang hati. Apa pun institusi beraja sudah berakar lama dan dilindungi Perlembagaan dan undang-undang. Tidak mudah untuk menggugatnya.

Ia mungkin menimbulkan rasa kurang senang di kalangan sebahagian rakyat, terutama jika mereka mentafsirkan kritikan sedemikian sebagai mewakili perasaan dan tanggapan golongan bukan Melayu terhadap institusi yang umumnya melambangkan keMelayuan dan keIslaman.

Adakah peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabar dan mempersoalkan kewibawaan institusi beraja.

Bergantung setakat mana dan apa yang dilakukan dengan mencabar dan mempersoalkan institusi beraja. Jika ia merujuk kepada perbuatan membabitkan senjata dan kekerasan, kita ada peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan ini boleh dihukum mati seperti yang kita lihat dalam kes pengikut al-Maunah di Perak.

Mempersoal wibawa pula kalau ia termasuk di dalam ruang lingkup yang dilarang oleh Akta Hasutan, mereka yang melakukannya boleh didakwa di mahkamah atas tuduhan menghasut. Perlembagaan, bagaimanapun membenarkan Ahli Parlimen mengkritik Raja-Raja asalkan tidak sampai hendak menghapuskan institusi beraja.

Adakah Yang di-Pertuan Agong dilindungi oleh imuniti atau kekebalan yang menghalang mereka daripada dikritik atau dipersoalkan termasuk oleh wakil rakyat.

Ya. Perlembagaan masih melindungi mereka dengan menjamin kekebalan atau imuniti. Pindaan Perlembagaan pada 1993 hanya membataskan imuniti; ia tidak menghapuskan imuniti kerana Raja-Raja hanya boleh didakwa di Mahkamah Khas, bukan mahkamah biasa.

Kritik dan persoalan bukan ancaman. Ia dibenarkan Perlembagaan serta dikecualikan oleh Akta Hasutan. Tetapi jika persoalan yang dibangkitkan ialah isu yang mengarut dan tidak masuk akal, saya fikir kita boleh gunakan Akta Hasutan.

Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap Karpal.

Setakat ini apa yang perlu ialah siasatan saja dan selepas itu, buat keputusan selanjutnya. Siasatan ini perlu untuk memastikan apa yang sebenarnya beliau katakan. Dengan demikian implikasinya boleh dikaji dan kemudian tentukan sama ada itu semua masih berada di dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh undang-undang atau sebaliknya.

Karpal sebelum ini pernah mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP.

Ini perlu dihalusi dengan lebih lanjut kerana Perlembagaan membenarkan kritikan terhadap Raja asalkan tidak mencadangkan penghapusan sistem beraja. Ramai ahli politik sebenarnya boleh ditafsirkan sudah membuat tindakan seperti itu. Saya tidak pasti apakah Karpal berniat dan boleh ditafsirkan begitu.

Perlukah Karpal memohon maaf.

Ini bukan soal undang-undang. Tetapi sebagai ahli politik mungkin Karpal perlu membuat penjelasan dan membuat kenyataan umum memohon maaf. Beliau juga perlu mengakui kesilapannya dalam memahami Perlembagaan dalam konteks pegawai jabatan agama.

Karpal Singh mendakwa Sultan tidak mempunyai kuasa ke atas kakitangan awam yang bertugas di negerinya. Contohnya dalam soal memindahkan kakitangan awam ke negeri lain atau jabatan lain.

Ini kenyataan yang terlalu umum dan tidak begitu tepat di sisi Perlembagaan. Raja adalah ketua negeri dan mempunyai peranan tertentu. Contohnya Perlembagaan negeri memberi peranan dan budi bicara dalam pelantikan pegawai kanan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Penukaran pegawai memang secara umum terletak di tangan kerajaan, tetapi dalam kes Jaip, pegawai berkenaan tertakluk kepada kuasa Sultan selaku ketua agama dan baginda boleh bertindak mengikut budi bicara.

Dipetik daripada wawancara oleh Mohd Azis Ngah (wartawan Berita Minggu) yang mendapatkan pandangan pakar undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Lagi Komentar Mengenai Karpal Singh - Oleh Prof Dr Teo Kok Seong

Pembangkang, kerajaan patut utama cara jaga kesejahteraan rakyat, bukan tunjuk samseng di gelanggang politik

Sebelum ini kita pernah mendengar, Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh, yang pernah mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury, mengundang kritikan dari pelbagai pihak. Tidak cukup dengan itu, beliau mempertikaikan pula titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-12. Dan baru-baru ini pula sekali lagi Karpal mempersoalkan tindakan Sultan Perak di dalam pertukaran Kerajaan Baru di Negeri Perak, hinggakan beliau berhasrat untuk mengheret Sultan ke Mahkamah. Apakah tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menyalahi undang-undang atau ada sesuatu di sebaliknya? Kali ini Alumni Debat Malaysia suka sekali menyiarkan komentar Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.

PROF DR TEO KOK SENG

Apakah pandangan Prof terhadap tindakan Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan kemudian titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Karpal kelihatan seolah-olah mencabar Sultan. Bagaimanapun, saya rasa perkara yang lebih besar ialah mencabar ketuanan Melayu yang termasuk di dalamnya institusi Sultan, agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu. Ketuanan Melayu dicabar dan kini kita boleh melihat orang Melayu bangkit untuk mempertahankannya.

Kita lihat orang Melayu tidak lagi berparti-parti dalam isu ini. Secara peribadi, saya berasa isu ini tak betul kerana kita masyarakat Timur yang tertib. Karpal sebagai orang lama dalam politik sepatutnya tahu apa yang boleh dan tidak boleh.

Sekarang pembangkang menjadi lebih kuat. Pembangkang menerusi DAP cuba menguji keadaan, tetapi ujian ini bahaya. Saya tengok dia (Karpal) cuba menjadikan tindakannya bersifat perundangan dan bukan mencabar institusi kesultanan. Mengikut kenyataannya (Karpal) yang disiarkan di televisyen, yang dipersoalkan ialah kuasa Sultan berhubung pertukaran kakitangan kerajaan.

Tetapi orang Melayu melihat perkara ini lebih besar daripada mempertikaikan kuasa Sultan, iaitu mempertikaikan ketuanan Melayu. Saya tengok ini bahaya. Sepatutnya ahli politik seperti Karpal dan Lim Kit Siang yang mahir dan sudah lama berpolitik tahu musibahnya.

Malaysia selepas 8 Mac lalu kalau tak dapat diuruskan dengan baik boleh menjadi huru-hara. Kita boleh tengok Umno dan Barisan Nasional (BN) seperti tak dapat mengurus kekalahan kerana sebelum ini tak pernah kalah. Pembangkang, terutama DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) pula ghairah hingga tak dapat menguruskan kejayaan. Dalam keadaan satu pihak gagal dan satu pihak berjaya, masing-masing berkonflik dan wujud ketegangan.

Ini ditambah dengan suasana semasa dengan kenaikan kos barang makanan menyebabkan wujud ketegangan di kalangan rakyat miskin. Orang Melayu tanpa mengira Umno, Pas, PKR pun dalam ketegangan kerana diugut bukan Melayu. Dari segi politik, pihak pembangkang cuba membentuk kerajaan pada peringkat Pusat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktornya. Ini menyebabkan BN agak bimbang.

Saya lihat keadaan di negara ini kucar-kacir. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelihatan 'steady', tetapi hanya Tuhan yang tahu tekanan yang dihadapinya dari kalangan Umno dan luaran. Nasib baik tentera kita profesional. Kalau seperti Thailand dan Indonesia, tentu dengan senang merampas kuasa. Sekarang Sultan pun kena (dicabar).

Saya takut dengan tindakan Karpal mencabar kuasa Sultan dan mempertikai teks titah Yang di-Pertuan Agong. Sampai ke situ perginya, siapa yang menulis titah itu. Melampau! Maksudnya dia nak bagi tahu teks yang dibaca itu ditulis orang BN.

Hari tu sudah sekali... Kit Siang minta pulau majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak dan menyebabkan orang Melayu marah. Sepatutnya belajar dari situ. Ini kali kedua dalam masa beberapa puluh hari. Secara peribadi, saya takut boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum.

Sekarang dilihat seperti kaum bukan Melayu mahu mencabar Melayu dan yang dicabar adalah institusi yang orang Melayu lihat seperti kudus. Kita boleh tengok orang Melayu apabila marah Karpal dan apabila institusi Sultan dicabar, bukan saja orang Umno marah, orang Melayu yang menyokong Pas pun tak suka.

Apakah keadaan yang berlaku lebih bersifat individu atau sudah timbul perubahan dalam masyarakat, ada pihak mula berani mempertikaikan sesuatu yang bersifat institusi seperti Sultan.

Saya lihat sudah ada kecenderungan yang bermula dalam kempen pilihan raya umum lalu. PKR memberi bayangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak baik dan ini datang daripada Anwar. Orang bukan Melayu mendapat latar daripada seorang Melayu yang menjanjikan senario lebih mesra kepada bukan Melayu.

Keputusan pilihan raya memperlihatkan kemenangan kepada pembangkang dan ini adalah satu peluang. Sebelum itu sudah diuar-uarkan bahawa ini tak betul, itu tak betul. Tiba-tiba mereka memerintah, orang bukan Melayu melihat ada harapan.

Itu dari segi masyarakat. Secara individu, saya kira Karpal dan Kit Siang, terkenal dengan cara begitu. Pemimpin DAP lain tak ada hingga tahap itu.

Pada pandangan Prof adakah isu mencabar kuasa Sultan ini lebih bersifat politik dan bukan perubahan budaya masyarakat.

Mungkin ada perubahan (budaya) dan ada pemikiran begitu. Kalau bercakap sesama kita pun, kadang-kadang kita bertanya apakah fungsi institusi Sultan... tetapi tak adalah hingga nak mencabar.

Ketika kempen pilihan raya lalu, orang Melayu dari PKR juga tidak mencabar institusi kesultanan, tetapi mereka seperti mempertikaikan hak istimewa orang Melayu. Orang bukan Melayu tengok ini. Mereka (bukan Melayu) selama ini rasa seperti ada diskriminasi, tetapi tak berani bersuara. Tiba-tiba ada kumpulan Melayu nak perjuangkan hak mereka dengan mengatakan hak istimewa orang Melayu patut ditarik balik... ini memberikan mereka harapan. Tiba-tiba pembangkang memerintah, lagi tinggi harapan.

Saya rasa tak ada sangat nak cabar institusi Sultan, tetapi lebih kepada hendak memperlihatkan kekuasaan pembangkang dan kekuasaan itu cuba diperlihatkan dari segi perundangan. Mungkin dari segi perundangan tindakan tertentu istana tidak betul, tetapi orang Melayu dan Timur tidak pernah mencabar kuasa Sultan.

Tidakkah tindakan mencabar kuasa Sultan memberi mesej negatif kepada masyarakat, terutama bukan Melayu.

Ya juga! Sepatutnya tak dicabar. Walaupun bukan Melayu, orang Cina dan India masih masyarakat Timur yang terkenal dengan budi bahasa. Saya kira ini negatif dari satu segi. Tindakan Karpal dan Kit Siang memperlihatkan seperti masyarakat bukan Melayu tidak taat setia kepada Raja dan negara, tetapi bukan semua begitu.

Tidakkah bahaya apabila isu begini dimainkan.

Cukup bahaya... cukup bahaya. Apabila ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia pada 15 Mac lalu, saya membangkitkan peristiwa Kit Siang minta pulaukan upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak. Saya berpendapat DAP harus lebih santun apabila berdepan isu Melayu. Saya juga menyatakan kebimbangan takut berlaku perkara buruk.

Bagaimanapun kira-kira sebulan kemudian, pemimpin DAP lain mencabar sekali lagi kesultanan Perak dan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong. Sabar orang Melayu ada hadnya, dulu sudah dimaafkan tetapi kini dicetuskan lagi. Kali ini, saya tak tahu sejauh mana kesabaran orang Melayu. Tindakan DAP ini patut digunakan perkataan biadap.

Orang tak suka saya bercakap mengenai perkara ini, tetapi saya masih nak cakap... sebenarnya kita (masyarakat Cina) pendatang dan minoriti di sini, tetapi orang Cina kata tidak kerana kita sama-sama membina negara ini. Saya masih kata kita minoriti dan pendatang.

Maka, jadilah minoriti yang baik, kita mesti hormat negara ini yang bernama Persekutuan Tanah Melayu. Malaya pun Malay (Melayu), Malaysia pun begitu. Ketuanan Melayu perlu dan dalam Ketuanan Melayu, kebajikan bangsa lain tidak pernah terabai.

Kalau dibandingkan kaum Cina di Malaysia dengan Indonesia, jauh lumayan (lebih baik) di sini. Orang Cina Indonesia tak boleh guna nama Cina. Di Thailand pun tak boleh pakai nama Cina. Di Indonesia, mana boleh ada sekolah Cina. Thailand pun sama. Di sini tengok, kalau desak apa-apa, kerajaan bagi lagi. Ketuanan Melayu meliputi empat perkara, kuasa Sultan, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Apakah empat perkara itu tidak sepatutnya disentuh.

Tidak sepatutnya disentuh. Ini terangkum dalam Akta Hasutan. Kalau nak disentuh pun, tidaklah dengan niat menghasut, terutama depan orang ramai. Dalam kes Karpal, ada unsur menghasut, boleh menimbulkan kemarahan dan keadaan tidak harmoni.

Apakah isu yang lebih penting diperjuangkan ahli politik

Isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan sebenarnya cukup banyak. Seperti sekarang, harga beras mahal, pembangkang dan kerajaan sepatutnya bersama-sama memikirkan cara menjaga kesejahteraan rakyat.

Satu perkara lagi dalam kes Karpal dan sesetengah orang bukan Melayu adalah kes tak 'reti bahasa'. Lihat Menteri Besar Perak, selepas ditegur Sultan Perak, dia 'reti bahasa'. Dia mohon maaf, walaupun dari segi perundangan, apa yang Karpal kata adalah betul, iaitu Sultan tidak ada hak, tetapi tengok sebagai orang Melayu dan Timur, dia 'reti bahasa'.

Apabila saya kata 'reti bahasa', bahasa dalam budaya Melayu meliputi adat dan pantang larang. Kes Karpal adalah kes tak 'reti bahasa'. Tengok kes Datuk Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar Terengganu), dalam keadaan dia nak sangat... dia 'reti bahasa'. Dia tak lawan balik dan akur. Datuk Seri Shahidan Kassim (bekas Menteri Besar Perlis) pun sama. Bukan Melayu, nak kata tak 'reti bahasa', tinggal di sini sudah lama.

Karpal dan Kit Siang berpelajaran tinggi. Mereka adalah peguam. Mereka bukan orang baru dalam politik. Mereka sepatutnya tahu.

Saya rasa di sini, mereka hendak menguji selepas ada semacam latar yang saya katakan tadi yang diberikan Anwar, dengan kuasa yang lebih kuat sekarang pada DAP dan pembangkang, cuba menguji, tetapi cukup berisiko tinggi. Orang biasa boleh mati jika berlaku konflik.

Saya kira kerajaan mula hendak membuat sesuatu berhubung isu Karpal. Bukan bertujuan menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), tetapi memadamkan api kemarahan orang Melayu. Ketuanan sudah dicabar dalam bentuk cabar tuan, Sultan. Secara peribadi, saya bimbang bila-bila saja berlaku konflik. Saya percaya rakyat, orang Melayu, Cina dan India tidak mahu ini berlaku. Semua rugi. Menang jadi arang, kalah jadi abu dan untuk mengembalikan keadaan kepada sebelum konflik mengambil masa lama.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh ahli politik.

Paling penting adalah ahli politik kerana mereka adalah pemimpin dan ada landasan untuk bersuara. Jika ahli politik boleh memperlihatkan politik yang sederhana dan tidak melampau yang boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan, saya kira pengikut tidak melatah. Sekarang pemimpin yang melatah, apatah lagi anak buah.

Tindakan perlu diambil, jika tidak barang kali ada kali ketiga tindakan mencabar. Kali pertama, orang Melayu bising dan reda. Saya rasa orang Melayu bersikap sederhana. Dalam kes Karpal, yang dituntut orang Melayu sekarang ialah mohon maaf secara terbuka. Permintaan itu sederhana. Tak adalah hingga tidak terbuat oleh Karpal.

Kalau Karpal minta maaf, saya kira orang Melayu boleh lupa. Saya bukan Melayu dan menekuni Pengajian Melayu sejak Tahun Satu di Universiti Malaya pada 1979 hingga sekarang, hampir 30 tahun. Saya dapati orang Melayu ini baik, tetapi mesti kena cara. Sekarang dalam keadaan mencabar dan menghina ketuanan Melayu dalam bentuk institusi Sultan, minta mohon maaf saja.

Selepas itu harus ada kesedaran, jangan ada kali ketiga, Jangan biadap. Kesabaran orang Melayu pun ada hadnya. Setakat ini, DAP saja yang biadab dan parti ini, rata-ratanya kepemimpinan dan ahli adalah orang Cina. Jadi nampak jahat sangat orang Cina.

Apa pula peranan rakyat, terutama orang bukan Melayu yang tidak semua mahu terpalit.

Bukan Melayu perlu menyuarakan pandangan dalam media massa atau bercakap dalam forum. Inilah peranan kami yang ada gelaran atau kedudukan sedikit. Rakyat biasa pun berfikiran macam kami, tetapi tak ada peluang untuk menyuarakan pandangan.

Pemimpin DAP mesti memanggil mesyuarat untuk membincangkan perkara ini. Majoriti rakyat tidak menyokong tindakan ini. Mereka harus ambil iktibar dan yang penting, tidak boleh berlaku kali ketiga. Bahaya. Kudis pertama pun belum hilang lagi.

Baru berkuasa sikit, memerintah dua tiga negeri, sudah mencabar. DAP sendiri perlu berfikir dalam perjuangan politik, awal-awal lagi sudah nampak macam ini. Bagaimana pada masa depan orang nak menyokong. Kalau DAP, PKR dan Pas hendak terus memerintah, mereka perlu melakukan perkara yang rakyat suka.

Mungkin kita boleh pelajari pengalaman Pas sepanjang 18 tahun menguasai Kelantan. Orang Cina pun suka dan mereka tak suka BN. Satu contoh yang boleh saya beri ialah ketika BN memerintah Kelantan, peniaga daging babi hanya dibenarkan menjual daging tiga hari seminggu. Orang biasa boleh menyimpan daging dalam peti ais, tetapi empat hari peniaga tak ada kerja.

Apabila Pas memerintah sejak 1990, kerajaan negeri benarkan peniaga babi berniaga setiap hari. Begitu liberal Pas. Kalau ditanya, pemimpin Pas beritahu itu budaya orang Cina. Kenapa nak kawal? Pemimpin Pas juga dilihat hidup sederhana, tetapi pemimpin Umno dan BN nampak terlalu mewah. Orang mengaitkan kemewahan dengan rasuah dan sederhana dengan tidak rasuah.

Ini berbeza apabila DAP memerintah Pulau Pinang. DAP bermula dengan cara begitu samseng dan agresif seperti nak membubar DEB. Rakyat pun menilai, ini belum apa-apa lagi. Bagi saya, masalahnya kerana DAP kali pertama menang tidak tahu cara mengurus kemenangan. Umno dan BN kali pertama kalah, menyalahkan sana-sini, tidak tahu menguruskan kekalahan.

Dipetik dari wawancara yang dijalankan oleh
Saudara Ziauddin Sharuddin (Wartawan Berita Minggu)

Rabu, 11 Februari 2009

Orang Ulu - Oleh Tun Dr Mahathir

1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.

2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.

3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.
5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.

6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.

7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.

8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.

9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.

10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.

11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.

12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.

13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.

14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.

15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.

16. Hai lah nasib!

Dipetik dari chedet.co.cc