Ahad, 30 November 2008

Strategi Kapitalis Barat Makan Diri Sendiri - Oleh Pat

Strategi Kapitalis Barat Makan Diri Sendiri

RUNTUHNYA Tembok Berlin pada akhir 1980-an dan Kesatuan Soviet pada awal 1990-an menandakan bermulanya satu sahaja entiti tunggal empayar dunia baru iaitu Amerika yang bertunjangkan kerakusan sistem kapitalis yang bertopengkan alasan demokrasi dan keamanan. Dunia di awal 1990-an merupakan tempoh yang amat makmur bagi negara-negara Asia Timur di mana enjin pembangunan yang berasaskan industri perkilangan menjadi penggerak utama menjana kekayaan baru Asia. Kemakmuran Asia setelah pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia pada pertengahan 1980-an sedikit tergugat dengan campur tangan Amerika dalam Perang Teluk yang pertama sehingga mengakibatkan gelombang kenaikan harga minyak ketika itu kerana kebimbangan spekulasi perang. Namun pada ketika itu, Asia Timur dan dunia masih mampu menghadapi gelombang kenaikan harga minyak. Ini kerana harga bahan makanan ruji masih rendah dan tidak menjejaskan keupayaan ekonomi semua negara kecil. Cubaan sistem kapitalisme untuk menguasai ekonomi dunia melalui alasan peperangan menemui kegagalan kerana negara-negara kecil dunia mulai dapat mencium taktik tersebut dan mereka mulai menguar-uarkan pendedahan usaha Amerika untuk menjadi Polis Dunia atau Order Dunia Baru Unipolar. Setelah usaha kapitalis Amerika atau lebih tepat lagi usahawan kapitalis barat yang berpengkalan di Amerika didedah taktik dan terbongkar, mereka beralih strategi dengan mencanangkan konsep dunia tanpa sempadan atau proses globalisasi. Di sebalik konsep globalisasi dagangan, sebenarnya tersembunyi mekanisme tertentu yang membolehkan syarikat tempatan dikuasai oleh syarikat negara asing di atas nama liberalisasi dagangan. Selain itu, globalisasi juga membolehkan negara kuasa besar seperti Amerika memonopoli pengeluaran bahan makanan seperti gandum, jagung, padi, kekacang dan kapas untuk pasaran dunia dimana mereka menyekat negara miskin untuk mensubsidi pengeluaran makanan kepada petani tempatan tetapi petani Amerika menikmati subsidi tinggi yang mengakibatkan harga produk lebih rendah di pasaran kuno. Dalam masa yang sama kerugian pemberian subsidi yang sedikit itu ditampung dengan keuntungan bertrillion dolar hasil jualan perniagaan senjata dan teknologi maklumat mereka. Kemuncak kepada cubaan penguasaan ekonomi negara dunia oleh kapitalis barat adalah usaha menjatuhkan beberapa negara Asia Timur yang strategik di segi ekonomi dan geografi. Suatu tarikh telah dipilih iaitu pada pertengahan 1997, berkemungkinan juga penyatuan semula Hong Kong kepada tanah besar China pada tahun itu boleh dijadikan kambing hitam untuk disalahkan mengakibatkan ekonomi Asia runtuh. Kerakusan kapitalis barat di atas perbuatan jahat itu diselindungkan dengan media massa barat memomokkan secara terancang isu kronisme, rasuah dan nepotisme sebagai punca keruntuhan ekonomi negara-negara tersebut. Strategi penarikan modal jangka pendek secara besar-besaran mendedahkan kelemahan perdagangan secara maya dan membolehkan nilai mata wang sesebuah negara dijatuhkan dengan teruknya. Sekali lagi, perbuatan buruk kapitalis barat yang bertopengkan nama globalisasi didedahkan kepada masyarakat dunia sebagai satu usaha penjajahan ekonomi bentuk baru secara tegas disuarakan oleh Malaysia di persidangan-persidangan antarabangsa.

Tidak Kesampaian

Selepas tahun 1997, usaha kapitalis barat tidak terhenti setakat itu sahaja. Usaha mereka untuk menguasai sepenuhnya negara-negara baru industri di Asia tidak kesampaian kerana taktik terbaru itu telah didedahkan, malah beberapa negara pernah mengugut untuk menggunakan formula Malaysia sekiranya ekonomi mereka diserang. Peluang keemasan bagi pihak kapitalis barat untuk mengaut keuntungan berganda pun tiba dengan tercetusnya Perang Teluk Kedua akibat momokan memerangi keganasan. Strategi mereka kali ini adalah spekulasi dagangan harga minyak dunia. Ketidakstabilan akibat perang dijadikan alasan utama oleh mereka untuk memeras kekayaan negara-negara penguna minyak yang rata-ratanya negara miskin dan sedang membangun. Kenaikan harga minyak dunia semenjak pencerobohan Amerika terhadap negara Afghanistan dan Iraq begitu dimanipulasikan sehingga mencecah ke tahap AS$150 setong pada tahun 2008 disertai dengan kenaikan melampau harga bahan komoditi makanan begitu menjerut ekonomi negara-negara dunia ketiga. Pernah disatu ketika, di kala negara-negara pengeluar minyak mengumumkan penambahan pengeluaran minyak mentah di musim panas, harga minyak tetap mengalami kenaikan akibat spekulasi tersebut. Laba keuntungan berganda yang dikaut melalui kenaikan harga minyak dan komoditi makanan bukanlah satu keuntungan jangka panjang yang terus berkekalan kerana kemelut kenaikan tersebut telah mengakibatkan majoriti negara di dunia mengamalkan dasar berjimat-cermat kerana lebih menumpukan kepada perbelanjaan bahan api dan makanan. Secara tidak langsung permintaan terhadap penawaran barangan bukan makanan, elektrik, teknologi maklumat dan persenjataan telah jatuh merudum dengan teruk sekali sekali gus menguncupkan ekonomi Amerika secara tidak disedari. Sekalipun, segelintir kapitalis barat mendapat keuntungan besar di bidang industri bahan api dan bijirin makanan, perolehan keuntungan di bidang lain yang menjadi punca pendapatan majoriti penduduk Amerika yang lainnya adalah sebaliknya. Maka itu, penyusutan ekonomi Amerika itu menukar bentuk dengan kemuflisan bidang subprima gadaian rumah majoriti rakyat Amerika kerana keupayaan ekonomi rakyat Amerika sendiri telah jatuh merudum dengan teruknya. Begitulah rentetan peristiwa-peristiwa utama yang berhubung-kait rapat dengan usaha kapitalis barat yang penuh kerakusan mengaut keuntungan tanpa memikirkan kebajikan manusia sejagat dan akhirnya menjerut diri mereka sendiri. Dan kini mereka hanya menunggu masa untuk dikuburkan dalam lipatan sejarah manusia sahaja.

- Pat -

Khamis, 27 November 2008

Allah itu Dekat, Islam Yang Indah - Oleh Amni



Allah itu Dekat, Islam Yang Indah - Oleh Amni
27 May 2008
Semalam pegi jalan2 ngan kawan2 mengelilingi bandar Mysore. Ramai jugak komuniti Muslim di sini.
Tiba waktu solat zohor. Masalah mula timbul. Adat di sini taidak membenarkan wanita masuk ke masjid. Tiada tempat solat wanita. Pening.
Nasib baik ada sorang staff Infosys India Muslim. Dia pujuk orang masjid. Kami kena solat dalam bilik bawah tanah. Alhamdulillah. Bersih… =)
Masalah kedua. Ketua rombongan (a Hindu Guy) beritahu, kami takkan stop lagi lepas ni. Lagipon dia agama lain kan? Apa dia peduli tentang ibadah kita. Sedangkan kami boleh bertoleransi semasa rombongan kami singgah di kuil mereka. Kami merayau-rayau di luar kuil, membeli cenderahati. Lalu, apa penyelesaian terbaik? Saya menelefon mak dan bertanya, “Apakah kami boleh solat jama’ sebab suasana dan keadaan di sini yang tidak menyediakan kemudahan untuk perempuan bersolat.”
Mak cakap boleh, abah cakap pon boleh. Dengan syarat solat jama’ tamaam. Bermakna zohor 4 rakaat dan Asar 4 rakaat. Tidak boleh diqasarkan. Maka kami peserta wanita pon solat jama’ tamaam. Selesai. Islam itu mudah, indah…
Tiba di Mysore Garden. Taman yang sangat indah. Pengunjungnya menghampiri jumlah juta. Ketua rombongan menetapkan kami akan bertolak balik ke kampus pada 7.30. Lalu, bagaimana dengan maghrib? Saya, kak Tie dan kak Yatie hilang mood untuk berjalan-jalan. Kami melepak di atas tembok di kelilingi pasangan2 tua yang kelihatan romantik bergurau senda. Mereka menegur saya. Alamak! Macam mana ni, mereka cakap Hindi, saya pula Kedah-English (Kedish).
Nasib baik saya suka tengok Hindustan, boleh la paham sikit2. Ada lagi.. Pak cik itu juga selitkan sedikit bahasa Urdu. Urdu dan Arabic ada persamaan. Maka bolehlah kami berkomunikasi juga dalam keterbatasan.
Tiba-tiba di hadapan kami satu keluarga India Muslim menghamparkan tikar, dan dengan penuh selamba, mereka solat di tengah lautan manusia Hindu itu. Kami saling pandang memandang. “Jom kak Tie, kita join depa. Kita solat camtu gak. Ada sejadah kan?” Kak Tie dan Kak Yatie setuju.
Untuk berwuduk, kami pergi ke singki tempat minum orang ramai. Pada waktu itu aurat lengan, kaki dan beberapa helaian rambut tidak boleh di selindung lagi. Kami mengejar waktu solat yang hampir lupus. Di Malaysia kita biasa membasuh anggota wuduk hingga basah lencun. Tapi di sini, kami hanya mampu meratakan air ke 4 anggota wuduk yang wajib sahaja. Kalau tidak, kami akan ditolak oleh lautan manusia tu.
Tiba-tiba Pinat datang untuk join. Dia jalan keseorangan. Kami tumpang solat atas hamparan kain keluarga India Muslim itu. Mereka datang dari Kerala. Semasa solat, hati saya bergetar. Ya ALLAH! Terima kasih kerana memberi peluang untuk aku menyembah MU. Terasa ALLAH itu dekat. ALLAH itu di mana-mana. ALLAHU mai’ya, ALLAHU nazirun ilayya, ALLAHU syahidiy. Terasa muraqabah mai’yyah di situ. ALLAH, ALLAH… ALLAH…
Ramai yang memerhatikan kami, tapi kami tak peduli. Selepas solat, satu perasaan tenang meresap masuk ke hati. Selepas itu terasa syahdu kerana dalam saling tidak mengenali, keluarga Fatimah (gadis dari Kerala itu) membenarkan kami tumpang bersolat. Dan kaum lelaki keluarganya mengawal dari belakang.
Ya ALLAH, Islam kami ini sangat indah. Tanpa mengenali, tanpa memahami bahasa, kami mampu bergelak ketawa dan bermesra. Kerana indahnya Islam, kerana tujuan kami sama, ingin menyembahNYA, kerana ALLAH itu satu, kerana kiblat yang sama, dan kerana matlamat dan tujuan ibadah kami sama.
Sesungguhnya, perjalanan di Mysore ini semakin meyakinkan saya; Allah itu Dekat, Islam Yang Indah.
Catatan Perjalanan Mysore, Bangalore:
http://www.amnikhassim.com/

Rabu, 26 November 2008

Seminar Sukarelawan (Muzakkir) 2008 - Kursus Penceramah-Penceramah JASA Negeri Sembilan

Ceramah Di Dalam Seminar Sukarelawan (Muzakkir) 2008

Peringkat Negeri Sembilan Darul Khsus

Anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)

Negeri Sembilan Darul Khusus

26 Ogos 2008

Di Dewan Majlis Perbandaran Seremban

Antara Muzakkir yang hadir untuk mempelajari teknik dan memahami akan isu-isu semasa yang perlu diterangkan kepada masyarakat

Kira-kira 80 Orang Muzakkir yang terlibat di dalam Seminar ini

Syamsul menerima cenderahati sebagai tanda terima kasih daripada pihak JASA di atas kesudian En Syamsul selaku wakil Penceramah Penerangan UMNO Malaysia bagi menyampaikan ceramah isu semasa untuk dikongsi bersama Muzakkir yang hadir


Intipati Ceramah di Bawah Tajuk :

Penerangan Matlamat Sebenar Dasar Ekonomi Baru (DEB) Serta “Kontrak Sosial“

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:

mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan

mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Walaupun begitu elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

LATAR BELAKANG

Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 rumpun utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung)

dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.

Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-

syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.

Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep "Malaysia untuk orang Malaysia" yang yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.

Kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. berkuat kuasa 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu:

Kepercayaan kepada Tuhan

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Keluhuran Perlembagaan

Kedaulatan Undang-Undang

Kesopanan dan Kesusilaan

Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk muhibbah Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri, daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18 Julai 1969.

Dasar Pecah dan Perintah

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.

Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:

penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;

Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.

Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya:

Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990;

2) Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.

3) Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain;

4) Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar.

Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

Isu Penolakan

Pada 13 Mac 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru dilantik (ahli DAP), Lim

Guan Eng dikhabarkan menolak DEB dan DPN. Bagaimanapun beliau menafikan

perkara itu melalui siaran TV3. Antara langkah yang dianggap bercanggah dengan

DEB/DPN ialah 'tender terbuka'.

Sejarah Penentangan DAP

DAP yang berakar dari PAP di Singapura dan dibentuk pada 1966 mengamalkan prinsip 'Malaysian Malaysia'. Selepas Peristiwa 13 Mei yang dikatakan berpunca dari ketidakpuashatian orang Melayu kerana merempat di tanah air sendiri, maka Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ke-2 bersama-sama dengan 'think tank' telah merangka dan melancarkan Dasar Ekonomi Baru.

Sebagai sebuah parti politik yang baru ditubuhkan, tentulah DAP mahu merebut blok politik yang selama ini dimonopoli oleh MCA dan Gerakan.

Tentangan terhadap Dasar Ekonomi Baru ini bukanlah daripada DAP sematsa-mata tetapi juga daripada MCA dan Gerakan. Namun begitu penentangan MCA dan Gerakan masih lagi dalam kerangka semangat kerjasama dalam Barisan Nasional. Lagipun Dasar Ekonomi Baru dilasanakan dalam tempoh 30 tahun sahaja untuk mendapatkan 30 % kek ekonomi di Malaysia. Sasaran utama 30 % ini boleh dioperolehi daripada saki-baki syarikat Barat yang melabur di Malaysia dan ekonomi di perkembangkan. Tidak ada ada hasrat sama sekali untuk merampas sama sekali perniagaan dan harta benda yang telah dimiliki oleh penduduk Cina dan India.

Tafsiran Berbeza

'Malaysian Malaysia' amat bertentangan sama sekali dengan Dasar Ekonomi Baru. Prinsip Malaysian Malaysia menyatakan pelbagai kaum di Malaysia adalah sama rats dari semua segi , baik politik, ekonomi mahupun sosial. Ini selaras dengan sistem merit di mana tidak ada layanan istimewa dan bantuan kepada mana-mana kaum. Semua kaum mestilah bekerja keras untuk mendapatkan kek ekonomi yang ada di Malaysia. Setiap orang diciptakan sama oleh Tuhan dan terpulanglah kepada mereka untuk berusaha gigih mencari rezeki yang terbentang luas.

Juara baru dalam DAP ialah Lim Kit Siang yang merupakan peguam yang handal lahir di Melaka. Kecaman beliau terhadap MCA yang tunduk kepada UMNO menarik hati orang Cina. DAP menjadi parti harapan kepada orang Cina, tidak lagi MCA yang selama ini banyak berjasa kepada mereka.

Perlembagaan Persekutuan banyak memihak kepada orang Melayu dan tidak sama dengan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II. Malaysia yang dibentuk berasaskan Perlembagaan Persekutuan adalah alat bagi mengekang rempuhan komunis dari utara. British yang bimbang dengan Teori Domino itu telah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu . Sedangkan pada ketika Tanah Melayu berhadapan dengan zaman komunis 1948-1960.

Pelbagai artikel dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan orang Melayu terutama kedudukan raja-raja, hak istimewa orang, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi , tanah rezab Melayu dan lain-lain. Dasar Ekonomi Baru tidak terdapat dalam perlembagaan dan kerana itu bolehlah dipertikaikan. 30 % ekuiti Bumiputera yang mesti dicapai dalam tempoh 30 tahun juga tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dasar Ekonomi Baru bagaikan 'hadiah' kepada orang Melayu yang terlibat dalam Peristiwa 13 Mei. Sentimen orang Melayu yang tidak puas hati kepada kerajaan dan disalurkan melalui 'tumpah darah' dapat diredakan melalui Dasar Ekonomi Baru.

Kekangan Orang Melayu

Orang Melayu yang rata-ratanya pesawah dan petani tinggal di pola petempatan berjajar di kawasan sawah padi seperti di Dataran Kedah , Seberang Perak dan Sungai Manik. Petempatan berjajar di sepanjang terusan dan sungai ini tidak menggalakkan mereka mereka menceburi perniagaan. Begitu juga yang menjadi penoreh getah dan tinggal di pola petempatan berselerak dan berkelompok tidak menjalankan perniagaan besar, kecuali kedai runcit.

Perniagaan dan perdagangan Cina sukar diterobos kerana sistem perniagaan keluarga, sistem monopoli, kongsi gelap , sistem pemasaran dan lain-lain. Dr Amir Baharuddin dari USM menyeranaraikan pelbagai kekangan Bumiputera untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan dan perdagangan. Cara termudah ialah membeli saham dan diserahkan kepada orang Melayu , memiliknegarakan syarikat asing atau agensi kerajaan menjalankan perniagaan . Tetapi pasaran saham tidak selalu melonjak sebaliknya turun naik yang tidak ketentuan. Agensi kerajaan pula tidak mempunyai kemahiran pengurusan syarikat sehingga perniagaan mereka runtuh. Dasar memiliknegara syarikat seperti Guthrie mendatangkan tentangan dari negara British.

APA ITU KONTRAK SOSIAL?

1. Banyak yang diperkatakan berkenaan Kontrak Sosial di Malaysia

2. Mungkin ada baiknya kita cuba faham akan konsep ini sebelum kita melihat dengan lebih lanjut.

3. Jika kita kaji asal usul kontrak sosial kita akan dapati bahawa ianya adalah satu konsep bangsa Eropah yang diketengahkan para falsafah Eropah. Yang termasyhur adalah Socrates, ahli falsafah berbangsa Greek yang telah dipenjarakan dan disabitkan hukuman bunuh.

4. Beliau enggan lari dan berhijrah ke bandar Greek yang lain kerana beliau percaya bahawa ia terikat dengan kontrak sosial untuk hidup berlandaskan undang-undang Athens di mana dianya dilahir dan dibesarkan dan mendapat manfaat daripada undang-undang tersebut.

5. Sebelum adanya kontrak sosial ini, manusia dikatakan hidup di dalam Keadaan Semulajadi, dimana tidak ada undang-undang untuk mentadbir perhubungan antara individu dalam masyarakat primitif yang kecil. Yang ada hanyalah undang-undang "belantara" dimana yang kuat selalunya benar.

6. Apabila masyarakat berkembang terdapat keperluan undang-undang bagi mentadbir perilaku sesuatu masyarakat. Setiap warganegara komited terhadap perlunya hormat dan akur pada undang-undang. Pemahaman ini merupakan kontrak sosial walaupun tidak terdapat apa-apa pengakuan untuk hormat dan akur terhadap undang-undang secara lisan mahupun bertulis. Ini pandangan Socrates. Para falsafah selepasnya memperluaskan konsep ini tetapi tidak pernah ada keperluan untuk kontrak secara formal.

7. Bangsa Greek dikatakan mengamalkan bentuk Kerajaan demokratik. Tetapi rakyat yang behak menyertai Kerajaan dihadkan kepada lelaki dewasa yang waras. Wanita, kanak-kanak, hamba abdi, tahanan, penjenayah dan warga asing tidak diberi hak sebagai warganegara dan tidak boleh memain peranan dalam kerajaan.

8. Sebahagian besar tamadun Eropah berasas kepada tamadun Greek. Tetapi apabila masyarakat berkembang besar adalah mustahil untuk mereka membuat penyertaan secara langsung didalam Kerajaan.

9. Pada satu peringkat, demokrasi ditolak dan sistem feudal diterima di mana raja memerintah dengan penuh hak ketuhanan. Ini merupakan bentuk Kerajaan yang terdapat di Asia. Bagaimanapun, ketaatan rakyat kepada Raja juga merupaka satu bentuk kontrak sosial.

10. Kemudian feudalisme digantikan dengan sistem republik iaitu mengembalikan kepada rakyat kuasa Kerajaan.

11. Pelbagai bentuk republik telah wujud, setiap satunya dengan undang-undang dan peraturannya tersendiri berkenaan kerajaan Negara tersebut. Walau apa pun bentuknya, undang-undang dan peraturan-peraturan, setiap warganegara terikat dengannya. Tidak ada kontrak bertulis tetapi bagi orang asing yang menerima hak warganegara, pada lazimnya akan ada perakuan formal untuk menturuti sistem dan undang-undang Kerajaan Negara itu.

12. Selepas menjadi warganegara, anak mereka akan secara automatik dianggap sebagai warganegara dan sebagai warganegara mereka tidak perlu bersumpah kesetiaan kepada Negara berkenaan secara formal. Hak ini adalah melalui jus sanguinis, iaitu melalui pertalian darah.

13. Kewarganegaraan juga boleh diperolehi dengan cara dilahirkan didalam Negara itu atau jus soli. Ini boleh disediakan oleh undang-undang Negara itu.

14. Samada kewarganegaraan diperolehi melalui jus sanguinis atau jus soli, kontrak sosial masih diguna pakai walaupun tiada pengakuan sumpah secara formal.

15. Yang jelas, kontrak sosial adalah kefahaman secara umum seseorang warganegara untuk menghormati dan akur kepada undang-undang dan institusi sesebuah negara. Kontrak Sosial ini tidak terhad kepada mengurus perhubungannya dengan negara, Kerajaan dan institusi, tetapi juga perhubungannya dengan rakan senegaranya yang lain.

KONTRAK SOSIAL DALAM KONTEKS MALAYSIA

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

KONTRAK SOSIAL DALAM KONTEKS MALAYSIA

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

SYARAT-SYARAT KONTRAK

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah "kontrak sosial" (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai

mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: "Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.

Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar "meritokrasi". Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-hak istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa "...apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan." Bagaimanapun, dia menambah bahawa "Bagai mereka yang mencintai dan berasi bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu."

KRITIKAN AWAL

Artikel 153, dan diterangkan oleh kontrak sosial, telah merupakan satu sumber kontoversi semenjak hari-hari mula bagi Malaysia. Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu "Malaysian Malaysia". Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: "Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato' Syed Ja'afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.

PENGGUNAAN DALAM KONTEKS LAIN

Kontrak sosial kadangkala digunakan untuk merujuk kepada konteks yang tidak melibatkan hubungan kaum. Dalam pilihanraya umum Malaysia 2004, DAP bertanding atas dasar untuk mempertahankan "kontrak sosial" dengan menentang teokrasi Islam, yang dilarang oleh Perlembagaan, tetapi disokong oleh bekas Perdana Menteri,Mahathir bin Mohamad, Lim Keng Yaik dan PAS, parti politik Melayu yang kedua terbesar dalam negara.

PELBAGAI BANTAHAN

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang juga Presiden Gerakan dilaporkan meminta supaya formula itu diketepikan kerana ia membuatkan kaum Cina dan India 'kecil hati'. Beliau merasmikan Konvensyen Anak Malaysia anjuran Pergerakan Pemuda Gerakan pada 13 Ogos 2005. Apabila Utusan Malaysia dan Berita Harian menghangatkan isu ini , Lim Keng Yaik menyerahkan salinan teks ucapan 13 muka surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Ahmad Badawi.

SUBJEK KONTRAK SOSIAL

Pada 22 Oktober 2008, Sultan Perak Sultan Azlan Shah mencadangkan supaya subjek kontrak sosial diperkenalkan di di institusi pendidikan supaya generasi muda di negara ini memahaminya dengan lebih mendalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan kontrak sosial menjadi subjek ko kurikulum di universiti-universiti kerana bukan semua faham dengan kontrak sosial ini. Isu kontrak sosial sebenarnya sudah lama selesai dan ia harus diterima oleh semua pihak. [3] Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah 'Politik Melayu-Islam Kemelut dan Penyelesaian' di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) pada 21 Oktober 2008.

Memanglah semua kaum ada rasa tidak puas hati sedikit sebanyak. Kita akui hakikat ini tetapi jangan cuba persoalkan hak orang Melayu melalui cara yang tersirat .Kita harus berpijak di bumi yang nyata. Lagipun kontrak sosial sudah termeterai dan dipersetujui bersama sejak sekian lama.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan subjek ini / penekanan topik dalam subjek Sejarah hanya boleh diperkenalkan pada 2010. Ini kerana ia perlu kajian menyeluruh , tenaga pengajar, peralatan, dan prasarana yang mencukupi. Jika tidak , ia akan dipolitikkan dan menjadi polemik berpanjangan.

Pada 16 Ogos 2008, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan formula kontrak sosial yang berteraskan Perlembagaan Malaysia bukanlah diskriminasi kaum. Sebaliknya ia terbukti menjamin perpaduan antara kaum

SEKIAN DAN TERIMA KASIH

Debat, “Dia“ dan Ego – Oleh Pat

Debat, “Dia“ dan Ego – Oleh Pat

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai banyak peluang dan masa untuk menulis dan dikongsi bersama. Bukan kerana sombong ataupun tidak memberi komitmen tapi tuntutan semasa (seperti pernah kudengar ayat ini) merujuk keadaan ekonomi semasa (Global Financial Crisis) yang perlu dipantau dengan lebih teliti (memang itu kerja saya ketika ini) membuatkan saya jarang ke pejabat dan melayari internet. Namun hati masih lagi setia mengikuti perkembangan debat tanahair (itupun jika kebetulan dimaklumkan melalui adik-adik junior di UiTM Segamat).

Seingat saya debat yang paling konsisten dan paling ditunggu-tunggu pastinya Debat Piala di Raja,yang masih bertahan dan wujud sehingga kini (diperkenalkan sejak 1995). Debat Piala di Raja 2005 menjadi memori peribadi yang disimpan abadi dalam kotak saya meskipun hanya berkasi di kerusi simpanan. UiTM buat julung kalinya berkasi di pentas perlawanan akhir menentang UPM dengan usul yang paling mencabar dalam hidup pernah saya temui iaitu “Rumput Lebih Teguh Dari Cengal”. Berbekalkan tekanan dan beberapa kesilapan teknikal oleh kami (pasukan debat UiTM) dan pihak pengurusan akhirnya pasukan saya (UiTM Senior) kalah bergaya (harap-harap begitulah).Kesilapan mengumumkan johan pada hari itu sudah pastinya mengaibkan nama pelbagai pihak terutama sekali setelah kami sudah menapakke atas pentas menerima hadiah dan bergambar kenangan akan kemenangan kami. Siapa yang patut dipersalahkan? Pihak juri yang arif lagi bijaksana (ayat standard pidato zaman sekolah) atau pihak pengurusan yang terselah umum atau salah pendebat-pendebat yang berdebat seperti hilang arah ketika itu? Fikir-fikirkanlah…(sekian untuk Debat Piala di Raja)

Alumni bekas-bekas pendebat

Justeru untuk analisa tulisan kali pertama khas untuk alumni debat ini saya mulakan dengan gelaran alumni debat. Asasnya tidak menjadi masalah pada saya jika nama atau panggilan apa sahaja bakal diberikan untuk pertubuhan alumni debat ini. Pastinya selagi jiwa debat dihati, InsyaAllah saya akan menyumbang selagi berpeluang berbuat begitu. Harapan saya kali ini, biarlah Alumni Debat kali ini berjaya mengumpul kembali bekas-bekas pendebat, tua dan muda untuk kembali ke dunia lama mereka, bagi mencurahkan kembali ilmu dan pengalaman yang pernah dikuasai mereka satu ketika dulu. Informasi-informasi bekas-bekas pendebat yang lengkap dan menyeluruh akan dapat dikumpulkan dan dengan itu, akan memudahkan jemputan-jemputan sebagai hakim pertandingan debat (itu pun kalau ada penganjur-penganjur yang sudi menjemput dan memerlukan khidmat kami), seminar debat, motivasi debat, kejurulatihan dan paling penting akan mengembalikan silaturrahim yang telah lama terputus dari kalangan bekas-bekas pendebat.

Mutu Debat 2007-2008

Setelah meninggalkan dunia perdebatan intarvisiti, saya bukanlah orang yang tepat untuk untuk mengulas dan mengupas tentang mutu perdebatan kini. Zaman dah berubah, cara dan aplikasi berdebat juga sudah berubah. Jangan salahkan pendebat-pendebat muda jika khidmat nasihat mahupun panduan yang munkin ingin dikongsi bekas-bekas pendebat senior dan berjaya tidak lagi diperlukan mahupun dihargai. Jadi seperti komen yang selalu diberi oleh artis tempatan (seperti Norman Hakim dan ’penyelamatnya’) ialah NO KOMEN!

Dia

Apa yang akan anda soroti seterusnya ini bukan berunsur fitnah, perasaan tidak puas hati atau luahan perasaan pada sesiapa tetapi ini memang hakikat yang selalu terjadi pada saya sehingga saya tidak faham apa puncanya. Pernah satu ketika dahulu semasa Debat Sains dan Teknologi di UXX, saya diselar seorang pendebat Universiti xxxxx bahawa saya merupakan orang yang telah menyebabkan kekalahan pada pasukan UiTM ketika itu,sehingga kami gagal merangkul gelaran Johan pertandingan Debat Sains dan Teknologi pada tahun 200X. Tidak mengapa saya terima sebagai kritikan membina mungkin kerana dia’ boleh dikatakan insan terpilih yang paling banyak beraksi di pentas akhir. Berapa kali dia merangkul gelaran Johan? Hem..saya kurang pasti tapi mungkin juga dia terlalu hebat sehingga boleh membuat rumusan begitu tentang saya baru sahaja dikenali (tapi sekarang,pastinya dia sudah tidak mengenali saya lagi). Tetapi mulut dan kata-kata seorang pendebat ini memang berbisa dan dek kerana peribadi beginilah pendebat-pendebat selalu dikenali sebagai individu yang mempunyai ego tinggi.

Saya bukanlah pendebat yang baik jauh sekali boleh dijadikan idola pendebat-pendebat universiti lain, namun kali kedua terpilih mewakili UiTM (selepas Debat Sains dan Teknologi) ialah Pertandingan Debat Piala Di Raja 2005. Berjuang bersama Diana (memang pendebat wanita yang paling unggul), Nizamuddin (Mon) yang sudah tidak terbilang kemenangan yang diperolehinya dan Hidayat (yang terbaik pernah saya perolehi sebagai rakan sepasukan sepanjang karier debat saya). Pada pertandingan Debat Piala di Raja 2005 ini saya tidak ingat adakah saya bertemu dia ataupun tidak namun saya akan ingat detik dia mengeluarkan satu lagi kata-kata yang mungkin agak pedih ataupun ”ZASSS” semasa Pertandingan Debat IKIM. Apa yang dia katakan? Saya dikatakan terlalu terikut-ikut akan gaya debat Diana (dewi debat kita)! Mana mungkin saya dapat meniru gaya seorang dewi. Jika benar sudah pastinya saya juga sudah menjadi dewi debat sekarang ini serta dikagumi semua. Dalam hati ini tuhan sahaja tahu bagai mahu ditanya sahaja pada dia kenapa mesti selalu diberi komen begitu setiap kali saya bertemu dengannya di mana-mana pertandingan debat intarvisiti. Kalaulah benar bagai didakwanya, pelik bin ajaib lah jurulatih UiTM ketika itu, kerana memilih saya jika untuk memalukan UiTM. Tetapi Pertandingan Debat IKIM adalah pertandingan yang paling akan saya kenang sepanjang hayat. Bukan kerana telah diselar kali kedua oleh dia tetapi kerana inilah pasukan terbaik saya. Justeru, terima kasih daun keladi, entah bila kita akan bersatu lagi kepada Zuhaini, Halis dan Hidayat. Buat kali pertama saya merasakan kami bersatu jiwa dan raga tanpa sebarang tekanan (walaupun ada sedikit krisis keyakinan diri antara pendebat) dalam menghadapi satu pertandingan debat berunsurkan keagamaan. Cabarannya mungkin lebih kerana segala hadith dan potongan ayat Al-Quran perlu dihafal, dibaca dan disebut dengan baik oleh pendebat-pendebat. Tetapi perlawanan dengan UIAM merupakan perlawanan yang paling memuaskan hati meskipun kami kalah ketika itu. Akhirnya UiTM mendapat tempat ketiga (mungkin pencapaian yang biasa sahaja bagi pendebat-pendebat lain). Baiklah, tentang diri ’dia’ kita lupakan sahaja semoga dia bahagia dengan hidupnya dan egonya.

Patma

.....................................................................................

Patma atau nama penuhnya Fatmah Faisol merupakan Senior Executive, di IT and DFI Supervision Department, Bank Negara Malaysia. Beliau merupakan seorang bekas pendebat yang begitu pemalu pada dasrnya namun cepat dan rajin belajar. Saya mule mengenali beliau ketika beliau hanya menjadi pengikut rombongan Team Debat Segamat di Debat Piala Sultan Zainal Abidin di Terengganu pada 2002 tak silap saya. Tetapi daripada detik itu beliau mempertingkatkan prestasi dari masa ke semasa sehingga dikenali oleh Alumni. Saya dapat melihat perkembangan beliau dari awal sehinggalah ke peringkat menjadi pendebat utama UiTM. Jangan bimbang Pat, saya sentiasa menyanjungi dan mengiktiraf bakat dan kebolehan anda. Tak kiralah walau apa pun yang diperkatakan oleh si ’dia