Selasa, 25 November 2008

Ulasan Penuh Pertandingan Pidato Perdana Islam Hadhari

BEKAS PENDEBAT UITM JOHAN PIDATO PERDANA ISLAM HADHARI


Kuala Lumpur, 10 Mei - Syamsul Amri Ismail, bekas pendebat Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul selaku johan Pidato Perdana Islam Hadhari yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi.

Program anjuran bersama Biro Penerangan UMNO dan Biro Agama UMNO telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Syamsul yang merupakan ahli UMNO Bahagian Seremban telah menyampaikan pidato yang bertajuk "Kekuatan Pertahanan", iaitu salah satu daripada 10 ciri Islam Hadhari.

Gaya beliau yang bersahaja serta garapan bahasa ringkas, diselang-selikan dengan lelucon dan fakta telah menambat hati panel juri untuk mengangkat beliau sebagai johan dengan markah 93 peratus, jauh meninggalkan pemenang di tempat yang kedua, Jaim Atoh yang memperoleh markah 78 peratus, dan Saadiah Hussin di tempat ketiga dengan 77 markah.

Selaku johan, Syamsul yang kini bertugas sebagai Pegawai Pendakwa di Majlis Perbandaran Seremban dan bakal berkhidmat sebagai Pengarah Undang-Undang, Majlis Perbandaran Nilai membawa pulang wang tunai sejumlah RM5000, pakej umrah tajaan TH Travel & Services, piala iringan dan sijil penyertaan.


Pemerhatian koresponden akademidebat.com

Hampir kesemua peserta berjaya menyampaikan pidato dengan baik. Namun terdapat beberapa perkara serius yang perlu diberi perhatian sekiranya pihak penganjur benar-benar ingin mencapai matlamat program tersebut iaitu untuk menghasilkan penceramah yang berbakat untuk menyampaikan konsep Islam Hadhari kepada masyarakat umum.

1. Fokus isi

Setiap pemidato diberi tajuk yang merupakan salah satu daripada 10 tunjang Islam Hadhari iaitu:

- keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi

- kerajaan yang adil dan beramanah

- rakyat berjiwa merdeka

- penguasaan ilmu pengetahuan

- pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif

- kehidupan berkualiti

- pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita

- keutuhan budaya dan moral

- pemeliharaan alam sekitar

- kekuatan pertahanan

Kebanyakan peserta gagal mengaitkan semula isi pidato yang disampaikan dengan konsep Islam Hadhari. Rata-rata cenderung untuk mengumpulkan isu atau contoh semasa yang berkaitan dengan tajuk dan kemudiannya diadunkan untuk menjadi teks pidato. Tidak ada perkaitan yang jelas antara isi pidato dengan konsep Islam Hadhari itu sendiri.

Malah, Perdana Menteri sendiri di dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa ramai peserta yang tidak memberi fouks yang baik mengenai pembangunan modal insan yang menjadi teras kerajaan untuk mencapai status negara maju dan pada masa yang sama kekal mengamalkan konsep Islam Hadhari.

Ada juga peserta yang memberikan hujah atau isi yang langsung tersasar daripada tajuk asal. Contohnya, tajuk "Pemeliharaan Alam Sekitar" sepatutnya lebih berkisar mengenai bagaimana tuntutan Islam dalam menjaga alam sekitar diikuti dengan langkah dan tindakan pelbagai pihak dalam penjagaan alam sekitar.

Malangnya, peserta yang menyampaikan tajuk tersebut telah menggunakan masa tujuh minit daripada 10 minit keseluruhan untuk bercerita dengan fenomena pencemaran alam. Maka adakah tajuknya pemeliharaan alam sekitar atau pencemaran alam sekitar?

2.Gaya persembahan

Sebagai ahli pertubuhan politik terbesar Malaysia, para peserta secara keseluruhannya berjaya menonjolkan karakter pengucapan umum yang menarik dan berkesan. Namun begitu, terdapat juga beberapa peserta yang mengundang persoalan di kalangan penonton - bagaimanakah peserta ini boleh melepasi peringkat saringan?

Misalnya, terdapat lebih daripada seorang peserta yang munucl di atas pentas dengan membawa nota kecil. Lebih membosankan apabila peserta terpaksa merujuk nota tersebut berulang kali ketika berpidato sehingga mengganggu kelancaran penyampaian.

Ada juga yang berpidato dengan vokal yang berdegar-degar, namun malang sebutan dan diksi terlalu lemah. Kesilapan sebutan seperti berpanan (berperanan), seentero (seantero), kotomporari (kontemporari), dan toboh (roboh) adalah kesilapan yang terlalu jelas dan sepatutnya tidak berlaku.

Jikalau respon penonton dijadikan ukuran, ternyata teknik pidato dengan suara lantang dan berdegar-degar tidak menjadi pilihan. Teknik Syamsul Amri selaku johan yang bersahaja dan terselit unsur humor ternyata lebih menarik perhatian penonton, malah ramai di kalangan penonton keluar daripada dewan pertandingan sejurus selepas beliau berpidato (mungkin tanda sudah yakin siapa pememangnya!).

Secara keseluruhan, banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan lagi mutu pertandingan Pidato Perdana Islam Hadhari. Pihak akademidebat.com juga berpendapat adalah lebih menarik jika pertandingan ini terbuka kepad seluruh rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada ahli UMNO semata-mata - di situlah kita boleh mengukur fahamnya rakyat tentang konsep Islam Hadhari. - akademidebat.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan