Khamis, 28 Februari 2013

Forum Wacana Selami Jiwa : Muda Hanya Sekali


28 Februari 2013, Seremban : Satu Program Forum Perdana telah diadakan bertempat di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi. Forum Perdana Wacana Selami Jiwa ini ditampilkan dengan tajuk : "Muda Hanya Sekali". Program ini nyata telah menarik perhatian dan minat orang ramai di mana telah mencapai kehadiran sehingga 3,000 orang peserta yang memenuhi ruang Dewan Utama Pusat Dakwah Islamiah, Paroi sehinggakan ada yang terpaksa duduk bersila di atas lantai, di pentas dan juga hingga ke luar dewan.

Ahli-ahli panel program Forum ini terdiri daripada Dato' Dr. Hj Mohd Fadzillah Kamsah, Pakar Motivasi terulung negara dan juga Ustaz Norazman Amat, Ketua Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Menggamatkan lagi suasana, Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) telah dipilih bertindak selaku Moderator bagi program Forum ini.

Program Forum ini merupakan program Forum terpanjang pernah dilaksanakan dengan program berlangsung selama 4 jam tanpa henti mulai jam 9.00 pagi hingga ke jam 1.00 petang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak penganjur di atas usaha serta inisiatif menjayakan program bermanfaat seperti ini. Berikutnya dikongsikan gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan di sepanjang program tersebut dilangsungkan.
 

Disediakan oleh : EDITOR