Isnin, 18 Mei 2009

Konsep 1 Malaysia : Bukan Perkara Baru !

1. Saya melihat isu 1Malaysia atau Satu Malaysia bukanlah perkara baru atau idea baru. Sejak merdeka lagi kita diminta bersatu hati membangunkan negara ini. Ketika itu slogan Bersatu Teguh Bercerai Roboh sering berkumandang dalam corong radio dan kemudiannya televisyen.

2. Asas bagi mewujudkan Malaysia yang bersatu ini ialah beberapa tolak ansur antara kaum dimasukkan ke adalam Perlembagaan termasuk pemberian kewarganegaraan, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan kaum Bumiputera. Tujuannya agar semua kaum ketika itu berpuas hati.


3. Konsep 1Malaysia ini juga berkait rapat dengan Dasar Ekonomi Baru. Apabila berlaku perpecahan dan sengketa kaum, maka DEB diperkenalkan pada 1970 dengan fokus:


a. mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan


b. mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.


4. Jika kita lihat matlamat DEB ialah jelas sekali ke arah mewujudkan 1Malaysia yang kedudukan taraf hidup, pendidikan serta sektor ekonomi tertentu tidak lagi dikuasai oleh kaum tertentu sahaja.


5. Kemudian apabila diutarakan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, konsep 1Malaysia juga turut berada dalam falsafahnya antaranya ialah, Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.


6. Jelas sekali idea dan falsafah 1Malaysia ini merupakan satu komitmen berterusan Barisan Nasional sejak merdeka lagi untuk membentuk perpaduan nasional.


7. 1Malaysia hanyalah pengubahsuaian, penambahbaikan dan penjenamaan semula konsep perpaduan dan pembagunan seiring dengan zaman.


8. Ini jauh berbeza konsep Malaysian Malaysia yang bercakap soal meritokrasi dan kesamarataan tanpa mengira kaum tidak memberi sebarang inisiatif membantu kaum yang ketinggalan. Malaysian Malaysia juga jelas tidak selari dengan semangat Perlembagaan 1957 yang dipersetujui oleh semua.


9. 1Malaysia bercakap soal perpaduan dan penyatuan rakyat tanpa mengira kaum. Mana kaum yang lemah dan ketinggalan akan terus dibantu, manakala kaum yang terkehadapan akan terus diberi ruang untuk berdikari dan mencari kejayaan.


10. Selain itu, 1Malaysia perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti dan pencapaian individu yang berpotensi tanpa mengira kaum mahu pun agama. Pencapaian individu juga perlu diberi pengikitirafan yang setanding tanpa ada sikap pilih kasih mahu pun prejudis kaum.


11. Dalam 1Malaysia tidak wajar lagi ada individu yang pencapaiannya sama tetapi menerima imbuhan mahu pun pengiktirafan yang berbeza sehingga mencetuskan kononnya hanya kaum tertentu diutamakan dalam negara ini.


12. 1Malaysia juga harus berkonsepkan unity in diversity - sikap tolak ansur dan saling memahami kekurangan dan kelebihan antara kaum, kedudukan geografi dan anutan kepercayaan.


Tiada ulasan: