Khamis, 18 Disember 2008

UIAM menanti UPM di Pertandingan Akhir


AKSI pendebat UIAM, Nurul Husna ketika menyampaikan usul penggulungan pada pertandingan suku akhir debat kategori Bahasa Melayu Utama di UIAM, Gombak, semalam.

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara pasukan terawal menempah tempat ke pertandingan akhir Debat Diraja Antara Universiti Awam ke-12 apabila berjaya melepasi saingan peringkat separuh akhir yang berlangsung di universiti itu, semalam.

Pasukan UIAM (A) berjaya mara ke pertandingan akhir bersama pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) B bagi kategori Bahasa Melayu Utama.

Selain itu, UIAM turut mengungguli kategori Bahasa Arab Utama apabila dua pasukannya iaitu UIAM A dan UIAM B turut layak bagi penentuan juara kategori berkenaan.

Selain itu, UIAM turut mengungguli kategori Bahasa Arab Utama apabila dua pasukannya iaitu UIAM A dan UIAM B turut layak bagi penentuan juara kategori berkenaan.

Bagi kategori Bahasa Melayu Muda, pertandingan akhir bakal menyaksikan pertembungan antara Universiti Sains Malaysia (USM) A dan UPM B.

Keputusan bagi pasukan layak ke pertandingan akhir kategori Bahasa Inggeris Utama dan Muda belum diperoleh sehingga lewat petang semalam.

Pertandingan akhir berlangsung hari ini di Pusat Kebudayaan dan Aktiviti UIAM bagi kategori Bahasa Melayu Utama, manakala Auditorium Kompleks Utama (Bahasa Inggeris Utama dan Muda serta Bahasa Melayu Muda), Dewan Senat, Bangunan Pentadbiran (Bahasa Arab Utama).

Johan kategori utama serta muda, masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 berserta piala pusingan, trofi serta sijil penyertaan, manakala naib johan pula meraih RM3,000 dan RM2,000 berserta hadiah iringan.

Lima pasukan separuh akhir kategori utama dan muda layak menerima wang tunai RM1,000 berserta trofi serta sijil penyertaan.

Anugerah pendebat terbaik pertandingan akhir kategori utama bakal menerima wang tunai RM200 dan piala iringan, manakala kategori muda, RM100 berserta piala iringan.

Sepuluh pendebat terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab pula meraih wang tunai RM200 serta piala iringan.

Pada pertandingan suku akhir kategori Bahasa Melayu Utama yang berlangsung di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim semalam menyaksikan pertemuan sengit juara bertahan tahun lalu, UIAM dengan lawan tradisi, UM dalam perdebatan bertajuk Politik Malaysia Sudah Stabil.

UIAM yang diwakili Farhan Nordiyana Samsudin, Nurul Husna Ahmad dan Jefri Khairul Zabri bertindak sebagai pihak kerajaan, manakala UM selaku pembangkang membariskan Ali Asyraf Mohamed, Azri Zahier Azmi dan Shen Yee Aun.

Pertandingan disifatkan sengit dan penuh dengan tekanan apabila kedua-dua pasukan lantang menyampaikan hujah masing-masing, selain peluang beraksi di tempat sendiri dengan sokongan jitu hadirin memberi kelebihan UIAM menggamatkan lagi suasana pertandingan.

- Dipetik dari akademidebat.com -

Tiada ulasan: