Khamis, 4 Disember 2008

UPM Juara Debat DiRaja 2008

UPM Juara Kategori Utama Debat DiRaja 2008

3 Disember 2008, Gombak - Pada 2 Disember 2008, jam 2.00 petang Pertandingan Akhir Debat Di Raja Bahasa Melayu Kategori Muda telah diadakan di Auditorium Utama UIAM. Pertandingan kali ini menemukan pihak kerajaan daripada USM dan pihak pembangkang daripada UPM. Usul yang diperdebatkan adalah "Menangani Masalah Alam Sekitar Tanggungjawab Negara Dunia Ke 3". Perlawanan kali ini hanya boleh diklasifikasikan sebagai baik. Konsep yang dibuka oleh pihak kerajaan agak rumit. Di pihak pembangkang pula ketiga-tiga pendebat kurang konsisten dalam melawan kes. Pihak kerajaan mengemukakan konsep yang agak truistik hanya untuk membincangkan apakah peranan negara dunia ke 3 dengn merujuk kepada negara membangun sahaja. Pihak pembangkang mempersoalkan tentang dunia ke 3 itu kerana ia bukan sahaja melibatkan negara membangun tetapi juga negara mundur. Namun pihak pembangkang gagal membuktikannya kerana di dalam penghujahan di pihak mereka tidak pernah diceritakan tentang negara mundur. Penghujahan mereka berlandaskan kepada kekangan-kekangan yang dihadapi untuk membuktikan premis mereka. Mutu perlawanan masih boleh ditingkatkan kerana respon daripada kebanyakan pendebat yang hadir pada perlawanan itu kurang memberangsangkan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada USM dan pendebat terbaik adalah Nor Fara Syazwani daripada UPM. Kemudian pada sebelah malamnya pula lebih kurang jam 8.00 malam telah diadakan Pertandingan Akhir Debat Di Raja Bahasa Melayu Utama di Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC) UIAM. Pertandingan kali ini menemukan pihak kerajaan daripada UPM dan pihak pembangkang daripada UIAM. Usul yang diperdebatkan adalah “Rumah Putih Cuma Bertukar Warna”. Perdebatan kali ini boleh diklasifikasikan sebagai amat baik. Pertembungan hujah berlaku di antara kedua-dua pihak secara intelektual dan hebat. Pihak kerajaan mengunjurkan konsep dengan amat baik sekali dan pihak pembangkang juga melakukan tugas mereka dengan baik. Namun, ada sedikit permasalahan berlaku yang dapat dilihat di meja pembangkang, mereka melawan kes dengan mengatakan hujah pihak kerajaan berasaskan spekulatif semata-mata, tetapi apa yang lebih jelas, hujah di pihak mereka sendiri lebih spekulatif kerana mereka hanya menggunakan manifesto-manifesto Obama ketika pilihanraya yang sukar untuk dibuktikan yang ia mampu mengubah dasar karajaan Amerika. Pihak kerajaan pula membuktikan kes mereka melalui dasar-dasar Amerika yang sukar dipinda, sejarah presiden terdahulu yang lebih realistik Akhirnya kemenangan berpihak kepada UPM dengan juri 4-3 dan pendebat terbaik kali ini dimiliki oleh saudara Amiruddin daripada UPM.

- Oleh nawhki -

Tiada ulasan: