Khamis, 5 November 2009

ADAM Kini Sah Berdaftar Di Bawah ROS!!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kesemuanya,
.
Alhamdulillah setelah beberapa bulan menanti, akhirnya usaha untuk mendaftarkan Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akhirnya menjadi kenyataan apabila surat daripada JPPM bertarikh 7 Oktober 2009 telahpun selamat diterima pada 30 Oktober 2009 yang lalu. Berita ini pastinya merupakan khabar yang paling gembira untuk dikongsi semua, kerana sesuatu yang pernah dikatakan mustahil oleh kebanyakan pendebat dahulu, kini telah menjadi kenyataan. Usaha kini tertumpu pula kepada usaha untuk mengumpul data-data bekas pendebat (alumni) bagi memastikan kesemua bekas pendebat Bahasa Melayu akan dimaklumkan dari masa ke semasa tentang perkembangan debat tanahair.
.
Saya benar-benar berharap agar kesemua alumni akan terus mengikuti blog ini dan yang paling penting kesemua alumni perlu mengisi borang keahlian bagi memudahkan komunikasi di antara sesama ahli. Kami akan mengumumkan sedikit masa lagi berkaitan upacara pelancaran serta menamakan Penaung serta Penasihat bagi ADAM. Saya juga berharap agar kesemua pihak tidak memandang serong akan matlamat serta penubuhan ADAM ini lagi kerana ia merupakan satu Pertubuhanyang diwujudkan bagi menjaga kebajikan am ahli dan bekas pendebat khusus untuk perkembangan debat di semua peringkat sepertimana yang dinyatakan di dalam Fasal 4 Perlembagaan ADAM ini.
.
Syarat keahlian ADAM ini, adalah mudah sahaja, iaitu terbuka kepada warganegara Malaysia yang pernah menyertai pertandingan Debat Bahasa Melayu di semua peringkat di Malaysia berumur 18 tahun ke atas (Fasal 5(1) Perlembagaan ADAM). namun demikian setiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha ADAM bagi dibawa ke Jawatankuasa untuk kelulusan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Fasal 5(2) Perlembagaan ADAM.
.
Buat masa ini sebarang urusan surat menyurat hendaklah dialamatkan ke:
.
PERTUBUHAN ALUMNI DEBAT MALAYSIA (ADAM)
NO. 3, JALAN D'ARECA 4,
TAMAN BANDAR SENAWANG, SENAWANG,
70450 SEREMBAN,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS.
.
Saya dengan ini selaku Presiden Pertama ADAM jutaan terima kasih di atas sokongan semua sehingga tercapainya matlamat mewujudkan pertubuhan ini. Terima kasih kepada Fatmah Faisol selaku Setiausaha yang banyak bekerja keras di dalam menyiapkan kertas kerja bagi mewujudkan Pertubuhan ini. Terima kasih juga kepada sekelian Jawatankuasa yang sanggup memberikan sokongan meskipun ada yang mempertikaikan kalian sebagai golongan penentang, sedangkan kalian ikhlas demi menyatukan sekalian alumni di seluruh negara.
.
Terima kasih buat Alumni UiTM, Alumni UIAM, Alumni UNITEN, Alumni UMT/KUSTEM, Alumni UPSI, Alumni UNIMAS, Alumni UPM dan Alumni di Universiti seluruh negara yang menyokong usaha ini, kerana tanpa usaha anda, kelulusan ini tidak akan menjadi kenyataan. Terima kasih buat Saudara Mohamad (Alumni UNITEN) yang banyak menjadi pendorong serta nasihat ke arah tercapainya matlamat mewujudkan Pertubuhan ini. Kepada UMT yang merupakan tapak mula mesyuarat Jawatankuasa Penaja diucapkan jutaan terima kasih juga di atas kesudian alumni serta tapak asas bagi merealisasikan hasrat ini.
.
Insya Allah menerusi Blog ini juga, sedikit masa lagi alumni akan diberikan ruangan untuk download borang dan kemudiannya bolehlah di pos kan ke alamat ADAM atau di e-mail kan menerusi alamat blog yang telah dinyatakan di dalam blog ini. Semohga usaha ini akan menyemarakkan lagi dunia perdebatan tanahair, insya Allah.
.
Kepada Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Alumni Debat IPT (ADI), kami ada di sini sekadar menjadi pelengkap, dan jikalau kerjasama yang diperlukan, sebarang bantuan yang diinginkan, kami bersedia ibarat "kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan", mudah-mudahan usaha yang baik mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.
.
Sekian dan Terima kasih.
.
.
.
Yang Ikhlas



Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)
.
Surat Kelulusan Oleh JPPM Bertarikh 7 Oktober 2009
Sijil Pendaftaran Bernombor 2053-09-NSE Sebagai Bukti Pendaftaran ADAM
.
**Tahniah buat semua. Semoga Alumni lebih mendapat tempat selepas ini.

Tiada ulasan: