Ahad, 2 Mei 2010

Pertandingan Pidato Festival Kesenian Islam Parlimen Rasah

Pertandingan Pidato
Festival Kesenian Islam
.
anjuran
.
KEMAS Parlimen Rasah
.
Pada 2 Mei 2010, telah berlangsungnya pertandingan Pidato Festival Kesenian Islam, anjuran KEMAS, bagi peringkat Parlimen Rasah. Pertandingan ini telah disertai oleh 5 orang peserta yang terdiri daripada tenaga kerja KEMAS Parlimen Rasah. Pertandingan telah berlangsung mulai jam 10.00 pagi. Pertandingan berlangsung dengan baik dan hakim berpandangan bahawa masih banyak ruang untuk ditambah baik oleh peserta bagi membawa cabaran Parlimen Rasah untuk bertanding di Peringkat Negeri.
.
Berikut dikemukakan ulasan, komen untuk rujukan dan panduan setiap peserta:
.
Peserta Pertama
PUAN MELUR BINTI KAMARUZAMAN
"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"
.
Beliau menyampaikan pidato dengan baik. Memulakan pidato dengan kata-kata hikmah, memetik bait-bait lagu namun dengan gaya yang agak kekok dan keras. Definisi tajuk tidak dinyatakan, tiada 'outline' (ringkasan pidato yang bakal disampaikan) sehingga menampakkan pidato hanya penyampaian kata-kata tanpa sebarang struktur. banyak isi-isi tidak dihuraikan antaranya; "terlalu banyak perkara yang memeningkan kepala kita..." tetapi tidak pula dinyatakan apakah dia? Beliau juga menyebut tentang program PERMATA NEGARA tanpa diperjelaskan kepada 'audien' tentang apakah program ini. Pemidato tidak boleh menganggap semua orang akan tahu dengan sendirinya. Beliau juga menyatakan tentang sukan yang mampu menyatupadukan rakyat, namun tidak sama sekali diselitkan contoh bagi mengukuhkan pernyataan tersebut.
.
Beliau juga ada menyatakan program 'jalur lebar' diusahakan oleh kerajaan untuk aplikasi bagi memudahkan rakyat, tetapi sekali lagi juga tidak dihuraikan dengan mengambil contoh-contoh yang sewajarnya. Ada juga perkataan yang tidak disebutkan dengan tepat, antaranya "KONDUSIF" tetapi disebutkan sebagai "KONDOSIF" yang mana jelas salah. Beliau juga ada menyebut tentang hubungan antarabangsa, namun sama sekali tidak dikaitkan dengan tajuk malahan pernyataan itu tergantung begitu sahaja tanpa ada sebarang penjelasan maksudnya.
.
Akhirnya, saya melihat peserta ini juga agak kerap merujuk kepada nota, isi tidak dihuraikan, pengurusan masa kurang baik apabila beliau melepasi had masa 7 minit yang telah ditetapkan.
.
Peserta Kedua
PUAN JULIA HASLINDA BINTI ISMAIL
"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"
.
Beliau memulakan pidato dengan kata-kata aluan, ringkas dan sesuai. Namun begitu juga masalahnya, tidak mengemukakan definisi dengan jelas. Beliau menyatakan tentang, semua rakyat perlu bersatu untuk pastikan matlamat konsep 1 Malaysia tercapai. Perlu saling hormat menghormati dan percaya antara satu dengan yang lain. Setiap wakil rakyat perlu berkhidmat melepasi sempadan kaum. Jangan mudah kecewa dan jangan mudah mengalah.
.
Beliau juga menyatakan tentang pemimpin yang perlu menjalankan tugas demi kepentingan rakyat dan bukan bersifat peribadi. Kes-kes gejala sosial seperti pembuangan bayi, dan lain-lain lagi mestilah ditangani bersama. Dan akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa semua rakyat sebagai bangsa Malaysia perlu bersatu bagi menjayakan konsep 1 Malaysia.
.
Menurut pemerhatian hakim, peserta ini memiliki daya kelancaran yang baik, cuma kurang 'ekspresi' wajah yang bersesuaian dengan isu yang diutarakan. Perkaitan isi dengan tajuk sebenarnya langsung tidak ditunjukkan di sepanjang pidato beliau menjadikan pidatonya lari dari landasan sewajarnya.
.
Peserta Ketiga
PUAN MARIA BINTI ISMAIL
"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"
.
Peserta ketiga ini memulakan pidato dengan teknik agresif dan berdegar-degar. Beliau menyatakan ingin menyampailkan definisi, namun akhirnya ia langsung tidak menepati kehendak definisi sebenar. Beliau seterusnya menyampaikan 8 Nilai untuk penghayatan semua, dan seterusnya beliau menyampaikan contoh sukan melalui pencapaian datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, tetapi tidak pernah pula diterangkan perkaitannya dengan tajuk.
.
Beliau juga menegaskan tentang peranan media agar menerbitkan program yang lebih bermanfaat tanpa diberikan contoh program-program yang bermanfaat itu.
.
Kesimpulan hakim bagi peserta ini adalah, beliau mempunyai permulaan yang baik, namun gaya yang diketengahkan agak agresif dan terlalu garang. Ekspresi tidak bersesuaian dengan bait kata yang disampaikan. Definisi tidak dinyatakan dengan cara yang sewajarnya. Tiada outline dan akhirnya isi tidak berstruktur dan tidak tersusun.
.
Peserta Keempat
PUAN HUSNITA HUSIN
"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"
.
Peserta ini memulakan pidato dengan baik. Namun tetap ada membuat rujukan kepada nota yang dibawa di atas pentas. Menerangkan tentang wakil rakyat yang perlu turun padang dan memantau. Tetapi tidak dinyatakan 'apa' yang perlu dipantau. Menekankan aspek integriti, kesungguhan dan sebagainya, beliau turut menerangkan agensi yang disusun semula antaranya; MARA di bawah naungan Dato' Shafie Afdhal katanya. Namun tidak pula dihuraikan maksud penyusunan semula itu.
.
Beliau juga gagal menyebut nama tokoh dengan lengkap misalnya "Dato' Seri Mohd Tun Razak" (tertinggal Najib). Jeneral (B) Baharom (sepatutnya Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom). Penggunaan 'Justeru itu' yang mana sepatutnya 'justeru' sahaja. Beliau turut menyatakan tentang bantuan kepada sekolah Cina dan India (Tamil) demi mempertingkatkan mutu pendidikan.
.
Beliau menyatakan tentang Dato Seri Utama Dr Rais Yatim yang melaksanakan beberapa langkah bagi mencapai konsep 1 Malaysia, namun juga tidak dihuraikan. Sukan dibangunkan dengan memberi contoh Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) namun juga tidak diterangkan dengan jelas perkaitannya. Beliau juga mengambil contoh beberapa tahun dulu di mana Malaysia pernah menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Komanwel. Lebih baik lagi sebenarnya jika dinyatakan tahun 1998 itu. Beliau juga menyentuh aspek ekonomi yang boleh "memangkinkan lagi" yang mana salah penggunaanya, yang sepatutnya disebut "menjadi pemangkin".
.
Kesimpulan yang boleh dibuat untuk peserta keempat ini adalah, beliau merujuk kepada nota sehingga mengganggu persembahan. Tiada outline, gaya ada tetapi ekspresi wajah kurang sesuai.
.
Peserta Kelima
PUAN NORAFIZAH BINTI ABU
"Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan"
.
Peserta ini memulakan dengan menyatakan bahawa "Gelanggang 1 Malaysia" telah dibuka. Dan beliau menyatakan yang semua rakyat perlu anggap diri mereka merupakan bangsa Malaysia. Di dalam aspek ekonomi katanya kita (Malaysia) mampu bersaing dengan negara lain, sebagai contoh kita mampu mengeluarkan kereta sendiri. Ia langsung tidak di perjelaskan hubungkaitnya dengan ekonomi yang dimaksudkan. Dan akhirnya beliau menyatakan tentang betapa semua rakyat perlu bersatu menjayakan konsep 1 Malaysia.
.
Kesimpulan untuk peserta ini pula terlalu kerap merujuk nota. Gugup, kelihatan agak ketara. Suaranya agak hambar tidak bertenaga. Kurang kelancaran serta penghayatan terhadap iskandungan pidato yang disampaikan.
.
****************************************
.
Secara keseluruhannya pemidato perlu ada outline bagi membantu suatu pidato dapat dipersembahkan dengan baik iaitu menurut tatacara berikut:
.
a) Introduction
* Kata-kata aluan
* Memetik kata-kata tokoh dan sebagainya
b) Definisi
* Secara Literal - perkataan demi perkataan yang terkandung di dalam tajuk
* Kehendak tajuk pidato yang bakal disampaikan
c) Outline
* Memberitahu secara ringkas apa yang bakal disampaikan bagi menyokong tajuk pidato
d) Isi
* Setiap isi mestilah lengkap dengan kupasan, huraian berserta contoh dan fakta
e) Kesimpulan yang boleh dibuat berasaskan penyampaian pidato tadi; dan
f) Penutup yang menarik bagi menarik perhatian sidang pendengar dan hakim.
.
Dengan cara ini barulah pidato yang disampaikan dapat dinilai dengan lebih baik dan tepat. Akhir kata, selamat maju jaya buat kesemua peserta yang bertanding. Buat yang berjaya tahniah diucapkan dan buat yang gagal janganlah putus asa, cuba lagi di masa akan datang!!!
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Tiada ulasan: