Ahad, 6 Oktober 2013
Bicara Presiden ADAM : Sekitar Pemilihan UMNO 2013
Assalamualaikum,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Bermula 4 Oktober 2013 yang lalu bermulalah anganan dan
mimpi-mimpi sesetengah insan ... yang mana mengimpikan kedudukan dan kuasa di
dalam sebuah pati keramat yakni Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO). Pemilihan yang dikatakan sebagai usaha menyegarkan DEMOKRASI di dalam
Parti UMNO ini dengan format dan sistem baharu yang mana bagi memastikan
pemimpin yang dipilih merupakan pemimpin yang benar-benar dapat diterima dan
ditentukan oleh akar umbi.
Jikalau dulu G7 atau Bahagian yang berkuasa dan memiliki
kuasa menentukan keputusan tetapi kini tidak lagi. Tiada lagi kempen menerusi
ucapan berdegar-degar dan roadshow ceramah ke serata negara bagi memancing undi
perwakilan di setiap daerah dan negeri dibenarkan. Yang tinggal kini hanya
proses Memperkenalkan Calon-Calon yang bertanding samada untuk Jawatan MT UMNO,
MT Wanita UMNO, MT Pemuda dan juga MT Puteri UMNO.
SESI PENGENALAN CALON DI NEGERI-NEGERI SELURUH MALAYSIA
Saya sendiri berkesempatan menilai sejauh mana relevannya
sesi pengenalan calon ini, sepertimana berlangsung di Ipoh baru baru ini,
diikuti dengan Selangor dan Kuala Lumpur... saya melihat bahawa sesi pengenalan
calon ini merupakan satu sesi menunjukkan wajah siapa yang bertanding dan tidak
lebih dari itu... pada saya, kehadiran, sorakan penyokong, dan tepukan gemuruh
tiada langsung korelasi dan signifikannya terhadap keputusan yang bakal dibuat
oleh lebih kurang 146,500 perwakilan yang bakal bersidang pada 12 Oktober 2013
ini.
Tatkala saya menulis ini, tanggal 7 Oktober 2013, maknanya
hanya tinggal lebih kurang 4 hari sahaja lagi masa yang tinggal untuk setiap calon berbuat
sesuatu bagi memastikan kemenangan di dalam genggaman. Teringat saya akan
kata-kata Dato' Ghazali Ahmad, Veteran UMNO yang juga merupakan bekas Ahli
Parlimen Kuala Terengganu, beliau menyatakan selagi mana pemilihan berlum
berlangsung... "Menang belum tentu, kalah belum ditentukan...". Maka
semua calon-calon yang saya nyatakan tadi masih mempunyai segenap peluang untuk
berusaha mencari kaedah, jalan serta strategi terbaik bagi memenangi
pertandingan yang pertama kali diadakan menerusi sistem yang sebegini rupa.
Memang
benarlah yang sesi pengenalan calon ini dikatakan sebagai sesi untuk memberi
ruang kepada perwakilan lebih dekat dan mengenali calon yang bertanding. Sebab
itu walaupun tidak diberi peluang berucap, mereka boleh berjabat tangan dengan
perwakilan dan boleh mengedarkan kad atau risalah memperkenalkan diri kerana
perwakilan juga perlu tahu latar belakang calon terbabit.
Calon
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan majlis pengenalan
calon ini merupakan satu pendekatan terbaik untuk memperkenalkan calon-calon
yang bertanding dalam pemilihan UMNO, selain mampu menyekat penggunaan politik
wang dalam pemilihan parti. “Semua calon dapat memperkenalkan diri
masing-masing,mudah-mudahan dapat diterima oleh ahli dan pengundi di peringkat
akar umbi".
“Satu
permulaan yang baik di negeri Perak, diharap dapat dicontohi di negeri-negeri
lain menjelang hari pemilihan sebenar kelak”, katanya.
Seorang
lagi calon Naib Presiden UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan pendekatan
memperkenalkan calon ini memberi peluang yang menawarkan diri untuk
memperkenalkan diri, walaupun tidak dibenarkan berucap, namun calon boleh
berdiri untuk menunjukkan muka kepada pengundi. “Pada pandangan saya, ini
merupakan perkara yang paling asas, dan jika perkara ini tidak dibuat, saya
bimbang kerana ada calon-calon Majlis Tertinggi ini orang baru, nama-nama yang
belum kita kenal".
“Walaupun
masih baru, ini tidak bermakna mereka tidak ada peranan untuk membantu parti.
Jadi, majlis ini dilihat sebagai sangat berguna,” ujarnya yang juga Pengerusi
BN Negeri Kedah.
Namun
demikian sepertimana yang saya nyatakan tadi, sesi pengenalan calon ini,
menurut pemerhatian saya langsung tidak membayangkan apa-apa. Malahan sorakan
yang dilaung-laungkan juga jauh daripada bayangan keputusannya nanti (menurut
firasat sayalah...). Misalannya, bagi pentas MT UMNO sorakan yang agak kuat
khusus buat para Menteri... mengapa? Sebab mereka ini dikenali di peringkat Nasional
dengan jawatan yang mereka sandang, ini termasuklah Menteri, Timbalan Menteri,
Menteri Besar, Ketua Menteri dan sebagainya.
Namun,
kayu ukur yang menentukan dimana kedudukan mereka pada 12 Oktober 2013
nanti HANYA akan ditentukan nasib mereka di tangan perwakilan sendiri. Itulah
hakikatnya.. dan ini juga hakikatnya buat para menteri yang bertanding yang
kini sedang tak senang duduk dan tidak tidur lena memikirkan samada mereka
masih boleh bertahan dengan kedudukan mereka.
SEJARAH
PEMILIHAN
Sedikit imbauan mengenai fakta sejarah. Kali
terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada tahun1987.
Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir Mohamad. Tengku Razaleigh kalah.
UMNO berpecah.
Kali
terakhir Timbalan Presiden UMNO dicabar pada tahun 2008 apabila Muhyiddin Mohd
Yassin dicabar oleh Muhamad Muhd Taib. Muhyiddin menang.
Pertandingan sensasi Timbalan Presiden
berlaku pada tahun 1993 apabila Anwar Ibrahim mencabar Abdul Ghafar Baba.
Setelah Anwar mendapat pencalonan yang banyak, Abdul Ghafar menarik diri
daripada bertanding. Anwar menang tanpa bertanding. Sebulan kemudian Abdul
Ghafar meletakkan jawatanTimbalan Perdana Menteri dan Anwar menggantikan
beliau.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tun Hussein Onn menghadapi
cabaran kamikaze oleh Haji Sulaiman Palestin dalam pemilihan 1978. Beliau
menang dengan mudah dengan memperoleh 898 undi berbanding Sulaiman sebanyak
250.
Kita lihat
bagaimana, sejak pemilihan 1987, UMNO begitu takut mempertandingkan jawatan
Presiden dan sejak itu. Jawatan Perdana Menteri seolah-olah penentu kepada
jawatan Presiden Umno.
Serentak itu juga,
garis pemisahan antara UMNO dan kerajaan menjadi semakin kabur. Maka tidak
hairanlah apabila kerajaan tidak popular UMNO turut tidak popular sebab orang
ramai keliru antara UMNO dan Kerajaan, Kerajaan dan UMNO.
Pemilihan agung
tidak lagi instrumental dalam menentukan siapa menjadi Presiden dan nasib
Presiden sebagai Perdana Menteri.
Nasib Presiden
Umno sebagai Perdana Menteri Malaysia ditentukan oleh pendapat umum dan oleh
kebangkitan ahli seperti yang berlaku ke atas Abdullah pada tahun 2009. Hal
yang sama akan menentukan kekal atau tidak Mohd Najib sebagai Perdana Menteri.
Dan dalam kehampaan melihatkan tiadanya pertandingan pada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden... saya bertambah hampa apabila keluarnya kenyataan daripada Perdana Menteri yang menyatakan 'preference' beliau agar ketiga-tiga Naib Presiden UMNO sedia ada dikekalkan. Inilah kenyataan yang benar-benar menghampakan dan menampakkan betapa sifat Demokrasi boleh dirosakkan dengan kenyataan seperti ini.
Walaupun sedemikian, dari tinjauan yang dibuat di beberapa negeri termasuklah negeri saya (Negeri Sembilan), pernyataan orang nombor satu ini langsung tidak menggugat hasrat setiap bahagian di dalam negeri-negeri membuat pilihan mereka sendiri. Kerana, meyakini jika benar transformasi ingin dilakukan lakukan betul-betul.. "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan".
Dengar khabarnya, banyak juga negeri yang menolak kepimpinan Hishamudin lantaran beberapa siri kenyataan peribadi beliau yang dibuat hingga mengguris hati dan perasaan beberapa sayap UMNO.... dan banyak kali dengarnya beliau memainkan status dirinya sebagai 'sepupu' dengan PM.... barang diingat Parti UMNO ini untuk orang Melayu dan bukan Parti milik keluarga.... haii... entahlah....
NAIB PRESIDEN TUMPUAN 2013
Memandangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, maka tiadalah peluang untuk semua yang sekian lama ingin menyaksikan apakah Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin benar-benar diterima rakyat. Maka dengan demikian, aksi pemilihan
pucuk pimpinan UMNO kali ini tertumpu kepada tiga jawatan Naib Presiden.
Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Presiden UMNO
Tan Sri Muhiyddin Yasin
Timbalan Presiden UMNO
Dalam pertandingan jawatan nombor tiga
ini, apa sahaja boleh berlaku. Daripada tiga penyandang, Ahmad Zahid nampak
kukuh, tetapi Hishammuddin dan Shafie boleh dicabar. Antara pencabar mereka adalah Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Mahathir.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Mohd Shafie Afdal
Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein
Kalau pemilih tahu dan masih ingat, Mohd
Ali dan Isa pernah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dalam pemilihan
parti sebelum ini.
Dalam pemilihan 2008, Mohd Ali cuba
mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dimenanginya pada tahun 2004, tetapi
dihalang setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau melanggar peraturan
pemilihan berkaitan tuduhan politik wang.
Tan Sri Isa Samad
Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Mohd Isa memenangi kerusi Naib Presiden
dalam pemilihan 2004 dengan undi terbanyak tetapi dibatalkan setelah Lembaga
Disiplin mendapati beliau terbabit dengan politik wang dan digantung keahlian
selama tiga tahun hingga 2008.
Satu-satunya muka baru dan termuda dalam
barisan calon Naib Presiden adalah Mukhriz. Selain usia, kelebihan Mukhriz
adalah beliau berjaya memimpin UMNO merampas balik Kedah daripada PAS dalam
Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.
Datuk Mukhriz Mahathir
Namun pengaruh Mohd Ali and Mohd Isa
tidak boleh dipandang remeh. Kedua mereka mempunyai sokongan akar umbi yang
kuat dan pemilihan kali ini, dengan bilangan pemilih kira-kira 150,000 orang,
unsur akar umbi adalah kuat.
KHAIRY MEMPUNYAI JALAN MUDAH?
Khairy Jamaludin Abu Bakar
Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dicabar
oleh empat orang iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan
Ambak, Ketua Cawangan Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah
Sanusi, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman
Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, dan bekas Ketua Pemuda Umno
Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.
Walaupun beliau dibebani oleh tuduhan
menjadi sebahagian daripada Budak Tingkat Empat era Abdullah, beliau berjaya
mengalahkan Dr Khir Toyo dan Mukhriz dalam pemilihan 2008.
Beliau baru berusia 37 tahun dan telah
menjadi menteri penuh. Apa pun persepsi umum terhadapnya, prestasi beliau
sebagai Ketua Pemuda, pemimpin generasi pasca-DEB dan pemikir semasa adalah memberangsangkan.
Pencabar beliau, termasuk Akhramsyah,
adalah pemimpin akar umbi. Tiga persoalan timbul.
Pertama, apakah kepemimpinan Pemuda yang
ada sekarang sepakat bahawa Khairy adalah ketua yang baik justeru itu tidak
perlu diubah?
Kedua, adakah penyertaan ramai pemimpin
akar umbi dalam percubaan merebut jawatan Ketua Pemuda mencerminkan kebangkitan
generasi muda UMNO?
Ketiga, adakah Khairy tidak popular
dengan kepemimpinan akar umbi?
Apa pun, kecenderungan dan keberanian
mereka menawarkan diri adalah dialu-alukan.
KETUA WANITA PENUH KONTROVERSI
Shahrizat Abdul Jalil (60 tahun)
menghadapi cabaran yang tidak diduga daripada bekas Timbalan Menteri Sumber
Manusia Datuk Maznah Mazlan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam
Shah, Pahang. Turut mengemukakan pencalonan adalah Raihan Sulaiman Palestin.
Shahrizat Abdul Jalil
Raihan Sulaiman Palestin
Maznah Mazlan
Dengan
beberapa kontroversi di sekelilingnya, kedudukan Shahrizat boleh disifatkan
sebagai “goyah” tetapi masih sukar dijatuhkan.
Beliau seorang yang diplomatik dan
pandai mengambil hati. Hati terakhir yang dipikatnya ialah hati Perdana Menteri
yang baru saja melantiknya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita bertaraf menteri,
walaupun Mohd Najib sudah ada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(Rohani Abdul Karim).
JAWATAN KETUA PUTERI UMNO SAMA RATA?
Jawatan Ketua Puteri yang ditandingi
oleh Ahli Parlimen muda Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ketua Puteri
UMNO Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman, berupa persaingan sama rata.
Ini memandangkan kedua-dua muka baru ini masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing. Ada yang memberikan pandangan kepada saya yang Ermieyati mempunyai sedikit kelebihan dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dan dengan itu Jamilah sukar uantuk memenangi persaingan ini...
Saya agak kurang bersetuju dengan kenyataan ini memandangkan, hasil daripada pemerhatian saya kepada beberapa perwakilan yang saya kenali dari beberapa buah negeri rata-rata menyatakan bahawa mereka (Puteri UMNO) mahukan transformasi benar-benar dilaksanakan dan bukan hanya dilaung-laungkan. Dan, jikalau mereka dieri pilihan mereka lebih selesa dengan mereka yang belum ada apa-apa komitmen dan jawatan. Memandangkan Mas Ermiyati sibuk dengan posisinya sebagai Ahli Parlimen, maka Jamilah pula yang berkelebihan jika menurut perspektif ini.
Tambahan pula, Jamilah cukup disenangi kerana beliau sendiri aktif turun ke negeri-negeri berbekalkan prinsip dan kudratnya sendiri untuk merapati perwakilan dan dengan penuh rasa rendah diri berkongsi idea, hasrat serta prinsip perjuangannya pada setiap bahagian di seluruh negara.... malahan menurut sumber-sumber rapat sehingga ke saat ini Jamilah masih lagi berada di luar negeri Selangor dan menjelajah ke seluruh negara bagi memastikan wawasan serta dasawarsa beliau dapat dikongsi bersama sekelian Puteri di seluruh negara. Sedangkan Mas Ermiyati hanya sekadar menghadiri sesi pengenalan calon semata-mata (setakat ini lah)...
Persaingan Puteri ini, yang pada jangkaan awalnya saya lihat 'suam-suam kuku' rupa-rupanya tidak kurang hebatnya...
Saya berpeluang menyaksikan pertempuran kedua-dua calon ini dengan masing-masing sudah mula menyiarkan video kempen bagi menyatakan objektif, visi dan misi masing-masing. Saya katakan jikalau dari segi "appearance" gaya, kaedah yang digunakan, mungkin klip video Mas Ermiyati menarik perhatian memandangkan di dalam klip video beliau, beliau memetik kata-kata serta pandangan (walaupun kelihatannya seolah skrip yang dibaca dan dibuat-buat), mungkin golongan muda akan tertarik dengan model yang diambil seorang Peguam (mungkin ya), Elfira Loy (pelakon) dan seorang lagi Ketua Puteri UMNO Tanjung Karang (yang mana agak berisiko kerana membelakangi calon dari Negerinya sendiri - Jamilah )....
Idea 'appearance' memang saya puji, tapi jikalau dari segi 'content' nya, saya boleh katakan sebagai.... agak tidak seberapa...
Manakala, jikalau ditinjau kepada video yang diutarakan oleh Jamilah, jika saya seorang yang matang, mungkin saya akan memilih beliau, kenapa? Pendekatannya simple... mudah... padat dan boleh difahami, Kuasa Politik, Kuasa Ekonomi, Kuasa Sosial dan Teknologi menjadi pilihan penekanan pendekatan beliau. Kelihatannya ringkas tetapi sangat interaktif. Tapi, pandangan saya ini usahlah dihiraukan memandangkan saya tidak akan mengundi pun dalam sayap Puteri ini, namun tetaplah menurut satu sumber rapat saya... "Akhirnya Allah jua lah Yang Maha Kuasa bakal menentukan siapa pilihan akar umbi pada 12 Oktober 2013 ini untuk sayap dan 19 Oktober 2013 ini untuk MT..."
Dengan
bilangan calon yang mendaftar sebanyak 261 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi
dan tiga sayap parti, pemilihan kali ini menjanjikan persaingan yang hebat dan
terbuka.
Mas Ermiyati Shamsudin
Jamilah Hanim Othman
Ia boleh menjadi permulaan kepada
berakhirnya politik wang atau memburukkannya lagi gejala itu. Tugas Lembaga
Disiplin menjadi bertambah berat. Kewibawaan pemilihan bergantung kepadanya. Saya berani katakan, yang Lembaga Disiplin perlu lebih teliti kali ini kerana sudah sampai di halwa telinga kita, yang budaya politik wang di dalam pemilihan kali ini sekalipun sebenarnya jauh panggang dari api untuk menyatakan yang gejala ini sudah berakhir.
Yakin dan percayalah akan kata-kata saya... dan benarlah kata-kata Tun Dr Mahathir... "Perjuangan Kita Masih Belum Selesai!!!"
Apa pun Selamat Maju Jaya kepada yang bakal bertanding, mudah-mudahan hasrat membawa transformasi menyeluruh kepada parti keramat UMNO akan menjadi kenyataan... mudah-mudahan....
Sekian dan Wassalam......
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan