Rabu, 5 Ogos 2009

Antara Arak dan Pakatan Yang Rapuh

Semalam Pas Selangor mendakwa Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mencampuri urusan dalam satu operasi membanteras aktiviti penjualan arak di Bandar Sunway baru-baru ini.

Dalam reaksi balasnya, Ronnie pula menyifatkan isu arak di negeri itu sengaja ditimbulkan Pas bagi mensabotaj Kredibiliti beliau dan menghina integritinya dalam menjalankan tugas pengurusan kerajaan tempatan. Bagi penulis, percakaran mengenai arak itu secara jelas menunjukkan betapa 'goyangnya' kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak akhir-akhir ini. Bila dihalusi dan diteliti, ia merupakan satu pakatan atau kerjasama rapuh.

Kerjasama itu boleh runtuh tanpa 'permainan' BN berdasarkan kepada agenda perjuangan masing-masing yang jauh berbeza...Pas dan DAP macam dua kutub!

Hubungan Pas dan DAP, seperti langit dan bumi.

Pemimpin DAP secara terangan tidak merestui pembentukan negara Islam tetapi itulah perjuangan terakhir Pas
PKR pula, dilihat oleh pemerhati politik banyak bergantung kepada kepopularitian parti-parti pembangkang lain dalam menghadapi BN.

Pemimpin PKR mempunyai banyak agenda termasuklah agenda menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri jika ditakdirkan pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

Demonstrasi dan rusuhan jalanan sedikit sebanyak dikaitkan dengan PKR walaupun pemimpin parti itu menafikan penglibatan mereka. Semakin ghairah demonstrasi jalanan dilakukan, semakin tercalar imej PKR.
Perjuangan PKR juga kabur. Ternyata sekarang, parti-parti pembangkang mempunyai agenda tersendiri yang sehingga sekarang belum nampak cara penyelesaiannya.

Kalau boleh belajar daripada sejarah pilihan raya lalu dan ia dapat dijadikan ukuran. Sebenarnya agak sukar diwujudkan satu barisan pembangkang yang mantap dan padu. Banyak perbezaan yang menghalang pembentukan barisan itu.

Pas pernah menjalin kerjasama dengan Parti Semangat 46 dan hasilnya menawan Kelantan daripada tangan BN, tetapi gabungan itu tidak dapat bertahan lama. Terlalu banyak masalah.

Akhirnya Parti Semangat 46 meninggalkan Pas. Pemimpinnya menyertai BN selepas parti itu dibubarkan.
Ini satu contoh betapa sukar kerjasama pilihan raya dapat diadakan sesama mereka, kerana berlainan ideologi dan perjuangan.

Pas juga pernah membentuk gagasan pembangkang terdiri daripada Parti Semangat 46, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan DAP, tetapi masih gagal untuk menumbangkan BN.

Kali ini, parti-parti pembangkang mencuba lagi. Sebelum ini, isu kerjasama ini pernah dirintis oleh DAP pada tahun 1970-an dan 1980-an tetapi tidak mendapat sambutan Pas.

Justeru itu, kerjasama parti-parti pembangkang terlalu rapuh dalam konteks pilihan raya seperti mempunyai manifesto dan agenda perjuangan bersama selain masalah pembahagian kerusi yang perlu dipertandingkan.

Meminjam kata-kata Kit Siang: ''Kalau asas kerjasama itu ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam, memang DAP tidak bersetuju. Kita kena selesaikan masalah asas ini sebelum bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya.''
Isu arak di Selangor ini sebenarnya telah menunjukkan pada kita bahawa tidak mungkin kerajaan Pakatan Rakyat dapat bertahan lama sekiranya perkara seperti ini pun gagal diselesaikan mereka

Tepuk dada, tanya selera!



Disediakan oleh :
SHARIFAH ANAMARHAEN

Tiada ulasan: