Selasa, 15 Disember 2009

Aku dan BTN - Oleh Amin Ahmad

Saya tidak pasti sama ada untuk mengatakan ya atau tidak kepada usaha kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan berhubung latihan pegawai dan pelajar di bawah kuasa negeri itu untuk ke kursus seliaan Biro Tata Negara.
.
Semasa masuk ke universiti dulu, suasana politik Malaysia masih bergolak berikutan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Justeru, dikhabarkan oleh senior di kampus bahawa semua mahasiswa wajib mengikuti kursus BTN sebelum mereka bergraduat. Malah di universiti, ada persatuan yang rapat dengan BTN di mana mereka berpeluang menggunakan dana BTN untuk aktiviti persatuan di samping menyelitkan modul-modul ceramah BTN yang wajib sebagai syarat pelepasan peruntukan ini.
.
Saya pernah mengikuti kursus seliaan BTN melalui pelbagai penganjur. Namun, yang paling saya ingat tentu saja sebelum menyertai Pilihan Raya Kampus kerana yang lain-lain hanya berbentuk ceramah 1-2 hari di kampus.
.
Ketika di kampus, saya pernah bertanding di bawah tiket “pro-aspirasi universiti” yang dilihat sebagai pro-kerajaan. InsyaAllah saya akan jelaskan sedikit berkaitan isu pro-aspirasi universiti ini kelak.
.
Semua calon ini diwajibkan menyertai satu kursus seliaan BTN, pada waktu itu dibuat di Kem Bumi Jati dan saya dilantik menjadi imam yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal ibadat peserta seperti azan, imam, solat jemaah dan tazkirah.
.
Dalam ucapan pembukaan, penyelaras kem tersebut yang juga mantan mahasiswa di kampus saya telah memberi gambaran bentuk kursus yang akan dijalankan dan menyentuh sedikit tentang politik. Kebetulan, semua peserta yang hadir waktu itu memang untuk politik kampus dan jika tidak silap saya, hanya ada seorang sahaja pelajar bukan Melayu di dalam kursus tersebut. Itu pun kerana ‘terbawa’ selepas jumlah peserta tidak cukup berikutan cuti.
.
Untuk makluman, saya difahamkan bahawa kursus BTN menetapkan syarat kuantiti minima tertentu untuk boleh dijalankan kursus. Pada waktu itu, juga diadakan kursus antara pemimpin mahasiswa Malaysia dan Indonesia di satu tempat lain.
.
Ketika ucapan pembukaan tersebut juga, penyelaras kem tersebut mempertikai gelaran assabiyah yang selalu dilabel kepada UMNO-BN (baca: kerajaan). Beliau bertanya kepada saya “ustaz, mereka selalu kata kita assabiyah, cuba bagitau sikit pada kawan-kawan apa itu assabiyah?”.
.
Saya bukan ustaz dalam pengertian guru agama, dan saya tidak pasti “kita” yang disebutnya itu merujuk kepada siapa. Tapi saya menjawab “Dari satu hadis Nabi s.a.w., para sahabat pernah ditanya tentang apa itu assabiyah ya Rasulullah s.a.w.?”
.
Sebelum sahabat bertanya, Nabi s.a.w. berkata bahawa “bukan dari golongan kami mereka yang menyeru, berjuang dan mati kerana assabiyah”.
Nabi s.a.w. menjawab “assabiyah itu ialah golongan yang membantu saudara mereka dan pada masa yang sama menzalimi orang lain”
.
Saya dapat melihat pegawai penyelaras tersebut tidak senang dengan jawapan saya. Saya sedar, ramai yang cuba mengaitkan semangat assabiyah ini berdasarkan apa diungkap Ibnu Khaldun dalam al-Muqaddimah yang merujuk kepada prinsip ta’awun atau kerjasama. Tapi saya fikir, ungkapan Nabi s.a.w. itu lebih utama untuk diketahui.
.
Saya memang seorang pelajar dan pengamal bidang rekreasi luar. Justeru, saya tidak banyak mengalami masalah berkaitan disiplin masa dan juga mengikuti aktiviti lasak yang ada. Malah sebahagian modul aktiviti lasak atau kawad yang ada itu memang pernah saya guna. Ketika rakan-rakan yang biasa tidur panjang sedikit liat untuk bangun Subuh, saya yang dijadikan imam mengejut mereka sambil mendengar keluhan jurulatih kem yang bersungut tentang “anak Melayu yang tidak ada disiplin dan banyak buat masalah”.
.
Saya mengerti bahawa jika tidak semua, sebahagian besar jurulatih BTN memang seorang yang bersemangat untuk cuba mengangkat maruah anak bangsa Melayu dengan mendisiplinkan mereka. Namun, niat yang baik tidak mesti menghalalkan cara.
.
Selain daripada aktiviti lasak, kawad, riadah dan sesi kemahiran kepimpinan melalui pelbagai aktiviti bersifat permainan atau pemikiran, kami juga dihadapkan dengan beberapa ceramah bersifat politik.
.
Dalam ceramah ini, agenda yang disuntik ialah berkaitan i) jangan terlibat dengan pertubuhan haram mahasiswa. Saya mempertikai sejak bila Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) diisytiharkan haram? Adakah kerana mereka banyak terlibat dengan tuntutan-tuntutan reformasi maka mereka menjadi haram? Ia jelas satu pandangan sempit yang terkait dengan sentimen politik kepartian.
.
Saya juga menolak definisi haram kerana saya menolak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bersabit dengan persoalan kebebasan asasi rakyat. Malah, saya menolah sikap pentadbiran universiti yang mengongkong kegiatan mahasiswa yang berbaur politik. Perihal ini memang sudah diketahui pihak kampus, diketahui oleh bahagian keselamatan universiti malah siapa saja yang mengenali saya. Dalam pidato Pilihan Raya Kampus juga telah saya sebut dengan terang. Persoalan haram tidak timbul jika mereka boleh didaftarkan dan dibenarkan berpartisipasi dengan kegiatan masyarakat termasuk politik.
.
Saya pernah memberikan salinan disket pembentangan BTN berkaitan isu ini kepada Khairul Anwar Zainuddin atau Jonah, aktivis mahasiswa yang pernah di-ISA-kan kerana beliau antara individu yang diburukkan dalam ceramah BTN.
.
ii) memburukkan pimpinan parti selain Barisan Nasional khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dato’ Seri Anwar menjadi subjek penting untuk dibelasah dalam siri ceramah BTN. Beliau digambarkan menjadi agen yang menggugat ketuanan Melayu dan negara. Saya mempunyai kepercayaan bahawa laman seperti www.aidc.com diuruskan oleh mereka yang punya kaitan rapat dengan BTN kerana jenis-jenis gambar dan propaganda yang dimainkan adalah sama sebagaimana yang dilakukan dalam kursus-kursus yang ada. Sebenarnya sebelum itu lagi, laman idealis mahasiswa sering saya kunjung dan berdebat tentang pelbagai isu di sana. Justeru, sebilangan pegawai BTN memang mengenali saya.
.
iii) gambaran tentang nasib orang Melayu dan bagaimana kaum lain menguasai ekonomi negara sejak dulu. Sebelum berceramah, penceramah bertanya sama ada pelajar bukan Melayu ada di dalam dewan atau tidak. Dalam sesetengah kem, mereka diasingkan untuk slot tertentu. Dalam kem saya, kerana yang ada hanya seorang, mereka izinkan dan cuba menjustifikasi bahawa orang Cina ada suara melalui MCA dan Gerakan.
.
Yang lucunya, tajuk ceramah yang diletakkan misalnya Politik Matang dan Erti Kebijaksanaan. Dalam kaedah mantik yang mudah, pegawai-pegawai BTN hanya perlu meyakinkan peserta bahawa menyokong UMNO-BN adalah pilihan yang matang dan erti kebijaksanaan. Graf yang paling popular ditonjolkan ialah graf daya saing negara kepada peserta, sebagai bukti Malaysia sedang diuruskan dengan baik dan statistik lain yang tidak sesuai tidaklah ditonjolkan misalnya tentang rasuah, kebebasan media dan lain-lain.
.
Pulang ke kampus, sebaik saja menang Pilihan Raya Kampus dengan undi tertinggi pada waktu itu, saya ditawar menjadi Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar oleh Timbalan Naib Canselor dan pegawainya. Saya menolak dengan kata “Saya tidak kisah mendapat EXCO Tugas-Tugas Khas yang ke-5 (maksudnya jawatan paling bawah dalam MPP) pun asalkan Majlis Perwakilan Pelajar bebas menguruskan siapa yang layak memimpin mereka dan menjalankan urusan kami”.
Jawab balas yang saya terima ialah “No, for President I will decide”. Selebihnya akan saya kisahkan dalam pengalaman saya berkaitan kepimpinan mahasiswa.
.
Saya juga masih ingat ketika diamanahkan menjadi Pengarah Kongres Mahasiswa Nasional yang menggunakan dana BTN sebelum ditarik balik jawatan selepas Timbalan Naib Canselor memanjangkan satu pesanan ringkas dari pegawai BTN yang mendakwa saya sedang mengaturkan pertemuan MPP seluruh negara dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya menjawab kepada Timbalan Naib Canselor bahawa beliau boleh bertanya dengan mana-mana MPP untuk pengesahan dan saya tegaskan bahawa sebagai manusia bebas, Dato’ Seri Anwar berhak bertemu mahasiswa dan mahasiswa berhak bertemu beliau. Sebenarnya ada kisah di sebalik tuduhan ini di mana seorang rakan saya “menjerat saya” dengan mengusulkan agar saya mengatur satu pertemuan MPP dengan Dato’ Seri Anwar. Saya menganggap ia bagus tetapi tidak bersetuju menjadikan ia medan indoktrinasi.
.
Saya juga kemudiannya tidak diizinkan mengikuti Kongres Mahasiswa Nasional dalam realiti universiti saya sebagai penyelaras dan bilangan wakil pimpinan pelajar dari kampus saya juga tidak cukup. Saya sendiri mendengar dari panggilan telefon rakan kepada Timbalan Naib Canselor untuk membenarkan saya ikut serta. Dalam percakapan mereka yang telah dikuatkan suaranya “buat apa kita nak ajak mereka yang baik dengan pembangkang?”.
.
Kursus BTN untuk saya, lebih kepada mengenal-pasti pelajar yang pro-kerajaan di kampus dan mengenal-pasti pelajar yang perlu dipantau.
.
Melalui ceramah yang ada, pelajar digalakkan bertanya soalan di mana biasanya tidak ramai pelajar yang mahu bertanya kecuali mereka yang kritis. Saya mengambil kesempatan ketika pembentangan untuk meluruskan sikap saya dan peserta terhadap lambakan doktrin yang ada.
Paling buruk tentu saja sikap pegawai dan jurulatih BTN yang ada kala melekehkan pemikiran dan keupayaan anak muda Melayu yang mampu bersaing dengan kata “kamu dapat ke luar negara kerana kerajaan tetapkan kuota Melayu, bukan kerana kamu layak”.
.
Saya dan rakan-rakan juga pernah mengendalikan satu program BTN untuk pelajar sekolah. Daripada modul-modul bersifat politik yang rakan saya sifatkan tidak sesuai untuk pelajar sekolah menengah, kami jadikan ia modul kepimpinan dan motivasi bagi meningkatkan harga diri pelajar, berbanding meremehkan mereka.
.
Umumnya, BTN bergerak dengan objektif sendiri di mana ia adakalanya berbeza dengan kemahuan orang politik. Memang ada pegawai BTN yang bersifat angkuh mengatakan “jika Perdana Menteri atau Menteri datang kursus kami pun kami lanyak serupa” tetapi untuk saya ia hanya penyedap halwa telinga. Malah ada juga yang mendakwa bahawa mereka boleh menaik atau menjatuhkan mana-mana tokoh politik yang mereka mahu!
.
BTN seharusnya berfungsi sebagai satu saluran untuk memupuk penghargaan terhadap demokrasi di mana peserta bebas memilih aliran pandangan yang mereka suka dan berbincang secara objektif dalam kursus tersebut tanpa perlu pegawai BTN menetapkan siapa benar dan siapa salah.
.
Saya mahu katakan bahawa cara BTN mengembangkan keinsafan Melayu untuk bangkit berdikari dan berusaha itu salah. Ia terlalu banyak disaluti kepentingan politik bersifat kepartian. BTN wujud sebagai satu badan indoktrinasi dengan biaya negara. BTN hanyalah sebuah lagi institusi yang gagal memisahkan persoalan eksekutif dan legislatif, malah parti dan kerajaan.
.
Ramai yang berkata dulu Dato’ Seri Anwar pernah terlibat dengan BTN. Apa yang tidak ramai ungkapkan, dulu modul agama di BTN itu jelas dan ia dibawa juga oleh mereka yang jelas dengan prinsip agama saat mengembangkan faham Melayu-Islam berpaksikan keadilan (nilai) dan bukan perkauman (watak) meskipun mungkin ada beberapa hal yang boleh didebatkan, mungkin.
.
-------------------------------------------------------------
*Penulis merupakan bekas Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: