Selasa, 20 Julai 2010

Motivasi Siri 1/2010 : Bina Tenaga Kerja Yang Bermotivasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia...
.
Soalan cepumas untuk dikongsi bersama.... Siapakah yang ingin dipengaruhi dan diilhamkan oleh anda? Jika anda tidak dapat menjawab soalan ini, anda tidak sepatutnya mengurus sesiapapun. Sebagai penceramah yang selalu berceramah di dalam siri ceramah motivasi, saya pernah bertanyakan soalan ini di beberapa program yang pernah saya kendalikan. Anda pasti tidak akan menyangka bahawa terdapatnya beberapa orang yang mempunyai jawatan selaku ketua jabatan, unit atau bahagian menghadapi masalah untuk menjawab soalan ini. Seringkali mereka terpegun dan membisu.
.
Inilah sebabnya mengapa keupayaan menjawab soalan ini begitu penting. Ketua tidak dapat membuat apa-apa keputusan dan tidak akan berkesan dalam pekerjaan mereka, jika anak-anak buah mereka tidak dimotivasikan untuk menunjukkan prestasi yang tinggi. Jadi selaku ketua, atau penyelia, adalah amat penting sekali anda sentiasa mencari jalan untuk menarik perhatian anak-anak buah anda dan merangsangkan keghairahan dan komitmen terhadap organisasi dan matlamatnya.
.
Sebenarnya orang dimotivasikan untuk membuat apa-apa sahaja bagi kepentingan diri sendiri. Matlamat anda sebagai ketua ialah untuk membantu anak-anak buah mengaitkan kebajikan mereka dengan kebajikan organisasi. Apabila ini berlaku, anak-anak buah semestinya dimotivasikan untuk berusaha, kerana bermanfaat bagi diri mereka jika berbuat begitu.
.
Semua ini adalah cara lain untuk menyatakan bahawa motivasi adalah intrinsik. Motivasilah yang memandu kita untuk mencapai matlamat yang kita ingini. Segala yang kita buat adalah kerana kita percaya usaha kita dapat menunaikan matlamat atau keinginan peribadi sekarang atau masa hadapan.
.
Bayangkan ini. Bilakah anda paling gembira tentang pekerjaan anda? Untuk kebanyakan orang, kegembiraan timbul apabila kita terlibat dalam projek atau tugasan yang amat bererti bagi kita - tugasan yang kita hayati, atau tugasan yang kita percaya akan membawa manfaat serta mencapai sesuatu bagi kita dan orang lain. Dengan membantu anak-anak buah membuat kaitan rapat dengan tugasan mereka, anda akan mendapat hasil baik motivasi intrinsik yang wujud.
.
Bilakah anda pernah berhajat untuk merangsangkan organisasi anda? Anda ketua bukan? Bukankah menjadi ketua anda mengurus sesuatu. Dan bukankah mengurus itu menjadi tugas anda? Ya, tetapi motivasi hari ini perlu dijadikan tanggungjawab bersama. Sebagai pengurus, menggerakkan anak-anak buah anda supaya berusaha sedaya upaya setiap hari. Dengan memahami peranan anda sebagai pemimpin dan ketua kepada anak-anak buah anda adalah amat penting sekali. Berikut ialah tiga butiran utama untuk membantu membina organisasi bermotivasi, iaitu:
.
KENALI MENGAPA ANAK-ANAK BUAH MAHU DIMOTIVASIKAN OLEH ANDA; Apabila anda dapat menjawab soalan penting ini, anda akan lebih bersedia menarik perhatian anak-anak buah anda terhadap tugasan mereka dengan lebih berkesan dan mempengaruhi tingkah laku mereka untuk bertindak secara aktif bagi memenuhi matlamat syarikat.
.
KETAHUI BAHAWA MOTIVASI SEBENAR MERUPAKAN KERJA DALAMAN; Orang berhujah tentang motivasi sebagai intrinsik atau ekstrinsik. Akan tetapi, sebenarnya motivasi hanyalah intrinsik, dalam diri kita. Yang kita sebut sebagai motivasi ekstrinsik ialah faktor luaran, seperti ganjaran syarikat, bonus, dan kenaikan gaji, yang akhirnya mempengaruhi motivasi intrinsik kita.
.
PANDU PEKERJA KEPADA YANG PENTING DAN BERMAKNA; Ini memerlukan ketua untuk menggerakkan anak-anak buah mereka supaya menunjukkan yang terbaik, mengambil risiko, berfikir seperti usahawan, dan membebaskan potensi mereka yang bersinergi dan tiada had.
.
Cukup rasanya, pandangan ini kita kongsi buat Bulan Julai ini dan insya Allah kita bertemu lagi dalam artikel yang akan datang di bulan hadapan. Akhir kata saya kongsikan kata-kata oleh Bill Hewlett (Pengasas Bersama Syarikat Hewlett-Packard); "Lelaki dan wanita ingin membuat kerja yang baik, kerja yang kreatif, dan jika mereka diberi persekitaran yang sesuai, mereka akan berbuat demikian."
.
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: