Khamis, 17 Februari 2011

Kelemahan Ekonomi Punca Krisis di Mesir. - Iqmal Hisham

Krisis yang berlaku di Mesir baru-baru ini telah menyedarkan kita bahawa sudah tiba masanya kita semua perlu membuat perubahan yang ketara di dalam pelbagai aspek tidak kira sama ada dalam politik, ekonomi mahupun sosial. Ini merujuk apabila kerajaan Mesir yang sedia ada sebelum ini yang berada di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak gagal di dalam memastikan keperluan dan kemahuan rakyat Mesir dipenuhi.
.
Di dalam bidang ekonomi misalnya, tindakan kerajaan Mesir sebelum ini yang memberikan atau menyogok subsidi kepada rakyat tidak boleh menjayakan ekonomi negara tersebut. Ini kerana apa yang jauh lebih penting adalah kebolehan pemerintah menawarkan kemakmuran demi kelangsungan hidup rakyatnya.
.
Apa yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak, membuktikan cara pemerintahan yang berbelanja banyak di dalam bentuk subsidi untuk 'menyuap makanan' kepada rakyatnya tidak mampu kekal lama.
.
Mesir adalah sebuah negara yang begitu banyak memberikan subsidi kepada rakyatnya, ia meliputi barangan, pendidikan, makanan, perubatan, selain berbelanja tinggi untuk pertahanannya. Ini menyebabkan ekonomi negara itu menjadi statik kerana segala-galanya ditanggung kerajaan kerana tiada pelabur asing yang mahu melabur di Mesir.
.
Apabila tiada pelaburan maka tidak wujudlah peluang pekerjaan dan sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran di Mesir semakin tinggi. Ini menunjukkan walaupun semuanya percuma tetapi kalau pengangguran meningkat ia tidak membawa apa-apa makna.
.
Dalam keadaan di mana rata-rata rakyatnya hidup di dalam garis kemiskinan di mana purata pendapatan rakyatnya adalah hanya US 2 dollar atau RM6 sehari, Hosni Mubarak pula dikatakan telah mengumpulkan kekayaan sebanyak US 70 billion sepanjang hampir 30 tahun memerintah.
.
Ini jelas menunjukkan kelemahan pemerintah Mesir di dalam menjana dan mentadbir ekonominya dengan baik dan ditambah pula dengan kerakusan pemerintah di dalam mengejar kekayaan peribadi sehingga sanggup menggadaikan nasib rakyatnya yang akhirnya membawa kepada kehancuran ekonomi Mesir itu sendiri.
.
Seharusnya, sesebuah kerajaan perlulah memainkan peranan yang cukup penting di dalam mengurus tadbir ekonomi negaranya dengan baik di dalam memastikan agar rakyatnya dapat hidup di dalam keadaan yang lebih baik.
.

.
.
.
Disediakan oleh :
.
Sdr Iqmal Isham
Pendebat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: