Khamis, 17 Mac 2011

Insiden 20 Pelajar Dibuang Sekolah: Tanggungjawab Siapa??

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
.
Semalam, tatkala terbaca kisah 20 pelajar dibuang daripada sekolah berasrama penuh ekoran daripada insiden mendera pelajar dengan menjentik dahi secara bergilir-gilir, menarik perhatian saya untuk menulis.
.
Sejak dari kecil lagi saya mendengar insan penting di sekeliling saya membicarakan soal akhlak, soal sikap, soal mentaliti dan ada juga dikaitkan dengan soal disiplin, yang biasanya menjurus kepada golongan muda selaku kumpulan sasaran untuk dijadikan topik asas berkaitan isu di atas.
.
Timbullah cerita-cerita bahawa golongan muda hari ini tidak seperti dahulu. Kurang sopan, kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya, pengaruh dan kebebasan media tanpa sempadannya dengan liputan rangkaian televisyen yang sekian banyak sebagaimana yang kita boleh saksikan menerusi rangkaian astro, laman internet tanpa sempadan. Ini semua menjadi penghalang utama yang perlu dihadapi jika kita berhasrat untuk mengatasi masalah sosial golongan muda.
.
Siapa yang perlu mengambil perhatian akan hal ini? Ini soalan yang pasti timbul setiap kali isu seperti ini timbul (sudah menjadi budaya kita kan?) ibarat lagu rakyat "bangau oh bangau".
.
Bila dituju kepada sekolah, pasti ada yang mula mempersoalkan sistem kurikulum dan ko-kurikulum, sistem pelajaran dan pembelajaran sedia ada dan sebagainya. Kualiti guru, insentif pelbagai anugerah kerajaan dan lain-lain lagi pasti menjadi sandaran dalam menetapkan apa sepatutnya dicapai dan dizahirkan melalui pencapaian niskala spiritual dan skala material pelajar sejajar dengan falsafah pendidikan negara.
.
Tapi, yalah kalau memikirkankan akan hal ini, saya kira guru dan sekolah tidak wajar dipersalahkan. Apa yang saya lihat sejak sekian lama, meskipun zaman saya sendiri walau dalam keadaan kemudahan yang serba kurang (apatah lagi zaman sebelum saya), segalanya jauh lebih baik pada hari ini. Kualiti, kemudahan, akreditasi para guru dan segalanya kelihatan lebih baik.
.
Kalau kita analogikan pisau sebagai sistem dan sekolah pada hari ini, ia akan diserahkan kepada pengguna untuk mengaplikasikan cara penggunaan. Jika tidak digunakan maka pisau ini tidak akan berperanan dan hanya akan bertindak sebagai hiasan. Kalau digunakan secara salah maka, berbahayalah pisau ini dan jika digunakan untuk manfaat dan kebaikan maka sangatlah berguna ia pada kita.
.
Demikian jugalah dengan sistem dan sekolah dewasa ini, maka terserahlah kepada pelajar untuk memanfaatkannya. Maka untuk menyalahkan sisitem, sekolah dan guru, maka perlulah diingat ia bertindak selaku alat dan bukan sebagai faktor penentu sahsiah seorang pelajar mahupun pencapaian dan kecemerlangan pelajar.
.
Seterusnya kita tujukan kepada pelajar. Bila berbicara aspek ini pasti ramai bersetuju dengan saya untuk mengatakan bahawa pelajar hari ini tidak seperti dahulu. Memanglah benar, dengan tahap pendedahan serta perubahan zaman dan dihadapi, pastinya tidak akan sama seperti dahulu. Dulu TV tiada seperti hari ini dengan puluhan saluran yang disediakan, internet yang menghubungkan individu dengan maklumat dan interaksi alam sarwajagat yang pastinya ini sahaja menjadikan latarbelakang 'subjek' yang kita sedang ceritakan ini yakni pelajar tidak akan sama keadaan ciri dan sifatnya dengan pelajar zaman terdahulu.
.
Namun, ada satu yang perlu kita ingat, ada satu sahaja yang kekal sama... (sepatutnya) iaitu aspirasi serta matlamatnya. Berjaya di dalam kehidupan. Itu akan sama paling tidaknya. Tiada siapa pun yang meletakkan kegagalan sebagai matlamat hidupnya. Ini pasti! Oleh yang demikian, untuk mencapai kejayaan di dalam kehidupan, mahu tidak mahu jalan yang ingin diikuti pastinya jalan yang baik.
.
Jalan baik yang dimaksudkan, kegigihan, usaha, tindakan yang selaras dengan matlamat, misalnya, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, tidaklah hanya diukur berdasarkan prestasi akademik semata-mata, malahan pastinya sahsiah dan kualiti peribadi turut dijadikan asas pertimbangan. Oleh yang demikian, pelajar pada hari ini perlu sedar, anda perlu mula menilia diri anda dan menyedari soal masa depan anda, iaitu lakaran kehidupan bagaimana yang anda inginkan maka bersedialah dengan warna serta corak yang bakal dilukis di dalam kanvas kehidupan yang diimpikan.
.
Pelajar perlu mula bertanggungjawab atas tindakan yang diambil tanpa menyalahkan orang lain diatas apa yang telah berlaku. Insiden yang berlaku dalam laporan akhbar semalam, pelajar perlu bertanggungjawab daripada menyalahkan orang lain. Apa jua tindakan diambil ke atas anda termasuklah dibuang sekolah, tindakan anda sebenarnya yang telah mendorong hukuman tersebut diambil.
.
Dan seterusnya kita melihat kepada ibu bapa. Sejak sekian lama kita mendengar konsep pendidikan asas bermula dari rumah. Maksudnya, tidak dapat tidak ibu bapa memainkan peranannya memastikan anak-anak dididik dengan sedemikian teliti dan cermat agar dewasa kelak bisa memisahkan yang mana baik dan buruk, yang mana intan yang mana kaca, yang mana emas yang mana permata.... Itulah harapannya. Tetapi, barang diingat, sedari awal lagi... kesilapan kita mendidik dan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar ekoran daripada kita terlepas pandang akan perilaku dan peribadi sebenar anak-anak, tidak boleh dijadikan tiket untuk kita menyalahkan pihak lain.
.
Merujuk semula kepada laporan akhbar semalam, boleh pula salah seorang daripada ibubapa menyatakan bahawa mereka tidak diberikan notis tentang tingkahlaku anak-anak mereka yang mana sepatutnya (menurut pandangan ibubapa pelajar yang dibuang sekolah), sekolah sepatutnya memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.
.
Perlu diingat, apabila berada di Sekolah Berasrama Penuh, ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan mengawal perilaku anak-anak termasuklah keputusan membuang pelajar seandainya terlibat di dalam masalah disiplin.
.
Soalan saya, kalau notis dijadikan soal, pernahkah anak-anak mereka memberi notis kepada pelajar yang jentik dahinya sebelum menjentik? Soalan ini mungkin dangkal, tetapi jika pelajar ini diberi peluang lain, apa persepsi pelajar lain. Inilah sebenarnya penyakit hari ini yang sebenarnya merosakkan pelajar tersebut sebenarnya.
.
Apabila anak membuat salah, tetap anak yang dimenangkan. Jika ini berterusan sampai bila-bila pun pendewasaan anak menerusi pengajaran rencah kehidupan tidak akan dapat dibentuk dalam diri pelajar berkenaan. Bunyinya kejam, tetapi inilah sebenarnya rahsia mengajar anak-anak supaya belajar menerima hukuman atas apa yang dilakukan. Tanggungjawab adalah persoalan yang paling utama disini.
.
Saya yakin dan percaya, jika ibubapa yang mana anak mereka dibuang sekolah tadi kita ubah posisi / kedudukan mereka sebagai ibubapa kepada pelajar yang dinetik dahi secara bergilir-gilir pula? Apa agaknya respon mereka? Mereka pastinya tidak mahu pelajar-pelajar yang membuli anak mereka ... lebih-lebih lagi dengan taraf sekolah yang didiami itu bertaraf Sekolah Berasrama Penuh yahng dijamin kualitinya dari segenap segi. Bukankah begitu?
.
Peribahasa dulu-dulu ada kebenarannya, "sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan", maka janganlah sayangkan anak kita terlampau menangkan tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada anak-anak.
.
"Janganlah dihancurkan masa hadapan anak-anak ini" kata salah seorang daripada ibubapa terbabit. Soalan yang sepatutnya timbul, siapa sebenarnya yang menghancurkan masa hadapan mereka?
.
Setelah saya berbicara sedari awal tadi, saya meyakini yang anda telah tahu jawapannya. Siapa sebenarnya yang telah menghancurkan masa hadapan anak-anak ini.......
.
Semoga anak-anak dan ibu bapa terbabit mampu merenung apa yang telah diperkatakan.. terpulanglah kepada kita untuk memutuskan ianya TANGGUNGJAWAB SIAPA???.
.
.
.
Disediakan oleh :
.

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Sdr. Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

2 ulasan:

Unknown berkata...

salam. Sy berminat untuk menjemput sdr. Syamsul Amri utk dtg berceramah di jabatan saya > KADA, kelantan. boleh berikan saya no tel yang boleh di hubungi/cara2nya? sila email ke kada.kckk@gmail.com

Pn Nur Hayati Mohamed

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Terima kasih di atas kesudian, boleh sahaja menghubungi saya di 019-6132445.

Terima kasih sekali lagi.

Syamsul Amri Ismail
Presiden ADAM