Khamis, 5 Januari 2012

Berbaloikah Pelajar Menyertai Perhimpunan 901 ?

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Kali ini saya kembali menulis, setelah sekian lama dipenuhi masa dengan undangan ceramah di pelbagai seminar, kursus dan bengkel. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah kerana mengurniakan saya sedikit masa untuk berkongsi idea dan pandangan bersama semua yang sudah sekian lama mengikuti penulisan saya di ruangan blog ini.

Sebelum itu, rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 buat semua.

Di saat saya menulis ini, sedang heboh dan hebat masing-masing berhujah di laman akhbar, tabloid berhaluan kerajaan mahupun berhaluan pembangkang, portal, web, blog (pertempuran di alam maya) membicarakan pendirian masing-masing, samada yang menyokong mahupun membidas dan menyelar perhimpunan 901 membebaskan seorang individu bernama Anwar.

Itulah topik utamanya. Meskipun sedemikian hak untuk membicarakan hal ini, tidak ingin saya sentuh ekoran daripada hak yang bersuara sepertimana dinyatakan di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan sebagainya. Namun, barang diingat bahawa kebebasan ini tertakluk kepada lunas undang-undang sehingga mana ia tidak menimbulkan unsur-unsur subversif yang bisa mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan negara sebagaimana dinyatakan kemudiannya di dalam Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan.

Bukan niat untuk mengajar, tetapi buah fikir saya mengkehendakkan semua memahami apa natijah sesuatu tindakan jika ingin dilakukan. Kebebasan di negara kita sememangnya telah sekian lama wujud namun batasannya perlu difahami dan perlu dihormati bagi mengelakkan ia menjadi satu asas berlakunya perbuatan yang menimbulkan rasa tidak selesa rakyat serta mengancam keselamatan serta keharmonian negara.

Masih lagi, sehingga ke perenggan ini gambaran penulisan saya ini tidak saya pahatkan sokongan saya kepada mana-mana pihak. Apa pun tujuan utama penulisan saya adalah lebih kepada menasihatkan golongan pelajar kerana saya dahulu pun pernah bergelar sebagai mahasiswa di Universiti Tempatan yang tiada bedanya dengan golongan mahasiswa yang berdegar-degar dengan laungan 'konon' nya untuk menuntut keadilan. Nasihat ini adalah khusus buat pelajar, agar tidak terbawa-bawa dengan ketaksuban menyokong seseorang kerana soalan yang bakal timbul nanti.Siapa kita? Rakyat? Pelajar? atau siapa sebenarnya? Pejuang?

SEBAGAI RAKYAT

Apakah tanggungjawab kita sebagai rakyat. Amanah kita sebagai rakyat adalah memahami negara kita dan menyanyanginya serta menerima tanggungjawab untuk menjaganya daripada memusnahkannya. Jikalau kita mendakwa kita sebagai rakyat maka dokongilah ikrar Rukunegara untuk menjungjung Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-Undang. Apakah kita lupa sebagai rakyat dokongan menghormati setiap peraturan dan undang-undang. Pihak PDRM menerusi kenyataannya memohon kita sebagai rakyat menanti keputusan Mahkamah, kerana walau apa jua yang berlaku Mahkamah jua lah yang berada di landasan untuk menentukan keputusan yang adil dengan mengambilkira fakta serta hujah yang dibentangkan di dalam mahkamah.

Yakin dan percaya apabila pelajar menyatakan yang mereka ingin menyertai perhimpunan ini demi menegakkan keadilan, sekali lagi saya ajukan soalan, siapa anda? Apakah anda hakim atau entiti yang berkuasa menentukan salah betulnya sesuatu hukuman, Anda bukan apa pun yang saya nyatakan tadi melainkan hanya pelajar dan hanya rakyat yang diamanahkan untuk hormat. Sewenangnya menuduh badan kehakiman sebagai diperalatkan secara semberono tanpa asas (malah lebih sifat mengulang dakwaan mereka yang kecewa dalam perjuangan) tiada maknanya.

Lord Devlin pernah menyatakan bahawa "Martabat badan kehakiman dan reputasinya yang benar-benar bersifat adil dan saksama itu tidak boleh digunakan oleh mana-mana kerajaan pun; ia ialah harta yang menjadi milik seluruh negara". Dengan demikian menjadi milik tidaklah bermakna kita boleh menuduh tanpa sebarang bukti bahawa badan kehakiman sebagai tidak adil!

Memperjuangkan 'keadilan' kononnya (kata pelajar-pelajar yang ingin menyertai perhimpunan), dengan tahap kapasiti kita sebagai pelajar, yang mana tidak sampai ke tahap boleh membuat keputusan terhadap sesuatu kes mahkamah hanya akan menimbulkan kekecohan dan huru-hara. Perhimpunan bakal mengundang pelbagai masalah, malahan lebih dahsyat lagi kesan yang bakal diterima sekiranya terlibat di dalam perhimpunan yang tidak sah dan bersalahan sama sekali dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan sebagaimana yang telah saya utarakan di awal tadi.

SEBAGAI PELAJAR

Kesan besar sekiranya tertangkap, para pelajar berhadapan dengan kemungkinan bakal dikenakan tindakan tatatertib di Universiti atau Tempat Pengajian masing-masing malahan juga berhadapan risiko di hadapkan ke mahkamah yang bakal dijatuhkan hukuman berat sebagai rakyat yang melanggar undang-undang negara yakni tidak bersesuaian dengan kehendak Perlembagaan dan Undang-Undang negara kita.

Tatkala itu untuk menyesali pun sudah terlewat. Menangis air mata darah pun tidak berguna.

Perlu diingatkan, tatkala pelajar sekelian melangkah masuk ke universiti dengan satu tekad memperoleh segulung ijazah demi menjana masa hadapan yang cemerlang dan seterusnya dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Tetapi seandainya para pelajar terlibat juga dengan perhimpunan seperti ini dan kemudiannya tertangkap, dan hilangnya tumpuan utama dan fokus terhadap pembelajaran, maka gelaplah masa hadapan. Usah dimimpikan kebahagiaan keluarga yang kita janjikan sedari awal bergelar mahasiswa kerana tatkala itu jadilah kita sebagai seorang insan yang hanya mengecewakan manusia disekelilingnya termasuklah keluarga yang dicintainya.

Justeru ingatlah bahawa, sebelum kita menyertai perhimpunan yang sia-sia ini bayangkanlah wajah kaum keluarga kita yang mendambakan kita bergelar mahasiswa yang cemerlang dan seterusnya mampu meralisasikan hasrat serta amanah yang telah digalas di atas bahu kita ini. Janganlah kita melakukan perbuatan yang sia-sia sepertimana yang dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 96, bermaksud:

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu seloba-loba manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup beribu tahun, padahal umur panjang yang demikian tidak dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan".

Maknanya, masa yang dimiliki kita bukanlah panjang. Lebih lagi sebagai pelajar. Janganlah dipersiakan. Masa berlalu tanpa kita sedari dan setiap detik bertambahlah usia kita yang sepatutnya mematangkan dan mendewasakan kita. Sedangkan perjalanan usia akan sampai ke satu saat akhir yang pasti. Warna-warna keindahan dan keasyikan sering membuat manusia berimpian untuk hidup seribu tahun lagi, sedangkan usia yang panjang itu sepatutnya diisi dengan perbuatan yang amal makruf dan kebajikan.

Pelajar menerusi konteks ini perlu digunakan untuk menuntut ilmu dan melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan bukannya membenarkan diri diperalatkan oleh musuh mahupun sesiapapun yang boleh melalaikan pelajar dan seterusnya terjebak ke kancah kehancuran yang boleh membinasakan masa depan kita.

Sesungguhnya mereka yang bertekad meneruskan perhimpunan ini sememangnya tidak sayangkan keharmonian serta kesejahteraan negara dan boleh sama sekali dilabel sebagai mush negara. Wahai sekelian pelajar, janganlah dibenarkan diri di peralatkan dan menjadi tali barut musuh negara ini. sepertimana di dalam Surah Ali-Imran Ayat 118 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya".

Umat Islam akan senantiasa menghadapi cabaran yang besar di dalam mengangkat martabat ummah ke mercu kecemerlangan. Sesungguhnya kejayaan kita mentadbir negara akan sentiasa dicemburui kerana golongan munafik dan orang-orang Kafir akan berusaha sedaya upaya untuk melemahkan negara kita.

Ada di antara musuh negara ini sanggup mengumpulkan dana yang besar bagi melumpuhkan kekuatan pentadbiran dan pemerintahan negara kita. Monopoli ke atas sistem kewangan dan ekonomi merupakan senjata utama agar kita meminta bantuan dan bergantung harap kepada mereka. Inilah yang berlaku ke atas diri Rasulullah SAW. Oleh itu kita harus sentiasa sedar dan bersiap sedia menghadapi cabaran agar tidak menjadi bangsa yang dijajah. Kita juga perlu berganding bahu agar segala cubaan untuk melemahkan kekuatan dan perpaduan kita berjaya dihalang dan dapat dibanteras.

Janganlah golongan pelajar sebegitu mudah diperalatkan supaya hadir ke perhimpunan yang hanya bermotifkan kepentingan politik peribadi ini. Bangkitlah wahai golongan pelajar dan jangan sekali-kali kita tunduk kepada hasutan yang hanya akan mendorong kita ke lembah kehancuran.

Ingatlah, amanah kita selaku rakyat, hayatilah iskandung Rukunegara, saya negara, beramanahlah di dalam mengangkat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang agar kita dan keluarga kita tidak menerima akibat akibat mengikut hasutan musuh-musuh negara untuk menjahanamkan tanahair kita. Dan ingatlah tanggungjawab dan amanah kita selaku pelajar untuk menuntut ilmu dan meraih kecemerlangan, atau jika tidak ibu bapa dan keluarga kita akan menangisi betapa usaha, penat lelah dan jerih mereka mengikat perut dan membanting tulang demi kejayaan kita di menara gading akan jadi sia-sia dek kerana kita menurutkan kata hati dan hawa nafsu yang akhirnya kita sedari hanya berpaksikan kepentingan seorang insan yang bernama "ANWAR".

Semoga saranan ini dipertimbangkan oleh generasi muda sekelian.

Sekian dan Wassalam.









SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL

Presiden

Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)




Tiada ulasan: