Rabu, 16 Februari 2011

Taat Kepada Pemerintah (Ulil ‘Amr). Siapakah Mereka?

Taat Kepada Pemerintah (Ulil 'Amr). Siapakah Mereka?

Firman Allah :-

'Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya'. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Ayat yang tertera diatas merupakan perintah Allah kepada umat Islam agar sentiasa mentaati Allah dan mentaati rasulnya serta ulil amri. Perbahasan berkenaan tafsiran ayat tersebut telah dijelaskan oleh para ulamak mufassirin seperti al-Quthubi, ibnu Khasthir dan lain-lain ulama'. Penulis tidak akan membincangkan tajuk ini secara panjang lebar kerana ilmu tafsir al-Quran ini memerlukan golongan yang arif dan mahir dalam bidang berkenaan. Perlu difahami ayat-ayat al-Quran hanya boleh ditafsir dengan cara berikut:-

1. Al -Quran hendaklah ditafsirkan oleh al-Quran itu sendiri.
2. Al-Quran ditafsirkan oleh al-hadis
.

Justeru penulisan pada kali ini ingin membawa para pembaca memahami maksud ayat di atas secara ringkas agar para pembaca dapat memahami dalam menghadapi suasana pada hari ini. Secara ringkasnya ayat ini merupakan arahan Allah agar seluruh orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah agar mentaatinya dengan ketaatan yang mutlak tanpa sedikitpun persoalan. Begitu jua dengan ketaatan kepada rasulullah.
.
Namun, ulama mufassirin menjelaskan bahawa ketaatan kepada ulil amri adalah ketaatan yang tidak bersifat mutlak. Ulil amri atau golongan yang memegang tanggungjawab terhadap orang beriman hendaklah ditaati selagi mana ulil amri tersebut mentaati Allah dan Rasulnya dan arahan ulil amri tersebut juga wajib ditaati selagimana arahan tersebut selari dengan kehendak Allah dan Rasulnya. Namun ketaatan ini tidak menjadi wajib setelah arahan tersebut ini bercanggah dengan arahan Allah dan rasulnya. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan perkataan taat hanya pada perkataaan Allah dan Rasulnya sahaja. Penjelasan ini juga turut dikuatkan dengan hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud:

'Wajib bagi bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat kepada (penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat maksiat. Apabila penguasa melakukan maksiat maka tidak perlu didengari dan ditaati'. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Hadis ini menunjukkan wajibnya taat kepada penguasa, hal itu berlaku dalam perkara yang bukan maksiat.

Sabda Rasulullah: " Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam perkara maksiat" (Hadis Riwayat Bukhari)

Istilah ulil amri itu sendiri mempunyai maksud yang berbagai. Terdapat sebahagian ulama' menafsirkan perkataan ulil amri sebagai pemerintah manakala sebahagian ulama' lain menafsirkannya sebagai ulama'. Malah Ibnu Taimiyyah turut menyatakan : 'Ulil Amri mencakupi dua golongan iaitu ulama' dan penguasa'.

.

.
Artikel ini disumbangkan oleh :

Mashor Izad

Pendebat USIM


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah dan Rasul saw, jelas pada semua sahabat.Adakah pada masa ayat tersebut diwahyukan, perkataan Ulil Amri jelas pada para sahabat sehinggakan tiada yg bertanya misalnya " Wahai Rasulullah, siapakah gerangannya ulil amri ini"?.