Rabu, 8 Jun 2011

Ceramah Motivasi Kecemerlangan Pelajar di SMAP Labu

7 Jun 2011, Labu : Satu lagi ceramah pelajar telah diadakan demi memantapkan prestasi serta keazaman pelajar ke arah mencapai kecemerlangan. Kali ini satu kursus pelajar cemerlang dan gemilang telah diadakan selama seminggu bertempat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Labu. Program ini telah disertai oleh pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang bakal menghadapi peperiksaan PMR dan SPM pada tahun ini. Program ini telah disertai lebih daripada 100 pelajar.

Selain daripada pelajar SMAP Labu, program ini turut disertai oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Dato' Shahardin, Labu, Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai dan lain-lain lagi.

Sebagai slot permulaan, Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) telah dijemput menyampaikan ceramah. Dengan tema Motivasi Kecemerlangan Pelajar, Sdr Syamsul menyampaikan ceramah bertajuk "Menempa Kecemerlangan Masa Hadapan". Ceramah beliau bermula sejak jam 9.15 malam hinggalah ke jam 11.15 malam. Ceramah ini, meskipun berlangsung malam, para pelajar langsung tidak mengantuk malahan memberi perhatian terhadap ceramah yang disampaikan hinggalah ke akhirnya. Tambahan pula, Sdr Syamsul yang terkenal dengan ceramah yang turut diselitkan dengan kisah-kisah yang menarik serta menyelitkan unsur-unsur humor di dalam ceramahnya.

Menurut Sdr Syamsul pula, beliau merasa teruja kerana berpeluang berceramah di sekolah ini memandangkan beliau sendiri merupakan bekas pelajar SMAP Labu. "Saya berasa tersentuh kerana dipanggil berceramah di sini, memandangkan saya telah meninggalkan sekolah ini semenjak tahun 1994, dan bayangkanlah setelah hampir 17 tahun meninggalkan sekolah, baru kini saya berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah ini, apatah lagi sebagai penceramah. Itulah sebabnya saya tidak langsung berfikir lama untuk menerima jemputan berceramah di sini".

Sdr Syamsul berazam memberikan tips untuk dikongsi bersama agar para pelajar mampu berjaya mendepani masa hadapan.

EDITOR dengan ini mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur di atas kejayaan menganjurkan program ini. Berikutnya, EDITOR turut ingin berkongsi gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan sewaktu ceramah Sdr Syamsul berlangsung.

Disediakan oleh : EDITOR

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Boleh tak saya nak dapatkan no. contact ENCIK SHAMSUL? Saya bercadang nak jemput berceramah di Terengganu. Kalau okay beritahu ya!
- Fasha -