Sabtu, 22 Ogos 2009

Selamat Menyambut Ramadhan 1430 Hijrah


Assalamualaikum W.B.T buat semua Warga Alumni Debat,


Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna serta dipenuhi dengan amal ibadat bagi mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.


Sekiranya anda ingin menyampaikan apa-apa bingkisan kata serta pandangan, silalah kemukakan kepada alumnidebat@yahoo.com. Insya Allah, soalan-soalan yang masih belum berjawab menerusi e-mail akan saya jawab dalam masa terdekat ini.


Selamat Menyambut Ramadhan 1430 Hijrah.


Sekian dan Wassalam

Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Jumaat, 21 Ogos 2009

Seminar "SPPKMK" di PPSPPA !!

Di antara peserta yang hadir menyertai Seminar SSPKMK

19 Ogos 2009 - Satu "Seminar Pemantapan Prestasi Kualiti & Mutu Kerja" (SPPKMK) telah diadakan di Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam (PPSPPA) di Seremban. Seminar ini yang disertai kira-kira 45 orang kakitangan PPSPPA berlangsung selama sehari bermula daripada jam 8.30 pagi hingga ke 5.00 petang. Program Seminar yang padat dengan tips-tips serta panduan bagi mempertingkatkan prestasi pekerja ini telah diikuti dengan cukup fokus oleh kakitangan PPSPPA.

Menurut En. Azizi selaku salah seorang pegawai yang terlibat memaklumkan bahawa, "Sesungguhnya program seperti sangat penting bagi memantapkan serta memperkukuhkan tenaga kerja agar lebih efektif dan efisien di dalam menjalankan tugasan. KIta tidak mahu dianggap tidak profesional atau membuta tuli di dalam melakukan tugasan. Lagipun, ini merupakan salah satu daripada usaha PPSPPA di dalam memantapkan jentera modal insan ke arah menyumbang untuk Perbadanan, Negeri dan seterusnya Negara!".


Program ceramah yang sarat dengan pembentangan beberapa slot berkaitan disiplin, pembangunan diri, pembangunan organisasi, kemahiran interpersonal dan lain-lain telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail. Menurut saudara Syamsul, modul seminar ini sememangnya digarap khas oleh beliau sendiri, dan sebelum ini modul ini pernah dipraktikkan oleh pekerja-pekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ketika beliau berkhidmat di sana.
Para peserta bergambar beramai-ramai selepas tamat Seminar dijalankan

Saudara Syamsul mengulas yang peserta yang merupakan kakitangan PPSPPA ini mempunyai ruang dan masa depan yang sangat cerah memandangkan kakitangan yang menyertai kebanyakannya masih muda serta berupaya untuk menyumbang dengan lebih lama lagi untuk PPSPPA.

Semoga PPSPPA berjaya di dalam usahanya melahitkan pekerja yang bertenaga serta berdaya saing.


Disediakan oleh :
EDITOR

Program "Motivasi Kecemerlangan Pelajar" Daerah Tampin

2 Ogos 2009 - Satu program Motivasi Kecemerlangan Pelajar telah diadakan di D'Nelayan Beach Hotel, Pengkalan Balak, Melaka. Program ini telah dianjurkan oleh pihak Pejabat Daerah & Tanah, Tampin. Program yang telah dirasmikan oleh En Mohd Zahirin Adnan ini telah berlangsung selama 3 hari dan 2 malam. Program ini merupakan salah satu usaha pihak Pejabat Daerah & Tanah Tampin di dalam membantu dalam bentuk usaha jangka panjang bagi mengeluarkan pelajar-pelajar yang berada di dalam kelompok keluarga miskin berusaha membawa keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan menerusi kecemerlangan akademik.

Di antara pelajar perempuan yang mengikuti kursus ini


Penceramah bagi program tersebut ialah Saudara Syamsul Amri Hj Ismail iaitu Eksekutif Latihan di Intellectual Orator Consultant (IOC). Program ini telah disertai kira-kira 20 orang pelajar yang datang dari seluruh kawasan jajahan Pejabat Daerah & Tanah Tampin. Adalah diharapkan usaha ini akan membawa kejayaan kepada pelajar-pelajar tersebut yang rata-ratanya bakal menghadapi peperiksaan PMR dan SPM tidak lama lagi. Semoga usaha yang baik ini akan turut dicontohi oleh kesemua agensi kerajaan yang lain.

Barisan pelajar lelaki yang menyertai program motivasi


Majlis Penutup program ini telah disempurnakan sendiri oleh Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail.


Selamat Maju Jaya diucapkan.



Disediakan oleh:
EDITOR

Rabu, 12 Ogos 2009

Bahana 'Syaitan Merah' dan 'Si Biru' - Oleh Presiden ADAM

Pelbagai reaksi, pelbagai gelagat serta pelbagai kenangan yang ditinggalkan oleh Pemain-Pemain Manchester United setelah berangkat ke Korea bagi meneruskan siri perlawanan persahabatan jelajah Asia sebagai persediaan pra-musim yang bakal bermula dalam minggu ini. Banyak perubahan kita lihat. Daripada angka kekalahan yang berubah-ubah (bilangan golnya), gaya permainan dan sebagainya. Teringat pula saya ketika Malaysia tewas 4-2 kepada England, ketika itu, Matlan Marjan diangkat sebagai wira negara apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk Malaysia. Ketika itu, pasukan Bolasepak Malaysia diberikan harapan bahawa berada di landasan terbaik untuk pergi jauh di dalam bolasepak. Namun, setelah beberapa tahun... harapan tetap tinggal harapan.


DRAMA KEKALAHAN BOLASEPAK NEGARA


Kita semua sedia maklum bahawa pasukan negara kita tetap kekal berhempas pulas berjuang meskipun dengan negara jiran yang dahulunya bukan tandingan kita. Thailand, Singapura, Vietnam bukan cabaran kita pun dahulu. Namun kini, mereka sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita. Yang menyedihkan, dengan Myanmar dan Vietnam pun kita belum tentu dapat tumpaskan. Kisah kedukaan di sukan SEA sudah terlalu lama kita tanggung, malahan hampir tidak dipedulikan pun pencapaian bolasepak negara. Lebih baiklah ditumpu pada Badminton dan Squash. Hati pun tak sakit (kata mereka).


Nak kata negara kita kurang kemudahan, rasanya infrastruktur serta kemudahan sukan kita jauh lebih baik daripada Vietnam dan Myanmar. Maka apakah salah kita. Apakah kajian serta hasil kajian di atas kekalahan kita di pentas asia mahupun kelayakan piala Asia dan Dunia? Pastinya kajian masih lagi tidak dapat menjawab persoalan ini. Ada masanya kita sebagai manusia pun berasa malas jika asyik mendengar alasan terhadap ketidak mampuan pasukan Kebangsaan kita. Alasan demi alasan diberi, semakin hari semakin canggih alasannya. Namun, cukuplah kita menjawab dengan perkataan. Sudah tiba masanya, pencapaian kita mengambil peranan untuk ditonjolkan berbanding retorik permasalahan yang seringkali dijadikan alasan sehingga ke tahap yang memualkan.


Di mana silapnya? Mungkin pemain, pengurus, sistem, pengurusan FAM, pendedahan, Jurulatih atau apa sebenarnya? Tiada siapa berani tampil mengakui kesilapan sendiri. Pelbagai projek kecemerlangan telah pun dilaksanakan sejak sekian lama... tetapi... hasilnya?? Inilah yang menyebabkan masyarakat Malaysia penat malahan ada yang sudah tidak mahu ambil tahu tentang berjaya atau tidaknya Bolasepak Malaysia.


SIAPA PENYOKONG KITA?


Manchester United dan Chelsea. Dua kelab gergasi Eropah, yang seringkali mendominasi kejuaraan di dalam Dunia Bolasepak Eropah. Malahan juga tersenarai sebagai 'top four' pesaing di dalam Kejuaraan Liga Perdana Inggeris (selain daripada Liverpool dan Arsenal). Namun bukan itu maksud saya. Maksud saya, siapa mereka pada kita sebenarnya, sebenarnya kelab ini berasal daripada rumpun Inggeris yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dulu. Janganlah kita lupa akan hal ini. Bukanlah maknanya saya tidak bersetuju dengan perlawanan persahabatan yang diatur, tetapi yang merisaukan adalah 'siapa penyokong kita'. Ya, sepatutnya rakyat kitalah yang menjadi penyokong.

Poster memaparkan gambar pemain Chelsea. Tiada satupun wajah pemain Malaysia





Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya dan sahabat saya, Nasir berkesempatan menyaksikan perlawanan persahabatan di antara Chelsea dan Malaysia pada 29 Julai 2008 yang lalu, bertempat di Stadium Shah Alam. Apa yang dapat diperhatikan, penyokong pasukan Chelsea (orang Malaysia tentunya) begitu fanatik terhadap pasukan Chelsea ini berbanding pasukan negaranya sendiri. Malahan, lebih menyedihkan, ramai penyokong yang mengherdik serta memaki hamun pemain Malaysia setiap kali timbul 'tackling' atau 'foul' terhadap pemain Chelsea. Apabila pemain Malaysia memegang bola, mereka di 'boo'. Bayangkanlah bagaimana mentalitu pemain kita agaknya ketika di dalam padang. Jika rakyat tempatan sendiri tidak memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukannya, maka apalah nilainya....


PERISTIWA BERULANG


Malaysia lawan Manchester United




Hampir sahaja peristiwa ini berulang. Tahun ini (2009) iaitu pada 17 Julai yang lalu, berlangsung pula perlawanan persahabatan di antara Syaitan Merah (Red Devils) menentang pasukan Malaysia. Di dalam akhbar sibuk menyiarkan wawancara serta pandangan peminat bolasepak. Rata-rata, tidak sabar melihat pemain luar dari dekatlah, dapat melihat pemain pujaanlah. Tetapi jauh sekali, memberikan dorongan kepada pemain Negara agar menumpaskan pasukan Manchester United. Tiada seorang pun.





Suasana di Stadium masih lagi sama, yang memakai baju Manchester United, membanjiri Stadium (macam di Old Trafford) rasanya. Kurang sekali yang memakai jersi Malaysia sebagai tanda menyokong pasukan Kebangsaan. Akhirnya Amri Yahyah membuat kejutan dengan jaringan-jaringan yang menyebabkan Manchester United tergamam malahan ribuan penyokong Manchester United yang berasal dari....... Malaysia. Hairan kan? Dan kemudiannya apabila Owen berjaya menyumbatkan gol kemenangan, kem penyokong Manchester bersorak keriangan semula, dan panyokong ini sekali lagi datangnya dari ......... Malaysia.

Kebanjiran penyokong Manchester United yang berasal dari 'Malaysia'

Akhirnya Malaysia tumpas 3-2, satu angka yang tidak pernah dijangkakan oleh sekelian rakyat Malaysia.


Kerdilnya pemain Malaysia terhadap penyokong mereka sendiri....





Tragedi JWW Marriott di Jakarta mengakibatkan pengurusan Manchester United mengadakan perlawanan ulangan. Saya menyangka dengan ini ramailah penyokong Malaysia yang akan menginsafi dan menyokong pasukan Malaysia, namun, ternyata sangkaan saya silap. Sekali lagi di akhbar-akhbar menyatakan sokongan rakyat Malaysia (yang diwawancara) terhadap pasukan pendatang asing ini. Malahan ada yang menyatakan bahawa "Saya yakin pasukan Manchester United akan beraksi lebih baik kali ini dan pastinya pasukan Malaysia tidak akan ada peluang lagi".





Apalah yang nak jadi ni....Oh Rakyat Malaysia ku!!!




KONSEP 1 MALAYSIA




Tatkala negara heboh memperkatakan tentang Konsep SATU MALAYSIA yang berteraskan perpaduan nasional tanpa mengira bangsa dan keturunan. Maka perlunya semua rakyat faham akan aspirasi serta dasar negara. Apa-apa perjuangan membawa nama negara perlu kita sokong dengan sepenuh jiwa dan raga. Termasuk juga perjuangan di dalam bidang sukan.




Mengapa penyokong kita tidak seperti zaman Allahyarham Mokhtar Dahari? Mengapa sokongan rakyat kita sudah tidak sehebat sokongan terhadap pasukan Badminton Piala Thomas pada tahun 1992? Mengapa, sewajarnya konsep SATU MALAYSIA dihayati bukan hanya sekadar pada isu politik dan sosial semata, tetapi juga dari semua aspek termasuklah perjuangan di dalam bidang sukan.




Namun jikalau ini terus berlaku, saya bimbang kita hanya mampu menyanyikan lagu SATU MALAYSIA, tanpa kita memahami akan erti serta matlamatnya...




Fikirkanlah.....




Disediakan oleh:














SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL
Presiden

Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Rabu, 5 Ogos 2009

Kaki Dalam Kasut - Tun Dr M

1. Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).

3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.
4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.

5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.

6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.

7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.

8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.

9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.

11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?

12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).

13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?

14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.

15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.

16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.

17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?

18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.

19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.







Oleh:














Tun Dr Mahathir

Orang Melayu Bersatu Menegakkan Keadilan Dan Menentang Kezaliman - Anwar Ibrahim

Apabila terdesak, ada yang sanggup berbuat apa sahaja kendatipun tindakan itu merupakan fitnah melampau dan memperlihatkan kerendahan akal budi. Demikian mahu diperalatkan, maka ada yang sanggup negara ini hangus dibakar api kebencian. Keterdesakan melihat kemaraan rakyat, bersama agenda Perubahan, muslihat jahat mengapi-apikan sentimen perkauman sempit ditiupkan.

Biarlah hatta pembohongan itu menzalimi sesama manusia asalkan umno-bn kekal berkuasa. Momokan disebarkan kononnya orang Melayu diperalatkan oleh Pakatan Rakyat demi kelansungan perjuangan. Alasan yang diberikan kerana orang Melayu turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Saya dengan rasa rendah hati dan bukan kepalang gembira serta bangga mengakui hakikat sememangnya orang Melayu berduyun-duyun menyertai perhimpunan aman bersama Pakatan Rakyat menzahirkan kebencian mereka kepada kezaliman dan ketidakadilan. Memang benar puluhan ribu orang Melayu bersatu mahukan ISA dimansuhkan. Memang benar laungan Takbir berselang seli dengan Hidup Rakyat dan Reformasi.

Pada hari yang bersejarah itu orang Melayu bersama-sama rakan-rakan mereka, kaum Cina, India, Iban dan Kadazan serta seluruh rakyat Malaysia melafazkan talkin untuk kezaliman, penindasan serta kebencian. Upaya untuk mengelirukan rakyat dengan taktik pecah dan perintah adalah usaha lapok yang sudah mamah dimakan zaman.



Oleh


ANWAR IBRAHIM

Pas Selangor Mencari Jalan Pulang Atau Menutup Lubang?

Kemelut rampasan minuman keras di sebuah premis di Seksyen 8, Shah Alam bukan masalah UMNO. Ia masalah Pas, maka Pas harus menyelesaikannya. Cara Khalid Samad mengatakan semua ini berpunca daripada pemerintahan UMNO dahulu adalah tidak masuk akal dan luar biasa sifatnya. Yang memerintah hari ini ialah DAP dengan bantuan Pas dan PKR, maka buatlah kerja menyelesaikannya. Mengapa Pas begitu melenting isu penjualan arak di 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam ini tetapi memejam sebelah mata kemunculan rumah urut, cyber cafe (pusat permainan video sebenarnya) dan perjudian di seluruh negeri Selangor?

Benarkah Pas Selangor hari ini telah bersedia menjadi kumpulan pendesak dalam menjaga kepentingan orang Islam di negara ini atau sekadar bersandiwara mencari keuntungan politik semasa.Kita masih tertanya-tanya mengapa Pas sanggup membiarkan Dewan Orang Cina yang dibina secara haram di atas tanah wakaf perkuburan Islam di Batu Tiga, Shah Alam terus gagah sedangkan kerajaan negeri pimpinan UMNO dahulu sudah mentarahkan ia berpindah.Malahan Hasan Ali dikatakan dalam mesyuarat EXCO bersetuju "menjual" tanah wakaf perkuburan Islam tersebut kepada pemilik dewan haram tersebut.
Apakah isu ini lebih kecil berbanding kisah arak bernilai RM 680 itu? Hasan Ali juga hanya berdiam diri dalam bila kerajaan negeri mengumumkan kemungkinan menggunakan wang zakat untuk projek pembangunan dan membayar gaji kakitangan kerajaan.Bagaimana pula sokongan Ahli Parlimen Shah Alam (Pas) Khalid Samad terhadap tuntutan Sidang Injil Borneo untuk mengggantikan perkataan tuhan dengan Allah dalam kitab Injil bahasa Melayu.
Apakah ini juga lebih kecil daripada isu arak di 7-11?Isu arak ini diperbesarkan kerana Pas mahu menutup isu besar seperti penjualan tanah wakaf, rasuah oleh pemimpin Pakatan Selangor, tuduhan kononnya Pas mengikut telunjuk DAP dan juga ingin mencari populariti di kalangan orang Melayu menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir.Hasan Ali tidak perlu tunjuk garang terhadap isu sekecil ini sedangkan buat-buat tidak tahu isu besar yang lain membabitkan kepentingan agama Islam di Selangor.
Janganlah percaya Pas mahu kembali kepada perjuangan asal. Isu ini sekadar menutup isu besar dalam kerajaan negeri.Apalah sangat isu arak yang bernilai beratus ringgit berbanding industri haram pelacuran dan perjudian yang boleh mencecah jutaan ringgit satu malam di Selangor.
Ronnie Liu pun mungkin telah berpakat dengan Pas untuk membuat isu ini bagi memberi populariti kepada Pas di Shah Alam (kawasan orang melayu) tetapi dalam masa yang sama dapat meneruskan kegiatan underworld di Puchong, Sunway, Subang Jaya dan Kota Damansara.Pas tidak akan kembali ke pangkal jalan kerana kuasa adalah nikmat dunia yang sukar dilepaskan.


Disediakan Oleh:


UtAmA

Demonstrasi GMI Ogos 1hb: Petunjuk Pakatan Rakyat "Desperado"!!

Pada hari Sabtu, Ogos 1hb, 2009, Pakatan Rakyat sudah merancangkan satu demonstrasi besar-besaran di bawah nama Gerakan Menentang ISA (GMI). Tujuannya mungkin kelihatan seakan-akan jelas untuk menuntut pembubaran undang-undang ISA tetapi ianya bukan demikian.
Sebagaimana demonstrasi Bersih pada tahun 2007, tujuan yang dimumkan adalah berlainan dari apa yang tersirat. Semasa itu kononnya untuk menuntut pilihanraya yang lebih bersih, tetapi apa yang difahami tujuan pergerakan itu bermacam-macam.

Ada menganggap tunjuk perasaan itu sebagai gelombang kuning untuk sebahagian rakyat menyuarakan rasa tidak puashati rakyat kepada DYMM SPB Yang Dipertuan Agung. Ada yang tidak berpuashati dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perjuangan Bersih hanya menumpang sentimen semasa. Manakala, Anwar Ibrahim yang tidak terlibat langsung hanya mencuri perhatian dengan datang diusung motor pada saat terakhir.

Berbalik kepada gerakan GMI, pelbagai tindakan seperti demonstrasi, penyerahan memorandum, kenyataan akhbar, forum, dan pelbagai lagi telah dibuat. Kali terakhir ada demonstrasi, jumlah yang hadhir amat sedikit. Perhatian media, baik dari arus perdana atau alternatif, agak terhad dan tidak menarik perhatian.

Demonstrasi GMI telah dirancangkan lama tetapi demonstrasi Gerakan Menentang PPSMI telah diberi lalaun dahulu. Sebelum dapat mereka jalankan, kerajaan telah membuat beberapa langkah positif berkenaan ISA.

Aneh untuk pihak GMI ingin teruskan dengan tindakan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak melepaskan banyak tahanan ISA di Kemunting hingga jumlah kini tinggal sangat sedikit. Bertambah pelik lagi Parlimen telah membahaskan mengenai isu ISA dan ura-ura kuat akan diadakan suatu rombakan pada Akta tersebut.

Malah, Dato Ibrahim Ali – Presiden Perkasa yang merepakan antara mereka yang mengepalai gerakan tunjuk perasaan pro-ISA yang diadakan pada hari yang sama - ada mengesyorkan kuasa menentukan tahanan ISA dipindahkan dari Menteri kepada suatu Jawatankuasa tertentu perihal ISA.

Ini hanya menunjukkan ada pihak-pihak tertentu ingin menggunakan demonstrasi ini untuk tujuan politik parti dan bukan sebenarnya untuk menentang ISA. Yang boleh menimbulkan tandatanya adalah kenapa Mat Sabu yang selama ini mengepalai GMI kini mengundur diri?

Pihak Pakatan Rakyat sudah berada dalam keadaan desperado. Mereka menjangka Ketua Umum Anwar Ibrahim akan kalah dalam kes liwatnya. Tanpa Anwar, mereka boleh rasai bahawa kepaduan Pakatan Rakyat akan terjejas. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengekalkan perpaduan antara mereka. Masanya pun agak tepat kerana pelbagai isu terkini yang boleh diekspolitasi dan beberapa isu memerlukan tenaga baru. Pastinya ada pihak akan mengeksploitasikan sentimen kematian Teoh Beng Hock dan pada masa yang sama cuba menutup kelemahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mula goncang. Kematian Teoh mempunyai hubungkait dengan siasatan rasuah ke atas beberapa exco dan penglibatan kongsi gelap.

Kepimpinan kerajaan negeri di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim sangat lemah. Kebolehan pentadbiran korporat yang konservatif telah diguna dan dia begitu takut untuk membuat sebarang keputusan. Kenyataan-kenyataan Khalid kelihatan seolah-olah dia tidak memahami dengan dalam pelbagai isu-isu sesama.

Keretakan pentadbiran DAP di Pulau Pinang pun sudah mula kelihatan. Isu Kampung Buah Pala memberi petunjuk Ketua Menteri Lim Guan Eng bukanlah Khalifah Omar Abdul Aziz tetapi tidak berupaya menyelesaikan masaalah yang memuaskan kedua-dua pihak. Dia sudah di bawah telunjuk ahli perniagaan Cina tertentu. Sudah timbul syak dikalangan orang ramai akan hubungan kroni antara Lim dengan kumpulan Low Yatt.

Sementara itu, kempen membubar DUN Perak pun sudah reda dan rakyat Perak pun sudah naik menyampah dengan gelagat Nizar. Di Kelantan, sudah ada petunjuk rakyat sudah muak dengan pentadbiran negeri yang tidak henti-henti berceramah dan menyalahkan orang lain tetapi tidak mentadbir dengan baik. .

Demonstrasi GMI ini perlu dilakukan secara besar dan ganas kerana mereka sudah mula desperado. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengekalkan kehangatan suasana politik hingga ke pilihanraya akan datang. Jika tidak, mereka sudah mula melihat kehilangan kuasa.


Disediakan Oleh:







Citrawaras

Antara Arak dan Pakatan Yang Rapuh

Semalam Pas Selangor mendakwa Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu mencampuri urusan dalam satu operasi membanteras aktiviti penjualan arak di Bandar Sunway baru-baru ini.

Dalam reaksi balasnya, Ronnie pula menyifatkan isu arak di negeri itu sengaja ditimbulkan Pas bagi mensabotaj Kredibiliti beliau dan menghina integritinya dalam menjalankan tugas pengurusan kerajaan tempatan. Bagi penulis, percakaran mengenai arak itu secara jelas menunjukkan betapa 'goyangnya' kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak akhir-akhir ini. Bila dihalusi dan diteliti, ia merupakan satu pakatan atau kerjasama rapuh.

Kerjasama itu boleh runtuh tanpa 'permainan' BN berdasarkan kepada agenda perjuangan masing-masing yang jauh berbeza...Pas dan DAP macam dua kutub!

Hubungan Pas dan DAP, seperti langit dan bumi.

Pemimpin DAP secara terangan tidak merestui pembentukan negara Islam tetapi itulah perjuangan terakhir Pas
PKR pula, dilihat oleh pemerhati politik banyak bergantung kepada kepopularitian parti-parti pembangkang lain dalam menghadapi BN.

Pemimpin PKR mempunyai banyak agenda termasuklah agenda menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri jika ditakdirkan pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

Demonstrasi dan rusuhan jalanan sedikit sebanyak dikaitkan dengan PKR walaupun pemimpin parti itu menafikan penglibatan mereka. Semakin ghairah demonstrasi jalanan dilakukan, semakin tercalar imej PKR.
Perjuangan PKR juga kabur. Ternyata sekarang, parti-parti pembangkang mempunyai agenda tersendiri yang sehingga sekarang belum nampak cara penyelesaiannya.

Kalau boleh belajar daripada sejarah pilihan raya lalu dan ia dapat dijadikan ukuran. Sebenarnya agak sukar diwujudkan satu barisan pembangkang yang mantap dan padu. Banyak perbezaan yang menghalang pembentukan barisan itu.

Pas pernah menjalin kerjasama dengan Parti Semangat 46 dan hasilnya menawan Kelantan daripada tangan BN, tetapi gabungan itu tidak dapat bertahan lama. Terlalu banyak masalah.

Akhirnya Parti Semangat 46 meninggalkan Pas. Pemimpinnya menyertai BN selepas parti itu dibubarkan.
Ini satu contoh betapa sukar kerjasama pilihan raya dapat diadakan sesama mereka, kerana berlainan ideologi dan perjuangan.

Pas juga pernah membentuk gagasan pembangkang terdiri daripada Parti Semangat 46, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan DAP, tetapi masih gagal untuk menumbangkan BN.

Kali ini, parti-parti pembangkang mencuba lagi. Sebelum ini, isu kerjasama ini pernah dirintis oleh DAP pada tahun 1970-an dan 1980-an tetapi tidak mendapat sambutan Pas.

Justeru itu, kerjasama parti-parti pembangkang terlalu rapuh dalam konteks pilihan raya seperti mempunyai manifesto dan agenda perjuangan bersama selain masalah pembahagian kerusi yang perlu dipertandingkan.

Meminjam kata-kata Kit Siang: ''Kalau asas kerjasama itu ialah untuk menegakkan sebuah negara Islam, memang DAP tidak bersetuju. Kita kena selesaikan masalah asas ini sebelum bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya.''
Isu arak di Selangor ini sebenarnya telah menunjukkan pada kita bahawa tidak mungkin kerajaan Pakatan Rakyat dapat bertahan lama sekiranya perkara seperti ini pun gagal diselesaikan mereka

Tepuk dada, tanya selera!



Disediakan oleh :
SHARIFAH ANAMARHAEN

Kenyataan Hassan Ali : BN Jangan Percaya Sangat!

Saya rasa sudah tentu ramai yang sudah membaca tentang kenyataan Hasan Ali yang menyuruh Ronnie Liu dikeluarkan dari senarai EXCO di Selangor. Banyak juga blog-blog Pro-Kebenaran/Kerajaan yang agak seronok mengulas perkara ini seolah-olah ianya bakal memberikan kelebihan kepada BN. Namun ada juga yang mengatakan ianya tidak lebih sebagai sandiwara politik pembangkang semata-mata.


Saya berkongsi pendapat yang kedua : Ianya tidak lebih sekadar sandiwara politik pembangkang semata-mata. BN tidak perlu teruja dengan kenyataan Hasan Ali itu. Kita tidak perlu menganggap yang Hasan Ali telah kembali kepada 'kebenaran' dan mengulas panjang lebar tentang itu di akhbar-akhbar perdana. Ini semua adalah salah satu taktik mereka menjelang PRK Permatang Pasir.


Biar saya ulas tentang perkara yang mungkin akan berlaku selepas ini : -PAS telah menyedari bahawa mereka semakin kehilangan undi orang melayu. Orang melayu sudah mula memandang PAS sebagai sebuah parti yang hanya dipergunakan oleh DAP dan PKR sahaja. Lihatlah di demonstrasi, ceramah dan lain-lain aktiviti. Kebanyakan ahli PAS adalah penggerak utama dan peserta yang setia tanpa tahu menahu tentang matlamat dan tujuan. Orang melayu semakin meluat dengan PAS. PAS sudah dianggap sesat!


Oleh itu, sekarang mereka cuba menunjukkan yang mereka kini sudah 'bangkit' dan 'tersedar' dari lamunan. Mereka mahu menunjukkan yang mereka masih lagi berpegang teguh kepada prinsip perjuangan asal mereka. Terutamanya Hasan Ali yang sewaktu dulu kecoh dikatakan hendak menutup kilang Carlsberg di Selangor sebaik sahaja memerintah. Beliau telah menafikan pernah membuat janji tersebut, akan tetapi maruahnya telah tercabar sama sekali kerana dilihat tidak berjaya meningkatkan imej Islam di Selangor. Oleh itu, beliau dengan beraninya mahu mengusir Ronnie Liu untuk meningkatkan kembali imejnya sebagai pejuang Islam.


Esoknya pula, akhbar-akhbar perdana akan mula mendapatkan komen daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan mereka akan berterusan memainkan isu ini hinggalah tarikh PRK Permatang Pasir.Akan tetapi, secara tiba-tiba, dengan semangat 'muhibah' parti-parti pakatan pembangkang akan tersiarlah wajah Hasan Ali dan Ronnie Liu (mungkin juga Lim Kit Siang) bersalaman sambil tersenyum dengan bangganya mengumumkan "Krisis PAS-DAP Selangor Sudah Selesai, Rakyat Diutamakan!". Khalid Ibrahim pula bertindak sebagai pendamainya. Semua ini akan berlaku menjelang saat-saat akhir PRK Permatang Pasir. Segelintir melayu bangang akan mula 'terharu' dengan peristiwa itu dan memecahkan undi di Permatang Pasir.


Namun begitu, tulisan saya ini hanyalah persepsi dari saya seorang rakyat biasa yang menyesal mengundi PAS semasa PRU yang lepas. Semuanya bergantung kepada niat Hasan Ali. Jika beliau ikhlas, saya ucapkan Alhamdulillah dan menyeru beliau mengepalai PAS bersama-sama UMNO memperjuangkan nasib orang melayu Islam di negara ini. Saya harap begitulah. Jangan sebab politik, habis prinsip perjuangan tergadai. Kepada BN, percaya boleh, tapi wajib beri diskaun!


Dipetik daripada : KOMENTAR