PENDAHULUAN
Hari ini, jika kita lihat konflik dan isu siapa MB yang sebenar (sepatutnya) di Perak masim belum menampakkan yang krisis ini akan reda. Malahan kesemua cendekiawan politik kelihatan berlumba-lumba memberikan pandangan dan persepsi masing-masing. Di dalam akhbar, media prima, web, blog dan pelbagai medium digunakan untuk mengetengahkan pandangan dan persepsi masing-masing. Tiada siapa yang betul, dan tiada siapa juga yang salah (dalam memberikan pandangan). Saya ingin mengingatkan semua pembaca, bahawasanya... di dalam dunia politik ini tiada siapa yang sempurna. Walau apa pun yang diperkata walaupun baik pada dasarnya, akan juga dikatakan sebaliknya dengan mencari kelemahan-kelemahan di sana-sini.
Hakikat yang perlu kita terima, manusia pada hari ini hidup di dalam dunia persepsi! Setiap manusia bebas memilih untuk melihat sesuatu objek atau perkara menurut 'angle' atau sudut yang mereka inginkan atau adakalanya yang mana mereka lebih selesa. Misalnya kalau ada seseorang melihat objek itu sebagai '6', maka seseorang yang lain pula mungkin boleh jadi melihatnya sebagai '9', memandangkan yang seorang lagi melihatnya dari sudut dan arah yang bertentangan (kerana mungkin mereka lebih selesa) atau sudah lama melihatnya dalam keadaan sedemikian. Soalannya; siapa yang betul? 6 atau 9? Jelas kepada kita kedua-duanya mungkin betul memandangkan kita tidak boleh menyalahkan mereka memandangkan mereka melihat dari sudut yang pelbagai.
Begitu jugalah dengan pemimpin, tidak kira UMNO/BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kesemuanya perlu menerima hakikat tentang betapa jutaan rakyat Malaysia juga mempunyai persepsi masing-masing. Sebagaimana penulisan saya sebelum-sebelum ini perlunya perubahan dibuat agar masyarakat bersedia melihat dari perspektif yang diinginkan oleh mana-mana pihak. Jika UMNO/BN mahu rakyat melihat dari perspektif mereka, mereka perlu yakinkan rakyat mengapa perlu melihatnya dari perspektif itu dan begitu jugalah PR. Masalahnya, dengan pelbagai medium yang kelihatan didominasi oleh pihak tertentu menyebabkan rakyat lebih gemar memilih jalan atau medium alternatif yang bersifat terbuka tanpa sekatan, malahan lebih dahsyat lagi kesahihannya juga tidak pernah mampu dibuktikan. Inilah jawapan sebenarnya kepada konflik perpecahan rakyat yang berupaya mendorong negara ke lembah ketidakstabilan politik nasional.
Justeru, tidak dapat tidak menerusi ruangan ini sekali lagi diingatkan, dan perlu diambil perhatian, media yang selama ini mendokong aspirasi kerajaan perlu membuat perubahan dari segi pendekatan serta mekanisme laporan mereka agar tidak terus-terusan dipinggirkan dan diketepikan oleh rakyat dek kerana tiada ruang yang adil diberikan kepada pihak lawan dan begitu juga sebaliknya Harakah, KeADILan, dan pelbagai lagi tabloid alternatif perlu juga mengambil pendekatan sedemikian. Maka, tidak hairanlah kini ramai yang lebih gemar membeli akhbar Sinar Harian. Seingat saya, ketika zaman di Universiti dulu, akhbar yang paling digemari pada ketika itu adalah akhbar "Eksklusif". Yang mana, akhirnya permit Eksklusif tidak diperbaharui ketika zaman pemerintahan Tun Dr M kerana di dalam akhbar tersebut menceritakan dasar dan pandangan kesemua pihak Kerajaan, Pembangkang mahupun golongan kritikal yang tidak mahu terikat kepada mana-mana perjuangan. Yang menarik di dalam Eksklusif ini, terdapatnya ruangan Undang-Undang yang mana kolumnis tetapnya ialah Dr Aziz Bari yang merupakan pensyarah kanan UIA dan lantang mengemukakan pandangan sejujurnya menerusi aspirasi undang-undang negara supaya masyarakat faham kehendak sebenar undang-undang.
Inilah yang perlu diubah. Tidak dapat tidak ..... wajib diubah!!!! Media wajar diberi kebebasan tanpa dicengkam oleh mana-mana pihak.
Krisis di Perak, sudah tidak asing lagi, pelbagai pihak berbahas mengenainya. Samada menerusi kaca televisyen, corong radio, majalah, malah tidak kurangnya di saluran-saluran debat terbuka di kedai-kedai kopi dan warung-warung baik di bandar mahupun desa. Mereka juga membuat persediaan melalui pembacaan sebelum boleh berhujah di gelannggang terbuka hampir setiap hari. Baik isu politik, ekonomi mahupun sosial dan sukan kesemuanya mampu dikupas. Akhirnya pihak yang berjaya membuat orang lain mendengar akan berjaya dan berpuashati kerana dipentas ini tiada siapa yang menang, tetapi mereka bebas bersuara dan itulah kehebatannya.
Namun, isu politik di Perak lebih penting dari itu. Krisis yang kelihatannya masih belum nampak kesudahannya semakin menjadi-jadi rebaknya. Malahan, kepada pihak-pihak tertentu, lebih lagi mencurahkan minyak ke dalam bara api, bagi terus terusan menyemarakkannya. Baru-baru ini Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Nizar masih lagi sah sebagai MB di Perak. Kemudian tidak sampai 24 jam selepas itu, Mahkamah Rayuan pula menangguhkan keputusan itu, dan Dr Zambry semula ke kerusi MB Perak sebelum diputuskan. Persoalannya kini, bukan siapa sepatutnya menjadi MB. Tetapi, mengapa ini semua boleh terjadi?
Mungkin ini benar, tetapi apakah itu jalan terbaik? Apa kesannya? Dan apakah harga yang perlu dibayar untuk ini? Situasi Negara akan menjadi lebih baik? Atau apa sebenarnya yang dihajatkan oleh semua pihak? Benarkah mencari keadilan motif sebenar? Benarkah menuding kesalahan kepada pihak tertentu juga sangat sesuai pada hari ini? Atau apa sebenarnya? Bagaimana jika selepas pilihanraya semula diadakan dan keadaan masih lagi 28 - 28 dan 3 jadi penentu lagi bagaimana? Atau bagaimana jika kedudukannya 30 - 29? Apakah benar situasi ini dapat diterima oleh rakyat? Maka bergaduh semula kah wakil-wakil rakyat ini nanti? Insiden-insiden lompat parti akan tetap menjadi topik utama nanti bukan?
Maka, tiada siapa boleh menyatakan ini jalan terbaik. Cuma beberapa perkara yang mana perlu kita perhalusi pada hari ini. Antaranya:
Dahulunya Raja Melayu diberi keistimewaan dan kedaulatan, sehinggalah timbul isu, krisis perlembagaan yang membawa kepada pindaan terhadap keistimewaan Raja-Raja Melayu. Jangan kita terlupa bahawa inilah juga yang dibawa oleh UMNO/BN dahulu. Sehinggakan, apabila sesuatu rang undang-undang di bawa untuk perkenan raja, akhirnya walaupun raja tidak mahu memperkenan ia tetap akan diluluskan dalam masa 30 hari. Maka, kuasa 'nominal' ini menunjukkan bahawa perkenan Raja ini tidak bersifat mandatori. Ini, saya ingatkan merupakan usul yang pernah diperjuangkan oleh UMNO/BN sendiri. Dan, kini apabila berlaku krisis di Perak, bagaimana kedudukan Raja di negeri-negeri ini. adakah sama seperti DYMM Yang DiPertuan Agong atau sebaliknya. Perkenan raja ini perkara mandatori atau bagaimana? Ini perlu kita kaji semula.
Atau apakah perlu, UMNO/BN kaji semula soal peruntukan ini agar memberikan semula kuasa mutlak ini kepada Raja. Kerana, jika DUN dibubarkan juga tanpa perkenan Sultan, pilihanraya diadakan semula bererti bukan PR berjaya atau soal UMNO/BN tewas, tetapi soalnya nilai Raja-Raja Melayu sudah tidak ada kerana kuasa mereka secara terang-terangan sudah tidak membawa apa-apa makna. Saya kira apa yang perlu diteliti, adalah mengapa Sultan tidak mahu perkenan. Ratio Decidendi (reason for decision) nya perlu dikongsi dengan sekelian rakyat jelata. Jika tidak akan tetap berterusanlah PR menghentam ketidakadilan Raja, manakala UMNO/BN akan terus membangkitkan isu kedurhakaan PR terhadap institusi beraja. Ini retorik yang sudah beberapa bulan dimainkan tanpa henti hingga menjelakkan telinga dan memualkan rasa.
Jika tidak, hari ini kita melihat, Raja cuma ada kuasa untuk melantik, tetapi tiada kuasa pula untuk memecat, sungguh tidak munasabah! Contohnya di Perlis dan Terengganu, kita melihat bagaimana Sultan tidak bersetuju dengan MB MB pilihan PM. Maka, sah lah Sultan ada kuasa melantik. Tetapi belum tentu lagi jikalau Raja ingin memecat. Hah, untuk itu kita rujuk di Perak, sehinggakan dikatakan Sultan Perak tidak ada kuasa. Pelik! Memang Pelik, tetapi benar!
ISU PILIHANRAYA
Namun, dalam keghairahan ini, PR perlu sedar apa yang ada di dalam pilihanraya selain daripada pertandingan. Perbelanjaan yang besar, pertelingkahan yang hebat dari puak yang ekstrim. Dan begitu juga akan berlaku pergeseran di kalangan masyarakat tempatan. Perlukah ini semua berlaku? Saya kira, walau tidak dibubarkan DUN PRU ke 13 akan berlangsung juga dalam 2 atau 3 tahun lagi. Tidak ada apa yang harus kita kejar sebenarnya. Perbelanjaan yang besar di dalam setiap pilihanraya kecil bukanlah suatu rahsia, apatah lagi pilihanraya negeri. Maka, dengan ini berapa banyak wang yang hendak kita laburkan lagi dengan tahap negara kita dan seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global.
Hari ini, kita mendengar pendirian terkini Barisan Nasional, untuk tidak bertanding di pilihanraya DUN Penanti. Benar, dan saya kira yang paling kecewa, pastinya bukan BN kerana yang paling kecewa adalah PR kerana mereka tidak berpeluang menunjukkan kehebatannya sekali lagi. Ini bukan soal 'kalau bertanding pun PR tetap menang'! Bukan itu, kerana menang kalah, kita perlu percaya takdir tuhan. Namun, dengan keadaan seperti ini, perjuangan yang kita ingin tegakkan biarlah kena pada tempatnya. Jikalau pilihanraya itu, tampak merugikan kos, masa dan tenaga, maka biarlah kerusi itu dilepaskan tanpa dipertandingkan.
ISU PERPADUAN
Transformasi yang ingin dipacu tidak seharusnya dipaut pada persoalan perubahan parti semata-mata. Konteks besar yang perlu kita renungkan adalah menerusi aspek bagaimana perpaduan dapat semula dibentuk. Kerana soal perpaduan ini merupakan soal paling utama dalam negara hari ini. Itu sebabnya saya tertarik dengan idea "One Malaysia". Cumanya bagaimana One Malaysia ini boleh direalisasikan? Ini yang saya nanti, road tour Perdana Menteri memberikan ucaptama dengan memberikan sedikit penerangan mengenainya, saya kira tidak mencukupi. PM kita perlu berkongsi dengan semua tentang bagaimana perancangan perlaksanaannya. Itu soal sebenarnya.
Saya, selaku orang yang percaya kepada keharmonian meyakini, perpaduan masih boleh dibina, khususnya di kalangan orang Melayu. Kerana saya yakin dan percaya hanya selepas orang Melayu bersatu, negara kita akan kukuh dan utuh dan barulah kaum-kaum lain boleh turut kita satukan di dalam barisan kesatuan yang kita gagaskan bersama tanpa apa-apa syarat.
Di Perak misalnya, apalah salahnya jika PM dan Anwar (Selaku Ketua PR) bersama-sama dengan pakatan masing-masing berbincang bersama untuk mencari titik penyelesaian. Saya kira kematangan fikiran di kalangan kedua-dua pemimpin ini bisa mencernakan idea bernas serta pengakhiran kepada permasalahan berpanjangan.
Saya fikir, saya ini hanyalah golongan orang biasa yang tiada berjawatan tinggi. Orang biasa yang hanya memberikan pandangan secara luaran tanpa saya mempunyai kedudukan di dalam mana-mana parti. Maka, teguran dan pandangan saya jikalau boleh diambil perhatian... difikirkan sedalamnya, dan jikalau tidak baik pada dasarnya ... saya bersetuju dengan tentangannya. Kerana anda juga berhak menyuarakan pandangan dan pendirian. Sebagaimana saya katakan tadi berbeza tidak bermakna salah siapa-siapa, mungkin kedua-duanya betul melihatkan kepada keadaan dan situasinya.
Maka dengan itu saya berpandangan usahlah kita bergaduh lagi, cukuplah perpecahan sekarang dilihat. Sudah masanya kita memperbetulkan saf. Ekonomi perlu kita perkasakan, jika tidak rakyat juga yang akan menerima bahananya. Hak rakyat jangan dikesampingkan, rakyat di Perak juga inginkan keamanan dan keharmonian. Janganlah diporak perandakan keadaan.