Isnin, 18 Mei 2009

Krisis Di Perak ..... Apa Harga Yang Diletakkan??? - Presiden ADAM

Memandangkan terlalu ramai yang meminta saya menulis berkenaan isu di Perak, inilah hasil penulisan ikhlas saya untuk difikirkan bersama oleh kesemua pihak. Jangan disalahertikan, mana yang baik dibuat pertimbangan, mana yang kurang itulah keindahannya dek kita mempunyai perbezaan pendapat yang penuh warna-warni. Apa pun kesabaran diperlukan sebelum selesai pembacaan dibuat supaya kita tidak membuat kesimpulan di pertengahan jalan tanpa sempat kita menghabiskan 'perjalanan' pembacaan sepenuhnya hingga ke noktah terakhir. Dan diingatkan kepada semua, walau apa pun yang anda ingin coretkan, editor saya pasti akan siarkan. Hantar sahaja makalah dan penulisan anda. Insya Allah, ADAM memberikan ruang yang luas dan bebas untuk anda tanpa memikirkan di pihak mana anda berada.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kesemuanya.....

PENDAHULUAN



Hari ini, jika kita lihat konflik dan isu siapa MB yang sebenar (sepatutnya) di Perak masim belum menampakkan yang krisis ini akan reda. Malahan kesemua cendekiawan politik kelihatan berlumba-lumba memberikan pandangan dan persepsi masing-masing. Di dalam akhbar, media prima, web, blog dan pelbagai medium digunakan untuk mengetengahkan pandangan dan persepsi masing-masing. Tiada siapa yang betul, dan tiada siapa juga yang salah (dalam memberikan pandangan). Saya ingin mengingatkan semua pembaca, bahawasanya... di dalam dunia politik ini tiada siapa yang sempurna. Walau apa pun yang diperkata walaupun baik pada dasarnya, akan juga dikatakan sebaliknya dengan mencari kelemahan-kelemahan di sana-sini.

Hakikat yang perlu kita terima, manusia pada hari ini hidup di dalam dunia persepsi! Setiap manusia bebas memilih untuk melihat sesuatu objek atau perkara menurut 'angle' atau sudut yang mereka inginkan atau adakalanya yang mana mereka lebih selesa. Misalnya kalau ada seseorang melihat objek itu sebagai '6', maka seseorang yang lain pula mungkin boleh jadi melihatnya sebagai '9', memandangkan yang seorang lagi melihatnya dari sudut dan arah yang bertentangan (kerana mungkin mereka lebih selesa) atau sudah lama melihatnya dalam keadaan sedemikian. Soalannya; siapa yang betul? 6 atau 9? Jelas kepada kita kedua-duanya mungkin betul memandangkan kita tidak boleh menyalahkan mereka memandangkan mereka melihat dari sudut yang pelbagai.


Begitu jugalah dengan pemimpin, tidak kira UMNO/BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kesemuanya perlu menerima hakikat tentang betapa jutaan rakyat Malaysia juga mempunyai persepsi masing-masing. Sebagaimana penulisan saya sebelum-sebelum ini perlunya perubahan dibuat agar masyarakat bersedia melihat dari perspektif yang diinginkan oleh mana-mana pihak. Jika UMNO/BN mahu rakyat melihat dari perspektif mereka, mereka perlu yakinkan rakyat mengapa perlu melihatnya dari perspektif itu dan begitu jugalah PR. Masalahnya, dengan pelbagai medium yang kelihatan didominasi oleh pihak tertentu menyebabkan rakyat lebih gemar memilih jalan atau medium alternatif yang bersifat terbuka tanpa sekatan, malahan lebih dahsyat lagi kesahihannya juga tidak pernah mampu dibuktikan. Inilah jawapan sebenarnya kepada konflik perpecahan rakyat yang berupaya mendorong negara ke lembah ketidakstabilan politik nasional.

Justeru, tidak dapat tidak menerusi ruangan ini sekali lagi diingatkan, dan perlu diambil perhatian, media yang selama ini mendokong aspirasi kerajaan perlu membuat perubahan dari segi pendekatan serta mekanisme laporan mereka agar tidak terus-terusan dipinggirkan dan diketepikan oleh rakyat dek kerana tiada ruang yang adil diberikan kepada pihak lawan dan begitu juga sebaliknya Harakah, KeADILan, dan pelbagai lagi tabloid alternatif perlu juga mengambil pendekatan sedemikian. Maka, tidak hairanlah kini ramai yang lebih gemar membeli akhbar Sinar Harian. Seingat saya, ketika zaman di Universiti dulu, akhbar yang paling digemari pada ketika itu adalah akhbar "Eksklusif". Yang mana, akhirnya permit Eksklusif tidak diperbaharui ketika zaman pemerintahan Tun Dr M kerana di dalam akhbar tersebut menceritakan dasar dan pandangan kesemua pihak Kerajaan, Pembangkang mahupun golongan kritikal yang tidak mahu terikat kepada mana-mana perjuangan. Yang menarik di dalam Eksklusif ini, terdapatnya ruangan Undang-Undang yang mana kolumnis tetapnya ialah Dr Aziz Bari yang merupakan pensyarah kanan UIA dan lantang mengemukakan pandangan sejujurnya menerusi aspirasi undang-undang negara supaya masyarakat faham kehendak sebenar undang-undang.

Inilah yang perlu diubah. Tidak dapat tidak ..... wajib diubah!!!! Media wajar diberi kebebasan tanpa dicengkam oleh mana-mana pihak.

KRISIS DI PERAK

Krisis di Perak, sudah tidak asing lagi, pelbagai pihak berbahas mengenainya. Samada menerusi kaca televisyen, corong radio, majalah, malah tidak kurangnya di saluran-saluran debat terbuka di kedai-kedai kopi dan warung-warung baik di bandar mahupun desa. Mereka juga membuat persediaan melalui pembacaan sebelum boleh berhujah di gelannggang terbuka hampir setiap hari. Baik isu politik, ekonomi mahupun sosial dan sukan kesemuanya mampu dikupas. Akhirnya pihak yang berjaya membuat orang lain mendengar akan berjaya dan berpuashati kerana dipentas ini tiada siapa yang menang, tetapi mereka bebas bersuara dan itulah kehebatannya.

Namun, isu politik di Perak lebih penting dari itu. Krisis yang kelihatannya masih belum nampak kesudahannya semakin menjadi-jadi rebaknya. Malahan, kepada pihak-pihak tertentu, lebih lagi mencurahkan minyak ke dalam bara api, bagi terus terusan menyemarakkannya. Baru-baru ini Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Nizar masih lagi sah sebagai MB di Perak. Kemudian tidak sampai 24 jam selepas itu, Mahkamah Rayuan pula menangguhkan keputusan itu, dan Dr Zambry semula ke kerusi MB Perak sebelum diputuskan. Persoalannya kini, bukan siapa sepatutnya menjadi MB. Tetapi, mengapa ini semua boleh terjadi?
Bagi penyokong UMNO/BN, mereka berpegang bahawa BN layak memerintah kerana apabila kerusi DUN terikat 28 - 28 maka lagi 3 DUN yang dimiliki oleh Bebas (yang dahulunya PR) yang menjadi penentu. Dan apakala 3 lagi kerusi menyokong BN maka BN lah yang memerintah. Itu, kata BN. bagi PR pula, apabila keadaan tidak stabil ini wujud, maka perlunya DUN dibubarkan dan rakyat perlu dijadikan sebagai jalan penentu untuk menentukan semula kerajaan pilihan mereka.
Dari segi undang-undang PR memilih untuk menentang kerana perlucutan jawatan YB Nizar tidak menerusi prosedur sebagaimana kebiasaannya pernah berlaku sebagaimana dirujuk di dalam Perkara 16(6) Perlembagaan negeri Perak dan juga Kes Stephen Kalong Ningkhan (tak perlu explain rasanya) iaitu menerusi samada:

a) MB letak jawatan secara sukarela,
b) DUN dibubarkan, atau
c) Undi tidak percaya kepada MB
Dan ketiga-tiganya tidak pernah berlaku, maka itulah punca penentangan cara pengambilan kuasa ditimbulkan dan Datuk Seri Najib diangkat sebagai penyebab insiden yang mereka labelkan sebagai "rampasan kuasa". Tetapi janganlah kita lupa bagaimana di awal tadi saya menyebut di suatu pihak melihat 9 dan di satu pihak lagi memandangnya sebagai 6. Ini adalah masalah perspektif. Persepsi berbeza antara Kerajaan dan Pembangkang dari aspirasi perjuangan saya kira sememangnya ada, tetapi insan yang ingin diperjuangkan secara bersama adalah sama iaitu rakyat jelata. Maka, mereka (UMNO/BN dan PR) perlu bersama mencari titik pertemuan saya kira. Sehingga ke hari ini, PR masih percaya pembubaran DUN dan pengundian semula (pilihanraya) perlu diadakan.

Mungkin ini benar, tetapi apakah itu jalan terbaik? Apa kesannya? Dan apakah harga yang perlu dibayar untuk ini? Situasi Negara akan menjadi lebih baik? Atau apa sebenarnya yang dihajatkan oleh semua pihak? Benarkah mencari keadilan motif sebenar? Benarkah menuding kesalahan kepada pihak tertentu juga sangat sesuai pada hari ini? Atau apa sebenarnya? Bagaimana jika selepas pilihanraya semula diadakan dan keadaan masih lagi 28 - 28 dan 3 jadi penentu lagi bagaimana? Atau bagaimana jika kedudukannya 30 - 29? Apakah benar situasi ini dapat diterima oleh rakyat? Maka bergaduh semula kah wakil-wakil rakyat ini nanti? Insiden-insiden lompat parti akan tetap menjadi topik utama nanti bukan?

Maka, tiada siapa boleh menyatakan ini jalan terbaik. Cuma beberapa perkara yang mana perlu kita perhalusi pada hari ini. Antaranya:

ISU RAJA-RAJA

Dahulunya Raja Melayu diberi keistimewaan dan kedaulatan, sehinggalah timbul isu, krisis perlembagaan yang membawa kepada pindaan terhadap keistimewaan Raja-Raja Melayu. Jangan kita terlupa bahawa inilah juga yang dibawa oleh UMNO/BN dahulu. Sehinggakan, apabila sesuatu rang undang-undang di bawa untuk perkenan raja, akhirnya walaupun raja tidak mahu memperkenan ia tetap akan diluluskan dalam masa 30 hari. Maka, kuasa 'nominal' ini menunjukkan bahawa perkenan Raja ini tidak bersifat mandatori. Ini, saya ingatkan merupakan usul yang pernah diperjuangkan oleh UMNO/BN sendiri. Dan, kini apabila berlaku krisis di Perak, bagaimana kedudukan Raja di negeri-negeri ini. adakah sama seperti DYMM Yang DiPertuan Agong atau sebaliknya. Perkenan raja ini perkara mandatori atau bagaimana? Ini perlu kita kaji semula.

Atau apakah perlu, UMNO/BN kaji semula soal peruntukan ini agar memberikan semula kuasa mutlak ini kepada Raja. Kerana, jika DUN dibubarkan juga tanpa perkenan Sultan, pilihanraya diadakan semula bererti bukan PR berjaya atau soal UMNO/BN tewas, tetapi soalnya nilai Raja-Raja Melayu sudah tidak ada kerana kuasa mereka secara terang-terangan sudah tidak membawa apa-apa makna. Saya kira apa yang perlu diteliti, adalah mengapa Sultan tidak mahu perkenan. Ratio Decidendi (reason for decision) nya perlu dikongsi dengan sekelian rakyat jelata. Jika tidak akan tetap berterusanlah PR menghentam ketidakadilan Raja, manakala UMNO/BN akan terus membangkitkan isu kedurhakaan PR terhadap institusi beraja. Ini retorik yang sudah beberapa bulan dimainkan tanpa henti hingga menjelakkan telinga dan memualkan rasa.
Rakyat perlu tahu tentang had kuasa raja, had kuasa eksekutif baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri. Di sini, rakyat akan faham dan tidaklah rakyat terus -terusan dikelirukan dengan teori konspirasi dan kebobrokan yang tidak berkesudahan. Dengan makluman kepada rakyat, rakyat pasti dapat menilai yang mana intan yang mana kaca, yang mana emas dan yang mana permata.

Jika tidak, hari ini kita melihat, Raja cuma ada kuasa untuk melantik, tetapi tiada kuasa pula untuk memecat, sungguh tidak munasabah! Contohnya di Perlis dan Terengganu, kita melihat bagaimana Sultan tidak bersetuju dengan MB MB pilihan PM. Maka, sah lah Sultan ada kuasa melantik. Tetapi belum tentu lagi jikalau Raja ingin memecat. Hah, untuk itu kita rujuk di Perak, sehinggakan dikatakan Sultan Perak tidak ada kuasa. Pelik! Memang Pelik, tetapi benar!

ISU PILIHANRAYA
PR, saya yakin sedang ghairah untuk berlawan, ibarat orang yang baru menang bersilat, keyakinannya untuk memenangi setiap pertandingan kian membara. Begitulah PR. Setelah rekod cemerlang (yang mana PR sendiri tidak pernah dapat bayangkan) di dalam PRU 12, diikuti dengan kemenangan bergaya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, mereka melihat, BN bukanlah sukar untuk ditewaskan lagi (menurut firasat mereka). Kemenangan demi kemenangan perlu mereka raih demi untuk menumpulkan sedikit demi sedikit kekuatan UMNO/BN. Justeru, tidak hairanlah kita melihat semangat PR pada ketika ini berada pada waktu puncak yang mana tidak dapat kita gambarkan.

Namun, dalam keghairahan ini, PR perlu sedar apa yang ada di dalam pilihanraya selain daripada pertandingan. Perbelanjaan yang besar, pertelingkahan yang hebat dari puak yang ekstrim. Dan begitu juga akan berlaku pergeseran di kalangan masyarakat tempatan. Perlukah ini semua berlaku? Saya kira, walau tidak dibubarkan DUN PRU ke 13 akan berlangsung juga dalam 2 atau 3 tahun lagi. Tidak ada apa yang harus kita kejar sebenarnya. Perbelanjaan yang besar di dalam setiap pilihanraya kecil bukanlah suatu rahsia, apatah lagi pilihanraya negeri. Maka, dengan ini berapa banyak wang yang hendak kita laburkan lagi dengan tahap negara kita dan seluruh dunia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global.

Hari ini, kita mendengar pendirian terkini Barisan Nasional, untuk tidak bertanding di pilihanraya DUN Penanti. Benar, dan saya kira yang paling kecewa, pastinya bukan BN kerana yang paling kecewa adalah PR kerana mereka tidak berpeluang menunjukkan kehebatannya sekali lagi. Ini bukan soal 'kalau bertanding pun PR tetap menang'! Bukan itu, kerana menang kalah, kita perlu percaya takdir tuhan. Namun, dengan keadaan seperti ini, perjuangan yang kita ingin tegakkan biarlah kena pada tempatnya. Jikalau pilihanraya itu, tampak merugikan kos, masa dan tenaga, maka biarlah kerusi itu dilepaskan tanpa dipertandingkan.

ISU PERPADUAN
Yang pastinya perpaduan orang Melayu semakin terancam dewasa ini. Baik UMNO, PAS mahupun melayu-melayu yang menyertai PKR. Dengan krisis perpecahan ini maka ada baiknya kita muhasabah diri, perpaduan bangsa kita berada di mana sekarang ini. Terbukti pada setiap kali pilihanraya, hubungan baik sesama Melayu semakin menjauh. Pertelingkahan dan pergeseran kelihatan semakin agresif. Demokrasi semakin dihiasi dengan insiden-insiden panas di pentas kempen pilihanraya. Lihat sahaja di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Inilah hakikatnya. Pergaduhan, menjadi wajib di setiap kawasan pertandingan pilihanraya.
Bukanlah maknanya kita tidak percaya pada sistem pilihanraya, tetapi sekurang-kurangnya janganlah dalam waktu terdekat ini. Sudah sekian banyak wang dibelanjakan, semakin menjauh jurang perbezaan di antara masyarakat sesama kaum. Bimbang juga kita sentimen tidak percaya antara satu sama lain, prasangka kian menjadi-jadi hinggakan mengulang semula kepada peristiwa berdarah 1969. Ini pastinya perkara yang terakhir kita mahukan.
Lihat sahaja di Perak ini ketika selesai PRU 12. Jangan lupa PAS cuma ada 6 kerusi sahaja, berbanding rakan-rakan DAP dan PKR di dalam PR. Mujurlah undang-undang tubuh negeri Perak tidak membenarkan bukan Melayu menjadi Ketua Eksekutif Negeri (iaitu MB) maka takdir Allah, Nizar di angkat menjadi MB. Mujurlah. Tetapi bagaimana jikalau setelah selesai PRU ke 13 nanti, apakah PAS masih yakin mampu menjadi tonggak utama eksekutif sekiranya masih menang di dalam PRU ke 13. Sedangkan DAP khabarnya kini sedang berlumba-lumba merekrut orang Melayu di dalam DAP untuk membolehkan DAP menjadi peneraju Negeri. Konsep "Malaysian Malaysia" masih dipertahan, dan saya kira konsep dasar Negara Islam oleh PAS tetap berada dalam senarai yang paling atas yang akan ditentang oleh DAP.
Pada ketika itu, di mana PAS. Sedangkan Nizar menjadi MB pun dilihat ramai sebagai hanya penurut kepada telunjuk pihak tertentu, dan Nizar dilabel sebagai boneka sahaja. Ini dilihat ketara oleh ramai pihak di Perak. Tetapi bukan ini sebenarnya yang ingin saya timbulkan spekulasi ini biarlah tinggal spekulasi. Apa yang merisaukan kita apakah kuasa Melayu, bukan hanya di Perak akan tetap relevan selepas PRU ke 13. Cuba kita fikirkan. Dengan tahap perpaduan yang kian terhakis ini, apakah kita ingin teruskan lagi dengan satu lagi episod pemisahan persefahaman dengan satu lagi pilihanraya dalam masa terdekat ini? Saya kira bukan itu jawapan terbaik.
EPISOD PERPADUAN
Ada suatu kisah, seorang lelaki mencari ayam sejak sekian lama di pasar-pasar, ayam rata-ratanya berharga RM 6.30 seekor. Akhirnya beliau menjumpai seekor ayam berharga RM 4.50 seekor. Beruntungkah beliau? Beruntung. Tetapi bagaimana jika saya katakan beliau rugi kerana beliau datang dari Kuala Lumpur mencari ayam ini sejak dari pagi hingga ke malam dan ayam yang murah ini diperolehi di Terengganu. RUGI MASA. Beliau penat travel dari pagi ke malam. RUGI TENAGA. Beliau menghabiskan kos petrol dari Kuala Lumpur ke Terengganu RUGI KOS. Begitulah juga setiap transformasi dan perubahan yang ingin dibawa perlu diteliti mekanisme dan kaedahnya.

Transformasi yang ingin dipacu tidak seharusnya dipaut pada persoalan perubahan parti semata-mata. Konteks besar yang perlu kita renungkan adalah menerusi aspek bagaimana perpaduan dapat semula dibentuk. Kerana soal perpaduan ini merupakan soal paling utama dalam negara hari ini. Itu sebabnya saya tertarik dengan idea "One Malaysia". Cumanya bagaimana One Malaysia ini boleh direalisasikan? Ini yang saya nanti, road tour Perdana Menteri memberikan ucaptama dengan memberikan sedikit penerangan mengenainya, saya kira tidak mencukupi. PM kita perlu berkongsi dengan semua tentang bagaimana perancangan perlaksanaannya. Itu soal sebenarnya.

Saya, selaku orang yang percaya kepada keharmonian meyakini, perpaduan masih boleh dibina, khususnya di kalangan orang Melayu. Kerana saya yakin dan percaya hanya selepas orang Melayu bersatu, negara kita akan kukuh dan utuh dan barulah kaum-kaum lain boleh turut kita satukan di dalam barisan kesatuan yang kita gagaskan bersama tanpa apa-apa syarat.

Sebagaimana yang saya nyatakan di awal tadi..... yang berbeza mungkin perspektif atau persepsi, tetapi yang sama adalah siapa yang diperjuangkan iaitu .... rakyat jelata. Maka, apalah salahnya jika kesemua pihak UMNO/BN dan PR duduk bersama tanpa sebarang syarat demi untuk berunding bagi mencapai kata sepakat demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Di Perak misalnya, apalah salahnya jika PM dan Anwar (Selaku Ketua PR) bersama-sama dengan pakatan masing-masing berbincang bersama untuk mencari titik penyelesaian. Saya kira kematangan fikiran di kalangan kedua-dua pemimpin ini bisa mencernakan idea bernas serta pengakhiran kepada permasalahan berpanjangan.

Saya fikir, saya ini hanyalah golongan orang biasa yang tiada berjawatan tinggi. Orang biasa yang hanya memberikan pandangan secara luaran tanpa saya mempunyai kedudukan di dalam mana-mana parti. Maka, teguran dan pandangan saya jikalau boleh diambil perhatian... difikirkan sedalamnya, dan jikalau tidak baik pada dasarnya ... saya bersetuju dengan tentangannya. Kerana anda juga berhak menyuarakan pandangan dan pendirian. Sebagaimana saya katakan tadi berbeza tidak bermakna salah siapa-siapa, mungkin kedua-duanya betul melihatkan kepada keadaan dan situasinya.

Maka dengan itu saya berpandangan usahlah kita bergaduh lagi, cukuplah perpecahan sekarang dilihat. Sudah masanya kita memperbetulkan saf. Ekonomi perlu kita perkasakan, jika tidak rakyat juga yang akan menerima bahananya. Hak rakyat jangan dikesampingkan, rakyat di Perak juga inginkan keamanan dan keharmonian. Janganlah diporak perandakan keadaan.
Namun, jikalau pilihanraya semula di Perak lah yang menjadi pilihan, maka yakin dan percayalah, pastinya ada ada pihak yang menang di dalam kalah. Walaupun menang, hakikatnya kalah pertaruhan. Menang sorak, kampung tergadai. Apalah gunanya menang jika rakyat terus berpecah, apalah gunanya menang jika negara kita terus dihimpit kegawatan ekonomi yang semakin hari semakin serius, dan apalah gunanya kita menang jika kuasa dan hak kita diberikan kepada orang lain.

Ada lebih banyak agenda lain yang perlu kita tumpukan perhatian. Perhatian perlu diberikan kepada kemaslahatan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, dan janganlah dijadikan kedudukan kita "ibarat telur di hujung tanduk". Kalau pun benar ingin bertanding di dalam pilihanraya, tunggulah PRU ke 13. Dan dalam pada masa yang sama, teruskanlah usaha perpaduan nasional yang diimpikan semua.
Anda mungkin tidak bersetuju dengan saya, saya faham. Anda mungkin tidak boleh menerima apa yang saya lakarkan kali ini, pun saya faham. Namun, satu perkara yang paling tidak boleh kita nafikan SETIAP YANG KITA LAKUKAN, PASTI ADA NATIJAH DAN KESANNYA. Dalam ertikata lain, apakah harga yang ingin kita letakkan kali ini... adakah dengan menggadai maruah dan kuasa? Menggadai nilai diri dan bangsa? Jika ini tidak cukup apa lagi yang ingin kita gadaikan? Apa harga yang ingin diletakkan?

Fikirkanlah......... Fikirkanlah .............


Disediakan oleh

Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: