[Terjermahan secara harfiah: Di dalam keadaan biasa, Agong tidak boleh menahan dari memberikan perkenannya diatas permintaan untuk membubarkan Parlimen. Kewajiban tersebut semata-mata bersifat formaliti.]
Petikan diatas di pungut dari sebuah buku yang mana penulisnya bukan kepalang manusia. Penulisnya pernah menjadi,inter alia, Ketua Hakim Negara (Lord President), Yang Di Pertuan Agong dan sekarang ini seorang Sultan di Negeri Perak Darul Ridzuan (teman saya sdr. L ManKadir Samsi, dalam blognya tokperan.blogspot.com menyebut sebagai Darul Rasuah). Buku tersebut menyerlahkan sifat kecendiakawanan (intellectuallity) sang penulis yang cukup hebat.
Tentunya dengan credential `man of law',penulis memberikan hujjah yang cukup memberangsangkan khususnya bagi melahirkan pentadbiran/pemerintahan yang ampuh khususnya dalam kerangka hubungan dengan institusi Istana atas prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan.Malah saya percaya kepada para mahasiswa/siswi jurusan Undang-undang khususnya,buku ini tentunya menjadi semacam `bible' kepada mereka mentelaah subjek Undang-undang Perlembagaan.
Terlepas dari dilihat berniat menulis makalah undang-undang, saranan yang di berikan oleh Raja Azlan Shah di dalam bukunya itu merupakan proposisi undang-undang yang menjadi amalan selama ini. Ertinya, di dalam banyak keadaan-termasuk dan khususnya dalam soal pembubaran Dewan-Raja-raja tidak mempunyai pilihan melainkan untuk akur. Proses 'memohon perkenan' daripada Agong atau Raja-raja yang memerintah hanyalah sekadar formaliti, yakni, di dalam bahasa yang mudah, Agong atau Raja tesebut tidak punya pilihan atau tidak boleh menidakkan permintaan tersebut.
Amalan ini bukanlah perkara baru jika di tinjau dari sudut historisnya. Tatkala Negeri-negeri Melayu dibawah penjajahan Inggeris (Prof.Emeritus Khoo Kay Kim berhujjah sebenarnya Negeri-negeri Melayu bukan di jajah tetapi bersifat Naungan), setiap Negeri Melayu menerima seorang Penasihat British yang juga di kenali sebagai Residen Inggeris. Penyebaran pengaruh atau perluasan penjajahan Inggeris di Negeri-negeri Tanah Melayu sebenarnya bermula di Perak dalam tahun 1874 dengan termeterainya Perjanjian Pangkor.
Bidang tugas Residen Inggeris ini ialah memberi nasihat kepada para Sultan dalam semua perkara membabitkan pentadbiran dan pemerintahan kecuali yang berhubungkait dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Nasihat Residen Inggeris ini wajib di patuhi dan Sultan tidak ada pilihan melainkan untuk akur. Bukankah tercatat didalam sejarah tanahair ada Raja Melayu yang diturunkan dari takhtanya semata-mata kerana `derhaka' kepada aturan Inggeris ini?
Setelah merdeka, pendekatan bahawa Raja-raja Melayu bertindak atau perlu akur dengan nasihat samaada Menteri Besar atau Perdana Menteri dijadikan sendi kepada pentadbiran negara-ianya bukan sekadar convention tetapi merupakan kuatkuasa undang-undang. Dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dan dalam demokrasi yang sihat tentulah prinsip ini menjadi trite law yang maha penting. Tambahan pula bukankah pentadbiran Malaysia diasaskan kepada model ala Westminster British di mana Queen hanya memainkan peranan formaliti sahaja sebagaimana yang di sebut oleh Raja Azlan Shah didalam magnum opus-nya itu?
Berbalik kepada apa yang berlaku di Perak,pada hemat saya keputusan di buat oleh Sultan Perak tersebut kelihatannya, tidak mengikuti lunas undang-undang dan convention yang terpakai selain dari bertentangan dengan apa yang beliau tulis didalam bukunya itu. Permintaan dari MB Perak Ir. Nizar untuk perkenan membubarkan Dewan bagi mengadakan Pilihanraya adalah sesuatu yang munasabah dan di dalam ruanglingkup undang-undang. Persoalannya disini,apakah keengganan Sultan Perak tersebut bertepatan dengan kehendak hukum?
Implikasi dari peristiwa ini cukup besar dan menggerunkan dalam konteks kehidupan negara demokrasi. Jika keputusan Sultan Perak yang enggan mengikut nasihat dan permintaan MB dianggap mempunyai keabsahan dari segi legality-nya, maka bermakna Raja-raja Melayu mempunyai kuasa budibicara yang tiada had! Di dalam keadaan Raja-raja Melayu yang terlindung dari tuntutan undang-undang, hal ini begitu membimbangkan.Sesebuah kerajaan yang sah yang di pilih oleh rakyat boleh di tumbangkan dengan hanya keengganan untuk menuruti nasihat MB/PM. Dan ini boleh berlaku tanpa ada upaya check and balance kerana tidak ada mekanisme sebegitu terhadap Raja-raja Melayu.
Tindakan Sultan Perak ini juga mengundang persoalan apakah Sultan Perak akan membuat keputusan yang sama jika keadaan sebaliknya berlaku yakni, katakan Tajol Rosli sebagai MB meminta Dewan di bubarkan ataupun Pakatan Rakyat yang pula meminta supaya mereka membentuk kerajaan? Apakah Sultan Perak akan menasihati Tajol Rosli supaya meletakkan jawatan atau terus bersetuju bagi PR membentuk kerajaan. Saya tidak punya jawaban kepada persoalan ini dan tidak ingin berspekulasi,cuma saya teringat kepada suatu pepatah undang-undang yang saya pasti Raja Azlan Shah selaku mantan Lord President tidak mungkin melupainya iaitu: Keadilan bukan sahaja mesti di laksanakan tetapi hendaklah di lihat dilaksanakan (justice not only must be done but must be seem to be done).
Tentunya keputusan Sultan Perak ini mengundang backlashed dari rakyat. Rakyat berasa tidak puashati dengan keputusan sedemikian yang mereka anggap mengenepikan suara rakyat. Cuma saya terkejut dengan darjah kemarahan rakyat ini. Di tinjau dari komen yang di tulis didalam Buku Tetamu Laman Web Sultan Perak, dapat difahami kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat; begitu juga dengan tulisan-tulisan di dlm internet yang rata-ratanya melahirkan kekecewaan yang teramat sangat terhadap keputusan tersebut; manakala sms mahupun perbualan di serambi masjid dan kedai kopi juga melahirkan sentimen yang sama.
Perkembangan ini menarik sekurang-kurangnya dalam menilai psyche orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia keselurahannya. Jelas ujudnya anjakan paradigma dan cara berfikir rakyat yang mengenepikan sentimen feudal serta lebih bersikap kritikal. Rakyat tidak lagi dapat menerima titah raja sebagai seadanya,sebagai suatu yang cukup sakral (sacred) tanpa perlu dipersoalkan. Ertinya institusi Raja tidak lagi dilihat sebagai suatu yang taboo. Saya percaya di pihak Sultan Perak dan Raja Muda Perak sendiri tidak menyangka amarah rakyat meluap sebegini rupa sehingga kereta Raja Muda khabarnya turut di baling oleh rakyat yang kecewa.
Kesemua ini wajar di lihat dalam konteks yang luas-dengan perkembangan teknologi maklumat dan kesedaran hidup bernegara serta pendidikan-dan pada masa yang sama perlu diperhalusi dimana silapnya sehingga rakyat bertindak sebegini. Raja-raja Melayu dan tentunya mereka yang berwenang menguatkuasakan undang-undang perlu bijaksana menilai fenomena ini dan tidak ada kewajaran untuk berselindung di sebalik Akta Hasutan atau pun ISA. Saya cukup bimbang jika pendekatan sebegini yang akan di pilih sebagai jalan mudah untuk menutup mulut rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan