Isnin, 18 Mei 2009

SPRM Perlu Lebih Berani : Isu Khalid Ibrahim - Oleh TELUS

SPRM Perlu Lebih Berani : Isu Khalid Ibrahim : Pembangkang Tidak Kebal

SAYA terpanggil untuk mengikuti perkembangan berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya ingin merakamkan penghargaan kepada SPRM di atas pelancarannya baru-baru ini. Tahniah juga kepada pihak kerajaan kerana akhirnya berjaya mewujudkan sebuah agensi penguatkuasaan yang bebas.

Saya mengikuti perkembangan ini sejak ia mula dibahaskan di Parlimen, namun apa yang menarik berhubung dengan penubuhan SPRM ialah sokongan masyarakat.

Masyarakat yang saya maksudkan ialah dua pihak yang bertentangan ideologi politik iaitu Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Pada awal cadangan penubuhan saya difahamkan, ramai di kalangan ahli politik dari BN tidak bersetuju dengan idea penubuhan SPRM, sebaliknya Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat dengan terang dan nyata menyatakan sokongan penubuhan SPRM.

Pada mereka inilah masa yang ditunggukan oleh mereka untuk melihat wujudnya satu badan bebas dalam mencegah rasuah dan salah guna kuasa.

Mereka begitu gembira apabila berhujah dalam Parlimen. Pakatan Rakyat bertepuk tangan dan memandang sinis kepada seteru mereka di pihak BN apabila SPRM diluluskan. Mereka mula merasakan diri mereka kebal.

Namun kini sebaliknya yang berlaku. Pakatan pembangkang yang selama ini mendabik dada kerana sokongan mereka telah membawa kepada penubuhan SPRM kini merasa tergugat. Mereka mula beranggapan SPRM umpama senjata makan tuan.

Apa yang mereka hajatkan selama ini untuk menggunakan SPRM sebagai alat untuk menghapuskan rasuah di kalangan ahli politik BN tidak menjadi.

Siasatan ke atas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada mereka adalah satu pukulan ke atas mereka.

Saya ingin bertanya kepada PKR, kenapa mereka mesti melatah apabila siasatan dijalankan ke atas mereka, sedangkan siasatan ke atas pemimpin parti politik pihak kerajaan mendapat sokongan dan kerjasama bagi melaksanakan siasatan.

Di mana sokongan mereka selama ini terhadap SPRM? Sepatutnya mereka memberi sokongan di atas siasatan yang dilakukan dan bukannya membawa lembu untuk diserahkan kepada SPRM sebagai tanda penentangan.

Jika mereka di pihak yang benar kenapa mereka bertindak sedemikian? Sepatutnya mereka perlu membantu SPRM menjalankan siasatan sekiranya mereka ikhlas dengan penubuhan SPRM.

Kini jelas kepada saya, PKR tidak ikhlas dalam memperjuangkan usaha membanteras rasuah. Mereka hanya akan menyokong apabila mereka ada kepentingan dan akan melenting apabila tempias terkena kepada diri mereka sendiri.

TELUS
Kuala Lumpur

Tiada ulasan: