Selasa, 24 April 2012

Ceramah "Mengurus Perhubungan Dalam Perkahwinan" di ILIM, Bangi


24 April 2012, Bangi : Satu Ceramah bertajuk "Mengurus Perhubungan Dalam Perkahwinan" telah berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Ceramah ini yang dianjurkan oleh Bahagian Latihan ILIM berlangsung mulai jam 2.30 petang hingga ke jam 4.30 petang. 

Ceramah telah disampaikan oleh Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM). Menerusi slot ceramah ini, Sdr Syamsul berkongsi dengan kesemua peserta berkaitan asas perhubungan perkahwinan menurut perspektif Islam dengan menyentuh perihal tanggungjawab setiap ahli di dalam keluarga terutamanya suami dan isteri. Beliau juga membentangkan statistik perceraian yang kian membimbangkan di dalam negara Malaysia kini yang mencecah tahap 1 pasangan bercerai setiap 13 minit. 

Di antara punca-punca perceraian menurut Sdr Syamsul adalah ; tidak serasi, kecurangan, poligami, karenah dan campurtangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan termasuk isu kesuburan, suami / isteri bermain kayu tiga, komitmen kerja dan kerjaya terlalu tinggi, pengangguran, peluang kerja terhad, masalah hutang, masalah ekonomi, simptom cemburu buta, kurang didikan agama dan moral, penderaan, pengabaian tanggungjawab dan gagal mencapai persefahaman.

Oleh yang demikian diharapkan dengan tips-tips yang telah dikongsi dapat dijadikan panduan kepada para peserta untuk disampaikan kepada yang lain dengan harapan menjadi asas merubah suasana keluarga yang lebih bahagia di dalam masyarakat Islam terutamanya.

Berikut dikongsikan gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan di sepanjang program ceramah tersebut berlangsung.


Disediakan oleh : EDITOR 

Seminar "I Lap U, U Lap Mi" di Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Negeri Sembilan


23 April 2012, Seremban : Satu Program Seminar Sehari bertajuk "I Lap U, U Lap Mi : Semakin Jauh Perjalanan Semakin Erat Tangannya Ku Genggam" telah diadakan bertempat di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Negeri Sembilan. Ceramah telah berlangsung di Bilik Seminar, Tingkat 11, Wisma Persekutuan, Seremban.

Program ceramah ini telah dihadiri oleh kakitangan JANM Negeri Sembilan yang diketuai oleh Pn. Arfah, Timbalan Pengarah JANM Negeri Sembilan. Ceramah ini telah berlangsung mulai jam 8.30 pagi hingga ke jam 4.30 petang.

Ceramah telah disampaikan oleh Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM). Pelbagai tips-tips keharmonian serta kemesraan rumahtangga telah dikongsi bersama sekalian peserta yang hadir. Para peserta nyata tidak bosan di sepanjang ceramah berlangsung dan ini dibuktikan dengan kehadiran penuh para peserta dari pagi hinggalah ke petang.

Dengan ini EDITOR mengucapkan tahniah buat penganjur terutamanya Pn Zarina di atas inisiatif menganjurkan program bermanfaat seperti ini, mudah-mudahan dengan wujudnya keluarga bahagia mampu membawa kepada impak dan kesan positif kepada mutu kerja kakitanga itu sendiri.

Berikut dikongsikan gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan di sepanjang program tersebut berlangsung.


Disediakan oleh : EDITOR