Khamis, 18 Disember 2008

Cabaran Debat DiRaja Sudah Bermula


CABARAN DEBAT DIRAJA BERMULA

[Dipetik dari Berita Harian, Sabtu, 29/11/2008]

SEBANYAK 128 pasukan membabitkan kira-kira 1,200 peserta dari 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara kini berentap bagi merebut kejuaraan Pertandingan Debat Diraja Antara Universiti Awam ke-12 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bermula 29 November lalu.

Pertandingan berprestij anjuran bersama UIAM, Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Kementerian Pengajian Tinggi itu menyaksikan lima kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu Utama, Bahasa Inggeris Utama, Bahasa Arab Utama, Bahasa Melayu Muda dan Bahasa Inggeris Muda.

UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mendahului IPTA lain dengan menghantar penyertaan 11 pasukan dalam pertandingan itu.

IPTA lain ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Malaka (UteM).

Seterusnya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pertandingan peringkat awal berlangsung kelmarin membabitkan semua kategori di Kuliyyah Undang-undang membabitkan kategori Bahasa Melayu, Kuliyyah Kejuruteraan (Bahasa Inggeris) dan bangunan pentadbiran (Bahasa Arab).

Persaingan peringkat suku akhir dan separuh akhir bermula hari ini bagi menentukan pasukan layak meneruskan cabaran ke peringkat akhir, esok.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM dijangka hadir mencemar duli ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pada 3 Disember.

Tiada ulasan: