Isnin, 1 Februari 2010

Berbicara Soal Ke"BEBAS"an - Oleh Presiden ADAM

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia buat semua
.
Sekian lama berehat, akhir-akhir ini terasa terpanggil untuk menulis semula. Melihatkan keadaan dan gelagat manusia semasa. Rasanya boleh juga menyelitkan beberapa buah fikir untuk tatapan bersama. Lantaran 2009 pun telah meninggalkan kita untuk mula dikenang sebagai sejarah, maka di dalam 2010 ini pun walau masih berada di awalan tahun, padat dengan isu-isu yang semakin tidak dapat di jangkau kan. Apa pun, bila direnung-renung, manusia hari ini sebenarnya mencari satu tujuan di dalam hidupnya, yang satu tujuan yang tidak mungkin akan dapat dipenuhi di atas dunia ini. Apakah ia? Tidak lain tidak bukan satu perkataan yang cukup unik dan menjadi sebutan ramai dewasa ini iaitu "BEBAS".
.
Bebas atau kebebasan sememangnya disebut baik dalam hal ehwal politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Bagaimana pula? Akan saya perjelaskan nanti. Adakalanya inilah modal setiap manusia untuk berbicara. Kita boleh mendengar atau membaca di akhbar "Media tidak bebas", "Mahkamah tidak bebas", "Apakah SPRM benar-benar bebas?" dan macam-macam lagi. Maka benarlah kata-kata saya tadi manusia sibuk memperkatakan soal bebas.
.
FLASHBACK ZAMAN KANAK-KANAK
.
Soal kebebasan ini sememangnya bermula sejak zaman kanak-kanak lagi. Izinkan saya membawa anda untuk 'flashback' semula ke zaman kanak-kanak. Seingat saya, kanak-kanak dulu sebolehnya mahu mereka dibenarkan bermain dengan rakan-rakan di waktu petang mulai jam 5.00 (kalau ikut zaman saya dululah). Dulu belum ada lagi permainan komputer, PS2, PS3, malahan Futsal pun belum ada. Kalau main bola pun bertiang golkan selipar aje.... Dan ketika ini juga, kebebasan sudah mula difikirkan semua, cuma mungkin belum dapat dihuraikan dengan baik dari segi perkataannya (kerana kita masih budak-budak).
.
Bukankah betul, pada ketika itu kita mengharapkan yang kita boleh bermain apa sahaja? Kita mahu bermain 'kalau boleh' tanpa ada limitasi waktu. Kita mengharapkan ibu bapa tidak akan marah kita walaupun kita masih bermain pada waktu sudah pun mencecah waktu Maghrib?
.
Tetapi ini tidak mungkin terjadi (dululah). Sebab, seingat saya, bila mula bunyi kaset mengaji berkumandang di surau, mulalah kedengaran suara memanggil pulang ke rumah. Adakalanya sampai terjatuh-jatuh berlari mengejar waktu sampai ke rumah sebelum Azan berkumandang/ Kalau tidak 'lecture' akan berterusan sehingga ke Isya'. Pokok pangkalnya kebebasan jugalah yang dicari pada ketika itu. Begitu juga dengan televisyen, dulu-dulu channel taklah banyak sangat macam yang di sediakan oleh Astro pada hari ini. Dulu ada TV 1 dan TV 2 aje. Kemudian barulah muncul TV3. TV 3 pun tengok aerial siap yang paling tinggi. Lagi tinggi lagi clear. Banyak jugaklah batang buluh yang jadi korban. Bila angin tiup je channel lari. Tapi, Tv pun tidaklah sampai 24 jam.
.
Dulu pun tidaklah bebas nak buka TV sesuka hati. Saya masih ingat lagi bagaimana bila sudah mandi petang dan bersolat Maghrib. Rumah menjadi tenang dan sunyi. Tiada sebarang bunyi keriuhan, hampir di semua kawasan kejiranan rumah saya. Sebab pada ketika itu semua sedang Maghrib. Dan jangan berani nak buka TV selagi tidak Arwah Abah saya on kan TV tu untuk tengok berita. Masa tu, barulah boleh 'tumpang sekaki' untuk menontonnya. Dan sekali lagi, kebebasan di masa hadapan menjadi idaman di hati agar boleh menonton TV sepuas-puasnya.
.
Persoalan yang sebenar kini, boleh dikatakan semuanya boleh diperolehi hari ini, tetapi apakah kebebasan yang kita idam kan, malahan yang telah kita perolehi, baik untuk kita dan generasi kita pada hari ini. Inilah pokok persoalan yang ingin saya kongsikan bersama....
.
PERIHAL KEBEBASAN
.
Ada yang menyatakan pada hari ini bahawa mereka merupakan pejuang kebebasan. Kerana mereka ingin menuntut kebebasan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Soalnya, benarkah dengan kebebasan kita akan harmoni dan sejahtera. Kalau itulah pandangannya maka dia perlu memikirkan semula kenyataannya. Kalau ada yang berfikir kebebasan itu jalan menghampiri kesempurnaan, maka itu, lebih lagi sesat pemikirannya.
.
Saya akan tonjolkan satu persatu aspek kebebasan yang seringkali dibicarakan pada dewasa ini untuk tatapan dan renungan bersama.
.
POLITIK
.
Politik semasa negara paling kerap membicarakan soal ke'telus'an dan ke'bebas'an. Tidak apa dengan 'telus' tetapi perlu dihurai lanjut tentang perihal 'bebas' dalam politik. Ramai Ahli Parlimen dan YB membicarakan hal ini tanpa pernah memberitahu umum pandangannya dengan tepat dan jelas bagaimana mahu bebas, dan apakah ada garis sempadannya. Tidak pernah. Berbicara memang pandai (sebab YB) tetapi tidak bijak dalam menghurai. Adakah kebebasan yang diberi mutlak tanpa perlu ada sebarang had dan sempadan? Tidak pernah diurai. Pada yang terkena apa-apa tindakan di bawah undang-undang akan menuduh agensi kerajaan tertentu, pihak berkuasa dan mahkamah juga sebagai tidak bebas. Walhal, apakah kebebasan yang sepatutnya menjadi pertikaian???? lagi-lagi 'bebas' yang disebut. Bukannya soal 'benar' dan 'salah'.
.
Begitu juga SPRM. Dituduh sebagai "kuda" kerajaan oleh sesetengah pihak. Menginsafi tugas SPRM, hanyalah melakukan siasatan dan mengumpul maklumat dan bukti, apakah yang kita inginkan? Kesempurnaan? Maka itu tidak akan menjadi kenyataan. Mengapa kesempurnaan. Apakah boleh kita melihat kesempurnaan tanpa melihat nilai 'baik', 'buruk' dan 'benar' atau salah' nya sesuatu perkara. Ada yang menuduh SPRM hanya menangkap 'ikan bilis' sahaja. Jerung tidak. Agaknya (firasat saya) nanti apakala SPRM menangkap jerung pulak, dipertikaikan pula sebegitu banyak 'ikan bilis dibiarkan sahaja. Ini sudah tentu! Percayalah. SPRM hanya akan menyiasat tatkala ada aduan. Apabila di siasat perlu pula meneliti samada siasatan itu berkembang sehingga wujud 'prima facie' atau tidak. Jika sudah cukup maka diserahkan kepada Pendakwaraya untuk mengambil tindakan lanjut dalam sesi pendakwaan. Namun, walau apapun yang berlaku....... ke'BEBAS'an tetap menjadi pertikaian walhal, SPRM bukannya pihak yang membuat keputusan pun. Hanya sekadar membuat siasatan dan kajian kes bagi memastikan aduan yang diterima berasas ataupun tidak.
.
Begitu jugalah dengan mahkamah. Saya kira institusi mahkamah cukup terjaga kredibilitinya sejak dari dulu. Dan seiring dengan itu, usaha untuk menjatuhkan nama baik mahkamah oleh pihak-pihak tertentu yang "kononnya" teraniaya tetap berterusan. Apa yang menghairankan kita, apabila keputusan mahkamah memihak pada dirinya, pada ketika itu bersuaralah dia, "Bersaksilah betapa mahkamah pada hari ini telah berubah menjadi satu institusi yang cukup bebas!!" Bebas juga yang disebut.
.
Dan, apabila keesokan harinya apabila mahkamah memutuskan keputusan sebaliknya, bersuaralah pula, "Rupa-rupanya mahkamah belum BEBAS sepenuhnya!", dan seperti mana yang saya katakan, keBEBASan jugalah yang disebut seolah-olah itu lebih penting daripada membicarakan soal siapa yang 'benar' dan siapa yang 'salah'. Kerana itulah BEBAS ini menjadi tajuk bicara saya pada hari ini.
.
Apakah kita mahu ruang lingkup kebebasan ini terbuka seluas-luasnya tanpa sebarang tembok sempadan? Tanpa perlu ada had dan batasan? Jika inilah yang dituntut, saya tidak nampak mengapa kita perlukan peraturan dan undang-undang. Saya yakin, jika ini diajukan kepada mereka maka mereka akan berkata.... "Tidaklah sampai tahap macam tu!". Ehhh.... bukankah kebebasan yang dituntut. Kalau dah semuanya berkisar soal bebas dan tidak bebas, maka bila kita ingin bicarakan soal benar dan salah? Tidak keterlaluan rasanya jikalau kita memberikan kebebasan mutlak kepada semua... maka ketika itu tiadalah lagi soal betul atau salah kerana semuanya tiada garispanduan sebab.... BEBAS.
.
EKONOMI
.
Di dalam aspek ini. bukanlah saya ingin menyentuh aspek perekonomian dunia, atau sistem ekonomi amalan negara, tetapi menjurus kepada aspek pelaku-pelaku di dalam ekonomi iaitu antaranya pengusaha yang mencari rezeki di dalam ruang lingkup ini. Saya suka sekali menyentuh aspek peniaga-peniaga kecil.
.
Adakalanya kita perlu berfikiran besar untuk berjaya dalam perniagaan. Malahan kesemua syarikat terkemuka dunia baik McDonald, KFC kesemuanya bermula dengan perusahaan yang cukup kecil. Namun bukan besar atau kecilnya sesuatu perusahaan tetapi sebaliknya soal kelangsungan (survival) yang ingin kita perhatikan. Lihat sahaja peniaga pada hari ini, ramai yang berniaga tanpa ada asas berniaga, ramai yang berniaga secara express dan tutup berniaga dengan .... express juga! Kerana perusahaan atau perniagaan yang dijalankan tanpa mengkaji terlebih dahulu.
.
Fenomena hari ini, ramai yang dibuang kerja daripada sektor industri ekoran masalah kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia. Itu hakikat, dan ramai pula pekerja-pekerja daripada sektor industri mula mencuba untuk berniaga. Namun, berniaga tidak pula dikaji apa yang sesuai untuk diniagakan, apa yang perlu dilakukan, strateginya, cara-caranya malahan aspek yang paling kerap ditinggalkan adalah dari aspek prosedur dan perundangan.
.
Saya melihat negara kita sudah mula membiarkan trend peniaga di negara asing seperti Indonesia bertapak di Malaysia. Di Indonesia dan di India kita boleh melihat ramai peniaga-peniaga berniaga di jalanan secara sesuka hati tanpa lesen dan tanpa mengikut peraturan, malahan di tepi jalan-jalan utama pun di letakkan gerai perniagaannya yang mana bukan sahaja membahayakan nyawa pelanggan tetapi juga nyawa peniaga itu sendiri.
.
Kita boleh menyaksikan bagaimana di Malaysia, ada sahaja papantanda berbunyi "Di Larang Berniaga Di Sini". Tetapi, 'ironi'nya, disitulah juga ada peniaga berniaga. Bukan sahaja di situ, kita boleh lihat peniaga buah-buahan berniaga di exit tol selepas lebuhraya di kebanyakan kawasan di negara kita. Apabila masyarakat sudah mula berpendapat "biasalah tu", maka ia sudah mula menjadi trend dan seolah direstui masyarakat. Bukan itu sahaja peniaga berniaga di simpang-simpang yang bahaya, di bahu jalan yang tidak sampai pun 10 kaki, berniaga tanpa mendapat lesen, membina gerai-gerai statik haram tanpa restu pihak berkuasa, ini berkait rapat dengan keBEBASan (sekali lagi). Apakah kebebasan ini yang kita inginkan. Pandangan yang menyakitkan mata, membahayakan nyawa.... bukan ini rasanya yang kita inginkan. Peniaga-peniaga malam yang membuka restoran pula sudah menjadikan budaya meletakkan meja makan di tempat-tempat letak kereta betul-betul hampir dengan jalan tempat kereta lalu-lalang. Jelas dan nyata berbahaya. Peristiwa kemalangan di MPAJ tidak sama sekali memberi pengajaran kepada mereka.
.
Amaran, notis, kompaun denda, mahkamah, langsung tidak dihirau yang penting berniaga. BEBAS juga yang diinginkan. Apa yang diperolehi dengan kebebasan ini? Kalau sebut keselesaan, tidak mungkin. Kebebasan ini sehinggakan mengancam nyawa sendiri. Yang menghairankan, pelanggan sendiri gemar duduk makan di kawasan berbahaya ini. Katanya, lebih baik sebab dapat menghirup "udara segar". Beberapa kali kita dapat melihat agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan merampas kerusi meja ini, pada ketika ini, ada yang menghamburkan kata-kata kesat malahan ia datang daripada pelanggan juga. Yang kenyang dengan sumpah seranah, maki hamun ini, tidak lain tidak bukan anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.
.
Sedangkan jikalau berlaku sebarang kemalangan, agensi PBT juga kerap kali di ambil tindakan undang-undang. Oleh itu, tidak mungkin PBT wajar berdiam diri memerhatikan tindakan peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.
.
Apa pun di sini sikap dan konsep pemikiran perlu berubah demi memastikan setiap tindakan kita benar-benar matang dan berfaedah untuk pembangunan diri kita sendiri. Misalan, cuba kita lihat dari segi disiplin peniaga-peniaga yang telah berjaya mengembangkan perniagaan. Ini bukan disebabkan kebebasan, tetapi adalah kematangan serta iltizam di dalam merangka strategi pembangunan diri agar setiap yang dilakukan akan bertambah baik dari masa ke semasa. Visi, Misi dan Objektif juga perlu jelas.
.
KISAH TELADAN
.
Contoh mudah, seorang lelaki di US pernah datang untuk sesi temuduga sebagai seorang Eksekutif Pentadbiran di sebuah pasaraya Amerika Syarikat. Berbekalkan segulung ijazah dan segunung harapan, beliau menghadiri temuduga. Akhirnya beliau gagal dalam temuduga. Apabila gagal beliau melangkah keluar daripada pasaraya dengan hampa dengan wang di dalam poketnya hanya ada US$5.
.
Ketika melangkah keluar, beliau terlihat satu longgokan buah tomato berjumlah 12 biji dengan harga US$3. Lalu beliau terfikirkan satu idea. Beliau mulanya membeli buah tomato tersebut dan memulakan perniagaan dengan menjual di luar pasaraya dengan harga US$2 untuk setiap 3 biji. Sekejapan sahaja tomato tersebut habis dijual dengan pulangan US$8. Maknanya beliau meperoleh keuntungan sebanyak US$5. Beliau membeli lagi dengan wang itu dan lagi pendapatannya digandakan.
.
Sedikit demi sedikit perniagaannya berkembang daripada menggunakan meja, kepada gerai. Daripada gerai kepada kedai runcit. Daripada kedai kepada Pasar mini. Daripada pasar mini kepada Gudang. Akhirnya beliau membeli pasaraya di mana beliau gagal dalam temuduga tadi. Kisah ini bukan fiksyen atau rekaan semata tetapi satu kisah benar yang berlaku.
.
Apa yang ingin ditonjolkan di sini adalah keazaman untuk memperkembangkan perniagaan agar menjadi maju tanpa mengharapkan ihsan atau belas sesetengah pihak. Begitu juga menjalankan perniagaan yang lain daripada yang lain. Misalnya, mungkin kita boleh berniaga makanan, tetapi fikirkan 'konsep' yang ingin kita tonjolkan. Kita boleh melihat contoh wujudnya Kopitiam, wujudnya Restoran makanan laut.... ini mungkin biasa di dengar, tetapi bukan makanan atau minuman yang dijual sebenarnya. Tetapi sebaliknya konsep.
.
Janganlah asyik dipersalahkan soal keBEBASan lagi. Kononnya rakyat Malaysia sudah tidak bebas lagi untuk berniaga. Habis, bagaimana lagi hendak berniaga. Barang diingat walau apa pun yang ingin kita lakukan, pasti akan ada peraturan dan prosedurnya. Hatta, ingin makan sekalipun, ada aturannya. Peraturan menginginkan kita mencuci tangan dahulu. Atau jika tidak kita terdedah dengan bahaya jangkitan kuman dan sebagainya. Janganlah bila dah sakit baru sibuk dengan hal dan soal kebersihan. Itu hakikatnya. Peraturan dan undang-undang jangan dicampak dibuang, kelak malapetakanya bukan kepalang.
.
SOSIAL
.
Saya suka sekali memetik kembali kisah di zaman kecil dulu.... betapa jauh bezanya dengan masakini. Misalan, waktu bermain sudah tidak seperti dahulu. Adakalanya keluar sampai jauh malam baru balik. Pukul 10 malam balik tu dah dikira awal (saya tidak katakan semua begitu..). Tengok TV sampai melangkau Maghrib. Siaran TV 24 jam, especially yang ada Astro. kalau dulu-dulu kalau kita sedang duduk menonton TV di ruang tamu, katakan tiba-tiba datang orang luar datang ingin berjumpa dengan ibu bapa kita. Kita akan 'automatik' bangun duduk di dapur untuk tidak mengganggu tetamu, tetapi tidak kini. Dia boleh buat 'derrrk' je (istilah budak zaman sekarang).
.
Pergaulan BEBAS dah tak kira lelaki perempuan. Kalau dulu di sekolah, kolej mahupun universiti setakat berkenal-kenalan, paling tidak pun berkongsi 'perasaan' tetapi kini sudah lebih dari itu. Tak perlu dihurai panjang tentang itu, anda tentu lebih memahami senario semasa kini. Inilah sebenarnya kunci kepada kesemua kerosakan akhlak yang berlaku. Tanyalah kepada guru-guru dan pensyarah, betapa mereka kini sudah seolah-olah tiada kuasa lagi untuk menegur pelajar, silap-silap mereka pula yang di'sekolah'kan oleh pelajar. Sebab apa? Sebab kita semua sudah mula mengejar keBEBASan tanpa kita menyedari yang ia bakal membawa kita ke mana.
.
KESIMPULAN
.
Oleh yang demikian, mungkin penulisan saya kali ini agak lain bunyinya, tetapi sudah agak lama saya terpanggil untuk meluahkan perihal keBEBASan ini tetapi rasanya hari ini sesuai untuk saya menyatakannya dengan keadaan kebetulan sebegitu banyak isu berkait rapat dengan kebebasan dibicarakan.
.
Lihatlah sahaja isu kalimah "Allah" yang kian heboh diperkatakan. Bukankah ini berkaitan dengan sikap manusia yang inginkan kebebasan melakukan, membuat, mengaku, menulis, menyebut hampir apa saja. Mereka mahu BEBAS menggunakan kalimah Allah, walaupun mereka bukan Islam. Jangan lupa pepatah "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung". kalau di negara lain mungkin boleh, tetapi tidak di Malaysia di sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Sensitiviti masyarakat perlu juga diambil kira.
.
Disebabkan keBEBASan juga lah timbul isu RPK (Raja Petra Kamarudin) sebagai penulis blog kontroversi, dan tidak lupa juga dengan kes terbaru yang cukup sensasi, iaitu Aduka Taruna yang ditahan ekoran penulisannya yang menghina dan tidak sopan terhadap Sultan Johor yang mangkat dan tidak sesuai sekali dengan kesedihan yang dihadapi oleh kerabat DiRaja Johor.
.
Saya yakin kini persoalannya adalah, apakah masih sesuai kita membicarakan soal keBEBASan? Tepuk dada dan tanyalah minda dan pemikiran anda. Apakah sesuai lagi membicarakannya. Selepas daripada ini, bersaksilah, jikalau ada lagi pihak yang membicarakan soal kebebasan semata-mata tanpa tahu halatujunya, maka orang ini perlu dipersoalkan pemahamannya terhadap kebebasan.
.
Tatkala seseorang ditahan polis kerana tidak memakai topi keledar, janganlah dibiacarakan soal "Oh sudah tidak bebas lagi saya menunggang motosikal di kampung saya ini". Bukan itu yang sepatutnya dipersoalkan tetapi soalan "Apakah tindakan saya tidak memakai topi keledar ini salah?", itulah yang sepatutnya.
.
Sekali lagi, kebebasan usahlah dipersoalkan. Hakikat kebenaran lah yang lebih penting. Adakalanya kita cukup gemar bermain dengan perkataan tanpa memahami roh sebenar maksud sesuatu perkataan itu....
.
Hanya sekadar memberikan pandangan....
.
.
.
Disediakan Oleh:









Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: