Khamis, 8 September 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri - Presiden ADAM


Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia.


Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini kita berpeluang sekali lagi bersama-sama menyambut Syawal. Saya sendiri merasakan seolah-olah baru semalam sahaja saya menyambut hari lebaran semasa saya masih bersekolah rendah. Dahulunya, kalau beraya di rumah jiran-jiran (secara berkumpulan), rasa seronok sangat. Boleh kata, rata saya berjalan di kawasan perumahan Panchor di Seremban (rumah ibu saya - tempat saya dibesarkan sejak darjah 1 lagi).


Kalau masuk je rumah yang bagi 20 sen, besar sangat rasanya. Kira kayalah tu. Normalnya 10 sen. Apatah lagi kalau bagi 50 sen. Tapi, cubalah kalau hari ni bagi 20 sen. Mahu dikutuknya kita lagi ada. Tapi yalah, manalah boleh kita nak samakan hari ni dengan 25 tahun yang lalu. Jauh bezanya. Taraf hidup pun dah jauh berbeza, manalah boleh nak dibandingkan dengan zaman 'facebook' yang dan teknologi yang kian berkembang ini. Zaman ni, kalau bagi RM1 pun ramai budak-budak yang marah.


Mungkin mereka terlupa dengan konsep ikhlas dan kemampuan. Jangan pulak kita sampai membebankan diri kita, beri duit raya sehinggakan kita terlupa wang simpanan untuk keperluan keluarga di dalam mengharungi kehidupan seharian. Kalau mampu beri banyak, berilah banyak, kalau sedikit saja yang mampu, sekadaran sahajalah, dan sekiranya tidak mampu, usahlah diberi. Kalau kita ini susah, memberi juga kerana nak mengikut orang, lebih baik tak usah. Tak ada faedahnya, mahupun pahala.


Apatah lagi apabila ada pula yang memberikan hadiah atau sampul raya dengan niat biar orang tahu dia berduit, atau dengan niat menunjuk-nunjuk, lebihlah lagi, dahlah tak ada pahala, berdosa pulak disebabkan oleh riak, takbur, sombong dan bongkak. Di dalam isikandungan ceramah saya di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, ada saya kongsikan betapa Hari Raya Aidil Fitri ini adalah hari kita meraikan diri kita kembali kepada "Fitrah" yakni kembali menjadi asal iaitu suci kembali daripada segala dosa dan noda. Ini lebih dirasakan oleh mereka yang bersungguh-sungguh beribadat di sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Sewajarnya kita menjadi lebih baik setelah kita tiba di bulan Syawal ekoran daripada latihan yang kita jalani pada bulan Ramadhan yang lalu.


Kita boleh melihat betapa ramai yang lebih gemar berhibur dengan tahap melampau bermula di pagi raya lagi, makan tanpa mengira batas kesihatan, dan akhirnya memudaratkan. Jika ini berlaku kita pasti akan bertanya, di mana perginya aplikasi baik dan mulia yang ada di sepanjang bulan Ramadhan dulu? Apakah ibadatnmya di bulan Ramadhan dulu tidak membawa apa-apa erti kepadanya atau apakah mungkin ibadatnya pun sebenarnya tidak diterima? Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui.


Ini, tak payahlah lagi kita cerita kepada yang langsung tak buat apa-apa kebaikan pada bulan Ramadhan lalu. Ada yang kita lihat sendiri kadang-kadang tu, jangankan tarawih, sembahyang yang wajib pun tinggal, bulan puasa yang lalu, betul-betul dia menahan lapar dan dahaga saja. Tak lebih dari itu. Belum lagi cerita mereka yang tanpa segan silu tidak berpuasa, makan minum di khalayak, malahan ada yang minum arak di waktu tengahari di kedai-kedai makan Cina. Nauzubillah!


Tidak mengapalah bukannya saya ingin mengulas panjang pun kali ini, cumanya menerusi kesempatan ini, saya Syamsul Amri bin Hj Ismail, selaku Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) dengan ini mewakili diri saya dan ahli keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Sudi-sudikanlah datang ke rumah ya. Mudah-mudahan, menerusi usaha ini hubungan kita akan lebih mesra dan rapat lagi. Sekian dan Wassalam.


Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden ADAM


Tiada ulasan: