Khamis, 9 April 2009

Apa Yang Sepatutnya Berlaku Selepas Pilihanraya di Bukit Gantang?


Assalamualaikum semua....

Pilihanraya baru-baru ini selesai sudah kita mengikuti perkembangan pilihanraya umum di tiga kawasan iaitu; Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Air. Di antara ketiga-tiga kawasan ini, Bukit Gantang paling menarik perhatian. Dengan isu tempatan berkaitan 2 Kerajaan Negeri di Perak, persidangan DUN di bawah pokok, isu penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu pastinya menghangatkan lagi keadaan. Maka, tidak hairanlah, saya tidak berfikir panjang untuk terus ke Bukit Gantang bagi meninjau perkembangan di sana bagi mengukur sejauh mana kehangatan suasana pilihanraya di sana. Dan akhirnya Pakatan Pembangkang mengekalkan penguasaan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, manakala Barisan Nasional terus mempertahankan kemenangan di DUN Batang Air.

Saya berkampung di Bukit Gantang ke sana mulai 29 Mac 2009 sehingga ke 4 April 2009 bagi mendekati suasana pilihanraya di sana.

Ada beberapa fakta atau butiran menarik mengenai pilihan raya kecil P59 Bukit Gantang, Perak untuk dikongsi dan dijadikan panduan bagi menyatakan dengan jelas sebab musabab mengapa PAS berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU 12 yang lalu. Pandangan saya ini mungkin tidak sama dengan pandangan yang lain, tetapi inilah dia penelitian saya dan mungkin boleh direnungkan oleh semua. Ketika di sana, saya tidak memilih untuk menginap di hotel tetapi sebaliknya saya tinggal di kediaman bapa saudara saya di Bagan Serai, Perak. Dari sana saya menjelajah setiap hari ke kawasan-kawasan peti undi bagi meninjau perkembangan.

Apa yang berjaya saya himpunkan yang dijadikan rumusan ini adalah hasil pengamatan sendiri sendiri kepada seluruh suasana dan senario yang berlaku di Bukit Gantang di sepanjang saya berada di sana tanpa dipengaruhi mana-mana analisa.

Pengamatan dan ulasan ini tidak termasuk pada 4 April hingga 7 April kerana pada 4 April 2009 saya telah pun berangkat pulang kerana terdapat beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan. Namun, semasa saya meninggalkan Bukit Gantang pada 4 April 2009, saya sememangnya telah menduga kemenangan Nizar pada 7 April 2009, cumanya saya tidak menyangka beliau hanya menang dengan majoriti 2,789 undi sahaja.

Pada saya momentum yang ada kini tidak banyak berubah daripada tiga hari selepas hari penamaan calon lalu, 29 Mac lalu kecualilah ada kejutan yang sengaja dibuat atau dilakukan yang mana senario dan mood yang ada kini boleh merubah sama sekali menyebabkan ada pihak yang akan terkejut beruk!

Apa yang pasti saya pada awalnya kehairanan kerana di sepanjang perjalanan saya pada 29 Mac (Ahad) di lebuhraya mulai dari Rawang hingga ke susur masuk ke Taiping-Kamunting, kelihatan kereta sangat banyak menuju pulang ke Kuala Lumpur. Saya puas memikirkan apakah sebabnya, kerana pada waktu ini bukanlah waktu baru tamat cuti persekolahan. Akhirnya apabila saya tiba di Changkat Jering, barulah saya tahu, bahawa kereta yang banyak tadi merupakan ribuan penyokong luar yang datang untuk memberikan sokongan moral ketika sesi penamaan calon dijalankan. Menunjukkan kepada kita komitmen yang ditunjukkan oleh penyokong (walaupun bukan pengundi) terhadap parti mereka. Dan suka sekali saya menegaskan, bahawasanya secara majoriti penyokong luar yang komited memberikan sokongan ini yang pulang semula menuju ke Kuala Lumpur ini datangnya daripada penyokong Parti Pembangkang dan bukannya Barisan Nasional. Kesungguhan penyokong parti lawan ini bukanlah tandingan Barisan Nasional, malahan ramai penyokong mereka yang datang tanpa apa-apa pengharapan selain untuk menang dan lebih penting lagi mereka hadir dengan perbelanjaan sendiri.


Gambaran Semangat dan Poster serta Bahan Kempen.

Kedudukan atau gambaran mengenai semangat, poster dan bahan kempen hampir sama saja. Kedua parti Barisan Nasional dan PAS sama-sama kreatif dan mempunyai idea pelbagai dalam menyampaikan mesej untuk menawan pengundi. Seperti biasa dari segi kekreatifan dan kerajinan terserlah kepada Pas. Ini secara tidak langsung menggambarkan penghasilan dan sokongan itu melibatkan semua peringkat. Begitu juga dari segi komited para petugas, petugas Pakatan Rakyat ternyata mempunyai semangat dan komitmen tinggi untuk menang berbanding petugas Barisan Nasional.
Dari segi jumlah, perang poster, bill board, surat layang yang disebarkan dan sebagainya hampir sama saja. Dalam konteks ini Barisan Nasional agak agresif dan berani menyebarkan surat-surat layang atau flyers yang menghina individu tertentu dalam Pakatan Rakyat.

Satu perkara yang saya tidak terlupa untuk dikongsikan bersama, adalah bagaimana pada suatu malam ketika saya melalui kawasan Trong (salah satu kawasan peti undi) terdapat beberapa bilik gerakan PAS yang dikawal selia oleh bukan Melayu (Cina dan India). Inilah trend baru yang turut perlu diambil perhatian oleh semua pimpinan tertinggi Barisan Nasional.


Komitmen & Bantuan Daripada Luar

PAS mendapat bantuan luar yang komited dan bersungguh berbanding Barisan Nasional. Rumah-rumah disewa khas untuk menempatkan Pas dari negeri-negeri terutamanya Kelantan dan Terengganu. Setiap kawasan Pas di dua negeri itu ada mempunyai pos dan ada kawasan masing-masing yang dijagai. Ini bermakna petugas Pas berkubu di kawasan masing-masing mengawal apa saja kegiatan yang bakal dilakukan Barisan Nasional. Kawalan ini menyebabkan Barisan Nasional tidak boleh bergerak secara sewenang-wenangnya untuk mendekati pengundi. Maka tidak hairanlah jika kita mendengar kerapkali kekecohan berlaku apabila petugas-petugas Barisan Nasional cuba untuk menghampiran kawasan yang telah mereka jadikan sebagai 'kubu'. Mereka tidak langsung membenarkan seincipun maklumat luar terutama daripada BN, malah mereka menyajikan ceramahceramah yang diadakan secara langsung mahupun secara siaran skrin layar daripada pemidato-pemidato utama Pakatan Rakyat terutamanya Saudara Anwar yang mempesonakan dan terkenal mampu mempengaruhi pendengar melalui pengucapannya.


Layanan & Kemesraan Petugas

Petugas Pakatan Rakyat lebih mesra dan dekat dengan rakyat. Mereka pagi-pagi lagi sudah menemui rakyat di surau, masjid, pasar dan kedai-kedai kopi. Dalam empat buah kedai kopi di Changkat Ibol, Simpang Tiga Changkat Jering, Air Kuning, dan banyak lagi kawasan yang saya lalui tidak ada petugas Barisan Nasional yang minum bersama orang ramai pagi manakala para pertugas PAS bertaburan bercampur dengan penduduk tempatan.
Petugas Barisan Nasional diberitakan lebih seronok berada di luar kawasan Ipoh, atau Alor Star menginap di hotel-hotel mewah.

Sepanjang seharian hanya sekumpulan Puteri seramai empat orang (masih mentah) ditemui untuk berkempen untuk calon Barisan Nasional. Cara pendekatan mereka berkempen dan berinteraksi tidak mempunyai daya penarik (selain daripada mempertaruhkan wajah, make-up dan keremajaan) kerana rata-rata Puteri itu adalah gadis belasan atau awal 20an yang kurang daya intelektual dan diplomasi politik.


Sambutan & Kehadiran Di Dalam Majlis Ceramah

Kehadiran di mana-mana ceramah berpihak kepada PAS. Setiap hari, tidak kurang 70 ceramah yang telah dilangsungkan oleh kedua-dua parti PAS dan Barisan Nasional. Nisbahnya boleh diletakkan 6 Pas dan 4 Barisan Nasional. Bagaimana pun ada beberapa kawasan yang tidak dapat dimasuki langsung oleh PAS, khasnya di DUN Trong. Namun taktik menyusup petugas dilakukan untuk memasuki ke kawasan ini. Sebagai contoh keparahan di kawasan ini ceramah oleh pemimpin tertinggi Pas dihadiri tidak sampai 50 penduduk tempatan.


Sikap Pengundi Lama (Veteran)

Pengundi Veteran berusia 60 tahun ke atas masih berpihak kepada Barisan Nasional. Mereka masih bernostalgia dan sangat menghormati ada istiadat Melayu di mana mereka sukar untuk menerima pembaharuan dicanangkan oleh Pakatan. Nisbah pengundi tua ini bolehlah dikatakan 6 Barisan Nasional 4 Pakatan Rakyat/Pas.

Pengundi muda pula dilihat lebih berpihak kepada PAS. Situasi ini jelas dilihat mereka yang menyertai jentera pilihan raya. Mereka juga dikira bersedia mengubah haluan dengan memperolehi maklumat yang luas dan bebas dan tidak terikat kepada kepada bahan kempen dan alat propaganda konservatif.


Pengundi Berbangsa Cina dan India

Secara umum pengundi Cina berpihak kepada Pakatan Rakyat dengan nisbah 65 PAS dan 35 Barisan Nasional. Apakah nisabah ini kekal ataupun akan berubah. Pengundi Cina sudah dikenal pasti sebagai boleh berubah mengikut selera semasa. Biasanya orang Cina tidak akan bertindak merugikan diri mereka dan lebih memikirkan soal keselesaan dan keuntungan daripada berfalsafah panjang berjela dan mengusutkan pemikiran. Pengundi India pula saya letakkan nisbah 5 : 5.


Bahan atau Topik Yang Menjadi Isu

Barisan Nasional menjual isu Mohamad Nizar Jamaluddin derhaka kepada Sultan, calon PAS bukan anak tempatan, PAS (Melayu) jadi boneka DAP serta isu pemberian 19 geran tanah 999 tahun kepada bukan Melayu.

Di pihak PAS pula menjadikan kerakusan Barisan Nasional rampas kerajaan Pakatan Rakyat, peralihan kepimpinan yang tidak memberi kesan, UMNO rasuah (terutamanya keputusan lembaga tatatertib UMNO di dalam pemilihan UMNO baru-baru ini) dan isu-isu tuduhan jenayah kepada Perdana Menteri baru sebagai isu utamanya. Manakala isu peribadi mengenai calon BN, Ismail Saffian, seorang yang tidak mesra rakyat juga dijual secara senyap.

Ternyata PAS tidak mempunyai isu yang menarik untuk dikemukakan kepada rakyat melainkan janji untuk meneruskan kerajaan berkebajikan sekiranya memerintah semula.
Bagaimana pun insiden rampasan kuasa di Perak sedikit sebanyak memberi simpati kepada calon PAS. Kehadiran tokoh-tokoh besar PAS dan PKR tidak begitu mengujakan kerana tidak ada isu-isu baru yang praktikal pada fikiran rakyat pertengahan yang disampaikan oleh mereka melainkan retorik falsafah agama semata-mata. Yang nyata mereka hanya membawa isu-isu duluan lama, sedikit sebanyak, mula menimbulkan reaksi bosan terhadap perjuangan mereka yang bersifat retorik semata-mata. Barisan Nasional yang berhasrat memenangi semula hati orang Melayu kelihatan hampir berjaya kerana ramai orang Melayu sudah mula beralih perhatian terhadap kepimpinan baru negara. Namun, meskipun berjaya menarik semula sebahagian undi orang Melayu namun undian pengundi Cina yang mantap (solid) terhadap PAS menyumbang kemenangan mereka.

PAS sebenarnya tidak menang apa-apa, mereka sekadar mempertahankan apa yang mereka ada sebelum ini, namun yakin dan percayalah jikalau ada di kalangan mereka menyatakan bahawa pengaruh Najib tidak berjaya dan unsur Mahathir yang kembali ke pangkuan UMNO dan turun pada 6 April lalu di Bukit Gantang untuk berkempen tempohari tidak berjaya, maka saya menyangkal sekeras-kerasnya kerana ingatlah bahawasanya pengaruh mereka baru bermula. Jika dilihat keputusan di Permatang Pauh yang dimenangi saudara Anwar, maka sewajarnya Nizar pun dijangka akan menang dengan majoriti yang besar. Tetapi ini tidak berlaku. Ini tandanya kehadiran Najib dan kembalinya Tun Dr Mahathir sudah mula dirasai...
Saudara Ismail Saffian yang tewas tidak perlu bersedih, beliau merupakan 'orang baru' namun saingan yang diberikan bukan sedikit terhadap Nizar yang nyata mempunyai kelebihan dan penanaman modal selaku bekas orang nombor satu di Perak. Tidak dapat dinafikan bahawa Nizar berjaya meningkatkan majoriti berbanding sebelum ini, tetapi perlu diingat bahawa ia disumbangkan oleh peningkatan peratusan keluar mengundi iaitu kira-kira 75% berbanding 72% di dalam PRU ke 12.

Yakin dan percayalah, dengan kehadiran Tun Dr Mahathir selaku tulang belakang dan pendokong UMNO pasti akan memperkasakan semula UMNO. Najib juga pasti tidak akan berdiam diri bagi memastikan UMNO terus bertahan.


Kesimpulan

Apa yang telah berlaku tidak lagi perlu menjadi sandaran. Ayat "kita akan membuat kajian tentang punca kekalahan" ini sudah tidak diperlukan lagi. Tidak perlu lagi kita menganjak masa dengan retorik kajian yang tidak membawa apa-apa. Bukanlah maksud saya menyatakan sebab itu tidak penting, namun sebab itu sememangnya telah diketahui umum, iaitu:

Pertama : Pengundi muda lebih cenderung kepada perjuangan pembangkang,
Kedua : Pengundi Cina sudah tidak setia lagi kepada Barisan Nasional yang diterajui UMNO,
Ketiga : Perubahan yang dijanjikan sejak kian lama masih belum kelihatan lagi (sebelum wujudnya istilah "Transformasi UMNO")

Maka, kesimpulan mudahnya, bukanlah apa yang telah berlaku? tetapi apa yang sepatutnya berlaku selepas ini? Selepas ini apa yang sepatutnya berlaku adalah;

Jika benarlah golongan muda tidak berminat dengan UMNO, maka Pemuda UMNO dan Puteri UMNO perlulah bersegera di dalam menunaikan janji mereka untuk membawa pulang golongan muda ke dalam UMNO. Jika benarlah pengundi Cina tidak setia lagi, maka carilah jawapan segera untuk menyelesaikan punca ketidaksetiaan mereka dan ajarilah kesemua mereka tentang konsep bernegara di Malaysia, dan janganlah disebabkan tanah 999 tahun yang mereka tuntut kini, mereka lupa siapakah sebenarnya "Tuan" di negara ini, malahan Tuan sendiri telah terlalu banyak memberikan keistimewaan terhadap mereka. Dan jikalau benarlah transformasi yang dijanjikan maka, terjemahkanlah segera dalam bentuk tindakan dan jangan dibiarkan ia terus menjadi irama dan lagu pembangkang di dalam ceramah mereka lantas mereka akan terus bergaya di dalam setiap saingan pilihanraya, dan dibimbangi Pilihanraya Umum Ke - 13, titik penamat buat UMNO dan sekelian saf Barisan Nasional!!

Itupun jikalau suara saya didengari..........




Oleh
Syamsul Amri Bin Hj Ismail
Presiden Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM)

1 ulasan:

UzaiR Rusli berkata...

seperti yang dijangka semua parti akan kekalkan kerusi masing2. Saya lebih tertarik soal pengundi muda, dahulu ibubapa mempengaruhi anak2 tapi sekarang anak2 pula yang mempengaruhi ibu bapa.

Pernah terdengar cakap2 di sebuah kedai di kawasan pantai timur, bahawa org yang mengundi umno ni kolot. Parti tu dah lapuk dan tak relevan lagi. Saya tetap dengan pendirian senyap tanpa sebarang respon.

Kes jenayah yang disabitkan dengan PM memang byk spekulasi sana-sini. Saya tetap dengan pendirian selagi tak terang di depan mata aku tak percaya. PM pun manusia bukan nabi kan. Namun cerita begini tetap berlegar di ruang pemikiran anak muda yang cerdik2 belaka.

Trend sekarang semua orang nak tunjuk pandai. Tak hairanlah ramai yang beralih mencari alternatif. Akhbar arus perdana pun tak dipandangnya. Cerita yang dijaja lebih kepada spekulasi pemimpin2 kita. Saya tetap dengan pendirian, mana diorang tahu semua ini. Macam diorang pula malaikat yang mencatat kehidupan pemimpin2.

Raja Petra a.k.a Raja Spekulasi Malaysia ada mengatakan dalam program temuramah bersama aljazera, bahawa sebarang berita palsu akan dianggap benar akhirnya jika perkara itu kerap kali diulang. Mungkin ini yang menjadi kata-kata hikmat buat perjuangan pembangkang.

tapi generasi muda mcm saya ni tidak mampu berpolitik. Tidak ada ruang bagi kami mungkin, atau ini memang kejahilan saya tentang politik. Terfikir juga ini cara kita tarbiyah anak muda dan tak sedar mereka mencari ruang lain untuk bersuara. siapa peduli suara muda? kami tak berharta nak ubah masyarakat barangkali. takut juga lantang bersuara kerana masih memegang kad pelajar...

Bukan niat mengguris hati, sekadar melahirkan suara hati anak muda. Umno perlu lebih terbuka! Umno masih relevan! takkan melayu hilang didunia. last but not least, tahniah Tun Mahathir menyertai semula umno.