Selasa, 21 April 2009

Antara UMNO/BN dengan UPIN & IPIN - Dari Kacamata Presiden


Assalamualaikum kesemuanya,


Saya mulakan penulisan kali ini dengan pengucapan penuh terima kasih di atas permintaan pelbagai pihak di dalam email alumnidebat@yahoo.com yang memohon saya menulis berdasarkan topik yang mereka inginkan demi penelitian dan pandangan saya. Saya cuba untuk memberi respon terhadap permintaan yang paling tinggi manakala yang lainnya mungkin saya akan nyatakan secara ringkas melalui e-mail sahaja(demi tidak menghampakan). Bagi bulan ini ramai benar yang bertanyakan kepada saya tentang penubuhan kabinet Dato Seri Najib baru-baru ini. Lama juga saya fikirkan sebelum mengambil keputusan menulisnya pada hari ini.


Barisan Kabinet Malaysia yang diterajui UMNO/BN baru telah diumumkan baru-baru ini dan mendapat liputan dan perhatian menyeluruh dari seluruh negara. Perkara ini terus mendapat ulasan dari seluruh pemerhati politik negara baik dari dalam mahupun luar negara. Barisan kabinet Dato Seri Najib ini membayangkan betapa, Najib benar-benar mahukan pemimpin yang datangnya dari akar umbi (grassroot) dan bukannya pemimpin yang tidak direstui (secara terang-terangan) oleh rakyat. Ini pernah saya ulas ketika menulis tentang keputusan pemilihan UMNO yang berlangsung pada bulan Mac yang lalu.


Kita dapat melihat betapa PM kita benar-benar mahukan dirinya dianggap berbeza seperti yang lainnya (lain-lain PM) dan beliau mahu menunjukkan betapa beliau lah orangnya yang akan memacu perubahan atau transformasi yang diinginkan. Transformasi ini dapat dirasakan ketika Pilihanraya Kecil di Bukit Gantang baru-baru ini, apabila kita berjaya mengenalpasti betapa undi orang Melayu secara majoritinya telah kembali semula kepada UMNO.


Dengan kembalinya undi ini maka bukan kecil tanggungjawab UMNO/BN di dalam mempertahankan dan membuktikan kesungguhan kerajaan yang diterajui oleh BN ini yang berusaha 'tampil semula' dengan imej barunya yang dikatakan sebagai sudah dan sedang di 'transformasi' kan. Ini sememangnya jelas. Imej baru ini merupakan imej impian rakyat dan rakyat mahukan perubahan besar-besaran terutamanya betapa sejak sekian lama sebahagian besar rakyat mula merasakan bahawa suara mereka sudah tidak penting dan seolah sudah tidak didengari. Inilah bebannya yang perlu diambil perhatian oleh pemimpin baru masakini.


Golongan Muda dan remaja yang pernah saya tegaskan sebelum ini sebagai lebih cenderung kepada parti pembangkang, tidak dapat tidak perlu perhatian segera untuk diambil tindakan pembetulan. Jika tidak, persoalan ketahanan UMNO/BN akan terus ibarat telur di hujung tanduk. Saudara Khairy Jamaludin perlu membuktikan bahawa meskipun beliau bukannya menteri kabinet, tetap mampu menggembleng usaha sebagai Ketua Pergerakan Pemuda untuk mengembalikan generasi Muda ini ke dalam UMNO. Usaha ini tidak sama sekali saya tujukan kepada UMNO sahaja, tetapi juga MIC dan MCA kerana golongan muda yang bukan Melayu juga tidak ketinggalan memilih menyokong pembangkang kerana tidak mahu akan perjuangan yang yang hanya bersifat retorik, dan bersifat lapuk tanpa pembaharuan dan seolah tidak dapat di'baharu'kan.


DRAMA MELAYU DAN UMNO/BN


Hari ini terlalu banyak drama dan filem di dalam televisyen yang berpeluang kita tontoni, tidak kiralah yang Melayu ke, Cina (TVB), Tamil, Hindi, Sepanyol, dan Indonesia kebanyakannya, rata-rata kita seolah dapat mengagak kesudahannya. Terutamanya Drama Melayu. Jadi apakala begini keadaannya, ramai penonton tidak mahu menanti hingga ke akhir, kerana pada pandangan penonton, kesudahannya berkemungkinan sama. Apabila ini berlaku meskipun seseorang produser sememangnya telah mengkaji drama dan bercadang meletakkan kesudahan yang sangat berbeza, maka hasratnya ini tidak kesampaian kerana penonton sudah jemu dengan plot, skrip, jalan cerita yang ditonton kerana meramalkan kesudahannya adalah stereotype yang pastinya tidak mendatangkan minat. Maka, di sini tidak dapat tidak, produser filem perlu merombak keseluruhan cerita bagi memastikan penonton tidak sempat berasa bosan dengan cerita yang dipaparkan.


Maka, tidak hairanlah Filem dan Drama "Upin & Ipin" mendapat perhatian di seluruh negara, malahan tidak pernah kita membayangkan sehinggakan kutipan tiket "Upin & Ipin" ini berjaya memecah rekod filem "Transformers" yang didatangkan daripada Amerika Syarikat. Mengapa ini berlaku? Kerana, imej, features, paparan, kreativiti serta promosi menunjukkan betapa lainnya filem Malaysia yang ini dan diminati segenap golongan rakyat yang menyaksikannya.

Filem Animasi Upin & Ipin menampilkan kelainan

Maka, begitu jugalah dengan UMNO/BN, imej, features, cara kerja, kreativiti, penyampaian maklumat(promosi) juga perlu diubah bagi menarik minat rakyat agar kembali memberi sokongan penuh kepada UMNO/BN. Inilah yang diperlukan oleh pimpinan kita hari ini. Jika tidak skrip UMNO/BN hanya akan dihayati oleh pemimpin sahaja tanpa dapat diterima, difahami, malahan tidak dipedulikan rakyat lagi dek kerana merasakan skrip dan ceritanya masih sama walaupun PM dan Barisan Kabinetnya mempunyai niat menterjemahkan kesan akhir yang sangat berbeza. Sayanglah jika demikian keadaannya, perkara yang baik tidak dapat dilaksanakan lantaran kegagalan meyakinkan rakyat betapa lainnya mereka (pemimpin) kali ini.


Tegasnya, kelainan sangat perlu. Cumanya ia tidak boleh hanya diniatkan atau diperkatakan tetapi harus ditunjukkan dan dikomunikasikan dengan betul agar rakyat akan dapat bergerak bersama menyokong kerajaan di dalam setiap usaha membangunkan negara.


RESPON TERHADAP RAKYAT


Perkara-perkara yang dituntut oleh keseluruhan rakyat tidaklah munasabah kiranya diminta dibuktikan dengan sekelip mata. Itu, tidak rasional namanya. Kerasionalan, penting bagi kita di dalam membuat penilaian terhadap prestasi pemerintah. Sebagaimana pembangkang memohon mereka dinilai seadilnya memandangkan mereka masih baru di dalam pemerintahan di beberapa buah negeri, begitulah juga kabinet kerajaan yang baru dibentuk ini juga perlu diberi penilaian yang adil dan wajar supaya, kita tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.


Apatah lagi, menjatuhkan hukuman dengan mengajak rakyat secara beramai-ramai keluar ke jalanraya, merusuh sebagaimana yang berlaku di Thailand (sebagaimana yang di war-war kan oleh salah seorang pemimpin tertinggi pembangkang baru-baru ini), ini boleh lah kita katakan sebagai lebih lagi tidak rasional sebagai seorang pemimpin yang merasakan mereka lama di dalam politik. Tidak usahlah unsur keharmonian dan keamanan bumi Malaysia ini disentuh dengan sedemikian rupa demi kepentingan politik peribadi. Ini sangat bahaya. Justeru, sekali lagi kerasionalan lah yang diperlukan.


LANGKAH AWAL


Sebagaimana yang saya nyatakan di awal tadi, rakyat hanya mahukan suara mereka di dengar, rintihan mereka diambil perhatian, dan bukannya mendabik dada di tampuk pemerintahan (ala-ala hitler) dengan harapan semua rakyat hanya tunduk memerhatikan tanpa mampu berbuat apa-apa. Hari ini, kita tidak boleh lagi beranggapan begitu, sekelian pemimpin sedar betapa rakyat tidak lagi begitu, malahan pemimpin sedar apa yang rakyat kita mampu lakukan. PRU ke 12 membuktikan segalanya.


Antara tiga langkah awal (menurut perhatian saya) yang telah dilakukan, kelihatan benar-benar menyentuh jiwa dan rakyat meyakini bahawa perubahan benar-benar ingin dilaksanakan:


Pertama; Di dalam ucapan penggulungan Dato Seri Najib setelah diangkat sebagai Presiden UMNO yang baru benar-benar mengujakan dengan menggariskan matlamat perubahan dan transformasi yang ingin dilakukan termasuklah pemilihan UMNO termasukah jawatan Presiden akan dilakukan oleh sekelian ahli tanpa memerlukan kuota dan perwakilan, bagi memastikan pemimpin yang dipilih benar-benar pemimpin yang dipersetujui dan direstui oleh peringkat akar umbi. Ini mana sangat menggemparkan dan menarik perhatian sekelian rakyat agar kembali kepada UMNO/BN supaya kembali bertenaga di dalam pemerintahan. Kembalinya Tun Dr Mahathir juga mula menyemarakkan kembali perjuangan UMNO/BN.


Kedua; Pembentukan kabinet baru. Pembentukan kabinet yang lebih kecil, memperlihatkan tindakan berasaskan kepekaan terhadap keadaan semasa di mana dengan pengecilan saiz ini, kos juga dapat dikurangkan dan yang paling penting, pemilihan pemimpin juga dinilai berasaskan penerimaan rakyat. Mukhriz dipilih manakala KJ tidak juga menunjukkan kepada semua begitulah kehendak rakyat. Sebab? Saya rasa... tidak perlu diulas lanjut kerana telahpun saya ulas dalam penulisan yang lalu ketika mengulas keputusan pemilihan UMNO (bulan Mac yang lalu).


Dan yang ketiga; demi mendengar suara rakyat dan demi memastikan pemimpin benar-benar bekerja, maka PM secara bijaksana memperkenalkan Konsep "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Menarik, mudah difahami, jelas matlamatnya, cuma perlu dilaksana sebagaimana yang dihajatkan dan bukannya hanya mebiarkan ia tinggal konsep semata-mata. UMNO, MCA, MIC mahupun parti-parti komponen yang lain, baik di dalam kabinet mahupun tidak perlu sama-sama menggembleng usaha sejajar dengan konsep ini, dibuktikan dan dikomunikasikan (disampaikan) agar ini menjadi titik tolak perubahan sebenar berasaskan prinsip 'transformasi' yang dicitakan sejak peristiwa hitam PRU 12 tahun lalu. MIC dan MCA tidak boleh hanya berdiam diri membiarkan UMNO menanggung segalanya, semangat kesetiaan kaum lain yang sudah mula diragukan perlu dikembalikan agar MIC dan MCA juga boleh selesa bernaung di bawah kepimpinan UMNO selaku tunjang utama.



KESIMPULAN


Mudahnya, saya fikir, barisan kabinet yang baru sewajarnya tidak boleh berdiam diri, tetapi sebaliknya meneruskan usaha mengembalikan keyakinan rakyat, dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa gagal, serta mempertingkatkan prestasi tanpa henti di dalam kepimpinan agar terus relevan dulu, kini dan selamanya. Baik UMNO, MCA mahupun MIC, betapa jalan cerita, watak, dan penterjemahan mereka perlu diubah demi kerelevanan pemerintahan jika tidak mereka tidak akan berjaya di dalam perjuangan ini. Kerana sesungguhnya, tidak cukup hanya sekadar mengubah PELAKON, jikalau jalan cerita masih sama, kebosanannya pula lebih teruk dari drama sebelum ini. Malahan, tidak keterlaluan saya katakan jika inilah yang berlaku....UMNO/BN usah mimpi untuk berjaya.



Lebih malang lagi...... Untuk seberjaya Upin & Ipin pun belum tentu....rasanya.


Begitulah adanya perkaitan UMNO & BN serta UPIN & IPIN!!



Sekian dan Wassalam


Ikhlas daripada
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: