Khamis, 16 April 2009

Konsep Gagasan "Satu Malaysia" - Oleh A. Kadir Jasin

KEKELIRUAN mengenai gagasan Satu Malaysia atau One Malaysia sepatutnya memberi pengajaran kepada Perdana Menteri baru, Mohd Najib Abdul Razak, bahawa pengurusan pengaliran maklumat adalah sangat penting.Jelas daripada kekeliruan ini bahawa beliau telah tidak merancang pengaliran maklumat atau perancangannya tidak cukup berkesan.
Sehinggalah 15 April apabila beliau menemui pengarang media massa arus perdana dan transkripnya disiarkan barulah muncul gambaran yang agak jelas mengenai konsep Satu Malaysia itu.Antara lain, Satu Malaysia, mengikut penjelasan Mohd Najib, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia membawa makna:
1. Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
2. Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan; dan
3. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.
Saya tidak bercadang mengulas lebih lanjut hal ini kerana saya kurang yakin yang saya memahami sepenuhnya gagasan ini atau setuju dengannya.
Memadailah buat sementara waktu kalau saya katakan bahawa tidak ada dasar, pendekatan, label atau slogan akan sah dan sempurna jika hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak dihormati.
Begitu jugalah jika hak dan kepentingan kaum-kaum lain diketepikan. Sebaliknya gagasan ini memperkukuhkan komitmen kepada semangat dan pengertian Perlembagaan.
Tetapi setinggi mana pun hasrat Kerajaan hendak berlaku adil dan nampak berlaku adil, hak kaum majoriti jangan sekali-kali dinafikan.
Kita boleh berfikir dan bertindak di luar kotak dan lingkungan perkauman, tetapi hakikatnya tidak ada kaum dan bangsa di Malaysia yang mahu atau boleh dipaksa mengenepikan hak dan kepentingan mereka.
Dalam erti kata yang mudah, Perlembagaan adalah agung – supreme.
Dasar Ekonomi Baru sebagai pemangkin kepada dasar afirmatif dengan jelas mengatakan bahawa Kerajaan komited membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Ia juga komited menyusun semula masyarakat melalui pembahagian kekayaan dan peluang pekerjaan yang lebih saksama agar kaum-kaum di Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan kegiatan ekonomi dan pekerjaan yang mereka ceburi.
Oleh kerana Bumiputera berupa penduduk majoriti dan paling ramai anggotanya yang miskin, maka sebarang dasar yang menjurus ke arah membasmi kemiskinan dan membahagikan kekayaan negara dengan lebih saksama wajib dirangka agar sampai kepada mereka.
Selebihnya, izinkan saya meringkaskan transkrip perbualan Perdana Menteri dengan pengarang media itu yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.
“SAYA telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama pagi ini (15 April). Antara perkara yang saya telah tekankan pada mesyuarat pagi ini, supaya barisan Jemaah Menteri yang baru dapat memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi, di mana Jemaah Menteri perlu menepati apa yang diharapkan rakyat.
Saya menggariskan empat perkara. Integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu berteraskan kepada Kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Saya telah nyatakan dalam persekitaran politik hari ini, rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh anggap ini sebagai perkara biasa tetapi mesti mempamerkan barisan kepimpinan yang sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan.
Sehubungan ini, saya telah menyatakan betapa pentingnya Jemaah Menteri untuk berurusan dengan semua lapisan masyarakat. Kita tak boleh anggap kerajaan tahu segalanya. Kita perlu membuka pintu kepada dialog dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti merupakan keputusan yang benar-benar bersandarkan kepada kehendak rakyat.
Saya juga ingatkan ahli Kabinet supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada mana-mana kumpulan istimewa khusus (special interest group) atau mana-mana badan korporat.
Walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra kepada sektor swasta tetapi kesudahannya kita mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat pada keseluruhan.
Saya juga telah menyebut tentang pencapaian yang diharapkan oleh rakyat bahawasanya rakyat tidak mahu mendengar sesuatu yang kita janjikan atau sesuatu diumumkan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin.
Oleh itu, pendekatan KPI akan dilaksanakan di mana pihak Khazanah telah ditetapkan sebagai badan untuk membantu kerajaan menggubal KPI dalam tempoh sebulan. Saya telah berjumpa Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azman Mokhtar untuk menempatkan bilangan tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan penggubalan KPI ini dalam tempoh tersebut.
Semua menteri akan dinilai prestasi masing-masing dalam tempoh enam bulan. Saya telah tetapkan pada bulan November nanti kita akan lakukan proses penilaian atas prestasi dan pencapaian setiap menteri dan kementerian.Dengan adanya sistem KPI ini, saya percaya prestasi kerajaan, pencapaian kerajaan, insya-Allah akan bertambah baik dan berkesan lagi.
Saya juga mengingatkan, bahawa rakyat hari ini mengharapkan pendekatan yang berbeza. Dan kita tidak perlu kepada pendekatan yang terlalu mementingkan luaran (ritual) ataupun kedudukan kita sebagai anggota pentadbiran. Tetapi kita mesti sensitif dengan pandangan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.
Saya bagi contoh, kalau kita hendak promosi pelancongan misalnya Pulau Langkawi. Apabila kita buat papan iklan, tak payahlah kita letakkan gambar Perdana Menteri dan menteri berkenaan sebagai sebahagian daripada kandungan papan iklan tersebut.
Dan kalau ada hari-hari tertentu kita buat sepanduk, banting dan sebagainya, tak payahlah gambar menteri atau Perdana Menteri ditonjolkan.
Kita nak tunjukkan yang kita tak penting kepada perkara seperti ini. Yang penting ialah untuk menunjukkan bahawa kita sebuah kerajaan mesra rakyat dan pentingkan kepentingan rakyat lebih daripada kedudukan dan jawatan yang ada pada kita.
Saya sudah buat keputusan dan JPM akan keluarkan kenyataan. Tidak ada masalah apabila sesuatu kementerian dibubarkan. Misalnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ini kerana agensinya tetap tidak dibubarkan. Ia ditempatkan di bawah kementerian lain yang akan melaksanakan tugas seperti biasa.
Seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga. Ketika zaman Tun Ghafar Baba, Mara di bawah kementerian berkenaan.
Dan, Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal). Takkan dia tak boleh kita harap, untuk laksanakan program Mara umpamanya. Jadi, saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien.
"Saya komited kepada rakyat untuk bawa pembaharuan dan saya serius untuk bawa perubahan.”
(Dipetik daripada Blog A. Kadir Jasin)

Tiada ulasan: