Ahad, 13 Mac 2011

Politik Malaysia Panas Kembali!!!

Politik Malaysia pada tahun 2011, kini panas kembali dengan beberapa siri pilihanraya kecil yang berlangsung. Pilihanraya Kecil di Kerdau, Pahang dan Pilihanraya Kecil di Merlimau, Melaka benar-benar mencuri tumpuan semua.
.
Saya yang kebetulannya dijemput untuk menyertai beberapa siri ceramah bagi menyampaikan isu-isu semasa kepada rakyat terlibat terasa amat teruja dengan suasana pilihanraya yang sebegitu meriah.
.
Apa yang menarik, kedua-dua pilihanraya menemukan pertandingan dua penjuru calon Barisan Nasional (BN) menentang Parti Islam Se Malaysia (PAS). Sejak Tsunami politik melanda negara pada tahun 2008, Pakatan Rakyat (PR) telah memenangi 8 pilihanraya kecil manakala BN memenangi 6.
.
Maka, kemenangan ini sangat penting buat Barisan Nasional bagi membuktikan bahawa perjuangan mereka masih relevan manakala kemenangan bagi PR pula menunjukkan signal bahawa pengaruh mereka semakin berkembang, tambahan pula kedua-dua kerusi ini merupakan kubu BN.
.
Suasana pilihanraya ini menampakkan pertempuran yang hebat sekali dengan kempen BN dihiasi serangan bertubi-tubi Ummi Hafilda terhadap A1 di dalam PR siapa lagi A1 ini kalau bukan Sdr Anwar. Sdr Anwar pula kelihatan pesona ceramah beliau agak pudar mungkin kerana kepenatan atau mungkin juga diselubungi kes liwat beliau yang masih berjalan di mahkamah.
.
Pakatan Rakyat juga mempertaruhkan Bob Lokman, personaliti hiburan yang mengumumkan penyertannya di dalam PAS malahan Bob Lokman turut sama berkempen di Kerdau.
.
Isu yang paling hangat ialah apabila Nik Aziz membuat pernyataan berani 'Undi PAS Kalau Nak Masuk Syurga'. Pernyataan digunakan seoptimum mungkin oleh jentera BN di dalam menghentam Parti PAS.
.
Kenyataan ini bukan hanya dibidas oleh jentera pilihanraya BN malahan juga oleh Datuk Harussani, Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Malahan Datuk Harussani menasihatkan kedua-dua parti termasuk BN agar jangan menggunakan hukum agama untuk meraih undi.
.
Itulah sebabnya saya seringkali mengingatkan di dalam ceramah saya bahawasanya kita boleh menggunakan politik untuk kepentingan agama TETAPI jangan kita menggunakan agama untuk kepentingan politik.
.
Saya berasa sangat bangga kerana di dalam siri ceramah isu-isu semasa kali ini saya berpeluang bergandingan bersama Tuan Hj Fadhila Fadhil, Ustaz Sarjat Ali, Datuk Zainal Abidin Sakom (YBK), Dato' Hj Mohamad Aziz (Ahli Parlimen Sri Gading), Sdr Hamizum (GAPS - Gerakan Anti Penyelewengan Negeri Selangor) dan ramai lagi.
.
Akhirnya, sebagaimana yang kita ketahui, BN diumumkan sebagai pemenang kedua-dua kerusi yang mana penting bagi BN apatah lagi majoritinya juga meningkat di kedua-dua DUN jika dibandingkan dengan majoriti ketika Tsunami politik tahun 2008 yang lalu.
.
Bagi PAS tewas ini tidak bermakna kalah semua kerana kerusi ini sememangnya kerusi asal BN, namun janji mereka akan terus memberikan saingan terhadap BN hinggalah ke PRU yang dijangkakan tidak lama lagi.
.
Apa pun sepertimana saya katakan di awal tadi, benarlah politik di negara kita kembali panas.
.
..... dan kini kedengaran pula ADUN Johol yang kini uzur dan ditambah pula ADUN Lenggeng yang didapati bersalah dengan tuduhan rasuah... apa mungkin pilihanraya akan berlangsung lagi sebelum PRU seterusnya???? .....
.
Kita nantikan.......
.
Suasana di pekan Merlimau
Merlimau dibanjiri poster dan bendera parti politik bertanding
Dato' Seri Zahid Hamidi ketika menyampaikan ceramah
Mengingatkan orang Melayu tentang relevannya perjuangan UMNO di dalam Barisan Nasional
Ini pula suasana ceramah ketika saya menyampaikan ceramah isu semasa
Suasana yang meriah sekali
Suasana di Command Centre di mana berpusatnya bilik gerakan utama Barisan Nasional
Ibupejabat Barisan Nasional menempatkan petugas daripada Biro Penerangan UMNO Malaysia
Di sini diwujudkan beberapa bilik gerakan dan bilik mesyuarat
Lokasinya terletak betul-betul berhadapan Politeknik Merlimau
.
.
.
Disediakan oleh
.
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: