Khamis, 18 Jun 2009

Alahai Usul PPM!!!! - Oleh Dammahum

Alahai usul …......Kepada yang membuat tajuk Debat PPM sepatutnya lebih berhati-hati. Bukan semua perkara boleh didebatkan kerana, tersalah memilih dan mencadangkan tajuk anda sebenarnya telah menganiayai debater termasuk menganiayai guru pengiringnya sekali. Sebelum aku buat ulasan, aku bukannya debater yang bagus, jika nak dibandingkan dengan budak-budak SBP yang seusia dan sezaman dengan aku.



Tapi satu fakta yang perlu tahu, dekat UPSI tu pensyarah-pensyarah Bahasa Melayu memberi kepercayaan kepada aku bukan sahaja mewakili Universiti tetapi jadi pegawai pengiring Debat gantikan dia orang, sebab dia orang tahu aku lebih tahu dari apa yang dia orang tahu. Terus kepada usul PPM......Kita lihat pada tajuk: PENGGUNA BIJAK MENJANA EKONOMI NEGARA. Dari tajuk saja aku dah boleh agak siapa yang akan menang, telahan aku betul jugak.



Pusingan kelima semua pembangkang KALAH, ulang suara semua PEMBANGKANG KALAH...Kepada siapa yang menjadi pembangkang, kesian kalian, anda bukan tidak berbakat, tetapi tajuk tidak menyebelahi anda. Inilah ibaratnya bila tenuk mengajar tapir berenang, akhirnya menyusahkan orang sahaja. Sebagai pembangkang bagaimana anda ingin menafikan pengguna bijak tidak mampu menjana ekonomi keluarga.



Gila apa?? Sudah tentulah pengguna bijak pandai mencari peluang, pengguna bijak pandai mencari alternatif baru untuk menaikkan taraf keluarga, tanam sayur dan sebagainya. Pengguna bijak pandai untuk berbelanja, belanja ketika musim jualan murah, pilih barangan yang murah tetapi mewah ( hehe aku punya falsafah tu ) pengguna bijak tidak boros tidak ikut nafsu bijak menabung, tak masuk skim cepat kaya, tak pinjam along tetapi buat pinjaman kat Bank dan sebagainya.




Nama pun dah bijak tahap kesedaran pun tinggi, bak kata orang tu, orang kalau dah bijak duit RM 10 boleh dijadikan 10 ribu, tapi kalau dah tak pandai( bodoh) duit sejuta pun habis. Apapun hujah pembangkang untuk mematahkan kelemaahan dan kekurangan pengguna kerajaan bidas begini sahaja Yang Berhormat tu bukan pengguna bijak, pengguna bodoh namanya (hehe tu ayat aku ).bla ...bla.... Sepatutnya Pengguna Mampu meningkat ekonomi keluarga.




Tidak perlu ada BIJAK...Barulah pihak pembangkang boleh membangkang usul dengan mangatakan pengguna pada hari ini sifatnya mudah terpengaruh dengan iklan-iklan, bersikap boros dan terpedaya dengan jualan-jualan murah. Tapi bila pengguna bijak.......sampai sekarang aku berfikir apa sepatutnya, sekolah mana dan siapa yang mencadangkan tajuk ni, jom kita debat tapi biar aku kerajaan......Kita lihat pula pada tajuk “ INTEGRITI ASAS KEMAJUAN NEGARA” Menangis pembangkang untuk membangkang tajuk ni. Sudahlah debat PPM tidak boleh membawa alternatif baru untuk melawan kes kerajaan, maka mahu tidak mahu kena lah cari kelemahan INTEGRITI.




Setahu aku Pak Lah menitik beratkan integriti ini kerana dalamnya terkandung sifat-sifat positif yang akhirnya boleh membawa kepada kemajuan negara. Begitu juga kata KAJOL (debater UIAM) jadi yang berhormat semua perkara positif sudah terkandung dalam INTEGRITI, apa yang kami perlu katakan, hasad dengki ke asas kemajuan negara.Maka berpeluh, dan menagislah Tun Fatimah selaku pembangkang untuk menentang SMAP Kajang dalam tajuk ni.




Kalau SMAP Kajang yang teror tu diposisi pembangkang pun sesak nafas Afiq untuk menerangkan kepada dewan betapa untuk menolak INTEGRITI ASAS KEMAJUAN NEGARA. Apakah pembangkang ingin buktikan ada sebuah negara yang masyarakatnya RASUAH, KORUPSI, PECAH AMANAH membangun negara mereka. Dan akhirnya membuktikan ia bukan asas kemajuan. Selaku pihak pembangkang hanya boleh bermain pada frasa ASAS, mengatakan ianya bukan asas,tapi sekadar elemen kecil saja, tapi selaku kerajaan mengatakan usul bukan satu-satunya asas, maka terdiamlah pembangkang, asas adalah benda yang utama, dalam analogi rumah tiang asas bukanya satu tapi banyak, begitulan dalam usul ini, asas kemajuan negara bukannya satu tapi, banyak. Namun pembangkang perlu membuktikan asas ataupun bukan.




Sila jawab hakim bestari …........kalau tajuk IJN ke ataupun teknologi ke boleh jugak pembangkang kata, kekangan Teknologi ataupun wang ringgit menyebabkan kita tidak mampu untuk melaksanakanya dan akhirya ia bukan asas. Dalam tajuk ni boleh ke kita cakap INTEGRITI tu ada kekangan dalam pelaksanaanya kerana masalah kewangan ataupun kos. Kalau begitu buat baik dan jujur, amanah dan ikhlas kena bayar.....tiadalah orang baik yang kaya. Takkan nak cakap tidak menyeluruh INTEGRITI tu, sebab dia baru diperkenalkan. Setahu aku dari darjah satu ustaz dah ajar jujur amanah, siddiq fatanah dan banyak lagi sifat mahmudah, hanya nama saja dimodenkan.




Maka sekali lagilah pembangkang tajuk ini semuanya KALAH..... Kesiannnnnnnnnnn.......................................................... maka menagislah dua lagenda debat TUN FATIMAH dan MCKK selaku pembangkang. Tajuk sesi ke 7 “FAKTOR EKONOMI MENYEBABKAN KECICIRAN PELAJAR”.Tajuk ni menyaksikan Sains Selangor ( Kerajaan) VS SSP( Pembangkang ). Pembukaan yang kemas dari kerajaan menyebabkan aku berpihak kepada kerajaan. Cuma SSP gagal untuk membawa keraguan yang kuat dalam membangkang usul.




Sepatutnya SSP membawakan begini, untuk menolak usul Faktor Ekonomi menyebabkan keciciran pelajar, perlu menunjukkan Pendidikan sekarang adalah percuma dan semua rakyat mampu untuk menerima pendidikan. Buku teks percuma bukanya kena bayar RM 300, duit makan asrama RM 1.00 saja dik oi lainlah kena 300 sebulan, duk asrama percuma bukan kena sewa tiap2 bulan pun 200 ke. Kalau yang benar-benar susah tu masuk-masuk dah ada projek khas lagi semua percuma. Malaysia merupakan negara membangun maka tahap kemiskinan rakyat Malaysia adalah rendah, setakat yuran sekolah tak sampai RM 10.00 adakah rakyat malaysia tidak mampu untuk membayar.



Kegagalan menceritakan dengan baik keadaan pendidikan masa kini, menyebabkan usul ditolak.Pihak kerajaan berjaya memberi gambaran untuk mendapatkan pendidikan masyarakat perlu ada duit, tak de duit tak boleh pergi sekolah atau sambung belajar. Kerajaan terpaksa memberi bantuan biasiswa kepada pelajar, kalau tiada biasiswa mereka tidak boleh belajar. Sebab dalam BERSAMAMU tu budak tak pergi sekolah sebab nak tolong bapa dia cari duit. Mengambarkan pendidikan di Malaysia seolah-olah mahal diperingkat rendah, hinggalah ke peringkat tinggi. Sebab tajuk ni mind set orang duit segala-galanya, almaklumlah peribahasa baru nak masuk tandas pun kena duit.




Fikir macam ni je, dulu guru-guru terpaksa buat pendaftaran untuk memungut yuran dan segala bayaran dari pelajar tatkala awal tahun. Tapi sekarang mana ada lagi....nak bayar boleh, tak nak bayar sudah, tak boleh dipaksa. So disini saja,menunjukkan bukan alasan tak de duit untuk menyekolahkan anak-anak, dan sekiranya mereka tidak bersekolah adakah mereka benar-benar tidak ada duit???? dan keraguan yang boleh ditimbulkan adakah tiada duit ataupun tiada kesedaran untuk sekolah????Diperingkat IPTA pula, keraguan yang boleh ditimbulkan adakah tak dapat sambung belajar disebabkan tiada duit ataupun sebab x cukup syarat sebab dapat ( 10 1E) ? Respon kerajaan???? Kalau cukup-cukup makan pun masuk giat MARA dapat elaun lagi dik oi RM 200 sebulan. Kalau tak nak masuk tu tak de duit ke tak de apa ?




Matrik masuk dapat elaun lagi dik oi, lepas matrik pulak nak masuk Universiti tu dapat boucer lagi RM 1500.00. Kalau masuk UPNM dapat elaun lagi RM1200.00 macam orang dah keje dik oi, kesimpulannya tak nak sambung belajar bukan tak de duit tapi malasssss. Kalau ko pandai macam normadiha tu cakap je nak belajar kat mana, jangan kat bulan je. Ini menunjukkan duit atau faktor ekonomi bukan faktor keciciran pelajar.Analogi begini kalau nak masuk tandas kena duit 20sen. Sekiranya kita tak de duit maka tak boleh masuk tandas, jadi kesimpulan keciciran kita tak dapat masuk tandas adalah disebabkan kita tiada duit.




Itu yang ditunjukan oleh kerajaan. Tapi pembangkang pula kena tunjukkan masuk tandas tiada bayaran, ( sebab tandas masjid hehe) sesiapa sahaja boleh masuk, kalau tak nak masuk tu maknanya dia tak nak buang air kecil lah bukan faktor duit @ ekonomi tadi. Sama je, nak sekolah kerajaan ke nak sekolah swasta??? nak masuk tandas bayar ke dan masuk tandas masjid. Berbalik apa yang dibawa oleh SSP mereka seolah-oleh bersetuju nak bersekolah perlu ada duit, maka mengatakan ada bantuan, biasiswa dan sebagainya.




Maka kerajaan membidas kenapa ada bantuan dari kerajaan, sebab kalau tiada bantuan maka masyarakat tidak boleh bersekolah akhirnya membuktikan ekonomi adalah penting. Boleh nak bawa hujah bantuan dan biasiswa, tapi bukan hujah utama. Walaubagaimanpun syabas dan tahniah kepada kedua-dua pihak yang telah sampai ketahap ini.
*********************
Disediakan oleh :
*********************
DAMMAHUM

Isnin, 15 Jun 2009

Membawa Pulang Chin Peng: Perlukah Kita Menjadi Pemaaf? - Presiden ADAM



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kesemuanya...


Setelah beberapa minggu menyepi ekoran kesibukan tugas dan rutin harian, saya agak terkejut dengan lambakan e-mail dengan permintaan topik yang kian sensasi kebelakangan ini. Maka, saya dengan ini menyusun sepuluh jari memohon kemaafan saya di atas kelewatan terhadap respon e-mail yang diberi. Setelah dibuat penelitian dan mengambil kira perkembangan semasa, molek kiranya saya memilih untuk melakar pandangan berkenaan isu usaha segelintir pihak untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia. Isu ini yang paling hangat kini dan masih dibicarakan di peringkat Nasional.



Namun apa yang paling penting adalah apa pandangan kita dan bagaimana persepsi masyarakat secara majoritinya berkenaan hal ini, dan mengapa ia sedemikian. Sebelum kita boleh membuat apa-apa keputusan dan pandangan, molek kiranya kita tahu siapa Chin Peng terlebih dahulu....



SIAPA CHIN PENG?


Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis
Malaya. Beliau bukannya berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai. Chin Peng dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930. Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari belah saya" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.


Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Tse Tung. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung. Semasa remajanya 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Tze Tung mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.


Tahun 1940 dia diterima menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya 18 tahun. Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army , sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.


Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal didalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh menyiksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British dan turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal didalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya dibahagian selatan Tanah Melayu.


Tindakan puak radikal didalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindakbalas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.


Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak didalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh didalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.


Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.


Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.


Ketika umurnya 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung , Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .


Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.



Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.


Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit telah melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ketangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.


Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti, mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan menumpah darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.


Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.


Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan, sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari pada Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia Thailand.


Setelah komunis runtuh di Rusia dan di runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.


Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Tetapi pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.


Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Komunis Malaya, polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Perundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.


REAKSI USAHA MEMBAWA PULANG CHIN PENG?


Baru-baru ini kedengaran kenyataan Dr Wan Azizah untuk membawa pulang Chin Peng kembali ke Malaysia. Kenyataan Dr. Wan Azizah untuk membenarkan Chin Peng dibawa balik ke Malaysia atas alasan menziarahi jirat emak dan ayah serta melawat adik beradik dan sanak saudara, ini satu perkara yang ramai rasakan tindakan PKR dan DAP ini tidak wajar.


Imbas kembali, Chin Peng telah dikelaskan sebagai pengganas komunis dalam sejarah kita.


Apasal nak bawak masuk Chin Peng? Nak hidupkan Komunis dekat Malaysia balik ke? Orang bertanya apa orang tua Encik Chin Peng ni boleh buat? Dia seorang yang tua, tak berdaya, sudah tidak mampu hendak menggerakkan satu gerakan bawah tanah yang baru? Itu kata mereka yang nak bawak dia masuk semula ke Malaysia lah. Betul ke tak mampu? Sedang Ayatollah Khomeini, Pemimpin Agung Iran, menggerakkan kebangkitan rakyat Irannya menentang kezaliman Shah Iran Reza Pahlavi dari luar negara sahaja.


Saya mahu bertanya kepada si penggemar Chin Peng, apakah pendirian tuan-tuan dan puan-puan tentang Pol Pot seorang pengganas komunis Khmer Rouge yang terkenal membunuh beribu-ribu rakyat Kemboja dan jugak tentang Ariel Sharon seorang pengganas zionis Israel yang terkenal dengan pembunuhan secara rawak di Sabra dan Shatila. Kita buat perbandingan, sekarang Chin Peng sudah tua, Pol Pot pun sudah mati pada umur 70 tahun 1998, Ariel Sharon pulak sudah terlantar di Hospital akibat sakit teruk. Bukan kah keadaan ini tampak serupa, satu corak penyakit tua yang patut dikasihani. Memang sebagai manusia kita ada sifat belas kasihan, tapi rasanya kita tidak dapat padam sama sekali kejahatan dan kezaliman yang mereka lakukan satu masa dulu.


Saya yakin, bagi antara kita yang mana tok nya, moyang nya, pak sedaranya, dibunuh pengganas komunis, ditembak oleh komunis, cacat dan tempang akibat menentang komunis, sangat terkesan dengan hal ini. Dan pastinya, ramai yang mahu Chin Peng dipancung. Perasaan sebegini dapat kita pahami, di Kampung saya, Malim Nawar ada seorang Pakcik yang pernah berperang dengan komunis, kawannya mati dibunuh komunis. Beliau cukup anti-komunis. Ini baru kawan yang mati, belum lagi anak beranak.


Jadi masih lagi mahu kita benarkan Chin Peng balik ke Malaysia? Kepada si penggemar Chin Peng, yang mahu memulakan usaha membawak balik Chin Peng ke Malaysia, kamu patut sayangi Chin Peng sewajarnya. Jika Chin Peng masuk Malaysia, beliau akan sentiasa diancam. Saya tidak risau kalau ada cerita usahanya mahu bangkitkan balik semangat komunis, Kerajaan punya satu mekanisma terpantas dalam mengekang usaha atas nama mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, iaitu ISA. ISA pun memang diperkenalkan untuk menangkap dan melumpuhkan komunis di Malaysia. Maka sesuai sangatlah...


Saya sangat tidak bersetuju membawa balik Chin Peng ke Malaysia. Cuma sebagai manusia yang bersifat belas, saya mungkin akan benarkan beliau melawat keluarganya, tetapi hanya dengan membenarkan keluarganya berjumpa dengannya di sempadan dan bukan dengan membenarkan Chin Peng menjejakkan kakinya semula ke bumi Malaysia ini. Biar Kering Air Di Laut, Terbakar Seluruh Hutan Belantara... tetapi untuk membenarkan Chin Peng kembali semula ke Malaysia, tidak sekali-kali. Saya kira usaha yang di war-war kan oleh pihak yang beria-ia ingin membawa pulang Chin Peng perlu dihentikan tidak kira siapa waimma Parti Gerakan sekalipun.


Kalau dahulu Saudara Ahmad Ismail (Bukit Bendera) pernah digantung ekoran kenyataannya membidas kaum Cina yang dilabel sebagai pendatang, menyebabkan dia digantung. Malah Gerakan bersungguh-sungguh mahu beliau dikenakan tindakan tegas. Maka, apahalnya pula Gerakan ini kita biarkan?? Malahan isu Chin Peng ini tersangat besar kesannya buat orang-orang Melayu, maka saya rasa wajar ahli-ahli Gerakan dan lain-lain komponen yang tetap lantang berbicara soal membawa pulang Chin Peng, maka manusia ini tidak boleh kita biarkan tanpa sebarang tindakan!


PERLUKAH KITA MENJADI SEORANG PEMAAF?


Kenyataannya pandangan serta idea membawa pulang Chin Peng pasti tidak akan dapat direstui oleh rakyat, memang tidak masuk akal... sebagai Melayu Islam yang mana rata-ratanya pernah menerima penderitaan yg amat dahsyat ketika era-Komunis suatu ketika dahulu adalah amat sukar bagi mereka melupakannya,...terutamanya dengan kedatangan penjahat Chin Peng semula di negara ini.


Anak-anak muda memang sudah tidak tinggal di dalam gua seperti yang dikatakan, tapi saya yang berumur hanya 30 tahun dan menetap lama di Malaysia ini memang amat memahami sentimen kebencian bangsa saya (Melayu) terhadap penjahat ini... Adakah prinsip 'Kebebasan Bersuara' dan 'Demokrasi' boleh menutup semua sejarah yang tercipta ini??


Ibu, Bapa, Saudara-mara, Nenek, Moyang kita memang sudah mengenali kejahatan penjahat Chin Peng dan partinya ini! Melayu Islam lah yg paling banyak menderita sepanjang pemerintahan Komunis! Anda perlu memahami sejarah! Mungkin anda bukan pelajar cemerlang dlm matapelajaran Sejarah suatu ketika dulu,...tetapi saya YA! Ramai ahli saudara mara dan rakan-rakan rakyat yang mati ketika berjuang menentang Komunis suatu ketika dahulu! Apa pembelaan yang telah atau bakal kita peroleh dari keturunan Chin Peng atau ahli Parti Komunis?? Adakah mereka pernah meminta maaf?? Adakah mereka pernah menzahirkan rasa kekesalan??


Apakah maksud sesetangah pihak dengan mengajar rakyat Malaysia supaya menjadi pemaaf??? Adakah kita akan menjadi pemaaf apabila berada di dunia Palestin???...memaafkan Yahudi yang sentiasa membunuh & menghancurkan Islam dan bangsa Arab??? Adakah kita akan menjadi pemaaf sekiranya keturunan anda atau bapa sendiri telah terbunuh dengan kekejaman parti yang telah dipimpin oleh Chin Peng suatu ketika dahulu?


Adakah dengan pandangan yang mengatakan Nabi Muhammad mampu mengatasi kejahatan bangsa lain ke atas Bangsa Arab menjadi penyelesaian atau kesimpulan yang boleh diaplikasikan di sini???


Perkara yang mahu saya ingatkan,...perjuangan berlandaskan Islam itu memang sentiasa berada di jalan yang benar dan sentiasa mendapat keredhaan dari Allah,... Jadi adakah dengan membenarkan kemasukan Chin Peng bermakna semua pemimpin beragama Islam termasuk UMNO dan PAS di Malaysia akan mampu mengatasi masalah yang boleh semudahnya terjadi kelak??? Mereka tidak semulia Nabi Muhammad,...


Sedangkan mahu bermuzakarah pun ditolak PAS...apa lagi yang boleh diharapkan setelah PAS berada di dalam Pakatan Rakyat??? Pokok pangkalnya, keupayaan umat Islam di akhir zaman pada ketika ini amatlah jauh berbeza dengan keupayaan umat Islam di zaman Nabi Muhammad S.A.W. Percaturan dan pertimbangan yang jelas perlulah dilakukan.


Adakah anda mahu hanya kerana seorang penjahat yang bernama CHIN PENG dibenarkan masuk di Malaysia semula,...maka sentimen Kominisme yang dahulu pernah meragut ribuan rakyat Malaya berulang kembali....? Tetapi ia mungkin bukan dengan cara yang sama (pembunuhan),...tetapi dgn cara yang halus yang mana pada akhirnya mendatangkan keburukan pada semua rakyat (terutamanya Melayu Islam)!


Adalah lebih baik mencegah seorang PENJAHAT daripada terpaksa menanggung masalah yang tidak dijangka di masa hadapan.


Begitulah sahaja pandangan saya…..



Disediakan oleh : SDR SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL (ADAM)

Isnin, 8 Jun 2009

Persembahan Komedi Rakyat (PKR) di Pulau Pinang - mykmu.net

Barulah setahun Pakatan memerintah Pulau Pinang, sumbangan kepada kemajuan negari pun tidak semana pun. Masih lagi lanjakan dari usaha dan sumbangan Barisan Nasional yang lepas-lepas. Rancangan pembangunan pun masih mengharap kepada peruntukan dan program kerajaan Persekutuan.Belum apa-apa pun perbezaan kepada kemajuan negeri tetapi banyak sekali episod-episod lucu dalam politik Pulau Pinang. Kebelakangan ini memperlihatkan perbalahan terbuka sesama Pakatan Rakyat, khususnya antara DAP dan PKR dan sedikit sebanyak PAS.

Inikah perubahan dan politik baru yang sering diwar-warkan oleh Anwar Ibrahim? Adakah yang dijanjikan hanya lebih ceramah politik yang menghiburkan? Atau pun wayang drama yang menarik perhatian dan mengasyikkan? Perkembangan terkini pula adalah komedi amalan politik kebudak-budakan yang tidak mengeringkan gusi rakyat.
Semasa bekas Timbalan Ketua Menteri I, Fairuz Khairuddin dipaksa melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, pihak DAP tidak berpuashati dengan PKR yang tidak berbincang dengan kononnya parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain.
Tindak tanduk Anwar Ibrahim itu membelakangkan pihak DAP yang mengemudi pentadbiran kerajaan Pulau Pinang. Sebut belakang belum melucukan lagi. Ini disuarakan secara terbuka oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan berakhir dengan Anwar memohon maaf kepadannya .

Walaupun PKR berjaya mempertahankan kerusi Penanti, itu pun dengan laluan mudah oleh BN, tetapi ramai masih tidak bersetuju dengan cara perletakan jawatan yang tidak kena dan selari dengan semangat Perlembagaan. Ada yang berkata ia macam Hotel Demokrasi, ada boleh “check in dan check out”.

Ia lebih merupakan politik kebudak-budakan PKR yang lebih berdasarkan permainan persepsi dan pelbagai drama untuk merampas kuasa. Ini semua tidak menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian perjalanan pentadbiran negeri tetapi hanya mengkucar kacirkan keadaan. Teringat Karpal Singh kata, “Jangan main-main …”

Sememangnya Lim ada memberi sindiran tentang prestasi kerja dan tahap motivasi Fairuz semasa memberitahu akan sentiasa meneliti prestasi penjawat jawatan. Ini sebenarnya melucukan kerana jawatan yang dipegang Fairuz adalah jawatan politik yang berasaskan perwakilan politik. Namun begitu, tidaklah sampai ke tahap untuk memberhentikannya.

Yang melucukan, Angkatan Muda Keadilan boleh membuat laporan polis terhadap Fairuz untuk menyiasat salahlaku yang disyaki melakukan rasuah. Apabila disiasat SPRM, mereka mendapati tiada kes terhadap Fairuz. Bagaikan aksi lucu Charlie Chaplain yang macam lipas kudung, bertukar pula alasan pengunduran Fairuz kepada mahu sambung belajar. Ada pula pihak PKR memberi alasan dia sudah tidak tahan dan hormatilah haknya.

Kempen pilihanraya kecil Penanti pun tidak kurang lucu. Calun bebas dan bekas Ketua Wanita Keadilan, Aminah Abdullah berkempen menggunakan pelbagai pendedahan. Dia mendedahkan komedi Tiga Abdul. Tiga pemimpin PKR Pulau Pinang – Datuk Mohamad Zaharain Hashim, Malik Kassim dan Mustapha Kamal Ayub – yang asyik menjual ahli sesuka hati. Lantaklah politik dalaman parti mereka.

Kemudian didedahkan usaha untuk merasuah beliau untuk suruh undur. Biasalah dinafikan tetapi bila didedahkan gambar dan audio pertemuan, jawapan balasnya adalah Aminah dipanggil Minah Ronggeng oleh Azmin. Betul-betul macam kanak-kanak yang lengit dari kalah dalam permainan.

Belum pun reda isu Penanti, kini timbul pula isu pemboikotan acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) oleh semua ahli Majlis dari PKR, melainkan Farid Arshad. Mereka menunjukkan penentangan kepada perlantikan mantan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), seorang pengkhidmat awam sebagai Yang Di Pertua MPSP.

Menurut mereka, sudah ada kepersepakatan selepas pilihanraya supaya jawatan YDP MPSP dan YDP MPPP (bagi bahagian pulau Pulau Pinang) diterajui oleh orang politik dan dijanjikan kepada PKR untuk YDP MPSP dan DAP untuk YDP MPPP. Ahli-ahli Majlis MPSP yang memboikot upacara itu mempersalahkan Ketua Menteri dan menuduhnya membelakangkan PKR dan tidak berpegang kepada janji.

Macam teriakan “Biarkan! Biarkan!’ dalam cerita Si Luncai pula, Lim membalas, “Jangan berlagak seperti exco kalau bukan exco.” Manakala, ahli Parlimen DAP dari Jelutong, Jeff Ooi, naik angin dan mendesak mereka yang memboikot upacara supaya meletakan jawatan dalam tempoh 24 jam.

Kenapa mereka hendak sangat jawatan itu? Teringat gelagat Penasihat Kassim Pantalon ditawarkan persen komisyen oleh Tuan Sadik Sigaraga dalam cerita Tiga Abdul. Ditengah-tengah kesibukan ini, berulang khabar bahawa Lim tidak membenarkan Utusan Malaysia dan New Straits Times dalam mana-mana sidang akhbar kerajaan Pulau Pinang. Yang ini, aksi orang kahwin ramai dalam cerita Madu Tiga dalam berjanji memperjuangkan kebebasan akhbar dan hak bersuara.

Mungkin ini semua masih belum mengalahkan komedi hebat 916 tahun lepas. PKR menjanjikan kerajaan persekutuan akan bertukar tangan pada September 16 dengan wakil-wakil rakyat BN melompat parti. Kesian penyokong yang taksub menunggu di perkarangan gate Istana Negara untuk melihat Anwar keluar dari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Dia mengangkat sumpah depan gambar Agung di rumah .

Akhirnya, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari PKR yang lompat keluar dari Pakatan Rakyat kerana hilang keyakinan dengan pentadbiran negeri Perak. Anwar meradang macam kanak-kanak hilang puting lalu dibatuapikan Nizar untuk mundar mandir menyembah derhaka menentang keputusan Sultan. Mutakhir khabar yang didengar, tidak ramai rakyat mahu menandatangan petisyen menuntut pembubaran DUN Perak.

Itu pun rakyat Pulau Pinang belum dihiburkan lagi dengan cerita dari PAS. Jangan lupa PAS Pulau Pinang tidak diberi peranan langsung selain hanya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum muncul Anwar, Permatang Pauh adalah kubu PAS. Baru-baru ini, Pemuda PAS Pulau Pinang menuntut kerusi Penanti dipulangkan kembali kepada mereka. Bergema macam kuatnya suara Jin berkata, “Harta ini Ahmad Albab yang punya.” Ini masih gezet wayang lagi.

Macam-macam kelucuan politik pembangkang sejak PKR ada banyak kerusi. Pakatan Rakyat nampaknya tidak boleh berpakat dan kalau berpakat pun, macam dua penyamun membahagi harta dalam gua. Ada saja yang tidak kena.

Hati rakyat dapatlah didendang dengan Persembahan Komedi Rakyat dari Pakatan Rakyat untuk menghilangkan keresahan hati. Selama mana boleh mereka lakukan dengan keadaan ekonomi yang bertambah meruncingkan dan boleh mengsengsarakan kehidupan rakyat?
Adakah ahli politik Pakatan mengharapkan nasib baik atau majik macam dalam cerita Nujum Pak Belalang? “Belalang, belalang, dimana kau?”
Dipetik daripada : www.mykmu.net

Usul Muktamar PAS v Anwar - MyKMU.net


Di tengah-tengah kehangatan Mukatamar PAS 2009, pelbagai cerita yang timbul. Tewasnya calon "erdogan" untuk jawatan Timbalan Presiden PAS, menangnya calon-calon "erdogan" untuk ketiga-tiga jawatan Naib Presiden PAS, dan begitu juga dengan usul-usul konstroversi yang memeningkan kepala Presiden PAS, Hadi Awang. Dewan Pemuda PAS menegaskan supaya menggesa pihak Kerajaan Malaysia mengekalkan ekuiti 30% bumiputera untuk mengimbangi gagasan ekonomi negara di antara bumiputera dan bukan bumiputera. Kumpulan "BUIH PEPSI COLA" ini mendesak agar kepentingan bangsa Melayu ini dipertahankan?

Bukankah ekuiti 30% itu sebahagian dari perencanaan DEB dan membuktikan bahawa pihak kerajaan sebelum ini begitu peka terhadap kepentingan hak istimewa orang-orang Melayu? Dan sekarang, apakah mereka baru hendak mengajar Kerajaan untuk bertindak sedemikan? Kerajaan sudah melaksanakan dasar itu berabad lamanya, apakah kini baru "buih pepsi cola" baru hendak bersuara? Begitu juga ceritanya dengan usul menggesa kerajaan untuk mewujudkan kembali Kemeterian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MeCD) yang dipersetujui di Muktamar kali ini.
Usul ini juga mencetus kontroversi sama ada kepada pihak kerajaan dan Pakatan Rakyat. Pihak Kerajaan yang dibangkang selama ini telah memansuhkan MeCD sebelum ini, namun telah "menyerapkan" dasar DEB itu dibawah beberapa kementerian. Apakah dasar kerajaan ini pun sukar difahami oleh PAS? Dasar DEB ini telah lama telah dilaksanakan kerajaan Malaysia.
Banyak yang telah dilakukan kerajaan demi kepentingan orang-orang Melayu dan bumiputera. Pelbagai dasar ini dilaksanakan kerajaan demi memastikan hak-hak keistimewaan Melayu tidak hilang dibumi tanahair sendiri. Namun, inilah yang dinafikan oleh PAS selama perlaksanaan dasar ini. UMNO dikatakan "assobiyyah", kronisme, nepotisme dan sebagainya. Sedangkan mereka tidak sedar berapa ramai dari kalangan mereka yang kaya raya dengan dasar ini. Mereka lupa semua kata itu muncul dari "individu" yang kecewa kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian.
Dan individu itu tidak lain tidak bukan ialah Anwar! Lupakah pihak PAS bahawa Anwar yang mereka sokong itulah yang mahu menghilangkan hak-hak keistimewaan mereka di tanahair sendiri? Hilang ingatankah mereka? Bukankah selama ini Anwar itulah manusia yang "menyalak" mahu DEB dihapukan dari Malaysia. Bukankan itu "hak kesamarataan" yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Rakyat? Kononnya dasar DEB itu "zalim"?
Bodohkah mereka ini sehingga tidak mampu menilai mana yang baik dan mana yang buruk? Bukankah usul-usul ini bertentangan dengan "salakan" ketua yang mereka "kasihi" iaitu Anwar Al-Juburi? Usahlah cuba menipu diri sendiri. Usahlah mementingkan ego diri sendiri sehingga menafikan yang "haq" dan mempromosikan yang "batil". Usahlah tertipu dengan "laungan" proksi yahudi itu lagi. Berkasih-kasihanlah dengan saudara seIslam dan bertegaslah dengan kuffar. Jika kami silap, tegurlah kami dengan kasih dan sayang. Dan jika kamu silap, tak perlulah kami menempelak, kami akan tegur dengan cara yang berkhikmah dan cara yang elok.
Bukankan kita diwajibkan sebegitu oleh Islam. Janganlah ego diri sendiri meranapkan ukhuwah sesama kita. InsyaAllah, segalanya akan kembali indah di Malaysia.
Dipetik daripada : www.mykmu.net

Memperlekeh Perjuangan UMNO - Tun Dr M


1. Terdapat usaha berterusan untuk memperlekeh perjuangan UMNO dan orang Melayu untuk kemerdekaan.
2. Kononnya orang yang pertama memperjuangkan kemerdekaan ialah Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya. Chin Peng lah yang cuba membebaskan Malaya daripada penjajah British sebelum mana-mana orang Melayu mencuba melakukannya.
3. Perjuangan UMNO adalah kemudian dari itu.
4. Chin Peng bukanlah orang yang pertama yang memberontak melawan British. Sebelum Parti Komunis Malaya (PKM atau MCP - Malayan Communist Party), sudah ada Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak sebelum Perang Dunia II. Mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu Semenanjung kerana mereka cenderung ke kiri. Dengan itu perjuangan mereka tidak begitu berhasil. Namun terdapat beberapa pertubuhan yang secara tidak langsung mewarisi perjuangan mereka. Malay Nationalist Party atau Party Kebangsaan Melayu, Angkatan Belia Insaf dan Putera adalah di antara pertubuhan yang meneruskan perjuangan KMM. Mereka juga tidak mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu kerana disyaki dipengaruhi oleh Komunis.
5. Selepas KMM barulah datang Chin Peng dan PKM. Chin Peng berjuang untuk mendirikan sebuah Communist Dictatorship di mana dia akan menjadi diktator. Bagi orang yang bukan Komunis, terutama bagi orang Malayu kejayaan Chin Peng bukan akan membawa kemerdekaan tetapi mengganti penjajahan British dengan penjajahan Komunis pimpinan Chin Peng dengan majoriti daripada pemerintahan terdiri daripada kaum Cina. Melayu yang akan ada dalam pemerintahan Komunis ini hanyalah hiasan, seperti juga kita lihat keadaan di Singapura sekarang.
6. Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu lambat laun akan terhapus.
7. Sebab itu Melayu yang sedikit yang mirip ke kiri pun tidak ingin menyertai MCP. Keadaan dalam MCP sepanjang ia mencuba rebut kuasa, mulanya daripada British dan kemudian daripada Kerajaan Campuran Perikatan dan Barisan Nasional, memberi gambaran akan pemerintahan Chin Peng jika ia berjaya. Orang Cina Komunis akan menjadi pemerintah tetapi Komunis Melayu dengan orang Melayu dan India akan diberi peranan yang kecil dan tidak bermakna sama sekali.
8. Inilah sebabnya yang orang Melayu tidak menyertai pemberontakan MCP melawan British, dan tidak anggapnya sebagai perjuangan untuk kemerdekaan Malaya.
9. Dengan kesedaran dan kepercayaan ini maka orang Melayu telah tubuh badan yang tersendiri untuk betul-betul memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Badan yang ditubuh ialah UMNO.
10. Orang Melayu tidak percaya yang pemberontakan bersenjata akan berkesan. Ini adalah kerana negara yang akan di warisi jika menang sekalipun sudah tentu akan rosak teruk kerana peperangan.
11. Pendekatan orang Melayu dan UMNO mengambilkira kemampuan mereka. Mungkin perjuangan UMNO tidak gah seperti perjuangan kemerdekaan bersenjata di negara-negara lain, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO lebih bermakna kerana Malaysia dapat menegak pendirian sendiri dan mengecam kuasa besar di dunia apabila mereka membuat kesalahan.
12. Sesungguhnya UMNO lah yang perjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan yang bermakna. Chin Peng berjuang untuk mendirikan pemerintahan diktator Komunis yang akan menjajah orang Melayu dan kaum-kaum lain juga.
Dipetik daripada : chedet.co.cc

Rabu, 3 Jun 2009

Kisah Kanak-Kanak Penjual Kuih - Hj Husin Rais

Assalammu'alaikum,

Satu perjalananan seorang kanak-kanak yang begitu taat kepada perintah Allah s.w.t.



SEMOGA MENJADI RENUNGAN BERSAMA



Hari itu selepas seminggu beraya dikampung,saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk,saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.




"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya. "Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.




"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya. "Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.




Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?" Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha.





Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.



Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar bekereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.





"Abang dah kenyang, tapi mungkin Abang perlukan kuih saya untuk adik-adik Abang, ibu atau ayah Abang" katanya petah sekali sambil tersenyum.Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.



Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.





Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.



Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu. "Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya. "Kenapa adik berikan duit Abang tadi pada pengemis tu? Duit tu Abang bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.





"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak,mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.



Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu. "Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma mengangguk.





Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang." Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, sayah ulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya.



Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.





Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya! "


Oleh : Tuan Hj. Husin Rais

Program PJKN, Sg Merab, Bangi

Pada 2 Jun 2009 yang lalu Saudara Syamsul yang mewakili IOC telah sekali lagi dijemput untuk menyampaikan ceramah bertempat di Kem Nur, Sungai Merab, Bangi. Di sana saudara Syamsul telah diminta menyampaikan ceramah kepada 70 orang peserta kem Program Jatidiri dan Kesukarelaan Negara (PJKN).
Saudara Syamsul telah diminta menyampaikan dua ceramah bertajuk "Perjuangan Kemerdekaan Negara" serta "Perpaduan Bangsa Malaysia". Diharapkan dengan ceramah tersebut akan mampu membina semangat cintakan negara dan keamanan di kalangan peserta.



Dilaporkan oleh : EDITOR