Isnin, 15 Jun 2009

Membawa Pulang Chin Peng: Perlukah Kita Menjadi Pemaaf? - Presiden ADAM



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kesemuanya...


Setelah beberapa minggu menyepi ekoran kesibukan tugas dan rutin harian, saya agak terkejut dengan lambakan e-mail dengan permintaan topik yang kian sensasi kebelakangan ini. Maka, saya dengan ini menyusun sepuluh jari memohon kemaafan saya di atas kelewatan terhadap respon e-mail yang diberi. Setelah dibuat penelitian dan mengambil kira perkembangan semasa, molek kiranya saya memilih untuk melakar pandangan berkenaan isu usaha segelintir pihak untuk membawa pulang Chin Peng ke Malaysia. Isu ini yang paling hangat kini dan masih dibicarakan di peringkat Nasional.



Namun apa yang paling penting adalah apa pandangan kita dan bagaimana persepsi masyarakat secara majoritinya berkenaan hal ini, dan mengapa ia sedemikian. Sebelum kita boleh membuat apa-apa keputusan dan pandangan, molek kiranya kita tahu siapa Chin Peng terlebih dahulu....



SIAPA CHIN PENG?


Chin Peng (lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis
Malaya. Beliau bukannya berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai. Chin Peng dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930. Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari belah saya" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.


Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Tse Tung. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung. Semasa remajanya 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Tze Tung mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.


Tahun 1940 dia diterima menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya 18 tahun. Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army , sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.


Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal didalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh menyiksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British dan turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal didalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya dibahagian selatan Tanah Melayu.


Tindakan puak radikal didalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindakbalas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.


Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak didalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh didalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.


Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.


Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.


Ketika umurnya 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung , Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .


Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.



Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.


Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit telah melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ketangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.


Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti, mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan menumpah darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.


Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.


Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan, sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari pada Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia Thailand.


Setelah komunis runtuh di Rusia dan di runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.


Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Tetapi pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah perkampung khas di Yala, Thailand.


Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Komunis Malaya, polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Perundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.


REAKSI USAHA MEMBAWA PULANG CHIN PENG?


Baru-baru ini kedengaran kenyataan Dr Wan Azizah untuk membawa pulang Chin Peng kembali ke Malaysia. Kenyataan Dr. Wan Azizah untuk membenarkan Chin Peng dibawa balik ke Malaysia atas alasan menziarahi jirat emak dan ayah serta melawat adik beradik dan sanak saudara, ini satu perkara yang ramai rasakan tindakan PKR dan DAP ini tidak wajar.


Imbas kembali, Chin Peng telah dikelaskan sebagai pengganas komunis dalam sejarah kita.


Apasal nak bawak masuk Chin Peng? Nak hidupkan Komunis dekat Malaysia balik ke? Orang bertanya apa orang tua Encik Chin Peng ni boleh buat? Dia seorang yang tua, tak berdaya, sudah tidak mampu hendak menggerakkan satu gerakan bawah tanah yang baru? Itu kata mereka yang nak bawak dia masuk semula ke Malaysia lah. Betul ke tak mampu? Sedang Ayatollah Khomeini, Pemimpin Agung Iran, menggerakkan kebangkitan rakyat Irannya menentang kezaliman Shah Iran Reza Pahlavi dari luar negara sahaja.


Saya mahu bertanya kepada si penggemar Chin Peng, apakah pendirian tuan-tuan dan puan-puan tentang Pol Pot seorang pengganas komunis Khmer Rouge yang terkenal membunuh beribu-ribu rakyat Kemboja dan jugak tentang Ariel Sharon seorang pengganas zionis Israel yang terkenal dengan pembunuhan secara rawak di Sabra dan Shatila. Kita buat perbandingan, sekarang Chin Peng sudah tua, Pol Pot pun sudah mati pada umur 70 tahun 1998, Ariel Sharon pulak sudah terlantar di Hospital akibat sakit teruk. Bukan kah keadaan ini tampak serupa, satu corak penyakit tua yang patut dikasihani. Memang sebagai manusia kita ada sifat belas kasihan, tapi rasanya kita tidak dapat padam sama sekali kejahatan dan kezaliman yang mereka lakukan satu masa dulu.


Saya yakin, bagi antara kita yang mana tok nya, moyang nya, pak sedaranya, dibunuh pengganas komunis, ditembak oleh komunis, cacat dan tempang akibat menentang komunis, sangat terkesan dengan hal ini. Dan pastinya, ramai yang mahu Chin Peng dipancung. Perasaan sebegini dapat kita pahami, di Kampung saya, Malim Nawar ada seorang Pakcik yang pernah berperang dengan komunis, kawannya mati dibunuh komunis. Beliau cukup anti-komunis. Ini baru kawan yang mati, belum lagi anak beranak.


Jadi masih lagi mahu kita benarkan Chin Peng balik ke Malaysia? Kepada si penggemar Chin Peng, yang mahu memulakan usaha membawak balik Chin Peng ke Malaysia, kamu patut sayangi Chin Peng sewajarnya. Jika Chin Peng masuk Malaysia, beliau akan sentiasa diancam. Saya tidak risau kalau ada cerita usahanya mahu bangkitkan balik semangat komunis, Kerajaan punya satu mekanisma terpantas dalam mengekang usaha atas nama mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, iaitu ISA. ISA pun memang diperkenalkan untuk menangkap dan melumpuhkan komunis di Malaysia. Maka sesuai sangatlah...


Saya sangat tidak bersetuju membawa balik Chin Peng ke Malaysia. Cuma sebagai manusia yang bersifat belas, saya mungkin akan benarkan beliau melawat keluarganya, tetapi hanya dengan membenarkan keluarganya berjumpa dengannya di sempadan dan bukan dengan membenarkan Chin Peng menjejakkan kakinya semula ke bumi Malaysia ini. Biar Kering Air Di Laut, Terbakar Seluruh Hutan Belantara... tetapi untuk membenarkan Chin Peng kembali semula ke Malaysia, tidak sekali-kali. Saya kira usaha yang di war-war kan oleh pihak yang beria-ia ingin membawa pulang Chin Peng perlu dihentikan tidak kira siapa waimma Parti Gerakan sekalipun.


Kalau dahulu Saudara Ahmad Ismail (Bukit Bendera) pernah digantung ekoran kenyataannya membidas kaum Cina yang dilabel sebagai pendatang, menyebabkan dia digantung. Malah Gerakan bersungguh-sungguh mahu beliau dikenakan tindakan tegas. Maka, apahalnya pula Gerakan ini kita biarkan?? Malahan isu Chin Peng ini tersangat besar kesannya buat orang-orang Melayu, maka saya rasa wajar ahli-ahli Gerakan dan lain-lain komponen yang tetap lantang berbicara soal membawa pulang Chin Peng, maka manusia ini tidak boleh kita biarkan tanpa sebarang tindakan!


PERLUKAH KITA MENJADI SEORANG PEMAAF?


Kenyataannya pandangan serta idea membawa pulang Chin Peng pasti tidak akan dapat direstui oleh rakyat, memang tidak masuk akal... sebagai Melayu Islam yang mana rata-ratanya pernah menerima penderitaan yg amat dahsyat ketika era-Komunis suatu ketika dahulu adalah amat sukar bagi mereka melupakannya,...terutamanya dengan kedatangan penjahat Chin Peng semula di negara ini.


Anak-anak muda memang sudah tidak tinggal di dalam gua seperti yang dikatakan, tapi saya yang berumur hanya 30 tahun dan menetap lama di Malaysia ini memang amat memahami sentimen kebencian bangsa saya (Melayu) terhadap penjahat ini... Adakah prinsip 'Kebebasan Bersuara' dan 'Demokrasi' boleh menutup semua sejarah yang tercipta ini??


Ibu, Bapa, Saudara-mara, Nenek, Moyang kita memang sudah mengenali kejahatan penjahat Chin Peng dan partinya ini! Melayu Islam lah yg paling banyak menderita sepanjang pemerintahan Komunis! Anda perlu memahami sejarah! Mungkin anda bukan pelajar cemerlang dlm matapelajaran Sejarah suatu ketika dulu,...tetapi saya YA! Ramai ahli saudara mara dan rakan-rakan rakyat yang mati ketika berjuang menentang Komunis suatu ketika dahulu! Apa pembelaan yang telah atau bakal kita peroleh dari keturunan Chin Peng atau ahli Parti Komunis?? Adakah mereka pernah meminta maaf?? Adakah mereka pernah menzahirkan rasa kekesalan??


Apakah maksud sesetangah pihak dengan mengajar rakyat Malaysia supaya menjadi pemaaf??? Adakah kita akan menjadi pemaaf apabila berada di dunia Palestin???...memaafkan Yahudi yang sentiasa membunuh & menghancurkan Islam dan bangsa Arab??? Adakah kita akan menjadi pemaaf sekiranya keturunan anda atau bapa sendiri telah terbunuh dengan kekejaman parti yang telah dipimpin oleh Chin Peng suatu ketika dahulu?


Adakah dengan pandangan yang mengatakan Nabi Muhammad mampu mengatasi kejahatan bangsa lain ke atas Bangsa Arab menjadi penyelesaian atau kesimpulan yang boleh diaplikasikan di sini???


Perkara yang mahu saya ingatkan,...perjuangan berlandaskan Islam itu memang sentiasa berada di jalan yang benar dan sentiasa mendapat keredhaan dari Allah,... Jadi adakah dengan membenarkan kemasukan Chin Peng bermakna semua pemimpin beragama Islam termasuk UMNO dan PAS di Malaysia akan mampu mengatasi masalah yang boleh semudahnya terjadi kelak??? Mereka tidak semulia Nabi Muhammad,...


Sedangkan mahu bermuzakarah pun ditolak PAS...apa lagi yang boleh diharapkan setelah PAS berada di dalam Pakatan Rakyat??? Pokok pangkalnya, keupayaan umat Islam di akhir zaman pada ketika ini amatlah jauh berbeza dengan keupayaan umat Islam di zaman Nabi Muhammad S.A.W. Percaturan dan pertimbangan yang jelas perlulah dilakukan.


Adakah anda mahu hanya kerana seorang penjahat yang bernama CHIN PENG dibenarkan masuk di Malaysia semula,...maka sentimen Kominisme yang dahulu pernah meragut ribuan rakyat Malaya berulang kembali....? Tetapi ia mungkin bukan dengan cara yang sama (pembunuhan),...tetapi dgn cara yang halus yang mana pada akhirnya mendatangkan keburukan pada semua rakyat (terutamanya Melayu Islam)!


Adalah lebih baik mencegah seorang PENJAHAT daripada terpaksa menanggung masalah yang tidak dijangka di masa hadapan.


Begitulah sahaja pandangan saya…..



Disediakan oleh : SDR SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL (ADAM)

Tiada ulasan: