Isnin, 8 Jun 2009

Persembahan Komedi Rakyat (PKR) di Pulau Pinang - mykmu.net

Barulah setahun Pakatan memerintah Pulau Pinang, sumbangan kepada kemajuan negari pun tidak semana pun. Masih lagi lanjakan dari usaha dan sumbangan Barisan Nasional yang lepas-lepas. Rancangan pembangunan pun masih mengharap kepada peruntukan dan program kerajaan Persekutuan.Belum apa-apa pun perbezaan kepada kemajuan negeri tetapi banyak sekali episod-episod lucu dalam politik Pulau Pinang. Kebelakangan ini memperlihatkan perbalahan terbuka sesama Pakatan Rakyat, khususnya antara DAP dan PKR dan sedikit sebanyak PAS.

Inikah perubahan dan politik baru yang sering diwar-warkan oleh Anwar Ibrahim? Adakah yang dijanjikan hanya lebih ceramah politik yang menghiburkan? Atau pun wayang drama yang menarik perhatian dan mengasyikkan? Perkembangan terkini pula adalah komedi amalan politik kebudak-budakan yang tidak mengeringkan gusi rakyat.
Semasa bekas Timbalan Ketua Menteri I, Fairuz Khairuddin dipaksa melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, pihak DAP tidak berpuashati dengan PKR yang tidak berbincang dengan kononnya parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain.
Tindak tanduk Anwar Ibrahim itu membelakangkan pihak DAP yang mengemudi pentadbiran kerajaan Pulau Pinang. Sebut belakang belum melucukan lagi. Ini disuarakan secara terbuka oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan berakhir dengan Anwar memohon maaf kepadannya .

Walaupun PKR berjaya mempertahankan kerusi Penanti, itu pun dengan laluan mudah oleh BN, tetapi ramai masih tidak bersetuju dengan cara perletakan jawatan yang tidak kena dan selari dengan semangat Perlembagaan. Ada yang berkata ia macam Hotel Demokrasi, ada boleh “check in dan check out”.

Ia lebih merupakan politik kebudak-budakan PKR yang lebih berdasarkan permainan persepsi dan pelbagai drama untuk merampas kuasa. Ini semua tidak menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian perjalanan pentadbiran negeri tetapi hanya mengkucar kacirkan keadaan. Teringat Karpal Singh kata, “Jangan main-main …”

Sememangnya Lim ada memberi sindiran tentang prestasi kerja dan tahap motivasi Fairuz semasa memberitahu akan sentiasa meneliti prestasi penjawat jawatan. Ini sebenarnya melucukan kerana jawatan yang dipegang Fairuz adalah jawatan politik yang berasaskan perwakilan politik. Namun begitu, tidaklah sampai ke tahap untuk memberhentikannya.

Yang melucukan, Angkatan Muda Keadilan boleh membuat laporan polis terhadap Fairuz untuk menyiasat salahlaku yang disyaki melakukan rasuah. Apabila disiasat SPRM, mereka mendapati tiada kes terhadap Fairuz. Bagaikan aksi lucu Charlie Chaplain yang macam lipas kudung, bertukar pula alasan pengunduran Fairuz kepada mahu sambung belajar. Ada pula pihak PKR memberi alasan dia sudah tidak tahan dan hormatilah haknya.

Kempen pilihanraya kecil Penanti pun tidak kurang lucu. Calun bebas dan bekas Ketua Wanita Keadilan, Aminah Abdullah berkempen menggunakan pelbagai pendedahan. Dia mendedahkan komedi Tiga Abdul. Tiga pemimpin PKR Pulau Pinang – Datuk Mohamad Zaharain Hashim, Malik Kassim dan Mustapha Kamal Ayub – yang asyik menjual ahli sesuka hati. Lantaklah politik dalaman parti mereka.

Kemudian didedahkan usaha untuk merasuah beliau untuk suruh undur. Biasalah dinafikan tetapi bila didedahkan gambar dan audio pertemuan, jawapan balasnya adalah Aminah dipanggil Minah Ronggeng oleh Azmin. Betul-betul macam kanak-kanak yang lengit dari kalah dalam permainan.

Belum pun reda isu Penanti, kini timbul pula isu pemboikotan acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) oleh semua ahli Majlis dari PKR, melainkan Farid Arshad. Mereka menunjukkan penentangan kepada perlantikan mantan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), seorang pengkhidmat awam sebagai Yang Di Pertua MPSP.

Menurut mereka, sudah ada kepersepakatan selepas pilihanraya supaya jawatan YDP MPSP dan YDP MPPP (bagi bahagian pulau Pulau Pinang) diterajui oleh orang politik dan dijanjikan kepada PKR untuk YDP MPSP dan DAP untuk YDP MPPP. Ahli-ahli Majlis MPSP yang memboikot upacara itu mempersalahkan Ketua Menteri dan menuduhnya membelakangkan PKR dan tidak berpegang kepada janji.

Macam teriakan “Biarkan! Biarkan!’ dalam cerita Si Luncai pula, Lim membalas, “Jangan berlagak seperti exco kalau bukan exco.” Manakala, ahli Parlimen DAP dari Jelutong, Jeff Ooi, naik angin dan mendesak mereka yang memboikot upacara supaya meletakan jawatan dalam tempoh 24 jam.

Kenapa mereka hendak sangat jawatan itu? Teringat gelagat Penasihat Kassim Pantalon ditawarkan persen komisyen oleh Tuan Sadik Sigaraga dalam cerita Tiga Abdul. Ditengah-tengah kesibukan ini, berulang khabar bahawa Lim tidak membenarkan Utusan Malaysia dan New Straits Times dalam mana-mana sidang akhbar kerajaan Pulau Pinang. Yang ini, aksi orang kahwin ramai dalam cerita Madu Tiga dalam berjanji memperjuangkan kebebasan akhbar dan hak bersuara.

Mungkin ini semua masih belum mengalahkan komedi hebat 916 tahun lepas. PKR menjanjikan kerajaan persekutuan akan bertukar tangan pada September 16 dengan wakil-wakil rakyat BN melompat parti. Kesian penyokong yang taksub menunggu di perkarangan gate Istana Negara untuk melihat Anwar keluar dari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Dia mengangkat sumpah depan gambar Agung di rumah .

Akhirnya, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari PKR yang lompat keluar dari Pakatan Rakyat kerana hilang keyakinan dengan pentadbiran negeri Perak. Anwar meradang macam kanak-kanak hilang puting lalu dibatuapikan Nizar untuk mundar mandir menyembah derhaka menentang keputusan Sultan. Mutakhir khabar yang didengar, tidak ramai rakyat mahu menandatangan petisyen menuntut pembubaran DUN Perak.

Itu pun rakyat Pulau Pinang belum dihiburkan lagi dengan cerita dari PAS. Jangan lupa PAS Pulau Pinang tidak diberi peranan langsung selain hanya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum muncul Anwar, Permatang Pauh adalah kubu PAS. Baru-baru ini, Pemuda PAS Pulau Pinang menuntut kerusi Penanti dipulangkan kembali kepada mereka. Bergema macam kuatnya suara Jin berkata, “Harta ini Ahmad Albab yang punya.” Ini masih gezet wayang lagi.

Macam-macam kelucuan politik pembangkang sejak PKR ada banyak kerusi. Pakatan Rakyat nampaknya tidak boleh berpakat dan kalau berpakat pun, macam dua penyamun membahagi harta dalam gua. Ada saja yang tidak kena.

Hati rakyat dapatlah didendang dengan Persembahan Komedi Rakyat dari Pakatan Rakyat untuk menghilangkan keresahan hati. Selama mana boleh mereka lakukan dengan keadaan ekonomi yang bertambah meruncingkan dan boleh mengsengsarakan kehidupan rakyat?
Adakah ahli politik Pakatan mengharapkan nasib baik atau majik macam dalam cerita Nujum Pak Belalang? “Belalang, belalang, dimana kau?”
Dipetik daripada : www.mykmu.net

Tiada ulasan: