SHAH ALAM - Selangor meneruskan rentak cemerlang dalam saingan bola sepak Liga Super untuk menyusuli langkah kanan musim 2009 ketika menjulang Piala Sultan Ahmad Shah, Sabtu lalu apabila menewaskan Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Nasriq Baharom memastikan tiga mata dalam genggaman Gergasi Merah dengan gol pada minit ke-30, 62 dan 85 biarpun mereka tersentak awal dengan jaringan pendahuluan Seladang menerusi Razali Umar Kandasamy (m-28).
Babak pertama menyaksikan Selangor yang menyerap asakan bertali arus pelawat pada awalnya, beroleh satu peluang keemasan untuk membuka tirai gol daripada gerakan sebelah kanan oleh sayap muda skuad negara, Amirulhadi Zainal pada minit ke-26.
Bagaimanapun umpanan lambung Amirulhadi gagal disambut kemas Amri Yahyah dan Zameer Zainun.
Perak tiba-tiba merentap semangat tuan rumah dan kira-kira 10,000 penyokong Merah Kuning apabila rembatan kencang Razali Umar sejauh 20 meter dari luar petak penalti melampaui bekas rakan sepasukannya musim lalu - penjaga gol, Hamsani Ahmad untuk gol pertama pada minit ke-28.
Tidak sampai pun dua minit kemudian, Gergasi Merah bingkas mengamuk lalu menyamakan kedudukan menerusi penyerang utama negara, Safee Sali yang menguis masuk setelah menyudahkan tolakan terus ketua pasukan, Amri.
Giliran Selangor mendahului 2-1 tiba pada minit ke-62 menerusi rembatan kaki kiri dari jarak dekat oleh Amirulhadi yang tidak begitu kuat tetapi masih dapat meluluskan bola daripada tangkapan Megat Amir.
Minit ke-67 menyaksikan kegarangan Safee untuk terus menghukum Perak dengan rembatan cungkilnya sudah pun menewaskan Megat tetapi terkena tiang gol kiri lawan.
Perak pula tidak berputus asa untuk cuba mengikat tuan rumah malah mereka nyaris beroleh gol penyamaan jika sepakan bebas oleh pemain gantian, Arsyah Ayob pada minit ke-80 tidak mengenai tiang tanpa dapat diselamatkan Hamsani.
Selangor yang tidak merelakan kemenangan tercicir daripada genggaman mengukuhkan kedudukan menerusi gol ketiga bek tengah, Nasriq Baharom pada minit ke-85 setelah menanduk sepakan bebas jauh oleh D. Surendran dari sebelah kanan.
Dalam pada itu, juara bertahan Liga Super, Kedah pula terus merana selepas dibelasah Negeri Sembilan 0-3 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Kemenangan menerusi jaringan sumbangan Shukor Adan (m-33), Zaquan Adha Razak (m-39) dan K. Thanaraj (m-59) itu membolehkan Negeri Sembilan mengekori rapat Selangor.
Di Stadium Utama Negeri Kangar, Perlis turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menang ke atas Pahang 3-2 hasil hatrik pemain Perlis, Nizaruddin Yusof (m-40, 45, 87) manakala Mohd. Azamuddin Md. Akil (m-9, 24) mengurangkan jurang gol.
Kelantan pula mengejutkan UPB-MyTeam 4-2 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya untuk mencatat kemenangan sulung mereka musim ini selepas perlawanan dengan KL PLUS Sabtu lalu tertangguh akibat hujan.
KL Plus juga menang 2-1 ke atas Terengganu pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.
Begitu juga dengan Kuala Muda Naza yang menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 di Stadium Darul Aman Alor Star.
Hanya satu keputusan seri dicatat semalam membabitkan perlawanan Johor FC dan Pulau Pinang yang terikat 2-2 di Stadium JCorp Pasir Gudang.
Disediakan oleh : K-Cheng (Kamarozaman Yaacob)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan