Ahad, 18 Januari 2009

IOC Terengganu Memulakan Rentak!!!

Intellectual Orator Consultant (IOC) Cawangan Terengganu memulakan langkahnya...

Alhamdulillah, IOC Cawangan Terengganu yang dikendalikan oleh Shahmi Mokhtar dan Borhan telah pun mula beroperasi dengan siri-siri program motivasi dengan jayanya. Saudara Syamsul (Eksekutif Pentadbiran IOC) sendiri telah dijemput untuk menyertai Program yang dikendalikan sebagai penceramah jemputan pada program yang mereka anjurkan. Baru-baru ini ketika saya berada di Kuala Terengganu, saya sendiri telah mengendalikan Bengkel Debat di Universiti Malaysia Terengganu pada 9 dan 10 Januari 2009. Di sana Syamsul berkesempatan memberikan motivasi serta menerangkan kepada ramai pendebat-pendebat baru UMT tentang seni perdebatan serta teknikal perdebatan yang perlu difahami. Bengkel ini diharapkan dapat menjadi langkah pemula kepada kecemerlangan debat di UMT.

Penasihat Kelab Debat Mahasiswa & Intelektual (DEMI) UMT, iaitu Puan Rozita menyatakan bahawa program-program seperti ini akan terus diadakan bagi memastikan pendebat-pendebat akan sentiasa mempertajamkan kemahiran dan bakat masing-masing agar dapat memberikan saingan di persada debat tanahair.
Saudara Syamsul berpeluang bergambar bersama sebahagian daripada peserta bengkel.
Selepas Sesi Bengkel Debat selesai, saya telah berpeluang untuk memberikan tunjuk ajar kepada lebih kurang 40 pelajar dari UMT dan Universiti Darul Iman (UDM) di dalam Kursus Pembinaan Personaliti Fasilitator. Menerusi program ini diharapkan pelajar-pelajar dapat memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang fasilitator. Antara lain Syamsul berkongsi idea dengan mereka tentang apa sebenarnya yang perlu ada pada seorang fasilitator di samping berkongsi senjata untuk menjadi seorang fasilitator yang mampu meyakinkan dan seterusnya membimbing rakan-rakan lain agar lebih berjaya di dalam kesemua aspek yang diceburi. Kursus ini berlangsung pada 10 Januari 2009 dan dikelolakan sepenuhnya oleh Shahmi dan Borhan dan berlangsung di UDM. Tahniah dan syabas buat Shahmi dan Borhan di atas kejayaan IOC di sana!!

Kemudiannya pada 14 Januari 2009, Saudara Syamsul telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada lebih 500 orang pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu berkaitan Motivasi Pendidikan. Kelihatannya IOC diterima baik di Kuala Terengganu. Malah, SM Teknik mengesahkan bahawa mereka akan mengatur program lagi dari masa ke semasa dan akan meminta bantuan IOC untuk mengendalikannya. Kecil Tapak Tangan Nyiru Kami Tadahkan.!!! Sesungguhnya tugas untuk membina jatidiri anak-anak muda agar menjadi lapisan pewaris bangsa sememangnya menjadi keutamaan kami.

Kelihatan pelajar-pelajar yang mendengar ceramah dengan penuh fokus dan minat.
Syamsul menerima cenderahati daripada Penolong Kanan 1, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu.

Setelah selesai ceramah di SM Teknik pada sebelah malamnya pula Saudara Syamsul dijemput pula untuk memembrikan motivasi dan galakan kepada pendebat-pendebat muda UDM. Di samping itu saudara Syamsul diminta berkongsi tips untuk memajukan lagi Kelab Debat UDM agar lebih mantap dan menarik minat lebih ramai ahli lagi.
Kelihatan Syamsul sedang bersungguh-sungguh berkongsi pengalaman bersama-sama Pendebat baru UDM

Sesungguhnya Kuala Terengganu memberikan banyak makna kepada IOC, dan sememangnya tidak dapat dinafikan IOC Cawangan Terengganu kelihatan bergerak dengan cukup aktif di sana. Semoga inisiatif dan prestasi ini akan dapat dikekalkan dari masa ke semasa, dan semoga IOC dapat diterima di seluruh negara sebagai penggerak modal insan yang pasti menjadi agenda utama negara.

Sekian dan terima kasih.

Ulasan oleh : Editor Blog



Tiada ulasan: