Khamis, 26 Mac 2009

Pemilihan UMNO - Dari Kacamata Presiden ADAM

Assalamualaikum WBT.,

Hmm... kali ini saya menerima email bertalu-talu, mahukan saya mengulas serta memberi respon mengenai perkhabaran baru dari Kuala Lumpur. Apa yang ada di Kuala Lumpur? Macam biasa sahaja. Cuma yang lainnya mungkin, sejarah baru telah terlakar, di mana perubahan besar-besaran telah berlaku di dalam pucuk pimpinan UMNO (secara zahirnya) yang mana telah dimeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Lakaran sejarah ini dilihat berlaku di segenap sayap UMNO yang dinanti oleh sekelian rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dilakukan di dalam UMNO.

Jika dilihat secara kasar (atau secara mudahnya) perubahan memang akan berlaku, di mana setiap manusia berbeza maka, pendekatan yang bakal diambil oleh setiap individu pasti berbeza, sebagaimana berbezanya Tunku Abd Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abd Razak, Tun Dr Mahathir, malahan mungkin ramai bersetuju, betapa berbezanya, Datuk Seri Abdullah (Pak Lah) di dalam legasi pemerintahannya. So, apa lagi dengan Datuk Seri Najib, beza tetap berbeza. Namun, titik persoalan yang mahu dijawab, yang diungkit sedari sekian lama bukan sekadar perubahan dan perbezaan biasa, tetapi bersifat luarbiasa dan holistik dari segenap segi. Apa maksud saya? Di sini kita bukan hanya mahu Najib menunjukkan perubahan berbanding Pak Lah, tetapi kita mahu Najib mengetuai barisan atau saf itu membawa perubahan mengikut apa yang dimahukan oleh sekelian rakyat jelata.

Dato Seri Najib Tun Razak

Jika dianalisa keputusan pemilihan UMNO yang diputuskan semalam, kebanyakan keputusan yang dicapai adalah di luar dugaan, malahan menidakkan sama sekali jumlah pencalonan yang menggambarkan keputusan sekelian ahli UMNO yang sebulat suara di dalam Cawangan serta Bahagian. Calon yang menerima pencalonan tertinggi, tidak semestinya akan memenangi pertandingan meskipun, pencalonan tersebut telah mewakili suara paling ramai (majoriti). Fenomena ini misalannya dilihat menimpa Rafidah Aziz serta Mukhriz Mahathir (contoh mudah). Meskipun pencalonan yang tinggi mengatasi calon-calon lain namun, mereka akhirnya tumbang disebabkan oleh faktor yang tidak dapat dijelaskan secara tepat hingga ke saat ini.

Namun gelombang perubahan yang dipaparkan ini, perlu diberi ruang serta peluang untuk dibuktikan. Mereka yang 'baru' ini perlu diberi masa yang sewajarnya untuk membuktikan kepada semua betapa mereka bersama Najib, komited untuk membawa perubahan kepada wajah dan dasawarsa kepemimpinan negara. Rasuah, Kronisme, Nepotisme, Ampu-Mengampu, Jatuh-Menjatuhkan demi harta, pangkat dan kekayaan bukan lagi satu "trend" yang boleh dibenarkan berleluasa lagi di negara kita. Najib, tatkala diberi mandat selaku Perdana Menteri, tidak lama lagi, perlu segera mengatur strategi penambahbaikan, serta perubahan besar-besaran bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap masalah dan penyakit di dalam kerajaan yang kini sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Penyusunan kabinet Najib juga penting bagi melihat sejauh mana Najib inginkan perubahan benar-benar membawa perubahan kepada suasana serta iklim politik tanahair. Najib perlu benar-benar sensitif dengan kehendak RAKYAT keseluruhannya dan bukan kehendak PERWAKILAN. Kehendak rakyat maknanya Najib perlu memilih mereka yang berkaliber, berkarisma serta bersih dari segala perkaitan dengan gejala rasuah. Ini penting bagi memastikan betapa kita tidak mahu kabinet Najib dilabelkan sebagai "sama aje" macam kabinet yang dibentuk oleh Pak Lah yang sudah tidak dapat diterima rakyat. Mana yang baik pada rakyat kekalkan, dan mana yang tidak, gugurkan.

Mengapa pula Najib tidak boleh mengikut kehendak PERWAKILAN? Mudah sahaja, pada hari ini jelas kelihatan, apabila calon yang mendapat pencalonan tertinggi tidak menang, maka perwakilan sebenarnya tidak membawa suara-suara rakyat dari peringkat akar umbi. Inilah permasalahannya. Insiden, membaling kerusi, bertumbuk, fitnah bergaduh yang bermula dari peringkat cawangan lagi, menunjukkan betapa serius dan pentingnya pada diri mereka di peringkat bawahan yang mahu suara mereka akan dibawa sehingga ke ruang perhimpunan di Dewan Merdeka di PWTC... di mana akhirnya, perwakilan yang dipilih, hanya membuat pilihan mengkiut citarasa mereka apabila mereka tiba di PWTC. Mereka lupa mereka berada di sana kerana siapa, untuk siapa, dan calon yang mereka sewajibnya undi untuk memenuhi aspirasi majoriti. Akhirnya mereka yang diinginkan tewas. Tewas dengan tahap merekalah yang ingin diketengahkan oleh rakyat.

Tetapi, jangan salah faham, ini bukanlah bermakna saya mahukan mereka ini menang, tidak sama sekali, cumanya saya cuma memberi penekanan tentang pemilihan yang dibuat tidak merujuk kepada keinginan ramai, dan bukan di atas dasar kecenderungan saya terhadap sesiapa. Saya sejujurnya berpandangan bebas dan ikhlas berkenaan hal ini.

Saya suka sekali berbicara soal keputusan yang dibuat semenjak dua hari lalu...


WANITA UMNO

Datuk Seri Shahrizat bin Abd Jalil

Datuk Shahrizat akhirnya berjaya menjadi Ketua Wanita mengatasi Rafidah Aziz. Yang telah memegang jawatan sejak sekian lama. Pelan peralihan Rafidah dibuktikan sebagai tidak relevan. Persoalan Rafidah ingin mempertahankan jawatan sehingga Jun tidak dapat dibuktikan kerasionalannya. Ramai yang mempersoalkan apakah sebenarnya yang cuba dibuktikan dengan menanti sehingga Jun 2009.
Datuk Seri Rafidah Aziz

Rafidah seharusnya sedar seandainya pelan peralihan ini dipersetujui, maka natijahnya, apabila Timbalan Ketuanya diangkat sebagai pengganti, maka penggantinya hanya akan dianggap pemangku, dan jika ini benar-benar terjadi maka kedudukan Wanita UMNO selaku Pengerusi Wanita Barisan Nasional pasti akan dipertikai oleh MCA, MIC dan rakan-rakan komponen memandangkan yang lainnya merupakan Ketua Wanita Penuh di dalam parti masing-masing. Pasti Rafidah sedar akan hal ini. Tiada sebarang perlembagaan atau undang-undang bertulis menyatakan bahawa Wanita daripada parti komponen lain selain UMNO tidak boleh memegang jawatan pengerusi Wanita BN. Tidak ada sebarang pernyataan tentang itu.

Kemudian timbullah pelbagai andaian, ada yang menyatakan mungkin Rafidah inginkan jawatan kabinet lah (selepas Datuk Seri Najib menjadi PM) , Rafidah ingin mencapai sesuatu lah dalam tempoh tiga bulan dan sebagainya.

Apabila ini mulai timbul maka, ombak pertentangan terhadap pelan peralihan yang telah dirancang muncul semula. Shahrizat yang pada awalnya menyetujui pelan peralihan yang diatur mulai keliru apabila isyarat daripada 'grassroot' mula memperlihatkan sokongan untuk beliau mencabar kedudukan nombor satu. Namun, di sinilah karektor Shahrizat, kelihatan agak lemah. Beliau yang pada awalnya setuju dengan pelan peralihan kemudiannya mengambil keputusan menentang. Sikap individu UMNO yang tidak tetap pendirian sememangnya menjadi kepantangan ahli UMNO secara keseluruhannya. Mereka yang tidak tetap pendirian secara prinsipnya, tidak layak dipilih menjadi pemimpin. Keputusan Shahrizat ini didorong oleh kedudukan Timbalan Ketua Wanita yang telah siap sedia cukup kuota oleh Datuk Kamilah yang bersedia menentang Shahrizat jika Shahrizat tetap berhasrat mempertahankan kedudukan nombor dua itu. Maka, Shahrizat yang pastinya masih belum dapat melupakan kekalahannya di Parlimen Lembah Pantai, pastinya tidak mahu terus kehilangan, malahan perlu menjadi lebih berani. Kedudukan nombor satu perlu.

Tapi, yalah, sebagaimana yang saya nyatakan tadi kelihatannya seolah-olah pendirian Shahrizat tidak konsisten, maka tidak hairanlah jika kita mendengar Tun Dr Mahathir memberikan respon kepada media terhadap soalan siapakah di antara kedua-dua calon ini layak menjadi Ketua Wanita UMNO, jawab Tun ,... "Kedua-duanya tidak layak!". Ini adalah hakikatnya. Maka, menurut persepsi saya, wanita baru-baru ini hanya membuat pilihan berasaskan perbandingan siapa yang kurang bermasalah berbanding yang seorang lagi. Akhirnya dapat saya simpulkan kemenangan Shahrizat bukanlah kerana perwakilan memilih Shahrizat, tetapi kerana perwakilan sudah tidak mahukan Rafidah.

Maka, tanggungjawab besar Shahrizat, adalah membuktikan bahawa beliaulah orangnya yang bakal mendepani masa depan dengan pembelaan berterusan melindungi kaum Wanita serta memastikan Wanita terus setia di dalam UMNO tanpa beralih arah terhadap parti lawan, kerana apa, golongan Wanita merupakan golongan majoriti yang mampu menentukan nasib dan masa depan UMNO dan Barisan Nasional. Golongan ini harus didengar, dan bukan dibiarkan mengikut tanpa dijaga hak dan kebajikannya. Golongan wanita hari ini lebih sofistikated dan educated, dan bukan hanya semudah itu disogok dan dimomokkan dengan tradisi politik murahan, malahan mereka juga berwawasan dan kritikal didalam penilaian mereka dengan era politik masakini. Shahrizat, perlu sedar hakikat ini.

PEMUDA UMNO

Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar

Khairy, KJ, atau apa lagi gelaran unik untuknya, maka, seunik namanya, jika dirungkai pertandingan tiga penjuru diantara Khir Toyo, Mukhriz dan KJ, ada ciri unik masing-masing yang kita boleh perhatikan. Khir dengan pengalaman selaku Menteri Besar Selangor, pengalaman mentadbir cuma mungkin, insiden 'penyapu' masih belum dapat dilupakan oleh sekelian rakyat Selangor malahan juga seluruh rakyat Malaysia. KJ pula, menantu PM yang petah berpidato, semangat orang muda, bijak mengatur kata dan tidak beberapa hari sebelum pertandingan dikaitkan dengan skandal rasuah, namun beliau hanya dikenakan amaran kerana tiadanya bukti yang kukuh untuk menyabitkannya (jika menurut Lembaga Disiplin UMNO lah).

Di sini, sudah bermulalah sekelian rakyat dengan teori kemungkinan sebab-musabab Lembaga Tatatertib membuat keputusan sebegitu kerana ingin menjaga menantu Pak Lah ini, dan sebagainya, namun andaian ini hanya sekadar andaian tanpa dapat dibuktikan kesahihannya. Manakala Mukhriz, selaku orang baru di dalam dunia kepimpinan, agak 'low profile' melainkan keberaniannya menyuarakan hasrat betapa Pak Lah harus berundur demi tanggungjawab di atas kekalahan teruk BN di dalam PRU ke 12. Selain itu, faktor terpenting lain, beliau merupakan anakanda kepada Tun Dr Mahathir. Dan satu kelebihan nyata yang dimiliki Mukhriz dan tidak dimiliki oleh calon lain ialah Mukhriz mendapat pencalonan yang jauh lebih tinggi berbanding dua calon lain. Ini kenyataannya.


Ramai sudah mencongak bahawa Mukhriz merupakan calon paling layak menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru berasaskan kepada ketenangan, kebijaksanaan serta kesopanan beliau menuturkan kata malahan beliau sebenarnya tidak banyak bercakap berbanding bekerja. Dengan pencalonan sedemikian tinggi daripada seluruh negara menggambarkan betapa akar umbi mahukan beliau memimpin teraju barisan muda negara. Namun, sebagaimana yang kita tahu, Mukhriz tewas, bukan kepada Khir Toyo, tetapi kepada Khairy Jamaludin. Saya tidak perlu ulas lanjut kerana teori kemenangan Khairy ada pelbagai. Ada yang kata Pak Lah memberikan bantuan sokongan, ada yang kata rasuah dan sebagainya. Namun, walau apa pun ia, itu semua masih bersifat andaian.

Kemenangan Khairy di PWTC sebagaimana yang kita saksikan tempohari tidak disambut dengan ceria malahan reaksi kurang menarik daripada sebahagian besar perwakilan Pemuda UMNO. Apa pun yang menang tetap menang. Namun, saya mengagumi Mukhriz kerana tetap menunggu sehingga ke akhir tanpa pulang awal walaupun tewas. Ciri ini tiada pada Khir dan Rafidah (yang tidak kelihatan lagi setetlah keputusan diumumkan). Sekali lagi saya tegaskan, bukannya saya peminat atau 'bias' kepada Mukhriz tetapi ini realiti yang harus kita kongsikan bersama.

Bukan kecil tanggungjawab Khairy, kerana hakikat yang perlu diterima, golongan muda masakini sudah tidak didengar suaranya. Itulah sebabnya, ramai golongan muda lebih cenderung untuk memilih Parti Pembangkang sebagai palatform perjuangan mereka kerana di sana, mereka lebih di dengar dan lebih diberi peluang (berbanding BN yang mahir dengan bab cantas mencantas). Maka, Khairy perlu memikirkan segera, ramuan serta formula terbaik untuk menarik minat golongan muda agar menyertai UMNO serta berjuang di dalam UMNO. memang berat tugas ini. Kita boleh melihat di dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, golongan muda yang berkempen rumah ke rumah, agresif di dalam mempromosikan calon datangnya dari Parti Pembangkang. Seolah semangat golongan muda di dalam BN sudah pupus (jika ada pun tidaklah menonjol sepertimana mereka). Khairy tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sebaliknya perlu segera bertindak mengatasi masalah ini.

Disamping itu Khairy juga perlu membuang sejauhnya pengaruh Pak Lah di dalam tindakannya dan menunjukkan bahawa beliau boleh bergerak sendiri dengan umurnya yang baru mencecah 32 tahun. Banyak yang perlu dilakukan, jika tidak Pemuda UMNO juga hanya dianggap jelik dan memualkan di kalangan orang muda. Ini perlu diambil perhatian !!

PUTERI UMNO

Datuk Rosnah Shirlin. Kejayaan beliau, menumpaskan 5 lagi calon melayakkan beliau menerajui Pergerakan Puteri UMNO yang baru sahaja ditinggalkan oleh Datuk Noraini yang sudah melepasi had umur Ketua Puteri UMNO.


Saya tidak berhasrat mengulas panjang tentang ciri peribadi beliau kerana, walau siapa pun Ketua Puteri UMNO, sehingga ke hari ini, tiada siapa dapat melihat fungsi kewujudan Puteri UMNO. Ini hakikat sebenarnya. Menurut kacamata masyarakat, Puteri UMNO ini dilihat tidak lebih daripada golongan yang akan bersolek, memakai pakaian yang sedondon berwarna merah jambu, make-up dan 'melawa' bila tiba musim pilihanraya. Sejauh mana, Puteri UMNO ini berfungsi masih lagi gagal ditunjukkan dengan jelas. Pewujudannya sebagai penyokong kepada tunggak UMNO yang lain juga dilihat tidak ke mana.
Datuk Rosnah Shirlin

Maka, persepsi masyarakat terhadap Puteri UMNO ini perlu diubah segera bagi memastikan masyarakat dapat menerima Puteri UMNO seadanya, atau jika tidak, cadangan menghapuskan terus sayap UMNO ini, selayaknya dibincangkan semula.

..........................................................................

Dan keputusan akhir semalam, 2 Menteri Kabinet, dan 4 Menteri Besar tewas di dalam pemilihan MT semalam. Ini bukannya perkara baru. Ini telah berlaku sejak PRU 12, Menteri Kabinet ramai yang tewas. Ini sudah menjadi biasa. Bukan lagi luar biasa.

Cuma Muhyddin menepati ramalan. Tan Sri Muhammad Taib terpaksa akur bahawa gelanggang hari ini bukan lagi untuknya. Manakala, Hishamudin, Ahmad Zahid Hamidi serta Shafie Afdal membuktikan bahawa merekalah yang selayaknya diangkat menjadi Naib Presiden. Walau siapapun bergelar Timbalan, bergelar Naib-Naib Presiden, Ahli MT, ini sudah kurang menarik perhatian sebenarnnya. Kerana seluruh mata tertumpu kepada Najib dan 'saf' terbaik sebagaimana yang di war-war kannya sebelum ini, melihat apakah modus operandi Najib di dalam mengembalikan kegemilangan UMNO. Apakah tindakan drastik Najib. Siapakah yang akan Najib susun di dalam penstrukturan kabinet setelah menjadi PM kelak? Ini yang menarik perhatian sebenarnya. Penantian ini yang lebih dinantikan oleh seluruh rakyat. Najib perlu ingat, bahawa beliau tidak boleh memilih anggota kabinetnya berasaskan keputusan pemilihan UMNO semata-mata, tetapi faktor dalaman diri dan peribadi setiap individu perlu diperhalusi terlebih dahulu. Ini penting. Kerana faktor inilah yang menyebabkan BN kala teruk di dalam PRU ke 12 yang lalu.

Jika seseorang itu menang pemilihan, tetapi rekod peribadinya bermasalah, maka Najib perlu hindarkan individu ini di dalam kabinet, atau jika tidak Najib mengundang padah bukan hanya di dalam UMNO malahan juga di dalam pakatan Barisan Nasional yang pastinya akan lebih mudah diratah dan dibaham oleh Pembangkang yang lebih mudah mengambil kesempatan. Biarlah calon itu tewas di dalam pemilihan, tetapi dirinya tiada masalah, dan boleh diterima rakyat. Maka, inilah calon sesuai untuk Najib ketengahkan. Menginsafi Allahyarham Razali Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Menteri Pelajaran. Ramai yang tidak dapat menafikan betapa Allahyarham menang di Kuala Terengganu ekoran ciri dan sifat peribadi mulia yang dimiliki oleh beliau. Jika inilah yang terus diperjuangkan dan dijadikan asas pegangan di dalam kepimpinan Datuk Seri Najib bersaksilah bahawa "Transformasi UMNO" akan menjadi realiti. pada ketika itu, Tun Dr Mahathir juga perlu kembali pulang ke pangkuan UMNO bagi membantu Najib mencorak strategi memenangi semula hati rakyat dan sebagainya.

Parti lawan yang kita kenal sebagai petualang bangsa yang sanggup menggadai maruah bangsa, mencemar penghormatan terhadap raja, menghina agama, perlu ditentang habis-habisan bagi memastikan Melayu akan terus mekar dan segar di dalam kepimpinan masakini. Usaha ini perlu digerakkan segera. Atau tidak bangsa Melayu akan terus kelihatan lemah, lesu dan tidak bermaya!!!

Kini jelaslah bukan, betapa 'Transformasi UMNO' bukanlah semudah yang diharapkan, atau pun semudah diceritakan di kedai-kedai kopi, malah ia lebih rumit daripada apa yang sering dibincangkan di dalam sesi dialog baik dalam TV3, RTM, Awani, Awani Global dan sebagainya. Ia terlalu rumit. Tugas Najib tersangatlah berat. Memastikan agar UMNO terus relevan, perubahan demi perubahan perlu sentiasa ditonjolkan secara berperingkat dan dikongsi sejak dari saat mula dimasyhurkan sebagai Presiden UMNO semalam (26 Mac 2009) sehinggalah hari seterusnya. Dan pasti penilaian demi penilaian akan di utarakan. Najib, Muhyddin, Zahid, Hishamudin, Shafie perlu bersemangat dan tidak mudah patah semangat pada setiap kritikan yang diutarakan demi pembangunan UMNO secara berterusan. Dan akhirnya penentuan penilaian akhirnya samada UMNO masih diterima lagi atau tidak, pastinya PRU ke 13. Saat itu pasti tiba, dan UMNO mesti bersedia. Jika UMNO tersilap langkah, bahananya, amat dahsyat sekali, UMNO boleh lenyap lantas menafikan kata "Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Walaupun pedih inilah kenyataannya.

Dato Shafie Afdhal
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Hishamuddin Tun Husein


Semoga Era Najib yang baru bermula ini akan dihiasi kebangkitan serta keindahan kejayaan bangsa Melayu serta agama Islam yang kita cintai. Kepada pemimpin Melayu yang baru beroleh mandat. Janganlah lupa diri, sombong bongkak dan ego. Sematkanlah rasa rendah diri berbakti dan dekatilah diri anda kepada rakyat, supaya UMNO beroleh kejayaan di hari muka, mudah-mudahan....

Sekian dan Wassalam......



SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL
Presiden Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM)

Keputusan Pemilihan UMNO Malaysia 2008/2009

Presiden UMNO

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak


Timbalan Presiden UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin


Naib Presiden UMNO








Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi

Datuk Seri Hisyammudin Tun Hussen Onn

Datuk Seri Shafiee Afdal


Majlis Tertinggi UMNO

1. Datuk Seri Mustapa Mohamed (2,239)

2. Datuk Noh Omar (2,084)

3. Datuk Seri Musa Aman (2,084)

4. Datuk Azian Osman (2,060)

5. Datuk Zainal Abidin Osman (2,054)

6. Datuk Mohd. Zin Mohamed (1,854)

7. Datuk Ismail Sabri Yaakob (1,838)

8. Datuk Lajim Ukin (1,804)

9. Datuk Shaziman Abu Mansor (1,705)

10. Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi (1,700)

11. Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685)

12. Datuk Idris Haron (1,658)

13. Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad (1,624)

14. Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (1,622)

15. Datuk Saifuddin Abdullah (1,619)

16. Datuk Dr. Norraesah Mohamad (1,611)

17. Datuk Seri Mahdzir Khalid (1,580)

18. Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah (1,529)

19. Datuk Hamzah Zainuddin (1,518)

20. Datuk Bung Moktar Radin (1,517)

21. Datuk Dr. Awang Adek Hussin (1,481)

22. Datuk Seri Zulhasnan Rafique (1,431)

23. Datuk Ahmad Shabery Cheek (1,377)

24. Datuk Seri Idris Jusoh (1,275)

25. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (1,265)

Rabu, 25 Mac 2009

Keputusan Penuh Keputusan Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO 2008/2009

Saudara Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO 2008/2009
Khairy berjaya tumbangkan Khir Toyo dan Mukhriz dalam pertarungan 3 penjuru !


Keputusan Penuh Pemilihan PEMUDA UMNO

Pengerusi Tetap
Datuk Abdul Fattah Abdullah (460 undi)

Timbalan Pengerusi Tetap
Muhammad Yadzan Mohammad (202 undi)

Ketua Pemuda
Khairy Jamaluddin Abu Bakar (304 undi)

Naib Ketua
Datuk Razali Ibrahim (417 undi)

Ahli Jawatankuasa
1. Mohamed Suffian Awang (653 undi)
2. Shafiqurrahman Haji Shamsuddin
3. Sohaimi Shahadan (541 undi)
4. Mohamad Nazim A Samad (534 undi)
5. Mohd Afandi Yusoff (503 undi)
6. Jamawi Jaafar (471 undi)
7. Wan Amizan Wan Abdul Razak (471 undi)
8. Tengku Azman Tengku Zainol Abidin (455 undi)
9. Ahmad Darus (446 undi)
10. Ahmad Zaki Zahid (446 undi)
11. Ali Mazat Salleh (437 undi)
12. Megat Zulkarnain (436 undi)
13. Zuber Zabidi
14. Nazir Hussin Akhtar Hussin (419 undi)
15. Lokman Noor Adam (406 undi)
16. Syahrin Md Jamaluddin (404 undi)
17. Tun Faisal Ismail Aziz (402 undi)
18. Muhammad Khairun Aseh (389 undi)
19. Mohd Hisamudin Yahaya (388 undi)
20. Mohamad Iruan Zulkefli (387 undi)

Keputusan Penuh Pemilihan Puteri UMNO 2008/2009


Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Baru !!
Datuk Rosnah TEWAS kan 5 lagi pencabar lain!


Keputusan Penuh Pemilihan Puteri UMNO 2009

Pengerusi Tetap
Azlieza Azizan (445 undi)

Timbalan Pengerusi Tetap
Hasspalela Mohammed Hassan (499 undi)

Ketua
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (245 undi)

Naib ketua
Shahanim Mohamad Yusoff (353 undi)

Ahli Jawatankuasa
1. Mas Ermieyati Samsudin (604 undi)
2. Hasrunizah Hassan (514 undi)
3. Azlinda Zubir (510 undi)
4. Zahida Zarik Khan (501 undi)
5. Asmaiza Aahmad (498 undi)
6. Norhasmizah Mat Tahir (482 undi)
7. Fahariyah Md Nordin (474 undi)
8. Wan Salwati Abdullah (465 undi)
9. Dg Maimunah Sidek (453 undi)
10. Isfarina Mohd Ali (444 undi)
11. Wan Zawiyah Wan Halim (433 undi)
12. Norsabrina Mohd Noor (426 undi)
13. Nor Azita Abdul Rahman (414 undi)
14. Fatimah @ Nik Fatimah Nik Salleh (400 undi)
15. Seriwani Sabtu (395 undi)
16. Jamilah Hanim Othman (388 undi)
17. Idamoerni Zakaria (384 undi)
18. Anita Murad (379 undi)
19. Zauyah Zainuddin (377 undi)
20. Rina Mohd Harun (375 undi)

Keputusan Pemilihan Wanita UMNO 2008/2009


Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Wanita UMNO yang Baru!!
Datuk Seri Rafidah Aziz TEWAS!!

Berikut adalah keputusan pemilihan Wanita Umno 2008:

PENGERUSI TETAP

Tan Sri Napsiah Omar (tanpa bertanding)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Datuk Sharifah Aminahbi Syed Mohd

KETUA

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil............ (507 undi)

NAIB KETUA

Datuk Kamilia Ibrahim....................... (tanpa bertanding)

EXCO

1. Hasnah Salam............................. (520 undi)

2. Datuk Maznah Abdul Hamid................. (509 undi)

3. Datuk Rosni Zahari....................... (480 undi)

4. Datuk Armani Mahiruddin.................. (463 undi)

5. Datin Paduka Norhayati Onn............... (463 undi)

6. Datuk Norhayati Omar..................... (432 undi)

7. Datuk Rusnah Kassim...................... (430 undi)

8. Marlia Abd Latiff ....................... (416 undi)

9. Noriah Mahat............................. (412 undi)

10. Ros Suryati Alang....................... (405 undi)

11. Jamelah A Bakar......................... (400 undi)

12. Suraya Yaacob........................... (388 undi)

13. Azihani Ali............................. (385 undi)

14. Norliza Abdul Rahim..................... (377 undi)

15. Sharifah Azizah Syed Zain............... (375 undi)

16. Datuk Maznah Mazlan .................... (374 undi)

17. Datuk Azizah Mohd Dun................... (371 undi)

18. Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin... (367 undi)

19. Norliza Hj Ahmad ....................... (347 undi)

20. Wan Hazani Wan Mohd Nor................. (344 undi)

Debat Hak Semua... ADAM Juga Hak Semua!!!


Assalamualaikum dan salam sejahtera kesemuanya....

Agak lama juga kita tidak bersua menerusi ruang penulisan yang semakin diminati ini. Saya menanti masa yang sesuai untuk mengemukakan titipan terbaru tentang apa yang berlaku dipersada debat kini. Respon semakin meningkat, tahapnya membanggakan buat ADAM kini... Mengapa, kerana ramai yang berjiwa debat tidak dapat menyembunyikan keinginan serta rasa sayangnya kepada dunia debat ini. Baru-baru ini ramai juga yang menghubungi setiausaha ADAM bertanyakan apakah aktiviti terkini ADAM? Apakah ADAM ini untuk sesetengah golongan atau golongan tertentu sahaja?

Bagi soalan yang pertama; insya Allah tidak lama lagi (target date by April) kita meletakkan sasaran untuk mengadakan majlis pelancaran. Bila? Di mana? Itu akan dimaklumkan kelak setelah segala urusan dan prosedur berkaitan akan selesai. Perkara ini tidak pernah mahu saya hebahkan kerana tidak mahu disamakan dengan usaha sekerat jalan yang pernah diwar-warkan . Apatah lagi disamakan dengan golongan yang pernah menghebahkan tetapi tidak nampak usaha sebenar menjaga kebajikan serta perjalanan aktiviti Alumni Debat ini. Itu tidak mengapa, masing-masing dengan alasan tersendiri.. itu tidak mahu saya panjangkan cukup setakat itu....

Bagi soalan kedua; sepertimana di dalam penulisan saya sebelum ini, saya tegaskan, debat ini hak semua. Siapa semua? Semua pejuang-pejuang debat yang pernah berdebat berjuang tidak kira peringkat, tak kira yang pernah menang atau tidak, tidak kira latar belakang universiti, yang penting dia adalah pendebat. Maka ia untuk semua. Sedari awal lagi ketika blog ini dilahirkan, tidak pernah sekalipun ia meninggalkan mana-mana pihak. Sebaliknya semua dijemput dan dipelawa untuk turut serta. Blog rasmi ini dijadikan sebagai platform untuk semua berhimpun (walaupun secara maya) bagi memastikan segala perkembangan debat tidak akan tercicir dari diri semua. Meskipun ada dikalangan anda tidak mengetahui tentang usaha pembentukan Pertubuhan Alumni Debat ini, itu tidak penting, yang pentingnya apabila ia telah siap proses pendaftaran dan sebagainya, selaku bekas pendebat (alumni) yang komited serta ikhlas mahu bersama, tidak perlu segan dan silu bersama menyertai Pertubuhan ini. Segala perinciannya akan kita terangkan ketika majlis pelancarannya nanti.

Rasanya cukup persoalan itu saya terangkan, namun saya kini kembali menulis atas dasar satu perkara yang menyentuh hati saya baru-baru ini. Bukan soal pertandingan dan bukannya soal 'pendatang' yang pernah saya utarakan sebelum ini. (Sengaja saya highlight kan 'pendatang' ini kerana saya mendapat tahu yang beliau turut mengkuti penulisan saya ini... dialu-alukan!). Baru-baru ini ketika saya kembali dari satu seminar di Johor Bahru, saya telah hadir ke majlis perkahwinan rakan saya yang pernah bersama-sama saya ketika pengajian Undang-Undang di UiTM Shah Alam yang saya tinggalkan sejak tahun 2004 (maknanya dah lima tahun lamanya). Majlis yang berlangsung pada 21 Mac 2009 ini berlangsung di Seksyen 18, Shah Alam. Setibanya di sana, saya bertemu dengan sebahagian besar sahabat-sahabat yang bukan sahaja sama pengajian malahan pernah sekelas dengan saya. Ada yang dah kahwin, malah ada yang kahwin sesama kelas dan ada yang dah berbadan dua, memiliki anak dan sebagainya.

Perkara yang menyentuh hati saya ketika di sana adalah ramai yang menegur saya "Acoy! Apa khabar? Lama tak jumpa!" saya hanya mampu membalas... "Baik, awak apa khabar?" sebagai budi bahasa membalas..... Dan yang terfikir di hati saya kenapa semua mengenali saya dengan nama timangan yang tidak pernah luput di ingatan mereka sedangkan saya lupa akan nama mereka. Nak ditanya nama nanti katanya, tergamaknya saya lupa nama mereka. Ini mungkin andaian saya, tetapi ia tidak mustahil rasanya.... Saya mula menyusun strategi dengan mendapatkan name card mereka. Melalui name card ini saya mula mengingati satu demi satu nama mereka. Alhamdulillah 'gap' yang terbentuk sejak lima tahun lalu berjaya juga dimusnahkan.

Saya terfikir begini, jika rakan sekelas yang sedemikian rapat boleh terjadi begini, apa lagi dengan bekas-bekas pendebat yang bukan sekelas, bukan sepengajian malahan bukan seuniversiti pun? Maka, atas dasar ini sempadan yang terbina sejak semua alumni berhenti sebagai pendebat secara rasmi atau tidak rasmi, apakah mahu kesemua kita biarkan sahaja? Apakah kita sanggup untuk tidak bersama di antara satu sama lain hanya berasaskan kepada ideologi songsang atau ketiadaan wihdatul fiqr(pinjam kata-kata Saiful Ambar) ataupun kesatuan pemikiran. Saya tidak percaya akan hal ini. Segala perbezaan pemikiran adalah keindahan yang kita perolehi sejak zaman berdebat dulu. Ini realitinya. Anda semua tidak akan menjadi apa yang anda jadi pada hari ini, jika tidak kerana debat sebagai salah satu usaha dulu yang menjadikan anda sekarang! Maka demikianlah sejak sekian lama saya cuba membawa pemahaman ini kepada semua agar kita semua boleh bersatu hati bersama menjayakan hasrat menjadikan Pertubuhan Alumni ini sebagai payung yang melindungi atau membawa kita terus bersama di adalam arena debat semasa tanpa pernah ditinggalkan.

Berdebat bukanlah satu anugerah yang biasa... malahan satu anugerah daripada Allah yang bersifat luarbiasa pada saya dan perlu kita syukuri dan diperkembangkan. Kita tidak boleh memilikpunyakan sendiri sambil berniat memulaukan atau meminggirkan orang-orang tertentu. Bukan itu caranya. Cukuplah politik debat ini dipolemikkan sejak zaman universiti lagi. Cukuplah. Hentikanlah. Biarlah kita berpijak dibumi yang nyata, laksanakanlah apa yang sepatutnya. Kalau ADI, ADI lah. Kalau ADAM, ADAM lah. Jangan diperbesarkan akan hal ini. Malah tegas saya seperti sebelum ini jangan dikecualikan alumni tertentu dek dendam kesumat peribadi yang tertanam di dalam jiwa sejak sekian lama. Ikut Rasa Binasa, Ikut Jiwa Merana dan Ikut Hati Mati.

Tiada baiknya sikap ini yang dipertontonkan. Pendebat baru tidak wajar disogokkan dengan kebencian. Apa yang mereka perlukan dorongan yang positif, didikan, serta bimbingan. Barulah debat ini bersinar dan berkembang mekar. Dan tidaklah bersifat retorik serta muram sebagaimana yang digambarkan oleh rakan-rakan alumni sebelum ini. Bicara saya kali ini jelas ingin memperbetulkan semua agar lebih ikhlas serta fokus di dalam menilai setiap langkah dan gerak geri kita di dala menjaga kebajikan alumni.

Saya beri contoh, sebelum ini kita pernah mendengar ADI dilancarkan (tahun 2008). Tetapi, ke mana ia bergerak selepas itu? Apa yang ditinggalkan? Apa yang disediakan? Malahan ada yang bertanya apa sebenarnya ADI? Saya bukan penentang ADI, ini saya tegaskan berkali-kali.... tidak pernah terlintas di hati saya. Saya bukan penentang ADI. Saya menyokong walau apa jua pergerakan demi kelangsungan kebajikan untuk sekelian Alumni. Itu pendirian saya yang cukup jelas. Namun, persoalan yang diutarakan tadi tidak juga boleh kita tinggalkan begitu sahaja. Rakan-rakan yang terlibat di dalamnya perlu memberikan penjelasan. Anda pastinya tidak boleh menyatakan "sekarang ini aku sibuk sikit, tak boleh nak gerakkan sangat ADI ni!". Ini bukan jawapannya sebagai orang yang terang-terangan menjadi salah seorang tunjang usaha mewujudkan pertubuhan yang diberi nama ADI. Cukup kot setakat itu! Jika tidak, anda tidak boleh melenting jika alumni-alumni terus-terusan percaya bahawa anda sememangnya ada agenda peribadi disebaliknya, walau apa pun jua agendanya!

Janji saya, ADAM akan jadi realiti sedikit masa lagi. Segala perkembangannya akan kita paparkan dari masa ke semasa. Kepada yang masih kabur sila hubungi setiausaha. Sedikit sebayak beliau akan menjelaskannya. Tidak perlu risau, tiada siapa pun akan diketepikan. Kita gerakkan alumni secara bersama, percayalah hasrat ini akan menjadi nyata... dengan syarat... anda semua menyokongnya. Yang pasti, sesuatu yang hebat akan bersama ADAM, apakah dia? Itu anda perlu nantikan. Saya tidak akan dedahkan melainkan anda sudah bersedia bersama ADAM.....

Akhir kata...ingatlah... Debat hak semua... ADAM juga hak semua!!

Sekian dan Wassalam...

Oleh :

Syamsul Amri bin Hj Ismail

Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM)

Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO - Oleh Tun Dr M

1. Perhatian rakyat Malaysia terutama orang Melayu ialah kepada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku dalam UMNO. Samada mereka ahli atau bukan ahli mereka tahu UMNO memainkan peranan yang besar dalam kehidupan mereka, dalam maju mundurnya Negara mereka.


2. Apa yang mereka lihat sehingga kini tidak menyenangkan hati mereka akan keupayaan UMNO dikekalkan.

3. UMNO yang telah perintah Negara ini dengan baik selama 50 tahun sekarang dilihat sebagai parti yang tidak bermaya.

4. Dalam hanya lima tahun dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti UMNO sudah rosak dan menjadi amat lemah. Seiring dengan kelemahan parti, Kerajaan juga menjadi lemah dan kehidupan rakyat sudah tidak lagi sempurna.

5. Sekarang Abdullah berjanji akan letak jawatan pada hujung bulan ini dan Dato Seri Najib Razak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Apakah Najib akan dapat memulihkan UMNO sehingga jadi kuat semula? Ini menjadi satu tanda tanya.

6. Apa yang berlaku dalam proses pemilihan kepimpinan tidak menjadi petanda yang baik. Parti UMNO sudah jadi parti perasuah. Samada ahli atau pemimpin, semuanya utamakan kepentingan diri.

7. Sepatutnya pemilihan pemimpin yang baru akan meyakinkan rakyat yang UMNO bersedia untuk membasmi gejala rasuah. Tetapi yang berlaku menunjuk yang UMNO tidak mempedulikan pemulihan parti dan pencapaian kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13. Yang diutamakan ialah untuk menjadi pemimpin UMNO dengan apa cara sekalipun. Harapan mereka jika jadi pemimpin UMNO akan dapat jadi Menteri dan dapat kontrak dan lain-lain nikmat untuk diri sendiri.

8. Ternampak jelas yang pencalonan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang dibuat oleh bahagian adalah hasil sogokan. Ramai yang dicalon diketahui umum telah beli undi. Dengan itu peluang pertama untuk memulih imej parti dikalangan rakyat sudah gagal kerana bahagian-bahagian utamakan sogokan. Peluang kedua untuk memulih imej parti juga tidak direbut. Sebenarnya Lembaga Disiplin dan Tribunal yang ditugas untuk membicara dan menghukum calon-calon yang dituduh terlibat dengan rasuah telah tidak menggunakan tugas mereka untuk memperbaiki imej parti. Sebaliknya Tribunal membuat keputusan yang menunjuk ia tidak bersungguh untuk menghukum mereka yang diketahui terlibat dengan rasuah. Dengan itu imej parti tidak terpulih dan menjadi lebih buruk.

9. Sekarang datang pula peranan para wakil untuk memulih imej parti dengan menolak calon yang dikenali mengguna wang untuk undi calon. Jika mereka tolak calon-calon ini, mereka akan sedikit sebanyak memulih imej parti dan kemungkinan parti akan menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.

10. Tetapi oleh kerana keputusan Tribunal membolehkan calon-calon yang diketahui korup bertanding, perwakilan mungkin akan pilih mereka ini untuk menganggotai Majlis Tertinggi. Apabila ini berlaku imej parti akan jadi lebih buruk dan besar kemungkinan parti akan dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-13.

11. Tetapi terdapat satu lagi peluang untuk imej parti dipulih. Apabila Kerajaan baru dibentuk oleh Dato Seri Najib, beliau boleh menolak pemimpin-pemimpin yang menang kerana rasuah daripada menganggotai Kabinet dan lain-lain jawatan Kerajaan pimpinannya. Jika sebaliknya Najib melantik orang yang diketahui menang kerana rasuah ke dalam Kerajaannya maka akan termusnahlah kepercayaan rakyat kepada Najib dan Kerajaannya. Tidak syak lagi yang UMNO dan Barisan Nasional akan kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13.

12. Saya percaya Dato Seri Abdullah akan paksa Najib pilih orang tertentu untuk jadi Menteri Kabinet Najib. Kita tahu sangat keinginan orang ini menjadi Perdana Menteri termuda. Sebenarnya kalau pun dia menang, penyertaannya dalam Kerajaan akan menyebabkan pengundi tolak Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13. Apatah lagi jika dia kalah dan masih lagi dapat tempat dalam Kerajaan.

13. Jika Dato Seri Najib memilih perasuah dan orang tertentu dalam Kerajaan pimpinannya, UMNO akan kalah dan terus hancur. Najib akan tinggal legasi sebagai pembunuh UMNO yang dihidupkan oleh ayahnya.

14. Ahli-ahli UMNO harus ingat tidak ada gunanya menjadi pemimpin UMNO, menjadi Presiden UMNO pun jika BN kalah dan tidak dapat tubuh Kerajaan.

15. Orang Melayu akan kutuk mereka yang telah hancurkan UMNO kerana mereka tamak dan mengkhianati bangsa dan negara.

Dipetik daripada penulisan Tun Dr Mahathir bin Mohamad di dalam chedet.com.cc