PUTRAJAYA 6 Mac – Peserta Kemboja, Novavy Sles muncul juara kategori antarabangsa Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM 2009) di sini malam ini.
Naib juara dimenangi peserta Australia, Ayleen O‘Hanlon manakala Shavira Alaydrus dari Belanda menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Nusantara, peserta Malaysia, Mohd. Syamsul Salleh diumumkan juara diikuti Margaretha Chrisnasari (Indonesia) dan Kamarudzaman Abdul Jalil (Brunei).
Juara bagi kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan dan wang tunai AS$3,000 (RM10,983).
Naib juara pula menerima piala iringan dan AS$2,000 (RM7,322).
Tempat ketiga memperoleh piala iringan dan AS$1,000 (RM3,661).
Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
MOHD. Syamsul Salleh juara kategori Nusantara dari Malaysia (kanan) dan Novavy Sles juara kategori Antarabangsa dari Kemboja bersama piala masing-masing.
Seramai lima peserta bagi kategori antarabangsa dan tiga untuk kategori nusantara berentap di peringkat akhir PABM yang disiarkan secara langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Internet.
Peserta bagi kategori antarabangsa mewakili Australia, Kemboja, China, Rusia dan Belanda manakala kategori Nusantara pula adalah Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Pertandingan yang bermula 1 Mac lalu itu berjaya menampilkan seramai 44 peserta iaitu 34 bagi kategori Antarabangsa dan 10 untuk kategori Nusantara.
- Utusan Melayu Online -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan