Khamis, 26 Mac 2009

Pemilihan UMNO - Dari Kacamata Presiden ADAM

Assalamualaikum WBT.,

Hmm... kali ini saya menerima email bertalu-talu, mahukan saya mengulas serta memberi respon mengenai perkhabaran baru dari Kuala Lumpur. Apa yang ada di Kuala Lumpur? Macam biasa sahaja. Cuma yang lainnya mungkin, sejarah baru telah terlakar, di mana perubahan besar-besaran telah berlaku di dalam pucuk pimpinan UMNO (secara zahirnya) yang mana telah dimeterai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Lakaran sejarah ini dilihat berlaku di segenap sayap UMNO yang dinanti oleh sekelian rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dilakukan di dalam UMNO.

Jika dilihat secara kasar (atau secara mudahnya) perubahan memang akan berlaku, di mana setiap manusia berbeza maka, pendekatan yang bakal diambil oleh setiap individu pasti berbeza, sebagaimana berbezanya Tunku Abd Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abd Razak, Tun Dr Mahathir, malahan mungkin ramai bersetuju, betapa berbezanya, Datuk Seri Abdullah (Pak Lah) di dalam legasi pemerintahannya. So, apa lagi dengan Datuk Seri Najib, beza tetap berbeza. Namun, titik persoalan yang mahu dijawab, yang diungkit sedari sekian lama bukan sekadar perubahan dan perbezaan biasa, tetapi bersifat luarbiasa dan holistik dari segenap segi. Apa maksud saya? Di sini kita bukan hanya mahu Najib menunjukkan perubahan berbanding Pak Lah, tetapi kita mahu Najib mengetuai barisan atau saf itu membawa perubahan mengikut apa yang dimahukan oleh sekelian rakyat jelata.

Dato Seri Najib Tun Razak

Jika dianalisa keputusan pemilihan UMNO yang diputuskan semalam, kebanyakan keputusan yang dicapai adalah di luar dugaan, malahan menidakkan sama sekali jumlah pencalonan yang menggambarkan keputusan sekelian ahli UMNO yang sebulat suara di dalam Cawangan serta Bahagian. Calon yang menerima pencalonan tertinggi, tidak semestinya akan memenangi pertandingan meskipun, pencalonan tersebut telah mewakili suara paling ramai (majoriti). Fenomena ini misalannya dilihat menimpa Rafidah Aziz serta Mukhriz Mahathir (contoh mudah). Meskipun pencalonan yang tinggi mengatasi calon-calon lain namun, mereka akhirnya tumbang disebabkan oleh faktor yang tidak dapat dijelaskan secara tepat hingga ke saat ini.

Namun gelombang perubahan yang dipaparkan ini, perlu diberi ruang serta peluang untuk dibuktikan. Mereka yang 'baru' ini perlu diberi masa yang sewajarnya untuk membuktikan kepada semua betapa mereka bersama Najib, komited untuk membawa perubahan kepada wajah dan dasawarsa kepemimpinan negara. Rasuah, Kronisme, Nepotisme, Ampu-Mengampu, Jatuh-Menjatuhkan demi harta, pangkat dan kekayaan bukan lagi satu "trend" yang boleh dibenarkan berleluasa lagi di negara kita. Najib, tatkala diberi mandat selaku Perdana Menteri, tidak lama lagi, perlu segera mengatur strategi penambahbaikan, serta perubahan besar-besaran bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap masalah dan penyakit di dalam kerajaan yang kini sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Penyusunan kabinet Najib juga penting bagi melihat sejauh mana Najib inginkan perubahan benar-benar membawa perubahan kepada suasana serta iklim politik tanahair. Najib perlu benar-benar sensitif dengan kehendak RAKYAT keseluruhannya dan bukan kehendak PERWAKILAN. Kehendak rakyat maknanya Najib perlu memilih mereka yang berkaliber, berkarisma serta bersih dari segala perkaitan dengan gejala rasuah. Ini penting bagi memastikan betapa kita tidak mahu kabinet Najib dilabelkan sebagai "sama aje" macam kabinet yang dibentuk oleh Pak Lah yang sudah tidak dapat diterima rakyat. Mana yang baik pada rakyat kekalkan, dan mana yang tidak, gugurkan.

Mengapa pula Najib tidak boleh mengikut kehendak PERWAKILAN? Mudah sahaja, pada hari ini jelas kelihatan, apabila calon yang mendapat pencalonan tertinggi tidak menang, maka perwakilan sebenarnya tidak membawa suara-suara rakyat dari peringkat akar umbi. Inilah permasalahannya. Insiden, membaling kerusi, bertumbuk, fitnah bergaduh yang bermula dari peringkat cawangan lagi, menunjukkan betapa serius dan pentingnya pada diri mereka di peringkat bawahan yang mahu suara mereka akan dibawa sehingga ke ruang perhimpunan di Dewan Merdeka di PWTC... di mana akhirnya, perwakilan yang dipilih, hanya membuat pilihan mengkiut citarasa mereka apabila mereka tiba di PWTC. Mereka lupa mereka berada di sana kerana siapa, untuk siapa, dan calon yang mereka sewajibnya undi untuk memenuhi aspirasi majoriti. Akhirnya mereka yang diinginkan tewas. Tewas dengan tahap merekalah yang ingin diketengahkan oleh rakyat.

Tetapi, jangan salah faham, ini bukanlah bermakna saya mahukan mereka ini menang, tidak sama sekali, cumanya saya cuma memberi penekanan tentang pemilihan yang dibuat tidak merujuk kepada keinginan ramai, dan bukan di atas dasar kecenderungan saya terhadap sesiapa. Saya sejujurnya berpandangan bebas dan ikhlas berkenaan hal ini.

Saya suka sekali berbicara soal keputusan yang dibuat semenjak dua hari lalu...


WANITA UMNO

Datuk Seri Shahrizat bin Abd Jalil

Datuk Shahrizat akhirnya berjaya menjadi Ketua Wanita mengatasi Rafidah Aziz. Yang telah memegang jawatan sejak sekian lama. Pelan peralihan Rafidah dibuktikan sebagai tidak relevan. Persoalan Rafidah ingin mempertahankan jawatan sehingga Jun tidak dapat dibuktikan kerasionalannya. Ramai yang mempersoalkan apakah sebenarnya yang cuba dibuktikan dengan menanti sehingga Jun 2009.
Datuk Seri Rafidah Aziz

Rafidah seharusnya sedar seandainya pelan peralihan ini dipersetujui, maka natijahnya, apabila Timbalan Ketuanya diangkat sebagai pengganti, maka penggantinya hanya akan dianggap pemangku, dan jika ini benar-benar terjadi maka kedudukan Wanita UMNO selaku Pengerusi Wanita Barisan Nasional pasti akan dipertikai oleh MCA, MIC dan rakan-rakan komponen memandangkan yang lainnya merupakan Ketua Wanita Penuh di dalam parti masing-masing. Pasti Rafidah sedar akan hal ini. Tiada sebarang perlembagaan atau undang-undang bertulis menyatakan bahawa Wanita daripada parti komponen lain selain UMNO tidak boleh memegang jawatan pengerusi Wanita BN. Tidak ada sebarang pernyataan tentang itu.

Kemudian timbullah pelbagai andaian, ada yang menyatakan mungkin Rafidah inginkan jawatan kabinet lah (selepas Datuk Seri Najib menjadi PM) , Rafidah ingin mencapai sesuatu lah dalam tempoh tiga bulan dan sebagainya.

Apabila ini mulai timbul maka, ombak pertentangan terhadap pelan peralihan yang telah dirancang muncul semula. Shahrizat yang pada awalnya menyetujui pelan peralihan yang diatur mulai keliru apabila isyarat daripada 'grassroot' mula memperlihatkan sokongan untuk beliau mencabar kedudukan nombor satu. Namun, di sinilah karektor Shahrizat, kelihatan agak lemah. Beliau yang pada awalnya setuju dengan pelan peralihan kemudiannya mengambil keputusan menentang. Sikap individu UMNO yang tidak tetap pendirian sememangnya menjadi kepantangan ahli UMNO secara keseluruhannya. Mereka yang tidak tetap pendirian secara prinsipnya, tidak layak dipilih menjadi pemimpin. Keputusan Shahrizat ini didorong oleh kedudukan Timbalan Ketua Wanita yang telah siap sedia cukup kuota oleh Datuk Kamilah yang bersedia menentang Shahrizat jika Shahrizat tetap berhasrat mempertahankan kedudukan nombor dua itu. Maka, Shahrizat yang pastinya masih belum dapat melupakan kekalahannya di Parlimen Lembah Pantai, pastinya tidak mahu terus kehilangan, malahan perlu menjadi lebih berani. Kedudukan nombor satu perlu.

Tapi, yalah, sebagaimana yang saya nyatakan tadi kelihatannya seolah-olah pendirian Shahrizat tidak konsisten, maka tidak hairanlah jika kita mendengar Tun Dr Mahathir memberikan respon kepada media terhadap soalan siapakah di antara kedua-dua calon ini layak menjadi Ketua Wanita UMNO, jawab Tun ,... "Kedua-duanya tidak layak!". Ini adalah hakikatnya. Maka, menurut persepsi saya, wanita baru-baru ini hanya membuat pilihan berasaskan perbandingan siapa yang kurang bermasalah berbanding yang seorang lagi. Akhirnya dapat saya simpulkan kemenangan Shahrizat bukanlah kerana perwakilan memilih Shahrizat, tetapi kerana perwakilan sudah tidak mahukan Rafidah.

Maka, tanggungjawab besar Shahrizat, adalah membuktikan bahawa beliaulah orangnya yang bakal mendepani masa depan dengan pembelaan berterusan melindungi kaum Wanita serta memastikan Wanita terus setia di dalam UMNO tanpa beralih arah terhadap parti lawan, kerana apa, golongan Wanita merupakan golongan majoriti yang mampu menentukan nasib dan masa depan UMNO dan Barisan Nasional. Golongan ini harus didengar, dan bukan dibiarkan mengikut tanpa dijaga hak dan kebajikannya. Golongan wanita hari ini lebih sofistikated dan educated, dan bukan hanya semudah itu disogok dan dimomokkan dengan tradisi politik murahan, malahan mereka juga berwawasan dan kritikal didalam penilaian mereka dengan era politik masakini. Shahrizat, perlu sedar hakikat ini.

PEMUDA UMNO

Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar

Khairy, KJ, atau apa lagi gelaran unik untuknya, maka, seunik namanya, jika dirungkai pertandingan tiga penjuru diantara Khir Toyo, Mukhriz dan KJ, ada ciri unik masing-masing yang kita boleh perhatikan. Khir dengan pengalaman selaku Menteri Besar Selangor, pengalaman mentadbir cuma mungkin, insiden 'penyapu' masih belum dapat dilupakan oleh sekelian rakyat Selangor malahan juga seluruh rakyat Malaysia. KJ pula, menantu PM yang petah berpidato, semangat orang muda, bijak mengatur kata dan tidak beberapa hari sebelum pertandingan dikaitkan dengan skandal rasuah, namun beliau hanya dikenakan amaran kerana tiadanya bukti yang kukuh untuk menyabitkannya (jika menurut Lembaga Disiplin UMNO lah).

Di sini, sudah bermulalah sekelian rakyat dengan teori kemungkinan sebab-musabab Lembaga Tatatertib membuat keputusan sebegitu kerana ingin menjaga menantu Pak Lah ini, dan sebagainya, namun andaian ini hanya sekadar andaian tanpa dapat dibuktikan kesahihannya. Manakala Mukhriz, selaku orang baru di dalam dunia kepimpinan, agak 'low profile' melainkan keberaniannya menyuarakan hasrat betapa Pak Lah harus berundur demi tanggungjawab di atas kekalahan teruk BN di dalam PRU ke 12. Selain itu, faktor terpenting lain, beliau merupakan anakanda kepada Tun Dr Mahathir. Dan satu kelebihan nyata yang dimiliki Mukhriz dan tidak dimiliki oleh calon lain ialah Mukhriz mendapat pencalonan yang jauh lebih tinggi berbanding dua calon lain. Ini kenyataannya.


Ramai sudah mencongak bahawa Mukhriz merupakan calon paling layak menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO yang baru berasaskan kepada ketenangan, kebijaksanaan serta kesopanan beliau menuturkan kata malahan beliau sebenarnya tidak banyak bercakap berbanding bekerja. Dengan pencalonan sedemikian tinggi daripada seluruh negara menggambarkan betapa akar umbi mahukan beliau memimpin teraju barisan muda negara. Namun, sebagaimana yang kita tahu, Mukhriz tewas, bukan kepada Khir Toyo, tetapi kepada Khairy Jamaludin. Saya tidak perlu ulas lanjut kerana teori kemenangan Khairy ada pelbagai. Ada yang kata Pak Lah memberikan bantuan sokongan, ada yang kata rasuah dan sebagainya. Namun, walau apa pun ia, itu semua masih bersifat andaian.

Kemenangan Khairy di PWTC sebagaimana yang kita saksikan tempohari tidak disambut dengan ceria malahan reaksi kurang menarik daripada sebahagian besar perwakilan Pemuda UMNO. Apa pun yang menang tetap menang. Namun, saya mengagumi Mukhriz kerana tetap menunggu sehingga ke akhir tanpa pulang awal walaupun tewas. Ciri ini tiada pada Khir dan Rafidah (yang tidak kelihatan lagi setetlah keputusan diumumkan). Sekali lagi saya tegaskan, bukannya saya peminat atau 'bias' kepada Mukhriz tetapi ini realiti yang harus kita kongsikan bersama.

Bukan kecil tanggungjawab Khairy, kerana hakikat yang perlu diterima, golongan muda masakini sudah tidak didengar suaranya. Itulah sebabnya, ramai golongan muda lebih cenderung untuk memilih Parti Pembangkang sebagai palatform perjuangan mereka kerana di sana, mereka lebih di dengar dan lebih diberi peluang (berbanding BN yang mahir dengan bab cantas mencantas). Maka, Khairy perlu memikirkan segera, ramuan serta formula terbaik untuk menarik minat golongan muda agar menyertai UMNO serta berjuang di dalam UMNO. memang berat tugas ini. Kita boleh melihat di dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, golongan muda yang berkempen rumah ke rumah, agresif di dalam mempromosikan calon datangnya dari Parti Pembangkang. Seolah semangat golongan muda di dalam BN sudah pupus (jika ada pun tidaklah menonjol sepertimana mereka). Khairy tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Sebaliknya perlu segera bertindak mengatasi masalah ini.

Disamping itu Khairy juga perlu membuang sejauhnya pengaruh Pak Lah di dalam tindakannya dan menunjukkan bahawa beliau boleh bergerak sendiri dengan umurnya yang baru mencecah 32 tahun. Banyak yang perlu dilakukan, jika tidak Pemuda UMNO juga hanya dianggap jelik dan memualkan di kalangan orang muda. Ini perlu diambil perhatian !!

PUTERI UMNO

Datuk Rosnah Shirlin. Kejayaan beliau, menumpaskan 5 lagi calon melayakkan beliau menerajui Pergerakan Puteri UMNO yang baru sahaja ditinggalkan oleh Datuk Noraini yang sudah melepasi had umur Ketua Puteri UMNO.


Saya tidak berhasrat mengulas panjang tentang ciri peribadi beliau kerana, walau siapa pun Ketua Puteri UMNO, sehingga ke hari ini, tiada siapa dapat melihat fungsi kewujudan Puteri UMNO. Ini hakikat sebenarnya. Menurut kacamata masyarakat, Puteri UMNO ini dilihat tidak lebih daripada golongan yang akan bersolek, memakai pakaian yang sedondon berwarna merah jambu, make-up dan 'melawa' bila tiba musim pilihanraya. Sejauh mana, Puteri UMNO ini berfungsi masih lagi gagal ditunjukkan dengan jelas. Pewujudannya sebagai penyokong kepada tunggak UMNO yang lain juga dilihat tidak ke mana.
Datuk Rosnah Shirlin

Maka, persepsi masyarakat terhadap Puteri UMNO ini perlu diubah segera bagi memastikan masyarakat dapat menerima Puteri UMNO seadanya, atau jika tidak, cadangan menghapuskan terus sayap UMNO ini, selayaknya dibincangkan semula.

..........................................................................

Dan keputusan akhir semalam, 2 Menteri Kabinet, dan 4 Menteri Besar tewas di dalam pemilihan MT semalam. Ini bukannya perkara baru. Ini telah berlaku sejak PRU 12, Menteri Kabinet ramai yang tewas. Ini sudah menjadi biasa. Bukan lagi luar biasa.

Cuma Muhyddin menepati ramalan. Tan Sri Muhammad Taib terpaksa akur bahawa gelanggang hari ini bukan lagi untuknya. Manakala, Hishamudin, Ahmad Zahid Hamidi serta Shafie Afdal membuktikan bahawa merekalah yang selayaknya diangkat menjadi Naib Presiden. Walau siapapun bergelar Timbalan, bergelar Naib-Naib Presiden, Ahli MT, ini sudah kurang menarik perhatian sebenarnnya. Kerana seluruh mata tertumpu kepada Najib dan 'saf' terbaik sebagaimana yang di war-war kannya sebelum ini, melihat apakah modus operandi Najib di dalam mengembalikan kegemilangan UMNO. Apakah tindakan drastik Najib. Siapakah yang akan Najib susun di dalam penstrukturan kabinet setelah menjadi PM kelak? Ini yang menarik perhatian sebenarnya. Penantian ini yang lebih dinantikan oleh seluruh rakyat. Najib perlu ingat, bahawa beliau tidak boleh memilih anggota kabinetnya berasaskan keputusan pemilihan UMNO semata-mata, tetapi faktor dalaman diri dan peribadi setiap individu perlu diperhalusi terlebih dahulu. Ini penting. Kerana faktor inilah yang menyebabkan BN kala teruk di dalam PRU ke 12 yang lalu.

Jika seseorang itu menang pemilihan, tetapi rekod peribadinya bermasalah, maka Najib perlu hindarkan individu ini di dalam kabinet, atau jika tidak Najib mengundang padah bukan hanya di dalam UMNO malahan juga di dalam pakatan Barisan Nasional yang pastinya akan lebih mudah diratah dan dibaham oleh Pembangkang yang lebih mudah mengambil kesempatan. Biarlah calon itu tewas di dalam pemilihan, tetapi dirinya tiada masalah, dan boleh diterima rakyat. Maka, inilah calon sesuai untuk Najib ketengahkan. Menginsafi Allahyarham Razali Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Menteri Pelajaran. Ramai yang tidak dapat menafikan betapa Allahyarham menang di Kuala Terengganu ekoran ciri dan sifat peribadi mulia yang dimiliki oleh beliau. Jika inilah yang terus diperjuangkan dan dijadikan asas pegangan di dalam kepimpinan Datuk Seri Najib bersaksilah bahawa "Transformasi UMNO" akan menjadi realiti. pada ketika itu, Tun Dr Mahathir juga perlu kembali pulang ke pangkuan UMNO bagi membantu Najib mencorak strategi memenangi semula hati rakyat dan sebagainya.

Parti lawan yang kita kenal sebagai petualang bangsa yang sanggup menggadai maruah bangsa, mencemar penghormatan terhadap raja, menghina agama, perlu ditentang habis-habisan bagi memastikan Melayu akan terus mekar dan segar di dalam kepimpinan masakini. Usaha ini perlu digerakkan segera. Atau tidak bangsa Melayu akan terus kelihatan lemah, lesu dan tidak bermaya!!!

Kini jelaslah bukan, betapa 'Transformasi UMNO' bukanlah semudah yang diharapkan, atau pun semudah diceritakan di kedai-kedai kopi, malah ia lebih rumit daripada apa yang sering dibincangkan di dalam sesi dialog baik dalam TV3, RTM, Awani, Awani Global dan sebagainya. Ia terlalu rumit. Tugas Najib tersangatlah berat. Memastikan agar UMNO terus relevan, perubahan demi perubahan perlu sentiasa ditonjolkan secara berperingkat dan dikongsi sejak dari saat mula dimasyhurkan sebagai Presiden UMNO semalam (26 Mac 2009) sehinggalah hari seterusnya. Dan pasti penilaian demi penilaian akan di utarakan. Najib, Muhyddin, Zahid, Hishamudin, Shafie perlu bersemangat dan tidak mudah patah semangat pada setiap kritikan yang diutarakan demi pembangunan UMNO secara berterusan. Dan akhirnya penentuan penilaian akhirnya samada UMNO masih diterima lagi atau tidak, pastinya PRU ke 13. Saat itu pasti tiba, dan UMNO mesti bersedia. Jika UMNO tersilap langkah, bahananya, amat dahsyat sekali, UMNO boleh lenyap lantas menafikan kata "Takkan Melayu Hilang Di Dunia". Walaupun pedih inilah kenyataannya.

Dato Shafie Afdhal
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Hishamuddin Tun Husein


Semoga Era Najib yang baru bermula ini akan dihiasi kebangkitan serta keindahan kejayaan bangsa Melayu serta agama Islam yang kita cintai. Kepada pemimpin Melayu yang baru beroleh mandat. Janganlah lupa diri, sombong bongkak dan ego. Sematkanlah rasa rendah diri berbakti dan dekatilah diri anda kepada rakyat, supaya UMNO beroleh kejayaan di hari muka, mudah-mudahan....

Sekian dan Wassalam......



SYAMSUL AMRI BIN HJ ISMAIL
Presiden Pertubuhan Alumni Debat Melayu Malaysia (ADAM)

Tiada ulasan: