Keputusan Rasmi
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN): 30,252
Azharudin Mamat (Bebas): 193
Undi Rosak:665
Majoriti:2631
Jumlah Keluar Mengundi: 63,993
Jumlah Keseluruhan Pengundi: 80,229
Peratus Keluar mengundi: 79.693%
Assalamualaikum kesemuanya...
Alhamdulillah, kita bertemu semula di ruangan ilmu ini. Ramai yang menanti komentar terkini saya. Malah ramai yang bertanya “Macamana BN boleh kalah?”. Saya mengambil masa sehari suntuk dengan sabar menerima setiap buah fikiran dan pandangan ramai tentang keputusan P36 baru-baru ini.
Sehingga ke saat ini masih terdengar cakap-cakap politik dan ulasan pelbagai pihak berkumandang di setiap ruang .. baik di restoran, warung, pejabat, perkarangan masjid, surau dan sebagainya. Pak Ngah saya sendiri ada menghantar sms kepada saya, dan kata nya “Memang benar ramalan saya semenjak Selasa yang lepas (13 Januari 2009), BN tewas adalah tepat seperti ramalan saya. Inilah cermin sebenar penerimaan rakyat terhadap Pak lah.Rakyat boleh menerima BN tetapi tidak Pak Lah.” Malah macam-macam lagi ulasan yang dikongsikan bersama saya.Masing-masing mengutarakan pandangan serta pendapat masing-masing.
Sewajarnya, perkara yang lepas menjadi pengajaran dan iktibar buat semua, kerana walau apa pun keputusannya tugas membela rakyat perlu tetap diteruskan. Baik PAS mahupun BN perlulah meneruskan walau apa jua yang telah dijanjikan kepada rakyat agar isu ini tidak dijadikan asas kelemahan pemimpin pada pilihanraya yang akan datang. Biarlah pada pilihanraya akan datang isu-isu yang lebih segar dapat dikongsi bersama-sama dengan pengundi agar suasana politik negara akan lebih matang dan dapat diterima semua pihak. Ini kerana kita perlu sedar, pengundi kini lebih intelek dan kritikal di dalam penilaian politik mereka. Mereka tidak lagi mengambil pendekatan mudah, simplistik atau semberono, tetapi lebih bersifat hati-hati bagi memastikan keputusan yang dibuat membawa kesan dan natijah kepada kawasan setempat, daerah, negeri dan seterusnya Negara.
Tanggapan awal pilihanraya di Kuala terengganu ini agak sukar, kerana sebagaimana yang saya laporkan semenjak saya tiba di Kuala Terengganu pada 7 Januari 2009, suasana di KT agar tenang tanpa sebarang insiden menarik apatah lagi tang menggemparkanCuma isu yang tidak ’up’ pun sehingga ke peringkat akar umbi. Isu-isu yang ditonjolkan ialah isu janji-janji perti pembangkang yang tidak tertunai, isu pembangunan yang dibawa BN dan juga isu BN sebagai pimpinan yang stabil setakat ini. Malahan ceramah saudara Ezam dan rakan-rakan juga gagal memberi impak kepada kemenangan yang diharapkan BN. Namun sedar atau tidak, isu ini telah sekian lama dijadikan modal oleh BN. Mungkin tiba masanya sebagaimana di awalan tadi saya berpandangan bahawa BN perlu mengkaji dan mencanai strategi baru untuk memenangi hati rakyat agar parti akan kembali diterima pengundi.
Satu lagi aspek yang perlu diambil perhatian oleh BN adalah dari segi kerjasama Parti Komponennya. Persoalan yang ditimbulkan sejauh manakah Parti Komponen memainkan peranan di dalam memenangi hati masyarakat Cina? Khususnya di kawasan DUN Bandar. MCA dikatakan sebagai kurang memainkan peranan di dalam menarik undi masyarakat Cina. Saya melihat sendiri di suatu petang pada 14 Januari 2009 lebih kurang jam 3.00 petang, terdapat sekumpulan peraih undi berbangsa Cina dengan bajunya tertera Parti Keadilan Ampang, kelihatannya mereka sedang sibuk berkunjung ke kedai-kedai sambil memujuk pengundi agar menyokong calon PAS. Inilah yang dikatakan semangat berpasukan. Senario ini sangat kurang jika dibandingkan dengan ’kerja’ yang diusahakan oleh MCA, mahupun Gerakan. Kenyataan ini seolah disokong oleh Ong Tee Kiat yang menyatakan bahawa “Kita tidak boleh bersikap seolah kita lebih pandai dan lebih tahu daripada Pembangkang“. Ini menunjukkan apa yang mereka tahu tidak memadai, malah mereka perlu berusaha seolah-olah mereka TIDAK TAHU! Kerana itulah yang pembangkang lakukan kerana mereka tidak tahu yang mereka boleh menang atau tidak. Sedang BN terlalu ramai yang SEOLAH-OLAH TAHU yang mereka boleh menang, sedangkan mereka berada di ambang kekalahan!
Prof. Madya Shaharudin pula menganalisis dari faktor calon. Menurut beliau calon yang diletakkan oleh PAS iaitu Abd Wahid Endut lebih mesra rakyat berbanding calon BN. Tidak hairanlah kita mendengar komentar daripada Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa, “Najib bukanlah faktor kekalahan, tetapi faktor ’candidate’ (calon) yang telah memenangkan PAS“. Kita boleh melihat Parti PKR, DAP dan PAS sendiri bekerja sangat kuat sehingga ke saat akhir pembuangan undi. Senator Tan Sri Muhammad bin Muhd Taib pula menambah, bahawa BN perlu belajar dari kekalahan ini dan menilai semula kerana berkemungkinan BN tidak mengambilkira isu yang sebenar ketika berkempen, dan ini mengakibatkan banyak isu yang sepatutnya diambil perhatian terbiar begitu sahaja tanpa diambil berat oleh BN.
Prof. Dr Agus lebih menarik lagi dengan meletakkan sebahagian daripada faktor kekalahan kepada pihak media. Media digunakan tanpa henti untuk menggerakkan kempen. Media menjadi medan menghunus pedang tanpa memberi peluang pembangkang menjawabnya. Malahan ini juga menjadi faktor kepada kekalahan beberapa Negeri di dalam PRU ke 12 yang lalu. Politik yang sebegini membosankan pengundi. Pengundi mahu diberi peluang yang adil untuk menilai dan mendengar hujahan kesemua pihak sebelum membuat keputusan di pusat mengundi. Apabila ini tetap tidak berubah, maka pengundi lebih gemar mendengar orang yang “menjawab“ daripada orang yang “bertanya“ tadi. Kerana, ternyata orang yang menjawab tadi mengutarakan jawapan yang lebih bijak daripada soalan yang ditanya meskipun mereka tidak pernah pun mengambil peduli soalan yang ditanya.
Di akhir sekali, saya menilai bahawa ketara kelihatan wujudnya jurang di antara UMNO negeri dengan UMNO bahagian dan malah, lebih jauh lagi dengan UMNO Cawangan. Ini adalah faktor terpenting kekalahan BN (saya rasa). Ini boleh dilihat, kempen yang dijalankan di kebanyakan peti undi kelihatan benar-benar tidak bermaya. Apa sebenarnya yang berlaku, hanya mereka yang saya sebutkan tadi tahu tentang apa yang berlaku antara mereka. Apa pun, sekadar tahu, tidak membantu. Malah mereka perlu berusaha memperbaiki senario ini agar dapat memastikan UMNO dan Barisan Nasional akan kekal relevan sebagai Parti yang stabil dan menjaga keamanan dan kemakmuran negara.
Akhir kata, tahniah buat PAS, buat BN pula, belajarlah dari kesilapan dan kekalahan ini. Di sini kita hanya boleh bersetuju, bahawa pilihanraya tersebut membuktikan proses pemilihan pemimpin secara demokrasi masih kekal subur di dalam negara kita.
1 ulasan:
Semoga semua wakil rakyat selepas ini menjalankan tugas dengan lebih baik. Rakyat menilai bukan hanya memerhati.
Dan satu lagi, semoga semua YB-YB dapat jaga kesihatan dengan lebih baik =D Gurau je...
amnikhassim.com
Catat Ulasan