Ahad, 27 September 2009

Pertandingan Pidato Terbuka Kolej MARA & Kolej Profesional MARA!!

Satu pertandingan Pidato bersempena Hari Kebangsaan telah diadakan di Kolej MARA Banting, Selangor pada 27 September 2009 bersamaan dengan 8 Syawal 1430 Hijrah. Walaupun suasana Syawal masih dirasa namun ini tidak menghalang pertandingan ini daripada diadakan. Pertandingan telah dijalankan di Dewan Besar Kolej MARA Banting. Pertandingan ini telah disertai oleh 9 peserta yang mewakili Kolej MARA dan Kolej Profesional MARA dari seluruh pelusuk tanah air. Pertandingan ini disertai oleh:
1. Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)
2. Noralini (KPM Seri Iskandar)
3. Nor Hidayat (KPM Beranang)
4. Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)
5. Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)
6. Mohd Hanif (KM Banting)
7. Siti Yusfa Azwa (KM Kulim)
8. Abdul Rahim (KM Kuala Nerang)
9 Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)


Pertandingan ini telah diadili oleh Saudara Syamsul Amri Hj Ismail (Presiden ADAM) dan Saudara Hanif Osman (Ahli MT ADAM). Johan pertandingan ini telah disandang oleh Mohd Hanif daripada KM Banting dengan 162 markah. Hanif menyampaikan pidato bertajuk "Satu Suara Satu Hati : Keranamu Malaysia". Tempat kedua pula disandang oleh Idris Mohd Asri daripada KPM Indera Mahkota dengan 150 markah. Beliau membawakan tajuk "Wawasan Asas Kemajuan". Manakala di tempat ketiga pula disandang oleh Nor Hidayat yang mewakili KPM Beranang dengan tajuk pidato nya "Bangsa Tegas Negara Teguh". Tahniah diucapkan kepada yang berjaya, dan kepada yang tewas cuba lagi di masa yang akan datang, mudah-mudahan anda semua beroleh kejayaan. BERITA DILAPORKAN OLEH : EDITOR





Para penonton sudah mulai masuk ke Dewan menantikan Pertandingan Pidato dimulakan
Pentas yang bakal menjadi medan pertandingan sebentar lagi
Peratndingan Pidato Bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke - 52
Pertandingan ini diadili oleh Sdr. Syamsul dan Sdr Hanif, nama yang tidak asing dalam dunia Pidato dan Debat IPT
Peserta Pertama; Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)
Noralini (KPM Seri Iskandar)
Nor Hidayat (KPM Beranang)
Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)
Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)
Mohd Hanif (KM Banting)
Siti Yusfa Azura (KM Kulim) Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)


******************************************************************************


KOMENTAR HAKIM
================


Bagi peserta pertama, penggunaan fakta yang kurang. Terdapat penggunaan perkataan yang tidak betul diksi dan sebutannya. Contohnya "Lautan Atlantik" tetapi disebut "Atlantif". Ada disebut tentang Pasaraya Carrefour, Tesco, tentang TM yang membuat usahasama dengan Jepun dan Australia, namun tidak dihuraikan menjadikan penyampaiannya 'kelabu'. Kebanyakan isi tidak dihuraikan. Pemidato ini kelihatan kurang bersedia dengan penyampaian yang tersekat-sekat. Ini banyak memberi kesan dari segi pemarkahan. Kematangan isi juga terdapat kelonggaran kerana pemidato ini hanya menyampaikan pidato tanpa penghuraian yang jelas serta perkaitannya dengan tajuk tidak pula diperincikan.

Bagi peserta kedua, muqaddimah berbunga yang terlalu panjang, menyebabkan lewat tiba kepada isi. Penyampaiannya menarik dan kelihatan lancar namun, agak ketara teknik penghafalannya. Namun, itu tidak menjadi masalah, cuma penyampaiannya agak selanjar dari segi nada dan gaya suaranya, menyebabkan pidatonya menjadi biasa sahaja. Ada juga penggunaan kata kurang sesuai seperti "slogan propaganda 1 Malaysia". Jika "Slogan 1 Malaysia" mungkin sesuai. Namun dengan penggunaan "propaganda" menjadikan ayat itu kurang sesuai memandangkan biasanya "propaganda" biasanya digunakan dengan maksud negatif. Namun saya yakin peserta kedua ini boleh pergi lebih jauh jika diperbaiki teknik pidatonya. Begitu juga penggunaan "Sense of Belong" yang sepatutnya disebut sebagai "sense of belonging". Sekali lagi, hanya penyampaian huraian karangan tanpa ditunjukkan dengan jelas perkaitannya dengan tajuk.

Peserta ketiga; seperti biasa, banyak membuang masa dengan introduction. Terlalu panjang, tiadanya ringkasan (outline) tentang apa yang bakal disampaikan. Sedangkan ini lah dia teknikal penting dalam pidato. Ada sedikit penghuraian tentang Konsep 1 Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969, tetapi langsung tidak dikaitkan semula dengan tajuk yang disampaikan melalui penegasan disetiap tamat penghuraian setiap isi.

Peserta Keempat; Memiliki gaya yang sangat disenangi hakim, kelihatan agak "jantan" apabila berpidato. Cuma apabila sampai kepada isi, pemidato ini kelihatan terikat kepada teks pidatonya yang seolah-olah dibuat-buat penyampaiannya tanpa si pemidato memahami apa yang disampaikannya sendiri. Teknik 'gap' ketika menelan air liur juga kelihatan agak ketara yang sedikit mengganggu persembahan. Ada juga perkataan kurang sesuai digunakan seperti "tergelumang" yang sepatutnya "bergelumang".

Peserta Kelima; terdapat penggunaan ayat kurang sesuai sebagai contoh "bila-bila, mana-mana dan siapa-siapa pun yang ....". Memanglah seolah menarik perhatian bunyinya tetapi penggunaan yang salah tetap salah. Maka perlulah diperbaiki dari aspek ini. Isi kandungan yang dilontarkan juga kurang kemas dan agak berkeliaran (tanpa fokus) kepada tajuk. Namun permulaan peserta ini nampak kemas cuma apabila tiba kepada point-point yang ingin diutarakan, pemidato tiba-tiba 'blank' atau 'blackout' dan tercari-cari isi yang telah dicatat dalam nota yang dibawanya bersama di atas pentas. Inilah faktor yang menggagalkan kelancaran persembahan awal pemidato tadi. Barang diingat, apabila seseorang pemidato memegang nota ditangan, walau sekecil mana, walau tidak dirujuk sekali pun sehingga ke loceng penamat, sebenarnya ini melambangkan pemidato tidak yakin dengan isi yang bakal dipersembahkan.

Peserta keenam; Postur badan yang agak membelakang. Mengakibatkan apabila tangan dilapangkan ke bawah kelihatan seolah-olah terlentang. Itu dari sudut gaya. Cuma saya memuji dari segi kekemasan persembahan. Adanya outline iaitu penerangan ringkas tentang apa yang bakal disampaikan. Cuma di bahagian penutup tidak pula dinyatakan apakah yang telah disampaikan. Dan masalahnya, pemidato ini kemas namun, hanya membawakan dua isi. Walaupun berselirat, dua tetap dua. Dalam masa lapan minit, pemidato sebolehnya membawakan 4 atau 5 isi. Itu sebaiknya. Ada juga analogi yang gagal dikesan berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan. Katanya "Ah Meng sebagai penggubal, Raju sebagai penyokong dan Ahmad sebagai Pelaksana..." Kata-kata ini kurang sampai maksudnya. Apakah Ahmad sahaja yang akan melaksanakan Bahasa Kebangsaan ini. Dan yang lain hanya sebagai penyokong dan penggubal. Tidak tepat rasanya penyampaian sebegini. Perlu lebih pembacaan dan menghalusi isi.

Peserta Ketujuh; Tidak perlu dikomen banyak, cumanya, masalah ketara seolah pertandingan membaca. 98% persembahan adalah dengan membaca Teks. Tanpa perlu memujuk audien supaya mendengar. Kesimpulan untuk peserta ini perlu ubah cara penyampaian, dan lebih bersedia di masa hadapan.

Peserta Kelapan; Hujah dipersoalkan kerana tiada tag line yang jelas. Tiada huraian yang kena mengena secara langsung. Kelancaran tersekat-sekat. Dan penyampaian TERLALU laju. yang saya puji beliau berupaya menyampaikan sehingga 5 isi, tetapi penyampaian yang tidak kemas, tidak teratur lebih membayangi keseluruhan persembahannya. Isikandungannya diolah dengan keratif serta bait-bait ayat yang menarik cuma itulah.... ketidaklancaran, ketidak aturan lebih ketara di dalam persembahan pemidato ini. Jika pemidato ini lebih tenang dan relaks mungkin, keputusan hari ini boleh berubah.

Dan akhirnya peserta kesembilan. Persembahannya agak lemah, diksi serta sebutan yang yang dilontarkan agak kurang tepat dan tidak betul. Persembahan dan gaya nada suara mendatar dari mula hingga ke akhir dan kelihatan seolah tidak menguasai isi yang ingin disampaikan. Sehinggakan ada pernyataan yang dipersoalkan perkaitannya, sebagai contoh " Sesungguhnya Nasionalisme mewujudkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang". Sedangkan tajuk yang disampaikan menuntut beliau menghuraikan tentang "Nasionalisme Teras Perpaduan" dan tidak pula dihuraikan perkaitannya dengan tajuk. Mungkin maksud pemidato ini ialah apa bila generasi cemerlang, gemilang dan terbilang barulah perpaduan dapat diwujudkan. Mungkin begitulah agaknya... namun tidak dihuraikan maka tidak sampailah maksud keinginannya. Namun jikalau diukur dari segi sorakan penonton, mungkin pemidato terakhir ini paling menarik perhatian.

Secara keseluruhannya terdapat tiga aspek utama yang perlu diambil perhatian:

Pertamanya; gaya persembahan, janganlah terlalu ketat atau formal seperti pidato budak-budak sekolah. Biarlah lebih santai (tapi jangan terlalu). Jangan amalkan konsep menghafal. Kerana faham itu lebih baik daripada hafal tetapi tidak faham.

Keduanya; Teknikal. Ingat aturannya;

a) Introduction
b) Alu-Aluan
c) Tajuk
d) Definisi
e) Outline Isi
f) Isi (Setiap isi mestilah Lengkap dengan Tagline, Contoh, Fakta dan Analogi)
g) Kesimpulan (berserta dengan huraian ringkas berkenaan apa yang telah disampaikan tadi - secara ringkas!)
h) Penutup yang menarik supaya penonton tidak lupakan kita.

Teknikal ini menekankan rukun konsep pengucapan awam iaitu:


a) Beritahu APA yang ingin kita sampaikan
b) SAMPAIKAN; dan
c) Beritahu APA yang telah kita sampaikan.


Dan yang ketiga; Sebolehnya janganlah bawa teks di atas pentas. Walau sekecil manapun, kerana apabila nota ada di tangan kita, sampai bila pun kita tidak akan yakin untuk membuat persembahan dengan baik percayalah. Pengalaman saya di dalam bergelumang dengan kejuaraan Pidato sejak dahulu sehinggalah ke kejayaan anak-anak didik saya kini banyak mengajar saya akan hal ini. Percayalah, jika anda ingin pergi lebih jauh lagi ingatlah bahawa "Untuk berjaya, ubahlah pendekatan anda". Yang berjaya bukanlah kerana anda terlalu baik, cuma yang lain mungkin lebih kurang baik daripada anda. Namun apapun ia tetap satu permulaan yang baik. Tahniah kepada yang berjaya mahupun yang belum berjaya.


Sekian dan Salam Aidil Fitri buat semua.



Ulasan Hakim ini diilhamkan menurut pandangan:









Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Selasa, 22 September 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430 Hijrah

Di kesempatan ini, saya bersama-sama Isteri dan anak-anak saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430 Hijrah buat semua rakyat Malaysia serta semua pihak yang telah mengikuti Blog ini sejak awal kelahirannya. Begitu juga buat kesemua pihak yang tidak henti-henti dan jemu mengemukakan pandangan serta teguran demi pembangunan berterusan dunia pemikiran yang serba kritis dan membina ini. Buat semua pendebat, teruskan usaha anda untuk menjadi pendebat-pendebat yang hebat, insya Allah dengan usaha berterusan pasti anda mampu beroleh kejayaan. Insya Allah.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir & Batin
Ikhlas
Syamsul Amri bin Hj Ismail, Isteri serta Anak-Anak

Isnin, 7 September 2009

7 Wasiat Raja-Raja Melayu - Presiden ADAM

Selasa, 8 September 2009 / 19 Ramadhan 1430 Hijrah
Assalamualaikum dan salam sejahtera kesemuanya....
Hari ini saya kembali lagi bertemu anda, dalam kesibukan semua pihak berbicara soal perpaduan Melayu serta betapa alpa nya Melayu, saya turut sama terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua tentang "Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu". Saya akan berkongsi dengan anda semua teks titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika di Majlis Pelancaran Karya-Karya Terpilih Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009. Teks titah ini saya kongsikan sejajar dengan Bulan Oktober yang bakal tiba merupakan bulan Bahasa Kebangsaan.
Berikut merupakan teks titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah...
"Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas seterusnya meneyempurnakan pelancaran karya-karya terpilih tulisan Allahyarham yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak buat kali ketiga.
Tiga karya tersebut adalah pemerhatian kupasan Allahyarham yang bertajuk Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi.
Seminar ini berlangsung dalam dua persekitaran yang sangat signifikan. Persekitaran pertama: persekitaran masa kerana seminar ini diadakan dalam suasana negara bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-52. "Kemerdekaan" itu mempunyai pelbagai erti dan terdedah kepada pelbagai fahaman.
Zurinah Hassan dalam puisi beliau berjudul Kemerdekaan mengingatkan bahawa "Kemerdekaan" bukan sekadar gegak gempita menurunkan bendera Union Jack atau perbarisan raksasa dan kibaran jalur gemilang pada tiang tertinggi dunia. "Kemerdekaan" itu sewajarnya mengingatkan kita kepada nama-nama Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato' Sagor, Ngah Jabur, Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tunku Kudin dan ratusan orang patriot yang tidak bernama, bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga yang termahal demi kemerdekaan negara.
"Kemerdekaan" itu sangat besar pengertiannya dalam pemikiran, pendirian, dan amalan harian Syed Hussein Alatas kerana beliau itu sendiri merupakan nama atas batang tubuh yang berumahkan jiwa merdeka. Jiwa merdeka yang memiliki minda yang teguh berpegang pada prinsip kebebasan berfikir. Prinsip kebebasan berfikir yang dijadikan kompas penting memandu arah kehidupan beliau di samping berusaha untuk menjadi nakhoda membantu pemikiran bangsanya dalam melayari lautan hidup yang penuh gelora.
Gelombang perjuangan kemerdekaan senantiasa berombak di dadanya, demi memastikan terbinanya warga merdeka - bangsa merdeka di atas bumi yang diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka.
Jiwa merdeka dan minda merdekanya berlabuh dengan identiti bangsa -bersauh dengan syariat agama terus menuntut kepada keadilan sosial, supaya kemerdekaan itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran serta kebahagiaan agar bangsanya tidak tertindas lagi dalam bentuk perhambaan baharu.
Dalam persekitaran menyambut ulangtahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnyalah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpadam daripada sejarah.
Sesungguhnya tarikh 5 Ogos, tarikh berlangsungnya Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas merupakan tarikh keramat, tarikh yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara bangsa di tanah air yang bernama Tanah Melayu.
Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan orang Raja-Raja Melayu sebagai raja pemerintah dari empat buah "Negeri Melayu Bersekutu" dan lima buah "Negeri Melayu Tidak Bersekutu" memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat 7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU yang berbunyi:
'Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kami bersatu padu dan berpegang teguh padanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera. Tujuh perkara itu ialah:
* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
* Bagi menjaga kamu dan melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
* Kami isytiharkan Islam sebagai agama persekutuan.
* Kami tetapkan bahasa kebagsaan ialah bahasa Melayu.
* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).'
Wasiat ini ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja Melyau serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu.
Fasal-fasal tersebut ialah Perkara 3(1),(2),(3) dan (5), Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38(5), Perkara 152, Perkara 153, dan Perkara 181(1). Semua fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
Persekitaran kedua; persekitaran tempat bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan antara gelanggang awal pemikiran Syed Hussein mengatur tapak seorang pendekar - memencak langkah seorang kesatria.
Bahawa DBP memiliki sejarah penting melaksanakan amanah memenuhi salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu iaitu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP pernah merakamkan sejarah Peristiwa Keranda 152.
Syed Hussein Alatas; idea dan pemikirannya terus menjadi rujukan sehingga kini

Di tapak bangunan lama DBP pada 3 Mac 1967, lebih daripada 2000 orang mewakili 120 pertubuhan Melayu berhimpun. Perhimpunan tersebut diingati sebagai peristiwa "api" dan "air mata", peristiwa yang merakamkan kemarahan dan kesedihan bangsa terhadap kurang ketegasan pimpinan politik negara untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Peristiwa Keranda 152; memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.


DBP ialah institusi bangsa untuk menjamin kedaulatan bahasa. Semua Raja Melayu berangkat di Majlis Perasmian Bangunan DBP melambangkan sokongan padu Duli-Duli Yang Maha Mulia itu kepada DBP agar melaksanakan secara tegar salah satu daripada tujuh wasiat Baginda Raja-Raja Melayu.

Betapa kebetulannya acara untuk memperingati seorang tokoh yang mencipta sejarah ini berlangsung dalam dua persekitaran yang amat bersejarah; persekitaran tempat. Demikian resam orang berjasa - kematiannya meninggalkan nama untuk terus dimuliakan.

Syed Hussein Alatas menghembuskan nafas terakhir untuk menyahut panggilan Ilahi pada hari Selasa, 23 Januari 2007, bersamaan 3 Muharram 1428 Hijrah. Padamlah satu kandil gemerlap - pelita jendela pada malam gelap. Tertutuplah mata yang senantiasa memerhatikan kenyataan dan kelulah lidah yang sering mengucapkan kebenaran.

Sepanjang hayat, Syed Hussein Alatas menyinarkan suria kepada bumi negaranya sepanjang kehidupan, beliau memancarkan cahaya penyuluh pemikiran bangsanya. Sudah dua tahun lapan bulan, jasad Syed Hussein Alatas diistirahatkan di liang lahad, namun pemikirannya tidak dikuburkan bersama jasadnya.

Malah pemikirannya terus hidup dan memberikan nafas kehidupan, pemikirannya terus menjadi bahan kajian, bahan renungan, bahan rujukan dan bahan sandaran. Oleh sebab itu para sarjana menyambut seruan untuk hadir ke seminar itu.

Syed Hussein meninggalkan bangsanya - meninggalkan dunia ini, sedikit awal untuk membolehkannya menyaksikan krisis ekonomi dunia yang menderitakan kehidupan jutaan insan. Beliau menghembuskan nafas terakhir sedikit awal untuk menyaksikan harga politik yang perlu dibayar oleh bangsanya setelah berlangsungnya Pilihanraya Umum (PRU) ke-12.

Krisisi ekonomi dunia berpunca daripada salah pengurusan kewangan dan senario politik domestik selepas PRU ke-12 merupakan harga yang perlu dibayar oleh negara, beban yang perlu ditanggung oleh bangsa kerana terus melakukan perkara yang sudah lama diberi peringatan oleh Syed Hussein Alatas dan kumpulan yang memiliki keselarian fikiran dengan beliau.

Sepanjang hayat hidupnya, Syed Hussein terus menyuarakan betapa pentingnya diiktiraf pandangan kumpulan intelektual yang memiliki daya lihat dari perspektif yang lebih luas lagi menyeluruh yang harus dibezakan dengan kumpulan inteligensia, beliau menganggap masalah umum yang keterbelakangan berpunca daripada masalah pengagihan pendapatan dan pembangunan ekonomi.

Beliau menghuraikan kejijikan rasuah, kurang kemurnian mencantumkan perniagaan dan politik, serta masalah yang dihadapi oleh kerajaan di Dunia Ketiga yang terlalu asyik mengamalkan rasuah hingga menghambat kemajuan.

Banyak orang yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memerangi rasuah adakalanya digemakan lebih nyaring dalam kalangan orang yang tidak bebas daripada melakukannya lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan.

Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur, rakyat melarat. Rasuah terus merebak baik di negara sedang membangun, dan tidak ketinggalan di negara maju.

Rasuah berlaku di dalam istana, dalam sektor awam, dalam sektor swasta, dalam institusi politik, dalam kalangan organisasi beruniform, malah tidak terkecuali dalam badan agama.

Rasuah ialah candu yang amat mengasyikkan, lebih mengkhayalkan, kerana yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah. Rasuah menghidupkan semula budaya perhambaan, dilindungi kosmetik yang memberikan kecantikan dan keriangan palsu kepada pengamal.

Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram. Rasuah merupakan instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri sesorang insan yang terjebak dengannya.

Demikianlah kotor dan jijiknya rasuah, ironinya semakin banyak orang yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya. Malah mendapatkannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas daripada undang-undang dan hukum dunia.

Usaha DBP menganjurkan seminar "Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas" serta terus mengulangi penerbitan karya Allahyarham adalah usaha yang layak diberikan penghargaan. DBP perlu meneruskan tanggungjawab dan memenuhi amanah untuk menyediakan santapan secukupnya untuk memastikan minda bangsa mendapat cukup bekalan bahan pemakanan intelek.

Dalam memastikan bangsa tidak terputus dengan akar sejarah, Beta suka menyarankan untuk DBP menerbitkan semula tulisan yang dihasilkan pada era pra dan pasca kemerdekaan yang berjaya menyuntik semangat kebangkitan bangsa. Beta mendengar bahawa Allahyarham Ishak Hj Mohamad semasa hayatnya menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi sehingga hari ini, Beta sendiri tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku tersebut.

Bahan bacaan seperti itu amat penting bukan sahaja diterbitkan semula tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di perpustakaan pengajian supaya generasi muda tidak lupa sejarah dan salasilah bangsanya. Beta percaya negara memiliki himpunan khazanah sejarah yang hari ini tertimbus dan terkubur ditelan waktu.

Dalam hasrat membina modul Satu Malaysia, usaha cari gali khazanah sejarah yang berperanan membina semangat kemerdekaan dan semangat penyatuan sama ada dalam bentuk buku, penulisan, memoir, catatan, ucapan, puisi dan prosa wajib dilakukan.

Hari ini, generasi selepas Beta, hanya mengenali nama-nama seperti Za'aba, Aminuddin Baki, Burhanuddin al-Helmy, Abu Bakar al-Baqir, Zulkifli Mohamad, Mohd Asri Haji Muda, Dr. Ismail Abdul Rahman, Panglima Bukit Gantang Wahab, Abdul Rahman Yaacob, Ahmad Boestamam, Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, harun Idris dan banyak lagi nama nasionalis bangsa.

Burhanuddin Al-Helmy, Harun Idris, dan Ishak Haji Mahamad antara tokoh yang pemikirannya perlu disebarluas kepada umum.



Namun, generasi Beta sendiri majoritinya tidak berpeluang untuk mengikuti, mendalami, dan memahami asas pemikiran mereka kerana bahan bertulis dan cetak yang ada, begitu terbatas, hanya dapat diakses oleh para penyelidik yang melakukan kajian di peringkat pascaijazah.
Maklumat tokoh bangsa dan sumbangan pemikiran mereka hendaklah dijadikan bahan yang boleh sampai kepada massa yang lebih ramai. Jika usaha tidak segera dirintis, terkuburlah khazanah bangsa yang sahih dan berlakulah pengubahsuaian terhadap fakta sejarah di kemudian hari menurut kesesuaian dan kehendak kumpulan politik yang memiliki kuasa ketika itu.
Kepada keluarga Syed Hussein Alatas, negara dan bangsa amat terhutang budi atas peranan sampingan mereka yang memberikan kekuatan kepada Syed Hussein Alatas untuk berjaya meninggalkan satu legasi.
Semoga sehala jasa dan pengorbanan Syed Hussein diterima sebagai amar makruf, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin. Sama-samalah kita bacakan surah Al-Fatihah dan sebarang ganjaran dari bacaan tersebut, semoga diterima Ilahi lalu disampaikan kepada roh Allahyarham Syed Hussein Alatas."
Dengan demikian diharapkan kesemua pembaca beroleh manfaat daripada artikel khas yang disiarkan ini. Harus direnungkan, betapa pentingnya kita menghargai sejarah malahan tidak pernah cuba untuk melupakannya. Semoga kita menjadi bangsa yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan serta penguasaan di dalam sejarah. Mudah-mudahan.
Disediakan oleh:
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

p/s: Rasanya elok kita hayati semula 7 wasiat Raja-Raja Melayu supaya Melayu hari ini tidak lupa diri hanya dek kerana kepinginkan sokongan politik semata-mata hingga sanggup mengorbankan amanah yang telah diwasiatkan!

Ahad, 6 September 2009

Etnik Uighur Menangis Tanpa Bantuan Dunia Islam!


Pertumpahan darah di Xinjiang baru-baru ini tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa. Banyak juga negara yang mengambil sikap membisu tidak seperti yang berlaku di Tibet sebelum ini. Perjuangan dan penindasan yang dialami oleh umat Islam Uighur bukan baru. Sudah berlanjutan hampir lima dekad dan mungkin juga ramai yang tidak tahu wujudnya komuniti Islam yang besar di wilayah terpencil di Asia tengah ini sehinggalah tercetusnya rusuhan berdarah baru-baru ini.


Ke mana hilangnya suara dunia dalam isu ini? Hanya Turki yang lantang bersuara. Perdana Menteri Racip Tayyip Erdogan menyifatkannya sebagai 'genocide'. Ribuan rakyat Turki berarak membantah layanan buruk kerajaan China terhadao etnik Uighur. Sokongan dan kecaman Turki bersebab. Turki dan etnik Uighur mempunyai hubungan daripada segi bahasa dan budaya. Tetapi bagi negara-negara Islam lain kebanyakannya memeilih sikap membisu, menganggap konflik etnik di wilayah Xinjiang adalah masalah dalaman China dan China berkuasa penuh untuk menyelesaikannya.
Golongan wanita Uighur yang turut sama berjuang menghalang kemaraan angkatan tentera bersenjata China



Tidak seperti biasa, kali ini hampir tidak kedengaran langsung suara-suara menghentam dan mengutuk tindakan Beijing. Tidak ada tindakan atau perbuatan membakar bendera China. Jika ada pun, hanya suara-suara dari kumpulan-kumpulan pembangkang.


Selain Turki, Iran juga agak lantang dalam soal ini. Tetapi pendirian itu bukannya datang daripada pihak kerajaan sebaliknya daripada kumpulan pembangkang. Laman web Tabnak - yang disokong oleh pemimpin konservatif Mohsen Rezai - menuduh kerajaan Iran bersikap hipokrit dalam isu ini. Beliau memberikan contoh di mana ketika Israel menyerang Gaza, radio dan televisyen negara menyiarkan laporan dan analisis tanpa henti tentang pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Gaza - tetapi tidak dalam isu membabitkan umat Islam Uighur.Golongan Wanita Uighur sememangnya punya semangat juang tinggi berjuang demi mempertahankan bumi Islam

Sikap membisu kebanyakan negara Islam termasuk Pakistan dan Iran, di lihat lebih menjaga kepentingan hubungan dua hala yang saling memerlukan. Begitu juga dengan kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang juga menganggap isu ini sebagai masalah dalaman China. Sikap membisu Pakistan dalam banyak bersangkut paut dengan hubungan baik kedua-dua negara terutama dari segi perdagangan dan aspek keselamatan. Ini kerana China dan Pakistan berkongsi sempadan dan berdepan dengan masalah serupa iaitu ancaman daripada puak pelampau.


Begitu juga dengan Iran kerjasama dan hubungan baik kedua-dua negara banyak didorong oleh bantuan dan sumbangan Beijing kepada Teheran dalam membangunkan teknologi nuklear negara itu.
Lihatlah wajah 'penderitaan' kaum wanita Uighur dan kanak-kanak yang tidak berdosa di celah-celah keganasan puak tentera China



Mungkin kerana kedudukan dan pengaruh China hari ini sebagai suatu kuasa ekonomi yang baru, membuatkan banyak negara memilih untuk bersikap berdiam diri. Kita boleh lihat dalam isu membabitkan Taiwan. Sehingga kini tidak ada mana-mana negara yang berani untuk mengiktiraf Taiwan semata-mata kerana ancaman dari Beijing dan dasar 'satu China' yang menjadi pegangan.


Sikap membisu masyarakat antarabangsa ini nyata mendorong aktivis Uighur, Rabiya Kadeer untuk mendedahkan kepada masyarakat antarabangsa tentang apa sebenarnya berlaku di Xinjiang dan nasib yang dialami etnik Uighur.


Mungkin juga apa yang Rabiya pernah katakan sebelum ini, propaganda Beijing yang berjaya menggambarkan imej etnik Uighur sebagai ernik yang condong kepada budaya Muslim Barat, Muslim yang moden dan bukannya Muslim yang tulin tidak mendorong dunia Islam datang membantu. Beijing juga berjaya menggambarkan etnik Uighur sebagai kumpulan pemisah.


Sejak peristiwa 11 September, Beijing mula mengaitkan pejuang pemisah Uighur dengan Al-Qaeda dan menuduh mereka menerima latihan dan mendapat pendedahan daripada pejuang radikal Islam di Afghanistan walaupun tidak ada bukti yang kukuh. Sejarah etnik Uighur menuntut kemerdekaan berlalu sejak empat dekad lalu dan cita-cita menubuhkan republik Turkestan Timur itu masih dipelopori oleh aktivis dan pemimpin politik termasuk di kalangan pejuang bersenjata Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM). Selain Rabiya, kumpulan ini juga berada pada senarai teratas sebagai dalang.


Terdapat laporan di mana lebih 10,000 pejuang Uighur kini berada di Pakistan dan menuntut di madrasah-madrasah serta menerima latihan dan direkrut oleh Lashkar-i-Taiba dan Hizbul Mujahideen untuk berjuang di Kashmir. Dan bukan sesuatu yang mustahil mereka ini akan kembali ke Xinjiang untuk meneruskan usaha menentang penguasaan etnik Han di tanahair mereka.


Adalah tidak adil bagi China menuding jari kepada tiga puak yang disifatkan oleh Presiden Hu Jintao sebagai dalang iaitu kumpulan pelampau agama, kumpulan pemisah dan pengganas. Hakikatnya dasar 'go west' yang dipelopori oleh bekas pemimpin komunis China, Mao Zedong untuk membawa masuk etnik Han ke wilayah itu sekitar 1960-an gagal untuk memberi keadilan kepada etnik Uighur.



Statistik pada tahun 1949, Uighur merupakan majoriti dengan membentuk sebanyak 76 peratus daripada penduduk Xinjiang dan jumlah etnik Han ketika itu hanya sekitar 6 peratus. Kini jumlah mereka mencecah sehingga 40 peratus - hampir menyamai bilangan etnik Uighur. Sebagai pendatang mereka menguasai segala-galanya terutamanya ekonomi sehingga membuatkan etnik Uighur terpinggir di tanahair sendiri, ditindas dan didiskriminasikan dalam segala aspek kehidupan.

Disediakan oleh
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)


p/s: Orang-orang Melayu rasanya perlu segera belajar menerusi sejarah lama dan peristiwa semasa ....