Selasa, 1 September 2009

Falsafah Cinta Mat Motor .... - Presiden

Bergaul dengan remaja membuatkan kita boleh terserempak dengan banyak keadaan yang menuntut kita berfikir panjang. Terkadang kita bertembung dengan satu dua pertanyaan yang mencabar pemahaman kita mengenai persepsi agama menerusi Al-Qur'an dan Al-Hadith. Remaja seringkali dikaitkan dengan aktiviti lumba motor haram atau lebih dikenali sebagai gejala Mat Rempit. Fenomena ini wujud sudah begitu lama sebenarnya. Hanya kini hal ini disensasikan.

Saya amat setuju dengan pandangan bahawa gelaran 'Mat Rempit' merupakan satu bentuk penghinaan ke atas anak-anak muda ini. Semasa saya bersekolah dulu, jenis ini digelar dengan gelaran 'Mat Motor' sahaja. Istilah 'rempit' ini menunjukkan remaja itu seperti nakal. Padahal mereka dinakalkan oleh keadaan. Betul juga pandangan ini, sebelum ini pernah seorang 'mat motor' yang saya temui menyatakan hal yang sama, di mana mereka membawa motor secara berbahaya ini ada kaitannya dengan suasana persekitaran.

Benarkah 'rempit' ini disebabkan oleh faktor persekitaran?

Mat Motor ini menyatakan contoh di dalam sukan permotoran atau lumba kereta Formula One yang disiarkan secara langsung di televisyen dan akhbar perdana pula memberikan liputan meluas mengenainya.

"Apa yang menarik tentang sukan itu ialah, kaum wanita yang mendampingin juara sukan lumba motor dan kereta itu memang cantik. Jadi kami hanya pindahkan hal itu ke dalam realiti kehidupan kami," jelas mat motor tadi kepada saya. Beliau bersungguh-sungguh menyatakan bahawa segala yang mereka lakukan itu adalah terjemahan langsung daripada suatu gambaran yang dilakukan oleh pihak pemilik media termasuk kalangan pihak berkuasa sendiri.

"Kita boleh lihat bagaimana pihak atasan sendiri mengesahkan kewujudan sukan itu di mana, semua wanita itu dibiarkan berpakaian seksi. Jadi, kaum wanita itu memang menjadi sesuatu barangan yang dipertaruhkan sebagai tontonan. Jika wanita itu bukannya satu pertaruhan, sukan itu sepatutnya dimansuhkan ataupun sukan itu diwujudkan tanpa pembabitan wanita seksi", katanya lagi.

Saya menolak andaian beliau, bahawa sukan itu menjadikan wanita sebagai kaum yang dipertaruhkan. Hujah saya, apabila nama pemenang telah diumumkan, maka bukan wanita yang diberikan kepada pemenang itu, sebaliknya mereka menggondol hadiah. Wanita cuma perhiasan. Ia bukanlah diberikan kepada pemenang itu untuk ditiduri mereka. Demikianlah saya berhujah kepada mat motor itu tadi.

Wanita dipergunakan di dalam setiap perlumbaan. Tiadakah yang sedar?

"Awak silap!" balas mat motor itu tadi. "Cuba anda perhatikan bagaimana wanita dipergunakan lalu mereka disuruh bergambar bersama pemenang perlumbaan itu?"

Saya termenung sejenak. Memang saya tidak menyangka, sejauh itu mereka telah merenung hakikat sukan permotoran dan lumba kereta. Kalau kita pernah menonton filem Fast and Furious yang dahpun sampai ke 'sequel' yang keempat, hal keseksian wanita diperalatkan, dipergunakan dan dipertaruhkan ... itu memang lebih jelas ketara.

Jika kita boleh mengambil paradigma mat motor itu tadi, sebagai cara berfikir mewakili paradigma mat motor secara majoritinya, maknanya pihak berkuasa sendiri sedang menaja kegiatan 'rempitan' secara tersirat dan secara tidak langsung sebelum ini.

"Kita memang nak tunjuk hebat kepada kaum wanita. Menang dalam perlumbaan itu adalah bertujuan menimbulkan rasa kagum ke atas wanita. Memang wanita akan lebih cenderung meminati kaum lelaki yang handal dalam beberapa segi. Jadi apa salahnya kami beraksi semata-mata untuk menarik perhatian mereka?" mat motor tadi kembali berhujah. Barulah saya faham kenapa mereka menyangkan aksi-aksi dan lagak ngeri di jalan raya itu.
Segala aksi lagak ngeri seperti berdiri di atas motosikal, mencangkung dan semua itu memang didorong oleh suatu keazaman membuak-buak supaya aksi itu dapat menarik perhatian kaum Hawa di sisi mereka.

Sehingga catatan ini ditulis, kita tidak tahu apakah pendirian persatuan-persatuan wanita termasuk Kementerian Pembangunan Wanita sendiri. Adakah mereka sedar yang sukan bermotor atau sukan lumba kereta Formula 1 itu, setidak-tidaknya sedikit sebanyak menyumbang ke arah kebejatan moral mat motor sejak dari dulu lagi.

Tetapi, ada satu perkara lain yang saya kira luarbiasa tentang diri mat motor yang saya temui tadi. Walaupun agak gila motor, tetapi beliau mempunyai cara berfikir yang ada dalam kerangka pemikiran seorang pemikir atau pengkaji. Apakah hal nya ini?

Mat motor berjiwa falsafah seperti inilah yang sepatutnya diangkat menjadi ketua. Ini kerana, mereka ini biasanya memiliki daya tahan tinggi serta mampu 'mendidik' mat motor yang lainnya ke arah nilai yang positif jika kena dengan caranya.

Kita juga tidak tahu, adakah Putera UMNO dalam pengisiannya sebelum ini pernah merancang menaikkan mat motor berjiwa falsafah sebagai ketua seperti yang dilaporkan media. Terkadang kita tertanya-tanya, dalam masyarakat mat motor, bagaimana ketua itu dipilih? Adakah ketua dipilih dengan melihat individu yang lebih handal berlumba?

Mat motor berjiwa falsafah ini, menurut saya ialah, merujuk kepada mereka yang suka berfikir dan aktif bertanya darihal kehidupan dan mempersoalkan sesuatu yang pada mereka adalah batil dan silap. Lalu, mereka cuba mencari dan menyelami apa yang benar sebagai gantian terhadap sesuatu yang mereka anggap batil itu.

Tidak semua mat motor yang suka berpeleseran dan hanya memeikirkan kehidupan yang menyeronokkan semata-mata. Oleh kerana mat motor (yang saya temubual) tadi terdidik dalam acuan agama, dia terus berbual mengenai "sejarah cinta" anbia' yang tidak terjangkau oleh kita.

"Ada beberapa kisah cinta membabitkan nabi-nabi. Yusuf dan Zulaikha, Sulaiman dan Balqis serta Musa dengan isterinya". Kata-kata itu masih berbekas di ingatan saya. Tetapi remaja itu mengakui yang dia tidak dapat memutarkan ayat-ayat al-Qur'an itu bagi mendukung hujahnya. Dia bukan orang terpelajar dalam bidang agama. Hanya, datuknya pernah bercakap mengenai hal cinta para nabi itu dalam al-Qur'an ketika dia masih kanak-kanak. Dan dia cuma menyampaikan hal itu kepada saya sebagai halwa kenang-kenangan di masa lalu. Pun begitu, dia kelihatan seperti ingin mencari jalan pulang. Hanya, remaja sepertinya tidak mampu menahan godaan wanita cantik. Mat motor tadi mengakui hakikat keremajaan yang dilaluinya kini amat kuat hingga dia tidak mampu menepis godaan keseronokan itu.

Kemudian kami pun berpisah. Seolah-olahnya remaja itu memberikan tugasan kepada saya sebagaimana seorang pensyarah memebrikan tugasan kepada seorang mahasiswa dengan harapan hal yang dikongsi bersama saya disebarkan kepada seluruh dunia agar mengetahui hakikat sebenar yang berada di dalam diri mereka. Selepas itu, saya tidak menemui mat motor itu lagi.

Hari demi hari, saya cuba menyemak percintaan tiga nabi yang diperihalkan oleh mat motor itu. Dalam surah Yusuf. Cinta dalam kategori ini ialah cinta berdasarkan syahwat yang mengajak ke arah perzinaan. Disebutkan juga, bahawa manusia jika tiada bantuan Tuhan, nescaya Nabi Yusuf juga turut terjerumus dalam bujuk rayu Zulaikha.

Dalam surah al-Qashash, disebutkan kisah cinta Nabi Musa dengan salah seorang anak Nabi Syuaib yang disifatkan oleh al-Qur'an sebagai 'malu-malu'. Sifat ini tentu juga hadir di dalam hati seorang anak dara yang masih belum biasa dengan pemuda. Akhirnya susuk Musa yang gagah itu dinikahkan dengan anak gadis yang malu-malu itu. Saya melihat, mungkin juga wujud perencanaan oleh anak gadis yang malu-malu tadi untuk menjadikan Musa tinggal bersama mereka, agar Musa boleh dijadikan suaminya.

Akhirnya kisah Sulaiman dan Balqis. Dalam surah an-Naml ini, saya melihat dari aspek lain pula. Walaupun di dalam beberapa ayat di dalam surah ini menyatakan Nabi Sulaiman cuba menunjukkan kebesaran Allah ke atas Balqis, tapi hal kekaguman itu terkait dengan citra cinta juga.

Nabi Sulaiman A.S. dengan izin Tuhan telah mewujudkan rasa kagum dalam hati Balqis ke atas dua perkara; takhta Balqis dalam istana Sulaiman dan lantai marmar yang bersinar bagaikan kolam air rupanya hingga Balqis terpesona kagum kerana kehebatan ciptaan itu.

Akibat kekaguman itu, Balqis akhirnya berkata dalam ayat berikutnya bahawa dia menyerah diri kepada Sulaiman lalu memilih tauhid. Menurut kebanyakan mufassirin yang merakamkan riwayat mereka, Sulaiman dan Balqis akhirnya berkahwin.

Meninjau isi butiran nas dalil inilah saya terkenang semula kepada Mat Motor tadi, iaitu hal menunjuk-nunjuk oleh kaum lelaki itu bertujuan menimbulkan kekaguman pada hati kaum wanita agar mereka tertarik. Dalam kes ini, kita tidak tahu adakah Sulaiman memikat Balqis dengan menunjukkan kehebatannya, sekaligus berniat dakwah juga? Saya bukanlah menyatakan begini atas pemahaman saya, tetapi saya kira beginilah tanggapan yang dipegang oleh Mat Motor tadi.

Syahadan, terkadang guru yang baik bukan sahaja yang berpakaian kemas, bertali leher dan berkot dalam dewan kuliah atau kelas. Tetapi, ada juga guru-guru yang tidak rasmi dan bergeliga pula akalnya dalam kalangan masyarakat bawahan.

Dalam kes saya, seorang mat motor telah menjadi guru secara tidak langsung dan kita mula sedar bahawa dalam dunia ini makin banyak misteri hidup yang amat sukar dan sulit sekali dibongkar dan dipecahkan. Walaupun, sememangnya diakui di dalam pandangan tersebut masih banyak perkara yang boleh diperdebatkan. Namun, apa yang penting setidak-tidaknya Mat Motor ini 'berfikir' di dalam mengesahkan tindakannya.

Siapa menyangka seorang Mat Motor juga dapat berfikir secara falsafah dan tajam pula analisis pemerhatiannya. Itu baru seorang. Barangkali, di luar sana lebih ramai yang lebih tajam pengamatan mereka ke atas makna kehidupan.


Demikianlah adanya.....Terima Kasih....
Presiden

Tiada ulasan: