Isnin, 7 September 2009

7 Wasiat Raja-Raja Melayu - Presiden ADAM

Selasa, 8 September 2009 / 19 Ramadhan 1430 Hijrah
Assalamualaikum dan salam sejahtera kesemuanya....
Hari ini saya kembali lagi bertemu anda, dalam kesibukan semua pihak berbicara soal perpaduan Melayu serta betapa alpa nya Melayu, saya turut sama terpanggil untuk berkongsi dengan anda semua tentang "Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu". Saya akan berkongsi dengan anda semua teks titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika di Majlis Pelancaran Karya-Karya Terpilih Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Ogos 2009. Teks titah ini saya kongsikan sejajar dengan Bulan Oktober yang bakal tiba merupakan bulan Bahasa Kebangsaan.
Berikut merupakan teks titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah...
"Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya juga, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas seterusnya meneyempurnakan pelancaran karya-karya terpilih tulisan Allahyarham yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak buat kali ketiga.
Tiga karya tersebut adalah pemerhatian kupasan Allahyarham yang bertajuk Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi.
Seminar ini berlangsung dalam dua persekitaran yang sangat signifikan. Persekitaran pertama: persekitaran masa kerana seminar ini diadakan dalam suasana negara bakal menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-52. "Kemerdekaan" itu mempunyai pelbagai erti dan terdedah kepada pelbagai fahaman.
Zurinah Hassan dalam puisi beliau berjudul Kemerdekaan mengingatkan bahawa "Kemerdekaan" bukan sekadar gegak gempita menurunkan bendera Union Jack atau perbarisan raksasa dan kibaran jalur gemilang pada tiang tertinggi dunia. "Kemerdekaan" itu sewajarnya mengingatkan kita kepada nama-nama Dol Said, Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato' Sagor, Ngah Jabur, Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tunku Kudin dan ratusan orang patriot yang tidak bernama, bermandi darah bergadai nyawa untuk membayar harga yang termahal demi kemerdekaan negara.
"Kemerdekaan" itu sangat besar pengertiannya dalam pemikiran, pendirian, dan amalan harian Syed Hussein Alatas kerana beliau itu sendiri merupakan nama atas batang tubuh yang berumahkan jiwa merdeka. Jiwa merdeka yang memiliki minda yang teguh berpegang pada prinsip kebebasan berfikir. Prinsip kebebasan berfikir yang dijadikan kompas penting memandu arah kehidupan beliau di samping berusaha untuk menjadi nakhoda membantu pemikiran bangsanya dalam melayari lautan hidup yang penuh gelora.
Gelombang perjuangan kemerdekaan senantiasa berombak di dadanya, demi memastikan terbinanya warga merdeka - bangsa merdeka di atas bumi yang diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka.
Jiwa merdeka dan minda merdekanya berlabuh dengan identiti bangsa -bersauh dengan syariat agama terus menuntut kepada keadilan sosial, supaya kemerdekaan itu dapat diterjemahkan kepada kemakmuran serta kebahagiaan agar bangsanya tidak tertindas lagi dalam bentuk perhambaan baharu.
Dalam persekitaran menyambut ulangtahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnyalah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpadam daripada sejarah.
Sesungguhnya tarikh 5 Ogos, tarikh berlangsungnya Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas merupakan tarikh keramat, tarikh yang amat penting dalam sejarah kemerdekaan negara bangsa di tanah air yang bernama Tanah Melayu.
Hubaya-hubaya bangsa, bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan orang Raja-Raja Melayu sebagai raja pemerintah dari empat buah "Negeri Melayu Bersekutu" dan lima buah "Negeri Melayu Tidak Bersekutu" memberikan perkenan menurunkan tandatangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat 7 WASIAT RAJA-RAJA MELAYU yang berbunyi:
'Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kami bersatu padu dan berpegang teguh padanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera. Tujuh perkara itu ialah:
* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
* Bagi menjaga kamu dan melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.
* Kami isytiharkan Islam sebagai agama persekutuan.
* Kami tetapkan bahasa kebagsaan ialah bahasa Melayu.
* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).'
Wasiat ini ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja Melyau serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu.
Fasal-fasal tersebut ialah Perkara 3(1),(2),(3) dan (5), Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38(5), Perkara 152, Perkara 153, dan Perkara 181(1). Semua fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
Persekitaran kedua; persekitaran tempat bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan antara gelanggang awal pemikiran Syed Hussein mengatur tapak seorang pendekar - memencak langkah seorang kesatria.
Bahawa DBP memiliki sejarah penting melaksanakan amanah memenuhi salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu iaitu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. DBP pernah merakamkan sejarah Peristiwa Keranda 152.
Syed Hussein Alatas; idea dan pemikirannya terus menjadi rujukan sehingga kini

Di tapak bangunan lama DBP pada 3 Mac 1967, lebih daripada 2000 orang mewakili 120 pertubuhan Melayu berhimpun. Perhimpunan tersebut diingati sebagai peristiwa "api" dan "air mata", peristiwa yang merakamkan kemarahan dan kesedihan bangsa terhadap kurang ketegasan pimpinan politik negara untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Peristiwa Keranda 152; memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.


DBP ialah institusi bangsa untuk menjamin kedaulatan bahasa. Semua Raja Melayu berangkat di Majlis Perasmian Bangunan DBP melambangkan sokongan padu Duli-Duli Yang Maha Mulia itu kepada DBP agar melaksanakan secara tegar salah satu daripada tujuh wasiat Baginda Raja-Raja Melayu.

Betapa kebetulannya acara untuk memperingati seorang tokoh yang mencipta sejarah ini berlangsung dalam dua persekitaran yang amat bersejarah; persekitaran tempat. Demikian resam orang berjasa - kematiannya meninggalkan nama untuk terus dimuliakan.

Syed Hussein Alatas menghembuskan nafas terakhir untuk menyahut panggilan Ilahi pada hari Selasa, 23 Januari 2007, bersamaan 3 Muharram 1428 Hijrah. Padamlah satu kandil gemerlap - pelita jendela pada malam gelap. Tertutuplah mata yang senantiasa memerhatikan kenyataan dan kelulah lidah yang sering mengucapkan kebenaran.

Sepanjang hayat, Syed Hussein Alatas menyinarkan suria kepada bumi negaranya sepanjang kehidupan, beliau memancarkan cahaya penyuluh pemikiran bangsanya. Sudah dua tahun lapan bulan, jasad Syed Hussein Alatas diistirahatkan di liang lahad, namun pemikirannya tidak dikuburkan bersama jasadnya.

Malah pemikirannya terus hidup dan memberikan nafas kehidupan, pemikirannya terus menjadi bahan kajian, bahan renungan, bahan rujukan dan bahan sandaran. Oleh sebab itu para sarjana menyambut seruan untuk hadir ke seminar itu.

Syed Hussein meninggalkan bangsanya - meninggalkan dunia ini, sedikit awal untuk membolehkannya menyaksikan krisis ekonomi dunia yang menderitakan kehidupan jutaan insan. Beliau menghembuskan nafas terakhir sedikit awal untuk menyaksikan harga politik yang perlu dibayar oleh bangsanya setelah berlangsungnya Pilihanraya Umum (PRU) ke-12.

Krisisi ekonomi dunia berpunca daripada salah pengurusan kewangan dan senario politik domestik selepas PRU ke-12 merupakan harga yang perlu dibayar oleh negara, beban yang perlu ditanggung oleh bangsa kerana terus melakukan perkara yang sudah lama diberi peringatan oleh Syed Hussein Alatas dan kumpulan yang memiliki keselarian fikiran dengan beliau.

Sepanjang hayat hidupnya, Syed Hussein terus menyuarakan betapa pentingnya diiktiraf pandangan kumpulan intelektual yang memiliki daya lihat dari perspektif yang lebih luas lagi menyeluruh yang harus dibezakan dengan kumpulan inteligensia, beliau menganggap masalah umum yang keterbelakangan berpunca daripada masalah pengagihan pendapatan dan pembangunan ekonomi.

Beliau menghuraikan kejijikan rasuah, kurang kemurnian mencantumkan perniagaan dan politik, serta masalah yang dihadapi oleh kerajaan di Dunia Ketiga yang terlalu asyik mengamalkan rasuah hingga menghambat kemajuan.

Banyak orang yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memerangi rasuah adakalanya digemakan lebih nyaring dalam kalangan orang yang tidak bebas daripada melakukannya lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan.

Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur, rakyat melarat. Rasuah terus merebak baik di negara sedang membangun, dan tidak ketinggalan di negara maju.

Rasuah berlaku di dalam istana, dalam sektor awam, dalam sektor swasta, dalam institusi politik, dalam kalangan organisasi beruniform, malah tidak terkecuali dalam badan agama.

Rasuah ialah candu yang amat mengasyikkan, lebih mengkhayalkan, kerana yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah. Rasuah menghidupkan semula budaya perhambaan, dilindungi kosmetik yang memberikan kecantikan dan keriangan palsu kepada pengamal.

Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram. Rasuah merupakan instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri sesorang insan yang terjebak dengannya.

Demikianlah kotor dan jijiknya rasuah, ironinya semakin banyak orang yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya. Malah mendapatkannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas daripada undang-undang dan hukum dunia.

Usaha DBP menganjurkan seminar "Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas" serta terus mengulangi penerbitan karya Allahyarham adalah usaha yang layak diberikan penghargaan. DBP perlu meneruskan tanggungjawab dan memenuhi amanah untuk menyediakan santapan secukupnya untuk memastikan minda bangsa mendapat cukup bekalan bahan pemakanan intelek.

Dalam memastikan bangsa tidak terputus dengan akar sejarah, Beta suka menyarankan untuk DBP menerbitkan semula tulisan yang dihasilkan pada era pra dan pasca kemerdekaan yang berjaya menyuntik semangat kebangkitan bangsa. Beta mendengar bahawa Allahyarham Ishak Hj Mohamad semasa hayatnya menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi sehingga hari ini, Beta sendiri tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku tersebut.

Bahan bacaan seperti itu amat penting bukan sahaja diterbitkan semula tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di perpustakaan pengajian supaya generasi muda tidak lupa sejarah dan salasilah bangsanya. Beta percaya negara memiliki himpunan khazanah sejarah yang hari ini tertimbus dan terkubur ditelan waktu.

Dalam hasrat membina modul Satu Malaysia, usaha cari gali khazanah sejarah yang berperanan membina semangat kemerdekaan dan semangat penyatuan sama ada dalam bentuk buku, penulisan, memoir, catatan, ucapan, puisi dan prosa wajib dilakukan.

Hari ini, generasi selepas Beta, hanya mengenali nama-nama seperti Za'aba, Aminuddin Baki, Burhanuddin al-Helmy, Abu Bakar al-Baqir, Zulkifli Mohamad, Mohd Asri Haji Muda, Dr. Ismail Abdul Rahman, Panglima Bukit Gantang Wahab, Abdul Rahman Yaacob, Ahmad Boestamam, Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, harun Idris dan banyak lagi nama nasionalis bangsa.

Burhanuddin Al-Helmy, Harun Idris, dan Ishak Haji Mahamad antara tokoh yang pemikirannya perlu disebarluas kepada umum.



Namun, generasi Beta sendiri majoritinya tidak berpeluang untuk mengikuti, mendalami, dan memahami asas pemikiran mereka kerana bahan bertulis dan cetak yang ada, begitu terbatas, hanya dapat diakses oleh para penyelidik yang melakukan kajian di peringkat pascaijazah.
Maklumat tokoh bangsa dan sumbangan pemikiran mereka hendaklah dijadikan bahan yang boleh sampai kepada massa yang lebih ramai. Jika usaha tidak segera dirintis, terkuburlah khazanah bangsa yang sahih dan berlakulah pengubahsuaian terhadap fakta sejarah di kemudian hari menurut kesesuaian dan kehendak kumpulan politik yang memiliki kuasa ketika itu.
Kepada keluarga Syed Hussein Alatas, negara dan bangsa amat terhutang budi atas peranan sampingan mereka yang memberikan kekuatan kepada Syed Hussein Alatas untuk berjaya meninggalkan satu legasi.
Semoga sehala jasa dan pengorbanan Syed Hussein diterima sebagai amar makruf, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin. Sama-samalah kita bacakan surah Al-Fatihah dan sebarang ganjaran dari bacaan tersebut, semoga diterima Ilahi lalu disampaikan kepada roh Allahyarham Syed Hussein Alatas."
Dengan demikian diharapkan kesemua pembaca beroleh manfaat daripada artikel khas yang disiarkan ini. Harus direnungkan, betapa pentingnya kita menghargai sejarah malahan tidak pernah cuba untuk melupakannya. Semoga kita menjadi bangsa yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan serta penguasaan di dalam sejarah. Mudah-mudahan.
Disediakan oleh:
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

p/s: Rasanya elok kita hayati semula 7 wasiat Raja-Raja Melayu supaya Melayu hari ini tidak lupa diri hanya dek kerana kepinginkan sokongan politik semata-mata hingga sanggup mengorbankan amanah yang telah diwasiatkan!

Tiada ulasan: