Selasa, 1 September 2009

Politik Kekacauan Tak Bantu Rakyat Perak - KJ

IPOH, 1 Sept - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata cubaan pembangkang untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak esok semata-mata bertujuan menimbulkan kekecohan politik.

Beliau berkata pembangkang mahu memecahbelah rakyat dengan memporakporandakan kedudukan politik negeri setelah rakyat Perak menerima pemerintahan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Mereka tidak ada hak dan bidang kuasa kerana sidang DUN yang dipanggil itu adalah oleh bekas speaker yang sudah tidak ada jawatan,” katanya kepada pemberita di sini.

Anggota DUN Tronoh V.Sivakumar, yang juga bekas Speaker, mengeluarkan notis minggu lepas mengenai persidangan DUN yang akan diadakan esok dan ini memaksa Speakar Datuk R. Ganesan membuat kenyataan meminta semua Adun supaya mengabaikan notis berkenaan.

Khairy berkata pembangkang di Perak kini terdesak kerana banyak usaha yang dijalankan oleh pentadbiran negeri yang dipimpin oleh Zambry telah membawa momentum yang positif kepada BN.

“Politik kekacauan yang dilakukan pembangkang seperti ini tidak akan membantu rakyat Perak yang inginkan kestabilan politik demi pembangunan negeri,” katanya.
- EDITOR -

Tiada ulasan: