Ceritanya hanya bermula dengan demonstrasi jalanan yang aman menuntut penjelasan dari kerajaan China berhubung kematian dua etnik Uighur. Rakaman rusuhan yang berlaku di kilang permainan di selatan Xinjiang diedarkan menerusi internet dengan jelas menunjukkan dua orang wanita Uighur dibelasah sehingga mati oleh etnik Han.
KEKEJAMAN KERAJAAN CHINA TERHADAP PUAK UIGHUR
Sekumpulan Penunjuk Perasaan di Turki, menyatakan penentangan di atas kekejaman kerajaan China
Kelihatan seorang remaja Islam Turki menjunjung Qur'an mungkin tanda percaya ke atas pertolongan Allah
Di antara puluhan ribu rakyat Turki yang benar-benar tidak puas hati dengan kekejaman China terhadap puak Uighur Bagaimanapun, demonstrasi secara aman itu menjadi mimpi ngeri apabila polis anti rusuhan dihantar ke bandar Urumqi untuk menenangkan keadaan. Sebaliknya yang terjadi, pihak berkuasa bertindak ganas untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Ribuan orang berhimpun di jalanan dan berteriak agar China menghentikan diskriminasi etnik dan menuntut penjelasan apa yang sedang berlaku.
Di antara masyarakat Uighur yang masih mengamalkan sistem perekonomian tradisional
Kemarahan yang telah lama terpendam menjadi derita yang tidak terluah. Berbagai-bagai tindakan dan larangan yang dikenakan ke atas etnik Uighur sejak 60 tahun lalu. Malah mereka menjadi mangsa diskriminasi dari segi ekonomi, politik, budaya dan agama. Rakyat Uighur yang tertindas tetap beramal ibadat di Masjid di Urumqi walaupun di larang oleh Pihak Berkuasa
Api dalam sekam walau tidak nampak bara dan asapnya, membakar di dalam senyap. Itulah kemarahan yang dipendam oleh etnik Uighur apabila hak mereka dinafikan oleh kerajaan China. Berada di tanah tumpah darah sendiri tetapi mereka tidak bebas untuk mengamalkan budaya, bahasa, agama dan bersosial. Puak tentera China yang sentiasa mengawal masjid bagi memantau aktiviti solat. Di mana rasionalnya?
SIAPA ETNIK UIGHUR?
Di Xinjiang, Uighur bukanlah satu-satunya etnik yang menganut Islam malah ada beberapa lagi etnik lain seperti Hui, Tajiks, Kyrgyz dan Kazakhs. Jika dicampurkan semuanya terdapat 11 juta penduduk Islam di Wilayah itu dan etnik paling besar adalah Uighur.
Uighur bukanlah orang China kerana ia mempunyai susur galur orang Turki. Dari segi penampilannya, budaya hidupnya dan agama mereka memang jauh berbeza dengan etnik China yang lain. Malah Uighur lebih unik kerana mempunyai bahasa dan tulisan sendiri. Bahasa pertuturan harian mereka bukan Mandarin atau dialek Cina yang lain tetapi mereka menggunakan bahasa Turki.
Sejak Islam berkembang di Xinjiang pada abad ke-10 iaitu pada era pemerintahan Raja Karakhanid, etnik Uighur telah menggunakan huruf Arab sebagai tulisan rasmi mereka di sekolah dan dalam segala urusan. Namun, segala-galanya berubah sebaik sejak ia dijajah oleh Kerajaan China. Etnik Uighur dipaksa menggunakan bahasa Mandarin dan abjad China di dalam segala urusan termasuk di sekolah.
Wilayah Xinjiang sebelumnya dikenali sebagai Turkistan Timur. Apabila menjadi sebahagian dari wilayah China namanya ditukar menjadi Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) pada tahun 1955. Di dalam bahasa Cina, Xinjiang bermaksud kerajaan baru atau jajahan baru.
XINJIANG DAN 11 SEPTEMBER
Sebagaimana dasar Amerika Syarikat selepas 9/11 memerangi habis-habisan pengganas, dasar yang sama juga diamalkan di China. Cuma bezanya ia telah berlangsung sejak zaman Mao Zedong. Pada tahun 1966 poster-poster ditampal di sekitar Beijing, menuntut pengharaman agama Islam. Manakala pembunuhan umat Islam beramai-ramai telah berlaku lebih awal lagi iatu pada tahun 1936.
Dasar yang diamalkan oleh China dalam penindasan politik, asimilasi budaya, eksploitasi ekonomi, pemusnahan ekologi dan diskriminasi ras, menjadikan Xinjiang umpama bom jangka. Ia secara tidak langsung menyebabkan perasaan anti China semakin menebal di dalam hati setiap masyarakat Uighur.
Si ibu sambil memegang bayinya, turut sama menyertai demonstrasi. Si ibu yang sedang mengendong bayi menyertai perarakan / demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan China yang melarang mereka dari memasuki masjid untuk beribadah.
Walaupun Mao Zedong telah mati tiga dekad lalu namun dasar yang digunakan oleh China terhadap wilayah itu tidak pernah berubah. Biarpun pada asalnya Mao berjanji dengan Uighur, wilayah itu akan mempunyai kebebasan dan hak menentukan dasar sendiri, namun itu hanya tinggal janji. Pemerintah China selepas Mao berusaha menjadikan Xinjiang sebagai koloni Cina yang diubah segala-galanya termasuk agama dan budaya. Usaha ini dibuat dengan harapan usaha eksploitasi ekonomi masyarakat Uighur oleh China dapat diteruskan.Kawalan ketat ke atas Xinjiang bersebab. Dari pandangan Beijing (pusat pemerintahan China), wilayah tersebut adalah aset yang paling berharga. Pertama kerana lokasinya yang strategik dengan Asia Tengah hingga dikatakan sebagai laluan emas. Manakala yang kedua, wilayah itu paling kaya kerana mempunyai simpanan munyak dan gas asli yang banyak. Dipercayai terdapat 8 trilion tong gas asli dan minyak yang masih lagi tersimpan di sana.
Meskipun Xinjiang dikatakan wilayah paling kaya, namun industri petroleum yang diusahakan tidak banyak membawa manfaat kepada masyarakat Uighur. Sebaliknya kerajaan China dalam usaha yang begitu licik, membawa lebih ramai etnik Han ke wilayah itu dengan alasan untuk memajukan ekonominya. Kemasukan beramai-ramai itu telah menyebabkanterdapat jurang ekonomi yang sengaja diwujudkan antara puak Uighur dan Han. Etnik pendatang menguasai sebahagian besar jawatan penting di dalam kerajaan, perusahaan minyak dan gas, pertanian dan politik.
Jika pada tahun 1949, hanya 6 peratus sahaja etnik Han yang berada di wilayah itu. Namun perubahan dasar yang dibuat oleh kerajaan menyebabkan populasi Han bertambah menjadi 40 peratus pada 1978. Hari ini, jumlah penduduk Han semakin meningkat di wilayah tersebut. Manakala 45 peratus lagi adalah etnik Uighur. Keadaan ini menjadikan mereka warganegara kelas kedua di tanah air sendiri malah menjadi mangsa diskriminasi dari segi ekonomi dan juga pendidikan.
Perasaan marah antara Uighur dan Han tidak pernah padam. Hinggakan kanak-kanak berusia 10 tahun berasa bangga menjadi puak Han. Mereka menyanjung tinggi bapa revolusi China, Wang Zhen dan menganggapnya hero kerana telah membunuh ramai orang Uighur. Sikap itu ditanam di dalam setiap jiwa orang Han.
PENINDASAN HAK ASASI
Selepas 11 September, China bagaikan mendapat mandat baru bahawa usahanya memerangi Uighur berada pada landasan yang betul. Kerajaan menggunakan idea memerangi pengganas AS, untuk mengetatkan kawalan terhadap Xinjiang. Apa saja tindakan yang dikenakan ke atas Uighur dilakukan atas tiket memerangi pengganas Muslim.
Tambah tersenyum lebarlah kerajaan China apabila AS dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Parti Islam Turkestan Timur (ETIM) sebagai kumpulan militan pengganas pada 2002. Pihak berkuasa menggunakan senarai itu sebagai bukti adanya ancaman pengganas. Chin amerasakan dirinya mangsa keganasan, terang-terangan mengeluarkan kenyataan bahawa puak pemisah, pelampau adalah kumpulan Al-Qaeda versi China.
Sebagai tanda sokongan terhadap China yang mendukung misi memerangi pengganas, AS membekukan semua aset ahli ETIM di nagara tersebut. Sebelum itu kerajaan China sememangnya telah menyenaraihitamkan empat kumpulan aktivis Islam iaitu Pergerakan Islam Turkistan Timur (ETIM), Pertubuhan Pembebasan Turkistan Timur (ETLO), Kongres Pemuda Uighur Dunia (WUYC) dan Pusat Informasi Turkistan Timur (ETIC) sebagai pengganas. Bukan itu sahaja, 11 orang pemimpinnya juga dilabelkan sebagai ketua pengganas atas dakwaan kumpulan itu telah mendapat latihan ketenteraan dari puak Taliban dan sedang memperjuangkan kemerdekaan sebuah negara Islam di Xinjiang.
Kesukaran China untuk mematahkan semangat perjuangan Uighur ekoran kesemua pemimpin yang dilabelkan sebagai puak pemisah dan pegganas beroperasi dari Jerman dan Turki. Pihak berkuasa juga mendakwa Chechnya dan Afghanistan menjadi tempat untuk melatih pengganas Uighur. Atas kebimbangan itu China telah meminta bantuan semua kerajaan di dunia bekerjasama untuk ekstradisi mereka.
China mendakwa ETIC adalah pihak yang bertanggungjawab merancang serangan bom pada Mac lalu yang telah memusnahkan rangkaian keretapi dari Gansu dan Xinjiang. Selain itu, ETIC juga menggunakan internet untuk menyebarkan dakyah pengganas.
Dalam satu kenyataan yang lebih berani, kerajaan China menyatakan bahawa ETIM dan ETLO menerima dana berjuta dollar AS dari Osama Laden. Kesemua dana itu dikatakan digunakan untuk menjalankan aktiviti pengganas dan menyebarkan ekstremis agama. Walaubagaimanapun semua dakwaan itu dinafikan oleh pergerakan itu, namun itulah cara China untuk menguatkan kawalannya ke atas etnik Uighur.
LARANGAN DEMI LARANGAN DIKUATKUASAKAN
Baru sahaja semalam (3 September 2009) jika kita membaca di akhbar tempatan ada melaporkan bagaimana di dalam bulan Ramadhan ini kerajaan China melarang umat Islam di Xinjiang berpuasa. Malahan sesiapa yang berpuasa akan ditangkap dan diambil tindakan undang-undang. Lebih melampau lagi, Kerajaan China dengan "baik hati" sanggup menyediakan makanan secara percuma bagi memastikan umat Islam makan di bulan Ramadhan. Kepada pengusaha-pengusaha restoran pula diwajibkan membuka restoran seperti biasa, dan jikalau mereka ini ingkar tindakan menarik balik lesen akan dikenakan kepada pemilik restoran. Begitulah 'dahsyat'nya penderaan China terhadap rakyat Islam di Xinjiang.
Tarikh 11 September dijadikan sebagai suatu alasan dan titik kawalan ketat terhadap umat Islam di Uighur untuk mengamalkan agama termasuk berpersatuan, berhimpun dan menampilkan identiti. Semua ini dilarang oleh pihak Kerajaan China.
Lebih keterlaluan apabila kerajaan memilih siapa layak menjadi ulama, pemimpin dan imam di dalam Islam. Pihak berkuasa juga menentukan ayat Al-Qur'an yang mana boleh digunakan dan yang mana tidak sesuai digunakan oleh orang Islam Uighur. Penguatkuasaan undang-undang dan polisi mengamalkan agama Islam bukan sahaja tertakluk di sekolah dan pejabat kerajaan. Tetapi juga melibatkan kehidupan harian Uighur sehinggakan ibu bapa juga dilarang terlibat di dalam aktiviti agama.
Larangan mengamalkan agama Islam sudah 60 tahun berlangsung di Xinjiang tetapi ia lebih menyakitkan sejak 11 September. Tekanan yang dikenakan ke atas Uighur semakin hebat seperti yang dilaporkan oleh Amnesty International dan kumpulan hak asasi manusia.
Pegawai keselamatan akan meronda setiap malam ke asrama pelajar untuk memastikan mereka tidak menunaikan solat dan berdoa seperti larangan yang telah ditetapkan. Bermacam-macam lagi larangan yang dikeluarkan termasuk larangan berpuasa di bulan Ramadhan sebagaimana yang saya ceritakan tadi, tidak boleh belajar Al-Qur'an atau pun menghadiri kelas agama. Malah ditetapkan, hanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang dibenarkan menghadiri kelas agama dan mempraktikkan ajaran Islam.
Pihak tentera mengawal ketat masjid. Imamnya mesti dilantik oleh parti Komunis Xinjiang dan khutbah yang dibaca pada hari Jumaat akan diterjemahkan oleh 'orang' kerajaan agar tidak ada penyebaran dakyah yang mengutuk kerajaan atau memperjuangkan Islam. Mereka yang berkhidmat dengan kerajaan tidak dibenarkan masuk ke masjid menunaikan solat. Malah tidak boleh berpakaian mahupun menyimpan janggut yang mencerminkan identiti agama.
Setiap kali hari Jumaat tiba, jemaah akan berkumpul di hadapan masjid dan merayu-rayu kepada tentera yang berkawal di hadapan masjid supaya dibenarkan bersolat di dalam masjid. Ada kalanya rayuan itu hampa dan jemaah terpaksa pulang ke rumah menunaikan solat sendirian.
Menjelang saja pagi Jumaat polis anti rusuhan akan berkawal di semua jalan ke masjid dengan diawasi oleh helikopter. Pagi-pagi lagi notis sudah ditampal di pagar masjid dan tertera perkataan "masjid ditutup sementara untuk solat". Sesiapa yang mengamalkan agama dianggap pengganas kepada kerajaan.
Kawalan dan pengawasan yang ketat juga dilakukan ke atas buku-buku sejarah Xinjiang yang tidak selari dengan versi sejarah komunis China. Semua buku sejarah tentang ketamadunan dan asal usul Uighur diharamkan.
Menurut Nicholas Becquelin dari Human Rights Watch, Hong Kong, orang Uighur yang cuba mempamerkan identiti budaya dan mempraktikkan agama secara terang-terangan akan ditangkap tanpa soal. Hukuman penjara dijatuhkan tanpa bicara di dalam tempoh yang lama atas tuduhan menjadi pengganas dan puak pemisah.
Lebih menyedihkan, sesuatu rusuhan atau keganasan yang berlaku kerajaan akan terus menyalahkan Muslim Uighur. Sesiapa yang disyaki terus ditangkap, dipenjarakan dan dibawa ke kem tahanan untuk melakukan kerja paksa. Layanan buruk itu hanya kepada masyarakat Uighur sahaja tetapi tidak kepada etnik lain. Ramai yang berpendapat China takut kepada Islam dan sentiasa berfikir bagaimana untuk menghancurkan Muslim.
Satu perkara lagi yang paling tidak disangka tetapi ramai yang mengetahuinya. Padang pasir Lop Nur yang terletak di Xinjiang, secara zahirnya tidak ada sebarang kepentingan kepada kerajaan China. Namun kawasan tandus itu dimanfaatkan oleh China untuk menjalankan ujian senjata nuklearnya, Memang telah dikenalpasti, China adalah negara yang aktif mengusahakan senjata tersebut.Ujian bom hidrogen pertama dilakukan di kawasan padang pasir itu telah menyebabkan pencemaran radioaktif yang teruk kepada sumber air dan tanah di Xinjiang. Akibatnya ramai penduduk tempatan menghidap kanser, kecacatan bayi dan banyak lagi penyakit berkaitan dengan pencemaran radioaktif. Yang menjadi mangsanya siapa lagi kalau bukan puak Uighur.
Sudahlah begitu, polisi mengehadkan kelahiran yang diamalkan oleh kerajaan dan menggalakkan pengguguran, menjadikan Xinjiang bukanlah syurga untuk umat Islam. Tidak ada ruang langsung untuk sebuah kehidupan di sana.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika China mengambil kesempatan mempertahankan pemerintahan kuku besinya serta meneruskan agenda politiknya seperti kebanyakan negara lain selepas peristiwa 11 September. Walaupun nampak biadap, keras, kejam dan bertentangan dengan peraturan tapi alasan memerangi pengganas tidak ada siapa berani bersuara.
Apabila kumpulan hak asasi manusia dan PBB bersuara tentang layanan kejam yang diterima Uighur, kerajaan China akan memberikan alasan yang boleh dijangka. "Mereka adalah pengganas dan merancang kekacauan serta melanggar hak asasi manusia etnik lain. Kawalan yang dijalankan oleh China bertujuan menjamin keamanan dan keselamatan antarabangsa." KES TUTUP!!
Renung-renungkan semoga negara kita tidak menjadi seperti ini!!!Disediakan oleh :Syamsul Amri IsmailPresiden ADAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan