Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
Puas saya memikirkan tajuk yang sesuai bagi penulisan saya kali ini. Bukannya apa, beberapa isu semasa untuk dirangkumkan bersama. Akhirnya, setelah beberapa ketika saya rasa tidak lain tidak bukan perkataan 'BERFIKIR' itu yang bermain di minda saya. Dari perkataan ini akhirnya boleh mendorong kita kepada setiap perkara yang mungkin ingin kita kaitkan.
Isu semasa dewasa ini semakin hebat dan mencabar. Kerap kali kita mendengar ramai yang mengungkapkan "Silap betul.... kan bagus kalau aku....", "Kenapalah aku buat begitu, kan baik kalau aku ...(begitu begini)...", "Sepatutnya aku fikir dulu betul-betul sebelum aku...". Dan yang paling banyak ungkapan ini... "Laa.. tak terfikir pulak aku!"
Perkataan ini, milik mereka yang melafazkan penyesalan setelah mengatakan atau melakukan sesuatu sebelum berfikir terlebih dahulu.
Sebelum saya terus mengaitkan isu 'fikir' ini dengan isu semasa. elok kiranya saya gambarkan secara mendalam berkaitan fikir ini. Contohnya dahulu, pernah di dalam satu ceramah saya ada yang bertanya (samada ingin menguji atau benar-benar ingin tahu.. itu tidak dapat saya pastikan). Cumanya persoalan menarik ini juga mungkin ditanya juga kepada anda. Soalan yang ditimbulkan oleh salah seorang peserta saya semasa berceramah di Selangor, "Bagaimana hendak mengenal Tuhan?". Apabila persoalan mengenai Tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mashyur adalah "Kenali diri, maka kamu akan kenali Tuhanmu". Maka, sebaiknya kita mengenal diri kita dahulu. Saya tidak perlu mengulas panjang lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri atau yang selari dengan perkara-perkara tadi, sebaliknya cukup sekadar saya membangkit kesedaran semua kepada satu suruhan agama iaitu BERFIKIR.
Dalam Al-Qur'an terdapat banyak sekali kalam-kalam Allah yang menyuruh kita berfikir. Mengapa agaknya? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita BERFIKIR untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku. Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak berasaskan kefahaman kita tadi menerusi proses BERFIKIR.
Contoh mudahnya saya gambarkan menerusi contoh berikut; katakan kita menyedari bahawa jikalau kita makan dalam kuantiti yang banyak boleh mengakibatkan kegemukan, maka kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita memahami dengan lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (ekoran banyak sangat makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan mencari maklumat tambahan. Contoh seterusnya, baru-baru ini adik saya yang baru berusia 25 tahun. Beliau benar-benar terperanjat kerana disahkan oleh doktor kerana bacaan tekanan darahnya yang terlalu tinggi. Bila ini berlaku benar-benar menyuntik keinsafan berkaitan pemakanan yang diamalkannya, kehidupannya tiba-tiba berubah, jadi risau tak keruan. Beliau nyata tidak menyangka bahawa dengan usia semuda ini jika pemakanan tidak dijagam boleh mengakibatkan pelbagai penyakit yang tidak disangka boleh datang kepada golongan muda.
Pada ketika ini, mulalah difahami, makanan bukan sahaja boleh mendatangkan kegemukan, tetapi juga masalah-masalah lain seperti darah tinggi, kolestrol, stroke, jantung dan sebagainya. Maka, ketika inilah kita akan mula mengkaji maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya. Mahu tidak mahu, kita kena BERFIKIR barulah tindakan kita tidak akan merosakkan diri kita (itupun jikalau kita melaksanakan berasaskan FIKIRAN yang wajar dan tepat kerana ada juga yang fikir tetapi tetap melakukan perbuatan yang menyalahi fikirannya sendiri).
Perumpamaan ini samalah juga dengan misi kita mencari Tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang mempunyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan ihsan dan kekuatan dari penciptanya.
Apa yang lebih penting penulisan saya hari ini menekankan kepentingan kita berfikir dalam menjadi manusia yang tidak dilabel sebagai dangkal, tidak matang, semberono malahan paling dahsyat lagi "macam tak ada otak!". Itulah tahap kepentingan berfikir kerana manusia dinilai berasaskan tutur kata yang melambangkan asas pemikirannya.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihatnya dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." [Al-A'raf :179].
Oleh yang demikian, BERFIKIR itulah hasil daripada pengamatan kita menerusi tiga deria utama HATI/OTAK, TELINGA dan MATA. Gabungjalin ketiga-tiganya wajar menjadi asas penghasilan tindakan yang dan bicara yang wajar daripada mengeluarkan pandangan secara membuta tuli sehingga mencabar kerasionalan sebagai manusia malahan juga rasional selaku umat Islam.
Baiklah, kini tiba masanya saya tunjukkan perkaitan BERFIKIR dengan isu yang berlaku pada hari ini. Isu hangat hari ini sudah tentunya mengaitkan dengan peristiwa di gereja di mana berlakunya serbuan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Apabila berlaku peristiwa ini, pelbagai pihak mula mengeluarkan pelbagai kenyataan. Antaranya:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuduh UMNO dan Barisan Nasional sengaja membangkitkan kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja untuk menutup tuntutan pilihan raya bersih. Hadi Awang bahawa PAS akan menemui JAIS dan pihak Gereja sendiri untuk mendapat maklumat sebenar juga sebenarnya menjadi bahan jenaka yang paling menghiburkan diseluruh negara. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin membangkitkan kenapa Hadi sibuk-sibuk nak jumpa JAIS dan Gereja sedangkan tidak bertemu sendiri Saiful dan Eskay dalam isu liwat dan video seks, kenapa hanya percaya bulat-bulat kepada Anwar? Kemudiannya Khalid Samad. Khalid juga mempersoalkan sama ada benar atau tidak Hasan Ali punya bukti untuk bertindak sedemikian terhadap gereja tersebut. Dia cabar Hasan Ali untuk kemukakan bukti tersebut. Khalid berhujah, hanya Hasan Ali seorang saja yang mendakwa bahawa “majlis tersebut bertujuan untuk memurtadkan umat Islam”, sedangkan JAIS hanya mendakwa “ada bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap umat Islam”.
Persoalannya, apakah bezanya “usaha memurtadkan umat Islam” dan “menyebarkan agama bukan Islam terhadap umat Islam”? Hasil dari usaha memurtadkan umat Islam ialah “seorang muslim keluar dari agama Islam” dan hasil dari “penyebaran agama bukan Islam terhadap umat Islam” juga menyebabkan “seorang muslim keluar dari agama Islam”. Hasilnya sama. Khalid Samad buta hati sangat ke?
Yang paling mahalnya, Khalid Samad berkata… “Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan (harian) bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.” “Kita simpan komen akhir?” Komen akhir apa tu?
Apabila isu ini berlaku iaitu dikatakan bermula apabila pihak berkuasa Agama di negeri Selangor melakukan pemeriksaan di sebuah Gereja atas aduan terdapat usaha memurtadkan umat Islam, banyak pihak (termasuk saya sendiri) ternanti-nanti respon dari badan-badan pertubuhan politik Islam dan juga NGO-NGO Islam.
Malangnya, pihak yang selama ini mengaku berpolitik diatas landasan Al Quran dan Sunnah tersebut lebih mengutamakan politik dari menjaga aqidah umat Islam di negara ini. Mereka dilihat berdolak dalik didalam menyatakan pendirian berhubung kejadian itu biarpun pihak berkuasa agama Selangor membawa bukti-bukti yang sah.
Dikala umat Islam memandang serius isu ini dan tak senang dengan apa yang cuba dilakukan oleh pihak Gereja terbabit, kepimpinan tertinggi parti politik tersebut mengambil sikap sebaliknya dengan mengatakan ianya satu usaha sabotaj dari musuh politik untuk memalukan dan menjatuhkan maruah parti mereka.
Kenapa pula ini yang berlaku disaat sepatutnya semua umat Islam bersatu menentang ancaman baru dari pihak kafir yang cuba untuk merosakkan aqidah umat Islam di negara ini? Janganlah hanya kerana politik, kita sanggup menjual agama kerananya. Apakah berbaloi meringankan urusan agama hanya kerana mementingkan urusan dunia?
Syukurlah kini pelbagai pihak dikalangan NGO-NGO Islam mula menyatakan sokongan mereka terhadap apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama di Selangor terhadap Gereja tersebut. Tindakan ini dilihat telah meningkatkan suara dikalangan umat muslim kepada usaha membela agama.
Jika difikirkan, tindakan memutarbelitkan fakta kejadian ini adalah sesuatu tindakan yang memalukan umat Islam. Isu sebenarnya disini ialah berkaitan dengan usaha pihak Gereja yang mahu memurtadkan umat Islam. Tetapi kenapakah hal betul atau tidak tindakan pihak berkuasa agama menyiasat tempat kejadian pula yang jadi pertikaian?
Semua ini langsung tak membantu mahupun merungkaikan permasalahan yang kita hadapi sekarang. Sebaliknya, ia akan menambahkan lagi kekeliruan dikalangan umat Islam dan juga juga menimbulkan perpecahan dan ketegangan diantara sesama rakyat berbilang kaum dalam negara.
Gambaran salah diberikan mengenai siasatan pihak berkuasa agama seolah-olah sengaja dibuat demi untuk menjaga kepentingan politik sesetengah pihak. Jika usaha pihak berkuasa agama ini disifatkan sebagai satu pencabulan terhadap rumah ibadat bukan Islam, bagaimana pula dengan bukti-bukti yang menunjukkan usaha pihak Gereja yang mahu memurtadkan kaum muslim?
Malang bagi kita kerana semua putar belit dan juga tipu helah ini dilakukan sendiri oleh pemimpin yang beragama Islam demi menjaga undi yang diberikan oleh pihak kafir kepada mereka semasa pilihanraya. Besar sangatkah undi-undi tersebut jika mahu dibandingkan dengan kewajipan mempertahankan agama?
Oleh itu, semua tindakan-tindakan yang mengusutkan lagi keadaan serta campurtangan politik ini harus dihentikan segera. Ia demi kepentingan aqidah umat Islam yang semakin hari semakin terancam akibat dari perancangan jahat pihak kafir.
Sifat apologetic pemimpin-pemimpin politik yang kononnya berjuang berlandaskan Islam juga tak perlu wujud kerana isu agama bukan boleh dijadikan mainan politik. Berkatalah yang benar walaupun ianya pahit untuk ditelan.
Yang menyemarakkan rasa panas hati umat Islam pula adalah apabila kenyataan parti MCA menerusi Presidennya iaitu Datuk Seri Chua Soi Lek yang bukan main lantang lagi nampaknya sekarang, akhir-akhir ini, dua-dua jabatan Islam dia hentam, iaitu JAKIM dan JAIS.
Apa respon Ibrahim Ali agaknya? Kerana biasanya Presiden PERKASA lah yang KUAT MEMPERTAHANKAN ISLAM (kononnya), seperti yang pernah dilaung-laungkannya sebelum ini di dalam ceramah beliau terhadap golongan Kristian yang kononnya telah mengatakan mahu melantik Perdana Menteri dari golongan Kristian suatu hari nanti.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyifatkan tindakan para pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Pusat Methodist Damansara Utama di sini ketika satu majlis makan malam pelbagai kaum diadakan di situ, adalah tidak wajar dan memalukan. Yang JAKIM pula katanya terlalu memperbesar-besarkan standard Sijil Halal. Wah! Pada saya melampaulah, isu ini dibicarakan oleh yang BUKAN AHLI dalam bidang ini.
Pastinya, sekali lagi saya rujuk kepada mauduk bicara saya hari ini iaitu "BERFIKIR". Saya yakin bahawa anda yang sedang membaca penulisan ini pada hari ini akan bersetuju bahawa segala apa kenyataan yang dilontarkan oleh beberapa individu di atas benar-benar tidak mencerminkan kematangan apatah lagi setelah mengambilkira faktor pemikiran yang baik dan menyeluruh.
Sebaiknya, kenyataan yang ingin dikeluarkan biarlah berlandaskan fakta dan penemuan dan barulah kita katakan ulasan kita itu bernas dan bersandarkan sesuatu yang boleh dijadikan panduan. Jika kita rujuk balik kepada contoh yang saya berikan di awal tadi, setelah kita kaji jenis makanan berkalori, makanan yang kurang berzat, makanan yang jika diambil dalam kuantiti banyak boleh mendatangkan penyakit apa, maka kemudian barulah adil kita membuat kesimpulan. Kalau tidak tahu, buatlah komen umum tanpa melambangkan pendirian.. sesuai sebagai seorang yang tidak tahu. Dan atau lebih baik lagi diam , supaya kita tidak dilabel macam-macam. Chua Soi Lek, misalnya perlu faham, kenyatannya menghentam JAIS dan JAKIM sebenarnya tidak menguntungkan MCA malahan juga boleh mendatangkan kemarahan terhadap Barisan Nasional juga. Diam sahajalah, dan jangan beri kenyataan yang boleh menyinggung orang-orang Islam di negara ini. Bukannya tidak ada rekod yang mana Chua Soi Lek pernah memohon maaf ekoran keterlanjuran kata-katanya terhadap orang Melayu. Dan kini, berlaku lagi, maka sekali lagi apakah beliau tidak berfikir.
Maka, kesimpulannya, walau apaun berlaku pada hari ini, yang paling penting untuk melihat sesuatu sebaiknya kita berfikir, dan kemudiannya barulah kita membuat rumusan atau kesimpulan. Sebagaimana di dalam satu Hadith. Kita, sebagai manusia dianugerah oleh Allah SWT potensi otak untuk berfikir tentunya melebihi makhluk lainnya. Kelebihan ini diberikan agar diasah dan dipergunakan sebaik mungkin. Ungkapan “Apakah kalian tidak berfikir?” seringkali difirmankan Allah SWT dalam Al-Qur’an untuk memberitahu kita agar senantiasa menggunakan potensi tersebut. Namun baru beberapa aspek potensi tersebut seolah tidak kita pergunakansebaiknya. Allah SWT melalui Nabi Muhammad SAW juga menjanjikan pahala yang sangat besar bagi siapa saja yang mau berfikir, sebagaimana yang tersurat dalam Hadis “Tafakkaru Sa’atan afdhalu min ‘ibadati sittina sanah” (berfikir sesaat lebih baik daripada ibadah 60 tahun).
Maka di kesempatan ini saya menasihatkan diri saya dan para pembaca yang membaca penulisan saya kali ini agar, berfikirlah. Janganlah kita terlampau fanatik fahaman 'kepolitikan' dan sehingga kita lupa apa yang kita nyatakan mungkin akan mengakibatkan kita dilabel sebagai seorang yang tidak matang, dangkal, tidak faham malahan lebih teruk lagi .... (sebagaimana yang telah saya ceritakan di awal tadi). Eloklah kita berfikir, tambahan pula bila kita berada di dalam bulan Ramadhan ini, insya Allah kita punya banyak masa untuk berfikir....
Fikirkanlah....
Sekian dan Wassalam.
Disediakan oleh:
Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan