Jumaat, 13 Februari 2009

Amanat Presiden Pertama Gerakan Rakyat Muda (GERAM)

Assalamualaikum semuanya...

Baru-baru ini (pada 7hb Februari 2009) satu pertemuan bersama-sama rakan-rakan belia di seluruh negara telah diaturkan di Hotel Seri Pacific. Pertemuan ini antara lain bagi tujuan menubuhkan satu NGO yang memperjuangkan suara orang muda yang diberi nama Gerakan Rakyat Muda (GERAM). Pertemuan ini benar-benar mengujakan saya. Masakan tidak apabila melihatkan semangat yang ditonjolkan di dalam pertemuan tersebut memaparkan sedemikian banyak ideologi dan matlamat yang terlintas di benak fikiran masing-masing menggambarkan betapa seriusnya semua orang di dalam usaha membentuk kumpulan penyuara hasrat belia dan remaja dengan penuh ikhlas tanpa sebarang agenda tersembunyi. Di awal pertemuan masing-masing berpeluang menyuarakan apa yang dicitakan dengan penyertaan di dalam pertubuhan ini. Malahan ada juga yang tidak mampu menyuarakan apa-apa dek kerana masih belum tahu apa sebenarnya matlamat yang ingin digapai dalam tempoh yang pun belum ditentukan....

Ada yang berhasrat menyatukan golongan muda, ada yang berhasrat untuk bersama menjayakan agenda orang muda negara, ada juga yang mahu meninggikan martabat orang muda yang kian tenggelam dan pelbagai lagi. Alhamdulillah segalanya diluahkan tidak dengan cara se'GERAM' namanya, tetapi dengan nada yang agak serius lantas menggambarkan hasrat yang dicitakan ini bukan hanya satu slogan yang retorik, atau fatamorgana malah kelihatannya realistik hanya SEANDAINYA kesemua pihak yang hadir itu bersedia mencurah komitmen tanpa sebarang agenda yang tidak nyata.

Dengan penuh yakin kesemua ahli GERAM yang hadir sekian lama melihat mereka selaku golongan muda negara ini sebagai entiti dan aset penting maka semua pihak perlu percaya bahawa menerusi GERAM ini mampu memandu golongan muda agar terus-terusan mampu menunaikan tanggungjawab yang dituntut negara baik di dalam negara mahupun di persada antarabangsa. Dan lebih penting lagi ialah kita mampu menyuarakan pandangan ke arah membantu pembentukan persatuan, mahupun ke arah mempunyai kerajaan yang berkesan dalam ertikata mampu mengendalikan negara, melindungi dan memimpin rakyat serta penduduk ke arah kesejahteraan yang dihasratkan sebagai bangsa yang merdeka tanpa meminggirkan orang muda di negara ini.

Kita (golongan muda) seringkali dipertikai sebagai golongan yang seolah kelihatannya tidak mampu meneruskan kesinambungan pengisian kemerdekaan negara yang dicapai sejak sekian lama, maka diharapkan bahawa menerusi pertubuhan ini golongan muda negara dapat disedarkan betapa mereka mampu berusaha berdasarkan keupayaan mereka yang sedemikian itu, insya-Allah dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya; kita akan dapat pula mengembangkan aspek-aspek kenegaraan dari semasa ke semasa. Dalam mengembangkannya itu, kita akan sentiasa mengenalpasti kepentingan-kepentingan kita yang sebenar dalam jangka panjang. Bukan sekadar kehendak atau keinginan dalam jangka pendek. Kerana jikalau sedemikian maka rugilah sahaja Pertubuhan ini digerakkan untuk matlamat jangka pendek yang akan mematikan terus sebagaimana pertubuhan-pertubuhan belia lain yang pernah kita dengar (kalau hidup pun ia seolah mati...tapi bukanlah kesemuanya!!!).

Dalam hubungannya dalam hal ini, saya benar-benar menghargai sokongan rakan-rakan yang tanpa menghalusi siapa diri saya ini secara dekat terus meletakkan saya sebagai Presiden pertama. Kedudukan yang paling ingin saya elakkan. Dan telah pun saya ajukan bahawa jika mahu dicadang nama lain pun kita perlu sokong kerana saya tidak meletakkan diri ataupun membayangkan diri saya sebagai Presiden sebenarnya, cukup bagi saya sekadar menjadi pendokong tegas agenda yang ingin diperjuangkan oleh Pertubuhan ini. Namun menjunjung nasihat Allahyarham datuk saya yang mengingatkan "Janganlah sekali-kali meminta menjadi pemimpin, tetapi jikalau dipilih maka anggaplah ia sebagai suatu amanah".

Amanah ini bukan mudah diertikan. Tanggungjawab sebesar ini, bukan mengendong agenda peribasdi malahan memikul beban dan tanggungjawab terhadap generasi muda negara, dan tanggung jawab ini perlu disambut baik sepenuhnya bukan hanya oleh GERAM, Pertubuhan-Pertubuhan lain, Golongan Belia, Kerajaan , malahan juga perlu sentiasa diberi tempat dan sokongan penuh oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk negara ini bagi membantu kejayaannya. Sokongan yang dilahirkan menurut cara dan dalam bentuk yang pastinya bersifat unik pastinya juga akan mendatangkan faedah kepada negara.

Sebenarnya dengan cara ini, cara sokongan yang bakal diterima oleh kerajaan dan negara akan menjadi satu bentuk sokongan dalam bentuk kerjasama di antara rakyat dengan kerajaan seperti yang dapat dilihat dan dirasakan faedahnya itu adalah merupakan budaya bangsa kita turun-temurun. Tradisi berpemerintahan yang berakar umbi dalam sejarah negara ini telah dipertahankan kesempurnaannya semasa bangsa kita mengalami pengaruh kuasa asing. Maka dizaman merdeka di mana bangsa kita kembali berdaulat sepenuhnya tentulah lebih wajar dipertahankan bukan semata-mata sebagai budaya yang dibanggakan, bahkan ianya sudah terbukti sebagai faktor bagi kemantapan serta kesejahteraan negara dan rakyat. Dan apabila kita nerbicara soal mempertahankan kemerdekaan ini maka, golongan muda perlu memainkan peranan yang cukup penting ini. GERAM pasti akan menjadikan ini sebagai wadah perjuangan utamanya.

Pemerintahan negara yang unik dan bertahan aman makmur sejak sekian lama penuh dengan unsur-unsur tradisi, dan perlu kita ingat tradisi berpemerintahan menurut budaya kita itu bukan semestinya beku dan kaku. Ia suatu yang dinamis. Perlembagaan negara yang mengaturkan susunan pemerintahan kita adalah memperlihatkan dinamisnya tradisi yang diwarisi itu, iaitu apabila pada masa-masa yang lain ia disesuaikan menurut keadaan dan keperluan. Belia juga perlu terbabit di dalamnya di dalam terus mencorakkan corak pemerintahan yang stabil ini, tanpa tersilap di dalam memacu negara kita menjadi sebuah negara maju melalui orang muda di dalam negaranya pada masa kini. Demikian jua halnya di masa-masa hadapan.

Di dalam suasana politik yang kian mencabar ini, persaingan ideologi politik banyak mewarnai suasana dan persekitaran landskap politik negara, soal perpaduan seringkali menjadi agenda, soal pemerintahan lebih baik turut diperjuangkan malah begitu juga nafas baru dan reformasi dituntut agar ditonjolkan bagi memastikan pentadbiran negara terus dipercaya sebagai medium penyelaras keamanan dan kemakmuran negara. Di samping itu permasalahan ekonomi global juga banyak menyumbang kepada keinginan dan kebangkitan selera rakyat di dalam menyuarakan rasa yang terbuku di dalam hati baik secara lahiriah mahupun zahirnya. Hubungan diplomatik yang pastinya menjurus kepada peluang hubungan kerjasama ekonomi begitu banyak mewarnakan hubungan antarabangsa dalam dekad­-dekad sebelumnya dijangka akan bertukar menjadi persaingan ekonomi. Di rantau sebelah sini pula, suasana keselamatan juga akan lebih mantap, dan memungkinkan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Kesemuanya itu memberikan harapan kepada rakyat dan penduduk di negara-negara rantau ini untuk menikmati peningkatan taraf kesejahteraan.

Jika kita menelusuri kepentingan nelia ini, kita sebenarnya perlu melihat dengan perspektif yang lebih luas lagi demi membantu negara membentuk modal insan yang benar-benar mampu menjadi lapisan pewaris kepimpinan sedia ada di dalam negara kita. Agenda memperkasakan negara perlu dijana segera bagai meastikan keberkesanan aktiviti golongan muda negara kita tidak hanya terhad di dalam negara tetapi kita juga turut perlu mengambil perhatian kedudukan kita di dalam bernegara iaitu dalam ertikata lain perlu bagi kita meletakkan kepentingan belia ini agar diiktiraf sehingga ke seluruh dunia. Kita mungkin perlu menyusun strategi agar segala tindakan kita akan turut dibantu oleh rakan-rakan belia di dalam rantau ASEAN dan dunia dan akhirnya gerakan belia ini akan terus menjadi tunjang kepada keberterusan belia di dalam seni kepimpinan dan pengaturan pentadbiran yang efektif dan global.

Khusus mengenai negara kita, bahawa dekad ini akan penuh dengan cabaran bagi memenuhi jangkaan-jangkaan rakyat dan penduduk kepada kehidupan yang lebih selesa. Keupayaan kerajaan untuk merancang dan melaksanaan projek-projek kemajuan yang baharu di samping mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang lazim di bidang pendidikan, perubatan dan kesihatan, serta bidang-bidang sosial lainnya, adalah bergantung kepada kedudukan pentadbiran negara dan juga kepada kelicinan pentadbiran kerajaan dengan cara pengurusan yang penuh bertanggungjawab.

Kerana itulah, langkah-langkah yang difikirkan tepat perlu dirancangkan oleh belia atau golongan muda agar kita tidak tercari-cari di dalam usaha menggerakkan jentera kepimpinan negara suatu hari nanti. Kita mahu golongan belia menjadi golongan yang benar-benar terlibat di dalam aspek kepimpinan dan bernegara ini. Golongan muda tidak seharusnya berpecah belah, kerana ini hanya akan memburukkan lagi keadaan. Sebagiaman yang kita maklumi bahawa kedudukan ekonomi kita sekarang ini tidaklah sekuat mana, maka seandainya perpecahan yang kita hasilkan pastinya akan memburukkan lagi keadaan negara kita.

Kita perlu bersama-sama memikirkan, menyusun rangka dan pelan tindakan bagi memastikan jaringan sosial negara akan berjaya tanpa sebarang masalah yang besar, sebagaimana yang digembar-gemburkan penglibatan belia di dalam kebejatan sosial, sedangkan kehebatan modal insan di dalam diri golongan muda ynag telah ada tidak pernah sekali-kali ditonjolkan, maka terdengarlan ayat-ayat yang biasa seperti ... "orang muda sekarang bukannya boleh pakai sangat!!". Menyakitkan, menjengkelkan, tetapi itulah yang ditanam di dalam minda masyarakat hari ini tanpa mereka melihat sebenarnya potensi yang ada di dalam diri orang muda. Maka, kepada ahli-ahli GERAM, inilah masanya kita perlu merangka strategi bagi menggerakkan usaha-usaha yang dicitakan supaya ia tidak berkubur begitu sahaja.

Di bidang sosial ini , cabaran di era ini ialah bagi memastikan supaya belia-belia kita mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara. Langkah-langkah yang sudah diambil dari aspek pendidikan formal patut diikuti dengan rancangan-rancangan lain secara berterusan. Kita nampak peranan yang dapat dimainkan oleh belia-belia negara ini di masa hadapan. Pada masa ini sebahagian mereka berkhidmat di sektor-sektor kerajaan dan swasta. Sebahagian lagi masih meneruskan pelajaran-pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri. Ini cocok sekali dengan keahlian yang ada di dalam GERAM. Macam-macam ada, Begitulah juga latarbelakang yang ada.Sebagai golongan muda yang dinamis, seajarnya kita mempunyai jangkaan-jangkaan dan harapan-harapan tertentu mengenai masa hadapan negara. Maka adalah penting difikirkan langkah-langkah yang teratur menyelaraskan jangkaan dan harapan kita ini bagi kepentingan negara keseluruhannya.

Dalam menempuh era kemerdekaan seterusnya, memanglah rakyat dan penduduk, pada umumnya, akan menaruh jangkaan-jangkaan yang berupa harapan untuk menikmati taraf kesejahteraan yang meningkat dan masa depan yang lebih terjamin. Kerajaan pula akan sentiasa dan tidak kendur-kendur berusaha melaksanakan tanggungjawabnya memimpin dan mengendalikan negara dengan lebih berhati-hati.

Namun demikian, dalam apa keadaan pun, belia selaku sebahagian rakyat dan penduduk hendaknya menyedari dan peka akan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan. Dengan ertikata yang lain masalah tersebut adalah sama-sama kita hadapi dalam mencapai matlamat pembangunan sepenuhnya menurut yang dihasratkan. Dan bukannya menuding jari dan terus menyalahkan kerajaan, berdemonstrasi, mengecam pemimpin, kerana ini bukan budatya dan tradisi kita. Apa yang penting ialah kita harus melihat masalah-masalah yang berbangkit dengan sikap yang insaf dan mencari huraiannya dengan penuh tanggungjawab. Dengan cara ini kita boleh respon di dalam setiap isu dan membantu kerajaan di dalam setiap perkara yang timbul di dalam negara kita.

Dalam hubungan ini, kita perlu mempunyai azam yang kuat, meningkatkan daya usaha serta mempertajamkan tumpuan dan perhatian ke arah menjayakan rancangan­-rancangan yang sudah diatur dan sedang diperingkat perlaksanaan, termasuk juga rancangan-rancangan kemajuan yang baharu. Dengan azam yang kuat disertai kesediaan memikul tanggungjawab-tanggungjawab yang lebih mencabar, insya-Allah, secara berperingkat-peringkat dan dalam jangka waktu yang munasabah, kita akan dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah yang merintangi pencapaian sebarang matlamat pembangunan golongan muda ini.

Satu aspek yang penting dalam mencapai matlamat pembangunan ialah perpaduan. Sebagaimana yang saya ceritakan tadi, kita sememangnya tidak dapat menolak hakikat bahawa perpaduan di kalangan rakyat dan penduduk selama inilah yang telah membantu kerajaan, terutama sekali dalam usahanya mengekalkan keamanan. Kita semua mempunyai kepentingan yang sama untuk terus-menerus menikmati keamanan. Perpaduan di semua peringkat, bermula di peringkat anak-anak kecil, seterusnya belia, kemudiannya masyarakat keseluruhannya di dalam dan di luar kerajaan akan lebih kita perlukan dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan dan perkembangan aspek­-aspek kenegaraan di masa hadapan.

Kita memerlukan perpaduan yang lebih kukuh dan erat dari masa-masa yang lain. Dan untuk mengukuhkan serta mengeratkannya itu, kita hendaklah memberi perhatian kepada perhubungan secara berkesan. Yakni perhubungan yang di mungkinkan oleh kelancaran alat-alat perantaraan dan juga oleh cara pendekatan terhadap satu sama lain di kalangan kita semua.Sebenarnya, kelancaran alat-alat perantaraan dan cara pendekatan yang mengesankan perhubungan itu, adalah merupakan sebahagian keperluan yang utama dalam pembangunan dan perkembangan aspek-aspek kenegaraan, baik pada masa ini mahupun pada masa-masa yang akan datang. Ditambah lagi dengan perpaduan yang erat maka kesemuannya itu akan lebih meyakinkan kita untuk menempuh cabaran-­cabaran masa depan sebagai bangsa yang merdeka.

Saya menaruh kepercayaan bahawa seluruh ahli GERAM yang bakal bermesyuarat semula pada 14 Februari 2009 ini merupakan hasrat kita di dalam memasyikan agar rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan perpaduan yang erat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha ke arah masa depan yang lebih cemerlang serta terjamin. Serentak dengan itu tingkatkanlah kesedaran sebagai bangsa merdeka secara bertanggungjawab demi keselamatan negara kita yang tercinta, maju dengan sentiasa mendapat rahmat perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

Di akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dato Radzi di atas kepercayaan melantik saya sebagai Presiden pertama GERAM dan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa yang bakal dilantik dalam mesyuarat kali kedua (14 Februari 2009) akan terus mengorak langkah tanpa berfikir sekalipun untuk mengundur, demi kejayaan Gerakan Rakyat Muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang ... dulu, kini dan selamanya.

Kepada seluruh Alumni Debat Malaysia, Golongan Muda, Pemimpin-Pemimpin yang berkesempatan membaca tulisan saya kali ini saya harapkan sokongan anda, bersama-samalah kita menjayakan hasrat murni ini. Kejayaan Golongan Muda bererti kejayaan buat negara.

Sekian dan Wassalam.


Penulisan oleh :

Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail

Presiden Gerakan Rakyat Muda (GERAM)

Pengerusi Blog Alumni Debat Malaysia (ADAM)

1 ulasan:

UzaiR Rusli berkata...

Lepas ni kena buka satu ruang khusus untuk GERAM.