Khamis, 12 Februari 2009

Di Manakah Sebenarnya Kedudukan Raja? - Hanif Osman

Melihatkan kepada isu raja-raja baru-baru ini ramai yang sudah mulai hilang arah. Ada yang marah, ada yang keliru, malah ada yang masih tertanya-tanya tentang siapa sebenarnya raja? Apakah kuasa raja? Di mana kedudukan raja? Malahan ada yang baru mula melihat kembali asal usul institusi beraja negara.

Setelah sekian lama saya menyepi, kini saya terpanggil untuk mengarang kembali bagi berkongsi idea tentang siapakah raja yang sebenarnya.

Raja

Malaysia mempunyai Raja berperlembagaan bergelar Yang DiPertuan Agong. Baginda adalah Ketua Negara dan Pemerintah dilaksanakan di atas nama Baginda. Jawatan Yang DiPertuan Agong telah pertama kalinya diwujudkan dalam tahun 1957 apabila merdeka dan ia mengikut keturunan dan pemilihan. Ia mengikut keturunan dalam ertikata bahawa hanya sembilan Sultan Negeri-Negeri yang berkenaan layak menyandangnya. Yang DiPertua Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka tidak berkelayakan.

Ia dipilih dalam ertikata bahawa salah seorang daripada kesembilan Sultan itu dipilih melainkan Baginda menarik diri. Pemilihan ini dilaksanakan pada suatu Persidangan Majlis Raja-Raja yang mengandungi kesemua Sultan apabila jawatan ini menjadi kosong sama ada oleh kerana kemangkatan atau tamatnya tempoh jawatan. Di Perlis Baginda digelar sebagai Raja dan di Negeri Sembilan digelar Yang DiPertuan Besar.

Ada juga terdapat peruntukan di dalam Perlembagaan bagi seorang Timbalan yang digelar Timbalan Yang DiPertuan Agong.

Raja menjalankan tugas mengikut nasihat Jemaah Menteri dan tertakluk kepada Perlembagaan. Tetapi Baginda juga mempunyai kuasa budi bicara yang terhad di dalam perkara-perkara tertentu seperti, lantikan Perdana Menteri, memperkenan atau menolak kebenaran permohonan membubarkan Parlimen dan memperkenan atau menolak kebenaran permohonan supaya mesyuarat Persidangan Majlis Raja-Raja diadakan tentang perkara-perkara keistimewaan, kedudukan, penghormatan dan martabat Sultan.

Di dalam pemilihan Perdana Menteri, budi bicara Baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan yang memerlukannya melantik seorang ahli dari Dewan Rakyat yang pada pendapat Baginda mempunyai kemungkinan dapat mempengaruhi sokongan bilangan ahli terbanyak di dalam Dewan itu. Setakat ini, ia telah dilakukan terhadap ahli dari parti yang mempunyai majoriti. Keputusan mungkin akan menjadi lebih sukar jika tidak ada parti yang mempunyai majoriti di dalam Dewan itu, tetapi perkara ini belum lagi timbul di Malaysia, walaupun baru-baru ini majoriti 2/3 Barisan Nasional telah dinafikan, namun BN masih lagi memiliki majoriti sebagai pemerintah.

Yang DiPertuan Agong adalah juga Pemerintah Tertinggi angkatan tentera dan Ketua Agama Islam bagi Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak dan bagi Negeri tempat Baginda menjadi Sultan. Sebelum tahun 1976, peranan Baginda sebagai Ketua Agama Islam terhad kepada Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Baginda sendiri, tetapi hal ini telah diperluaskan kepada Sabah dan Sarawak berikutan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976.

Yang DiPertuan Agong bertanggungjawab juga untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan juga kepentingan-kepentingan yang sah bagi kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perlembagaan. Majlis Raja-Raja juga memainkan peranan penting kerana ia merupakan satu-satunya institusi yang wujud di dunia pada masa kini. Keistimewaan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja kini tidak terdapat lagi selepas krisis kekebalan raja-raja yang berlaku beberapa tahun dahulu.

Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn. Tun Abang Hj Openg dan Tawi Sli (No. 2) 1967 (1 MLJ 46), PIKE H.B (Borneo) telah memutuskan bahawa perkara 32 Perlembagaan Persekutuan hanya melindungi Yang DiPertuan Agong secara peribadinya daripada tindakan mahkamah, tetapi tidak dapat ditafsirkan melindungi Kerajaan Persekutuan daripada tindakan mahkamah tentang tindakan yang diambilnya atas nama Yang DiPertuan Agong. Apabila Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri Persekutuan, tindakan Baginda mestilah dianggap sebagai tindakan Kerajaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja ditubuhkan mengikut Perlembagaan dan mengandung Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri (dahulunya digelar Gabenor). Tugas utamanya ialah pemilihan Yang DiPertuan Agong dan Timbalan Yang DiPertuan Agong. Keempat orang Yang DiPertua Negeri tidak mengambil bahagian di dalam pemilihan ini. Majlis Raja-Raja perlu dirujukkan tentang perkara seperti lantikan hakim, Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Sama juga, Majlis ini perlu dibawa berunding dan persetujuannya hendaklah diperolehi tentang perubahan sempadan Negeri, memperluaskan Persekutuan secara menyeluruh, hukum syarak dan amalannya dan bagi apa-apa Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan. Rujukan wajib dibuat kepada Majlis ini tentang perkara-perkara yang melibatkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak. Kesemua mesyuarat Majlis Raja-Raja selain persidangan untuk melantik Yang DiPertuan Agong atau Timbalan Yang DiPertuan Agong dihadiri oleh Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Semoga dengan penerangan ini kita akan lebih faham dengan kedudukan institusi beraja di Malaysia.

Terima kasih.

Oleh - Hanif Osman

Tiada ulasan: