Rabu, 21 Julai 2010

Pemansuhan UPSR & PMR Perlu Penelitian - Presiden

Assalamualaikum WBt dan Salam 1Malaysia...
.
LATARBELAKANG
.

UPSR dan PMR mungkin akan dimansuhkan berikutan cadangan yang dilontarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Cadangan tersebut telah menarik perhatian banyak pihak termasuk ibu bapa, guru, badan bukan Kerajaan (NGO), kesatuan guru, parti politik dan pelajar.

.

Pelbagai maklum balas disuarakan mengikut pandangan dan persepsi masing-masing. Berdasarkan hasil penelitian kepada peperiksaan UPSR dan PMR yang dilaksanakan sekarang, Kementerian Pelajaran mendapati sistem pendidikan negara yang sedia ada terlalu berorientasikan peperiksaan.

.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu SPM. Hanya peperiksaan ini yang dititikberatkan untuk memasuki pengajian tinggi serta dinilai bagi soal kerjaya.

.

Walau bagaimanapun, satu peperiksaan akan diadakan bagi menggantikan UPSR, yang tidak diwajibkan dan terbuka kepada pelajar yang ingin memasuki sekolah berasrama penuh. Namun begitu, UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan, tetapi hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja.

.

Ada pihak yang lantang menolak cadangan ini dengan alasan akan mengurangkan pencapaian sekolah, pelajar akan mula acuh tak acuh terhadap pelajaran, guru yang malas serta meningkatkan sikap culas ibu bapa yang tidak mengendahkan pelajaran anak mereka.

.

Selain itu, ada pihak yang terus menyokong cadangan pemansuhan ini dengan alasan sistem pendidikan yang terlalu memberi fokus kepada peperiksaan sehingga mengabaikan aspek lain seperti ko-kurikulum dan kreativiti pelajar. Tidak kurang juga, ada pihak yang mencadangkan hanya salah satu daripada dua peperiksaan dimansuhkan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mulai menjadi sebuah masyarakat yang responsif apabila melibatkan soal kepentingan umum.

.

Terbaru pula, Kementerian bercadang untuk memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan UPSR dan PMR. Sistem ini telah diteliti dan didapati bersesuaian untuk dipraktikkan berikutan kejayaan sistem ini dilaksanakan di negara lain.

.

Sistem ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana negara maju seperti Jepun telah lama mengamalkan satu peperiksaan awam sahaja untuk memasuki universiti. Pelaksanaan SBA akan diseragamkan oleh Lembaga Peperiksaan dan membolehkan sekolah menilai pencapaian pelajar.

.

Jika dilihat dari perspektif positif, tindakan KPM ini boleh mengurangkan tekanan guru dan pelajar daripada terus dibebani dengan peperiksaan PMR dan SPM, seterusnya mencetus kepada pendidikan yang kurang efektif dan berkesan. Kita sering digemparkan dengan pencapaian pelajar yang mendapat A bagi semua pelajaran, tetapi ini masih belum dapat mencerminkan mutu pelajar berkenaan. Selain itu, sistem baru ini juga dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam kos pembelajaran anak-anak.

.

Sekiranya hanya satu peperiksaan awam akan dijalankan, implikasi kos bagi kerajaan melaksanakan pembaharuan atau projek adalah berkurangan berbanding sekarang. Selain itu, bidang-bidang lain seperti sukan dan seni mula berkembang maju. Banyak bakat baru yang berkebolehan dan berkemahiran akan lahir daripada pelbagai bidang. Memandangkan tempat yang disediakan di SBP adalah terhad, maka satu ujian khas merangkumi IQ dan EQ akan diadakan seperti mana yang diamalkan oleh MRSM ketika ini.

.

PANDANGAN

.

Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya peperiksaan UPSR dan PMR dimansuhkan perlu diteliti dan dikaji dengan penuh berhati-hati agar masa depan generasi pewaris masa depan negara tidak diperjudikan sekali lagi sebagaimana gagalnya pelaksanaan PPSMI yang kini lebih dilihat membazirkan duit rakyat serta meminggirkan pelajar luar bandar. Ungkapan peribahasa Melayu 'seperti tikus membaiki labu' haruslah dijadikan panduan agar kerosakan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini tidak semakin bercelaru hanya kerana tindakan yang terburu-buru tanpa kajian yang teliti dan diperhalusi secara mendalam.

.

Mungkin rakyat masih ingat lagi tentang dasar PPSMI yang semakin melebarkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan di bandar. Sebenarnya, saya sendiri secara peribadi semakin bimbang kerana, ura-ura dasar PPSMI yang akan dimansuhkan menjelang 2011 seolah-olah dilihat hanyalah 'gula-gula' yang diumpan kepada anak-anak kecil walhal pada hakikatnya pemansuhan secara berperingkat dengan alasan 'soft landing' akan memakan masa yang lama.

.

Selepas ini,kita tidak mahu lagi melihat sistem pendidikan yang bercelaru dan pelbagai projek dilaksanakan atas nama dan slogan 'pendidikan anak bangsa' dilaburkan dengan begitu mudah tanpa kajian teliti. Akhirnya, implikasi yang diterima kesan daripada transformasi sistem pendidikan dilihat hanya lebih kepada 'retorik' semata- mata dan 'indah khabar dari rupa'. Implikasinya, guru dan pelajar menjadi mangsa 'eksperimen' pendidikan yang bercelaru.

.

Memang diakui, sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini tidak mementingkan nilai pembangunan rohani dan sahsiah serta akhlak yang tinggi sebaliknya lebih berorientasikan 'peperiksaan' atau 'exam oriented' semata-mata. Mata pelajaran Pendidikan Islam pula tidak dimasukkan dalam subjek UPSR sedangkan di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, pelajar boleh mengambil lebih dari 5 matapelajaran. Persoalannya, apa salahnya jika pelajar Melayu Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai syarat wajib dalam UPSR? Bukankah dengan cara ini, penerapan nilai sahsiah yang tinggi sebagai individu muslim dapat diterjemahkan melalui perlakuan amalan dan tindakan apabila isi kandungan matapelajaran Pendidikan Islam dihayati oleh setiap pelajar?

.

Sesungguhnya,cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar pada hari ini memerlukan penelitian yang rapi dan penuh berhati-hati apabila mahu mengubal sistem pendidikan yang ada pada masa kini. Masalah sosial yang sedang melanda sangat membimbangkan dan kian membarah dalam masyarakat. Kes jenayah,zina, isu buang bayi, sumbang mahram, kelahiran bayi luar nikah, jenayah ragut, kes bunuh dan bermacam-macam lagi sangat mendukacitakan.

.

Kita semua dapat melihat seolah-olah suatu keruntuhan nilai yang amat dahsyat sedang berlaku mutaakhir ini. Apalah gunanya negara memiliki bangunan tersergam indah dan bangunan pencakar langit yang menjulang tinggi tetapi dalam masa yang sama jatidiri generasi pewaris masa hadapan bergelar 'pelajar' yang disandarkan segala harapan untuk menerajui kepimpinan negara kian rapuh ditelan zaman. Justeru, hanya sistem pendidikan yang holistik dan bersepadu merangkumi penerapan nilai-nilai murni merupakan wadah penyelesaian terbaik dalam menangani isu pendidikan negara yang semakin meruncing.

.

Sesungguhnya, 'Guru' adalah 'agen' perubahan masyarakat. Gurulah insan yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai 'kemerdekaan' tanahair. Gurulah yang membentuk 'jiwa dan minda merdeka' dari segala belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu. Justeru, kepada golongan pendidik dan pakar pendidikan di seluruh negara diseru agar 'berani' membuat anjakan paradigma demi melihat sistem pendidikan negara dan masa depan pelajar yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

.

Menyedari bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang yang digubal suatu ketika dahulu kini semakin tersasar jauh dari konsep JERI (Jasmani, Emosi, Rohani,Intelek), saya menyeru ahli akademik dan tokoh pendidikan tanahair agar berani menyuarakan pendapat melalui 'lisan dan mata pena' demi melihat kelangsungan masa depan anak bangsa menjadi lebih terarah dan memiliki halatuju yang jelas. Persidangan Meja Bulat yang akan berlangsung pada 17 Julai dan 27 Julai ini sangat penting agar masa depan pelajar tidak 'terkorban' sekali lagi di tangan golongan 'pembuat dasar' di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia sedangkan dalam masa yang sama golongan 'pelaksana dasar' yang mewakili lebih daripada 360,000 pendidik di seluruh Malaysia menjadi mangsa transformasi sistem pendidikan yang bercelaru. Cukuplah isu pemansuhan matapelajaran Jawi suatu ketika dulu yang akhirnya menyebabkan ramai pelajar Melayu Islam 'buta Al- Quran' dan tidak 'celik Tulisan Jawi'. Begitu juga dengan Dasar PPSMI yang telah bermula pada tahun 2003 yang belum dimansuhkan hingga kini.

.

Sebenarnya, apa yang diharapkan dari golongan pendidik ialah aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual yang tidak dikesampingkan demi mendepani cabaran pendidikan semasa dalam era globalisasi masa kini.Pemansuhan UPSR misalnya, haruslah diganti dengan suatu sistem pentaksiran yang lebih efektif dan efisyen dengan memasukkan unsur EQ ( Emotional Quationt), IQ (Inteligent Quotiont) dan SQ (Spiritual Quationt) di samping tidak meminggirkan penghayatan dan amalan ilmu yang lebih praktikal untuk diadaptasi dalam kehidupan pada masa akan datang seperti unsur kemahiran hidup,unsur nilai keusahawanan dan sifat berdikari dalam diri.

.

Di samping itu, pemilihan pelajar ke asrama penuh selepas peperiksaan UPSR sebelum ini pula perlu diganti dengan sistem penilaian yang lebih holistik, bukan sahaja berdasarkan keputusan akademik dan bilangan 'A' semata-mata sebaliknya merangkumi aspek ko-kurikulum dan aspek sahsiah diri agar kemasukan pelajar terpilih ke asrama penuh tidak mengundang masalah disiplin kemudian hari. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, tetapi hilang jatidiri dan nilai murni dalam diri seperti terdedah kepada kes buli yang akhirnya mengakibatkan nyawa pelajar lain melayang.

.

Isu kematian pelajar yang bernama Muhammad Naim Mustakim Bin Mohd. Sobri akibat dibuli pada 26 Jun yang lalu, daripada Maktab Tentera Diraja baru–baru ini menggemparkan dunia pendidikan negara kerana tidak menyangka kes seperti ini boleh berlaku di sekolah yang terbaik dan dari kalangan pelajar yang cemerlang akademiknya.

.

Sudah pasti senario seperti ini akan menghakis kepercayaan ibu bapa dan orang ramai terhadap integriti dan kredibiliti institusi sekolah yang berkenaan.Bukan sahaja imej sekolah tercemar malahan nyawa pelajar yang tidak bersalah menjadi korban gara- gara sikap segelintir pelajar yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab. Sudah pasti ibu bapa pelajar mangsa yang terkorban berasa sangat kecewa kerana mereka mengharapkan anak yang dihantar belajar di sekolah terpilih dan tersohor akan menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada negara tetapi malangnya pulang kepangkuan keluarga dalam keadaan telah menjadi mayat dan terbujur kaku serta tidak akan kembali lagi bersama mereka. Kes seperti ini, harus menjadi pengajaran penting untuk diperhalusi oleh pihak kementerian agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

.

Manakala, pemansuhan PMR pula memerlukan rasional yang wajar agar diterima baik oleh golongan pendidik, tokoh pendidikan,golongan ahli akademik,ibu bapa dan pelajar agar mereka tidak merasakan bahawa pemansuhan PMR ini hanya ’menggadai’ masa depan anak bangsa semata- mata.Tuntasnya, transformasi sistem pendidikan ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu- buru sebaliknya memerlukan kajian yang cukup teliti dan ’dimurnikan’ secara berperingkat.

.

Saya dengan ini ingin membuat penegasan bahawa kajian teliti perlu dibuat dengan mengambilkira aspek yang telah disebutkan di atas selain mewujudkan suatu sistem pentaksiran pelajar yang lebih holistik jika pemansuhan UPSR dan PMR mahu dilaksanakan.

.

Kalau perlu, bukan setakat Persidangan Meja Bulat pada 17 Julai dan 27 Julai ini, malahan 'sesi pendengaran awam' juga amat penting dan perlu diadakan agar rakyat berpeluang menyuarakan pandangan dan pendapat demi melihat kelangsungan sistem pendidikan negara lebih konsisten dan terarah serta memiliki halatuju yang jelas.

.

Akhirnya, kesimpulan yang dapat dibuat adalah kita jangan tergesa-gesa melaksanakan sesuatu jika kita sendiri belum bersedia melaksanakannya. Bimbang nanti, generasi muda yang dijadikan sebagai ’eksperimen’ ini akan menanggung bahananya di sepanjang hidup mereka ekoran kegagalan mereka mengadaptasi perlaksanaan kerajaan ini. Dan pada ketika itu (mungkin) kita sekali mencadangkan kaedah baru, memperkenalkannya kembali atau memindanya semula, siapa tahu. Dan pada ketika itu jelaslah sistem pendidikan negara akan terus dipertikai...

.

Hanya sekadar mengutarakan pandangan!!!

.


Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Selasa, 20 Julai 2010

Motivasi Siri 1/2010 : Bina Tenaga Kerja Yang Bermotivasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia...
.
Soalan cepumas untuk dikongsi bersama.... Siapakah yang ingin dipengaruhi dan diilhamkan oleh anda? Jika anda tidak dapat menjawab soalan ini, anda tidak sepatutnya mengurus sesiapapun. Sebagai penceramah yang selalu berceramah di dalam siri ceramah motivasi, saya pernah bertanyakan soalan ini di beberapa program yang pernah saya kendalikan. Anda pasti tidak akan menyangka bahawa terdapatnya beberapa orang yang mempunyai jawatan selaku ketua jabatan, unit atau bahagian menghadapi masalah untuk menjawab soalan ini. Seringkali mereka terpegun dan membisu.
.
Inilah sebabnya mengapa keupayaan menjawab soalan ini begitu penting. Ketua tidak dapat membuat apa-apa keputusan dan tidak akan berkesan dalam pekerjaan mereka, jika anak-anak buah mereka tidak dimotivasikan untuk menunjukkan prestasi yang tinggi. Jadi selaku ketua, atau penyelia, adalah amat penting sekali anda sentiasa mencari jalan untuk menarik perhatian anak-anak buah anda dan merangsangkan keghairahan dan komitmen terhadap organisasi dan matlamatnya.
.
Sebenarnya orang dimotivasikan untuk membuat apa-apa sahaja bagi kepentingan diri sendiri. Matlamat anda sebagai ketua ialah untuk membantu anak-anak buah mengaitkan kebajikan mereka dengan kebajikan organisasi. Apabila ini berlaku, anak-anak buah semestinya dimotivasikan untuk berusaha, kerana bermanfaat bagi diri mereka jika berbuat begitu.
.
Semua ini adalah cara lain untuk menyatakan bahawa motivasi adalah intrinsik. Motivasilah yang memandu kita untuk mencapai matlamat yang kita ingini. Segala yang kita buat adalah kerana kita percaya usaha kita dapat menunaikan matlamat atau keinginan peribadi sekarang atau masa hadapan.
.
Bayangkan ini. Bilakah anda paling gembira tentang pekerjaan anda? Untuk kebanyakan orang, kegembiraan timbul apabila kita terlibat dalam projek atau tugasan yang amat bererti bagi kita - tugasan yang kita hayati, atau tugasan yang kita percaya akan membawa manfaat serta mencapai sesuatu bagi kita dan orang lain. Dengan membantu anak-anak buah membuat kaitan rapat dengan tugasan mereka, anda akan mendapat hasil baik motivasi intrinsik yang wujud.
.
Bilakah anda pernah berhajat untuk merangsangkan organisasi anda? Anda ketua bukan? Bukankah menjadi ketua anda mengurus sesuatu. Dan bukankah mengurus itu menjadi tugas anda? Ya, tetapi motivasi hari ini perlu dijadikan tanggungjawab bersama. Sebagai pengurus, menggerakkan anak-anak buah anda supaya berusaha sedaya upaya setiap hari. Dengan memahami peranan anda sebagai pemimpin dan ketua kepada anak-anak buah anda adalah amat penting sekali. Berikut ialah tiga butiran utama untuk membantu membina organisasi bermotivasi, iaitu:
.
KENALI MENGAPA ANAK-ANAK BUAH MAHU DIMOTIVASIKAN OLEH ANDA; Apabila anda dapat menjawab soalan penting ini, anda akan lebih bersedia menarik perhatian anak-anak buah anda terhadap tugasan mereka dengan lebih berkesan dan mempengaruhi tingkah laku mereka untuk bertindak secara aktif bagi memenuhi matlamat syarikat.
.
KETAHUI BAHAWA MOTIVASI SEBENAR MERUPAKAN KERJA DALAMAN; Orang berhujah tentang motivasi sebagai intrinsik atau ekstrinsik. Akan tetapi, sebenarnya motivasi hanyalah intrinsik, dalam diri kita. Yang kita sebut sebagai motivasi ekstrinsik ialah faktor luaran, seperti ganjaran syarikat, bonus, dan kenaikan gaji, yang akhirnya mempengaruhi motivasi intrinsik kita.
.
PANDU PEKERJA KEPADA YANG PENTING DAN BERMAKNA; Ini memerlukan ketua untuk menggerakkan anak-anak buah mereka supaya menunjukkan yang terbaik, mengambil risiko, berfikir seperti usahawan, dan membebaskan potensi mereka yang bersinergi dan tiada had.
.
Cukup rasanya, pandangan ini kita kongsi buat Bulan Julai ini dan insya Allah kita bertemu lagi dalam artikel yang akan datang di bulan hadapan. Akhir kata saya kongsikan kata-kata oleh Bill Hewlett (Pengasas Bersama Syarikat Hewlett-Packard); "Lelaki dan wanita ingin membuat kerja yang baik, kerja yang kreatif, dan jika mereka diberi persekitaran yang sesuai, mereka akan berbuat demikian."
.
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Anda Ada Artikel Berasaskan Teori dan Tips-Tips Motivasi??

Berasaskan permintaan yang diutarakan menerusi e-mail blog ADAM ramai yang meminta agar Presiden ADAM berkongsi idea ataupun buah fikiran berkaitan motivasi diri, organisasi dan sebagainya. Berasaskan respon ini, mulai Bulan Julai 2010 blog alumnidebatmalaysia akan menyiarkan beberapa artikel berkaitan motivasi. Idea ini akan diketengahkan berasaskan pandangan daripada Presiden ADAM sendiri dan juga terbuka kepada mana-mana penulis yang bersedia berkongsi idea-idea serta tips-tips berkaitan pelbagai teori motivasi untuk dikongsi bersama.
.
Kepada yang berminat jangan lupa kirimkan makalah serta artikel anda kepada alumnidebat@yahoo.com. Insya Allah kami akan menyiarkan artikel anda.
.
Semoga perkongsian pintar ini akan membawa manfaat untuk kesemua pengikut setia blog alumnidebatmalaysia.blogspot.com.
.
Sekian dan Wassalam.
.
.
.
Oleh : EDITOR

Isnin, 19 Julai 2010

Universiti Teknologi Petronas (UTP) Juara Debat Alam Sekitar 2010

KUALA TERENGGANU 19 Julai - Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul juara Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. Pasukan yang diwakili Junnyaruin anak Barat, Muhammad Imran Muiz Abidin, Muhamad Siddiq Mahyuddin dan Mohd. Khazaidi Kamaruddin itu menewaskan pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada peringkat akhir debat tersebut.

Pendebat UTP yang ceria setelah diumumkan sebagai Juara Debat Alam Sekitar 2010

Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang bertindak sebagai kerajaan, berdebat berhubung usul Penguatkuasaan Undang-Undang Lebih Berkesan Daripada Pemantapan Kesedaran Dalam Menyelamatkan Alam Sekitar. Kemenangan itu membolehkan UTP membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, wang tunai RM 8,000 dan sijil penyertaan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli, Mohd. Shah Izad Salleh dan Nor Izati Lokman yang bertindak sebagai pembangkang pula menerima wang tunai RM 5,000 dan sijil penyertaan. Mohd. Ikhwan juga dianugerahkan Pendebat Terbaik dan membawa pulang Piala Ketua Pengarah Alam Sekitar dan wang tunai RM 1,500.

Universiti Malaya (UM) yang diwakili Mohamad Asri Ab. Jani, Mohd. Firdaus Ahmad, Muhammad Azzairi Rosle dan Shen Yee manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dianggotai Nor Fara Syazwani Jufrin, Muhammad Badri Ishak, Muhammad Zahir Ab. Aziz dan Nabilah menerima hadiah pasukan yang layak ke separuh akhir.Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan sementara Muhammad Badri juga menerima Hadiah Pendebat Terbaik Liga dan menerima piala dan wang tunai RM 300. Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Aziyah Mohamed dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman. Pertandingan Debat Alam Sekitar Antara IPT yang memasuki tahun ke-20 itu merupakan pertandingan debat tertua di negara ini.Komitmen tinggi daripada pihak IPT dapat dilihat melalui peningkatan penyertaan yang melibatkan 25 universiti awam dan swasta kali ini berbanding lapan universiti awam pada 1991.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan kepada yang gagal cuba lagi di lain masa!!. Berikut dikongsikan beberapa gambar untuk tatapan semua!

Pasukan USIM bersama dengan Prof Madya Dato' Dr Mohd Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor USIM, serta Sdr. Syamsul Amri bergambar di bilik kuarantin peserta sebelum memulakan aksi di pertandingan akhir


Suasana di dalam Dewan Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum pertandingan akhir bermula
Kelihatan hadirin yang sudah mula memenuhi ruang dewan
Menantikan pertandingan akhir bermula
Dewan di kesemua sudut dipenuhi pencinta debat debat tanahair!
Aksi pertandingan akhir yang sempat dirakamkan UTP bertindak sebagai pihak Kerajaan dan USIm sebagai pihak Pembangkang
Akhirnya yang dinantikan, pengumuman pemenang!
Sdr. Mohd Ikhwan Rosseli tampil ke atas pentas selaku pendebat terbaik pertandingan akhir membawa pulang RM 1,500 serta piala iringan
Menerima replika cek daripada YAB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
USIM diumumkan sebagai Naib Johan Debat Alam Sekitar 2010Giliran UTP pula tampil ke atas pentas setelah diumumkan selaku Juara Debat Alam Sekitar 2010
Juara dan Naib Juara di atas pentas

Pasukan Juara bergambar bersama tetamu-tetamu kehormat
Pasukan yang mendapat tempat ketiga memerhatikan Juara dan Naib Juara di atas pentas Sibuk ketika sesi bergambar dijalankan
Tidak melepaskan peluang bergambar bersama Dato' TNC USIM dan Jurulatih USIM, Sdr. Syamsul
Para pendebat Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mengambil peluang untuk bergambar bersama Sdr. Syamsul
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Selamat Pengantin Baru Buat Rahyla & Amir !!

SELAMAT PENGANTIN BARU
.
Ikhlas Buat
Rahyla & Amir
17 Julai 2010
Bertempat di Kediaman Keluarga Rahyla
No. 395, Jalan Titiwangsa,
Taman Bukti, Ampangan,
Seremban, Negeri Sembilan
.
Jutaan tahniah diucapkan buat salah seorang warga alumni debat iaitu Rahyla yang telah mengakhiri zaman bujangnya bersama pasangannya pada hari Sabtu yang lalu. Majlis persandingan beliau telah berlangsung dengan meriah sekali dengan kehadiran ratusan ahli keluarga serta kenalan sahabat handai yang turut sama meraikan hari yang sangat bermakna ini.
.
Turut hadir ke majlis ini adalah, Sdr. Syamsul Amri bin Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM) bersama-sama dengan isteri serta anak-anaknya.
.
Rahyla tau lebih mesra dengan panggilan Yla, merupakan anak didik debat Sdr. Syamsul, yang juga merupakan bekas pendebat ketiga yang tidak asing lagi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau merupakan pendebat ketiga yang cukup terkenal dengan aksi lemah lembut tetapi tegas ini, merupakan salah seorang pendebat yang cukup diminati oleh pendebat-pendebat di zamannya. Beliau pernah melakar sejarah apabila menjadi salah seorang daripada pasukan debat yang satu-satunya pasukan yang bukan UiTM yang telah berjaya menjuarai Pertandingan Debat Piala Sultan Zainal Abidin (PISZA) bersama-sama rakan segandingan yang lain pada ketika itu iaitu Akmal dan Zenendrien.
.
Beliau juga banyak menyertai pertandingan-pertandingan debat di serata tanahair malahan juga tersenarai di antara pendebat-pendebat terbaik negara.
.
Dengan ini sekali lagi EDITOR mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Rahyla dan suami dan didoakan semoga panjang umur dan murah rezeki.
Suasana meriah di pintu gerbang untuk masuk ke majlis istiadat persandingan raja sehari
Ramai yang memenuhi halaman rumah Rahyla

Meja santapan Raja Sehari yang telah siap tersedia menanti pasangan Raja Sehari
Suasana yang meriah di bawah khemah jamuan untuk keramaian
10 khemah untuk kesemua jemputan yang hadir
Kek bertingkat khas buat pengantin
Meja santapan raja sehari disusun indah
Keluarga sebelah pengantin lelaki yang memenuhi ruang tamu di mana tempat persandingan dijalankan
Rahyla & Amir tenang di pelamin
Rahyla dan suami melemparkan senyuman mesra buat tetamu yang hadir
Beginilah suasana di luar rumah yang turut meninjau majlis persandinganSuasana dari luar rumah Rahyla yang sempat dirakamkan
Kini tiba masanya untuk jamuan bersama Raja Sehari Pasangan mempelai menadah tangan ketika bacaan doa sebelum jamuan bermulaBerdoa menadah tangan tanda kesyukuran atas rahmat dan inayat dari Nya
Suasana ketika jamuan dijalankan
Danish Amri (anak sulung Presiden ADAM) yang sedang asyik makan
Dzaqwan Amri (anak ketiga Presiden ADAM) yang turut menjamu selera
Dhafir Amri (anak kedua Presiden ADAM) yang juga menjamu selera
Turut sama hadir; Yat (Isteri Presiden ADAM) dan ibu mertuanya
Dzaqwan dengan wajah comel yang mencuri perhatian tetamu-tetamu lain
Dzaqwan Amri, bakal 3rd speaker!
Kek Pengantin buat pasangan Raja Sehari
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Jumaat, 16 Julai 2010

Seminar Executive Talk di Dewan Theatrette, Wisma Negeri

Seminar Executive Talk
15 Julai 2010
Dewan Theatrette, Wisma Negeri,
Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus
.
Satu program 'Executive Talk' Siri 2/2010 telah diadakan di mana kali ini Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah dipanggil untuk menyampaikan ucapan berkaitan tajuk yang diberikan iaitu "Transformasi Minda: Merealisasikan Organisasi Berprestasi Tinggi". YABhg Tun Ahmad Sarji yang tidak asing lagi dalam perkhidmatan awam negara sehinggakan beliau sendiri pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia. Maka amanat beliau sangatlah dinantikan oleh kesemua kakitangan kerajaan yang hadir memenuhi di Dewan Theatrette bagi mendengar tips serta pesanan ke arah merubah minda setiap pegawai di dalam organisasi kerajaan.
.
Program ini telah turut dihadiri oleh YB Dato' Hj Mat Ali Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. Turut hadir sama mendengar buah fikir tokoh terkenal negara ini adalah Sdr. Syamsul Amri Hj Ismail, Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM).
.
Pelbagai nasihat yang telah dilontarkan serta dikongsi bersama sekelian yang hadir pada program yang berlangsung selama 1 jam bermula jam 3.00 hingga ke jam 4.00 petang. Semoga kesemua pihak yang hadir mampu beroleh manfaat daripada program yang disampaikan ini dan semoga ia mampu menjadi batu loncatan ke arah mempertingkatkan prestasi organisasi kerajaan.
.
Kelihatan paparan skrin menunjukkan tajuk yang bakal disampaikan
Suasana di dalam Dewan Theatrette yang dipenuhi pegawai-pegawai kerajaan bagi mendengar amanat yang bakal disampaikan
Suasana di sebelah tepi Dewan Theatrette
YABhg Tun Ahmad Sarji mula mengambil tempat bagi memulakan ucapannya
Ucapan yang penuh dengan idea bernas dan pandangan dimulakan...
Sebaik sahaja tamat program YB Tuan Setiausaha Kerajaan Negeri menyampaikan cenderahati buat YABhg Tun Ahmad Sarji
YABhg Tun Ahmad Sarji memperagakan cenderahati yang diterima daripada pihak kerajaan Negeri
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR